Skip to content

Ketuat Kemaluan: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah ketuat kemaluan? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap masalah ketuat kemaluan berserta rawatannya.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Apa itu Penyakit Kelamin?
  3. Jenis Penyakit Kelamin
  4. Ketuat di bahagian Kemaluan
  5. Ciri-ciri Ketuat Kemaluan
  6. Simptom Ketuat Kemaluan
  7. Golongan berisiko
  8. Ujian Pengesahan
  9. Rawatan
  10. Pencegahan

Pengenalan


Berbicara mengenai penyakit kelamin (sexually transmitted disease) sering menjadi taboo dalam kalangan masyarakat. Persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada golongan penghidap penyakit ini menyebabkan pesakit menjadi takut untuk hadir mendapatkan rawatan.

Penyakit ketuat di bahagian kemaluan (genital warts) atau Condyloma acuminata merupakan salah satu penyakit kelamin yang disebabkan oleh virus HPV (human papillomavirus). Penyakit ini boleh menjangkiti golongan lelaki dan juga wanita. Justeru, penulisan ini akan berkongsi serba sedikit mengenai manifestasi penyakit ini.

Apa Itu Penyakit Kelamin?




Penyakit kelamin adalah penyakit berjangkit yang menjangkiti manusia menerusi hubungan seks tidak selamat. Pesakit boleh mendapat penyakit ini seandainya mereka mengamalkan dan melakukan seks dengan mereka yang menghadapi penyakit ini:

  • Hubungan seks melalui faraj tanpa menggunakan kondom
  • Hubungan seks melalui dubur
  • Hubungan seks melalui oral (mulut)
  • Perkongsian jarum (dalam kalangan penagih dadah)
  • Dari ibu ke bayi semasa proses penyusuan
  • Dari ibu ke bayi semasa proses kelahiran
  • Sentuhan kulit ke kulit

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenis Penyakit Kelamin


Antara contoh penyakit kelamin adalah:

  • Chlamydia
  • Ketuat di bahagian kemaluan (genital warts)
  • Herpes di bahagian kemaluan (genital herpes)
  • Gonorrhea
  • Sifilis
  • HIV
  • Trichomoniasis
  • Kutu di bahagian kemaluan (pubic lice)

Periksa Simptom anda Di Sini

Ketuat di Bahagian Kemaluan (Genital Wart)


Menurut CDC (Centers for Disease Control and Prevention), ketuat di bahagian kemaluan yang disebabkan oleh HPV merupakan antara penyakit kelamin yang sering berlaku. Sehingga 2018, 201 jenis HPV telah berjaya ditemui. Mengikut kajian, 90% penyakit ini disebabkan oleh HPV-6 dan HPV-11.

Antara komplikasi lain jangkitan HPV adalah:

  • Kanser serviks (biasanya disebabkan oleh HPV-16 dan HPV-18)
  • Kanser penis
  • Kanser dubur
virus HPV

Ciri-ciri Ketuat Kemaluan




Ciri-ciri ketuat adalah:

  • Benjolan kecil atau kumpulan benjolan di sekitar kemaluan
  • Berbentuk seakan bunga kobis
  • Berbentuk besar atau kecil
  • Menonjol atau rata
  • Berwarna merah jambu atau berwarna kulit

Ketuat ini biasanya mengambil masa untuk terjadi selepas berlakunya jangkitan. Oleh yang demikian, ramai orang tidak perasan yang mereka sebenarnya telah dijangkiti HPV.

Tempat selalu terjadi ketuat

LelakiPerempuanTempat-tempat lain (Disebabkan oleh seks oral)
Penis, Skrotum, Paha, Dalam dubur, Sekitar duburDalam faraj atau dubur, Luar faraj atau dubur, ServiksBibir, Mulut, Lidah Tekak

Simptom Ketuat Kemaluan


Disebabkan ketuat mengambil masa untuk berlaku, antara tanda dan gejala lain yang boleh terjadi pada penis atau faraj adalah:

  • Keluar lendir
  • Gatal
  • Bengkak
  • Sakit
  • Kemerahan
  • Tidak selesa

Golongan berisiko


Golongan berikut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini:

  • Lelaki dan wanita yang aktif melakukan hubungan seks
  • Berusia kurang daripada 30 tahun
  • Merokok
  • Mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah
  • Mempunyai sejarah penderaan sewaktu kanak-kanak
  • Kelahiran oleh ibu yang telah dijangkiti

Ujian Pengesahan


Untuk mendiagnos penyakit ini, sejarah hubungan seksual pesakit amat penting. Doktor mungkin akan bertanya mengenai status perkahwinan, kekerapan hubungan seks, orientasi seks, dan penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seks.

Doktor juga akan menjalankan ujian untuk penyakit kelamin yang lain. Ini diikuti dengan ujian darah, air kencing dan ujian-ujian yang lain. Keputusan ujian adalah rahsia antara  pesakit dan doktor. Doktor akan mengambil ujian sapuan di bahagian faraj atau penis (selalunya menggunakan putik kapas) dan akan dihantar ke makmal. Selain itu, pasangan pesakit juga perlu untuk menjalani pemeriksaan yang sama.

Golongan wanita



Sekiranya ketuat itu berada dalam faraj, pemeriksaan faraj juga akan dilakukan.

Golongan wanita juga disarankan untuk melakukan ujian pap smear iaitu ujian saringan untuk mengenalpasti kanser serviks.

Pap smear

  1. Semua wanita yang pernah melakukan hubungan seks dan berumur antara 20 – 65 tahun perlu menjalani ujian Pap Smear.
  2. Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, kecuali pada masa haid dan nifas. Sehari sebelum melakukan ujian Pap Smear, pastikan anda tidak melakukan hubungan seks dan menggunakan sebarang ubat di dalam faraj.
  3. Ujian Pap Smear dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks yang akan dimasukkan ke dalam faraj. Sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks dan kemudian dihantar ke makmal untuk diperiksa.
  4. Keputusan akan diperolehi selepas beberapa minggu melakukan ujian kerana pihak makmal harus memeriksa dengan teliti. Keputusan akan dimaklumkan secepat mungkin.
  5. Keputusan yang mungkin dimaklumkan adalah normal atau tidak normal. Jika tidak normal, anda akan dirujuk untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
  6. Sekiranya dua ujian pertama negatif, anda disarankan menjalani ujian Pap Smear untuk setiap 3 tahun sekali.

Rawatan


Ketuat ini biasanya akan hilang dengan sendiri. Namun, ketuat ini masih boleh berlaku semula kerana virus ini masih tinggal pada sel-sel badan. Ubat-ubatan akan diberikan untuk menghilangkan sakit dan mempercepatkan ketuat hilang.

Antara ubat-ubatan yang boleh diberikan adalah:

  • Imiquimod (Aldara)
  • Podophyllin dan podofilox (Condylox)
  • Trichloroacetic acid

Sekiranya ketuat tidak hilang selepas beberapa tempoh masa, prosedur berikut boleh dilakukan untuk membuang ketuat:

  • Electrocauterization (penggunaan haba eletrik untuk mematikan sel)
  • Laser
  • membekukannya dengan menggunakan cecair nitrogen
  • Dikorek keluar
  • Cryotherapy

Cara untuk mencegah ketuat kemaluan


Terdapat beberapa cara pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah ini. Ia adalah:

  • Hindari seks bebas
  • Sekiranya anda berusia 16 tahun dan ke bawah, melakukan hubungan seks adalah satu kesalahan walaupun dalam situasi suka sama suka. Lelaki tersebut boleh dikenakan tuduhan merogol
  • Lakukan seks secara selamat dengan menggunakan kondom
  • Setia pada seorang pasangan. Elakkan melakukan seks dengan pasangan yang ramai
  • Vaksinasi

Perbuatan Zina ditegah oleh Allah

Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Zhu, C., Wang, Y., Mao, W., Zhang, H., & Ma, J. (2019). Prevalence and distribution of HPV types in genital warts in Xi’an, China: a prospective study. BMJ open9(5), e023897.
  2. CDC: genital HPV infection
  3. CPG: Management of Cervical Cancer
  4. Healthline: Genital Warts
  5. Healthline: Sexually Transmitted Disease
  6. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: Apakah Maksud Ayat Jangan Dekati Zina
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 11 =