Skip to content

Lumpuh: Punca, Simptom dan Rawatan

Lumpuh merupakan satu keadaan dimana seseorang itu hilang fungsi di sebahagian badan. Ia boleh terjadi secara setempat atau di keseluruhan badan. Ia juga boleh terjadi secara sementara ataupun berkekalan. Selain itu, ia boleh dialami di mana-mana bahagian anggota badan. Jika seseorang yang mengalami lumpuh, kawasan yang terlibat juga mungkin tidak akan merasa sakit.

Rawatan dan kadar kesembuhan lumpuh bergantung kepada keadaan yang menyebabkan lumpuh tersebut berlaku dan juga tanda-tanda lain yang dialami. Di zaman moden ini, terdapat pelbagai rawatan dan terapi yang boleh membantu dalam merawat dan membina kekuatan otot setelah lumpuh.

Simptom

Tanda lumpuh selalunya mudah untuk dikenal pasti. Jika seseorang mengalami lumpuh, kawasan yang terlibat akan kehilangan fungsi secara spesifik ataupun secara keseluruhan badan. Ia juga bermaksud kawasan tersebut menjadi lemah dan tidak boleh dikawal.



Kadangkala, mereka yang mengalami kelumpuhan juga akan merasa kebas ataupun menyucuk sewaktu anggota badan tersebut mula untuk menjadi lumpuh. Lumpuh juga akan menyukarkan dan menghalang kebolehan untuk mengawal otot di kawasan anggota badan yang terlibat.

Periksa Simptom anda Di Sini

Jenis jenis lumpuh

1. Berdasarkan lokasi

Lumpuh yang berlaku secara setempat boleh dialami di muka dan di tangan. Lumpuh juga boleh berlaku pada beberapa bahagian badan tertentu seperti:

  • Monoplegia: hanya sebelah tangan atau kaki terkesan
  • Hemiplegia: hanya sebelah tangan dan sebelah kaki di bahagian badan yang sama terkesan
  • Paraplegia: kedua dua belah kaki terkesan
  • Quadriplegia atau tetraplegia: kedua-dua belah tangan dan kedua dua belah kaki terkesan

2. Keadaan



Jika anda mengalami lumpuh separa (Partial Paralysis), anda mungkin mempunyai sedikit kawalan terhadap otot-otot di bahagian badan yang terlibat. Jika anda mengalami lumpuh penuh (Complete Paralysis), anda langsung tidak dapat mengawal otot-otot di bahagian badan yang terlibat.

3. Tempoh

Seseorang juga boleh mengalami lumpuh secara sementara sahaja. Sebagai contohnya, dalam penyakit Bell’s palsy dimana anda mengalami lumpuh sementara di bahagian muka anda. Serangan angin ahmar juga boleh menyebabkan anda lumpuh sebahagian badan secara sementara. Dengan rawatan dan apabila masa beransur, anda akan memiliki kembali sedikit atau semua kawalan ke atas otot anda dari segi koordinasi dan ransangan.

Dalam kes-kes lain, anda mungkin mengalami lumpuh seumur hidup.

4. Lembik atau spastik

Lembik atau flaccid menjadikan otot anda mengecut dan menjadi lembik. Ia menyebabkan kelemahan otot. Lumpuh jenis spastik menyebabkan otot menjadi ketat dan keras. Ia boleh menyebabkan sebahagian kawasan bergerak gerak dan menjadi kejang.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca lumpuh

Dalam sesetengah keadaan, ada orang yang dilahirkan menjadi lumpuh. Dalam kebanyakan kes, mereka mengalami lumpuh kerana kemalangan ataupun masalah kesihatan lain.

Punca punca lain lumpuh ialah:



  • Cerebral palsy – Ia selalunya berlaku ketika dalam proses kelahiran yang bermasalah.
  • Post polio syndrome iaitu sejenis keadaan yang dialami setelah jangkitan polio
  • Kecederaan trauma pada otak
  • Neurofibromatosis iaitu ketumbuhan pada sistem saraf
  • Kecacatan sejak lahir
  • Multiple sclerosis – Ia dikatakan salah satu penyakit autoimun dimana sel pertahanan badan menyerang bahagian saraf menyebabkan seseorang itu lumpuh
  • Angin Ahmar

Ujian Pemeriksaan

Pengesahan masalah ini dibuat secara klinikal iaitu dengan cara doktor mengenal pasti kelemahan otot dan kehilangan fungsi otot. Bagi kawasan dalam badan yang sukar diterokai, doktor mungkin akan melakukan ujian Xray, CT scan dan MRI scan.

Jika anda mengalami lumpuh kerana kecederaan pada saraf tunjang atau tulang belakang, doktor akan melakukan ujian tambahan seperti myelography bagi memeriksa anda. Dalam prosedur tersebut, sejenis pewarna disuntik kedalam saraf tunjang bagi melihatnya dengan lebih jelas pada Xray. Doktor juga mungkin melakukan electromyelography di mana sensor digunakan bagi memeriksa aktivit elektrik dalam otot anda.

Rawatan lumpuh

Seperti dijelaskan tadi, rawatan masalah ini bergantung kepada punca lumpuh tersebut dan juga tanda lain yang mungkin anda alami.

Anda mungkin memerlukan:

  • Pembedahan terutamanya dalam kes kecederaan tulang belakang ataupun kecederaan otak
  • Terapi fizikal bagi membantu anda membina kekuatan otot
  • Terapi pekerjaan bagi melatih anda melakukan pekerjaan seharian dengan lebih mudah
  • Bantuan alat pergerakan seperti kerusi roda, tongkat dan sebagainya bagi memudahkan pergerakan anda

Kehidupan selepas lumpuh

Pesakit lumpuh akan dibantu oleh satu pasukan anggota kesihatan yang terdiri daripada doktor, jururawat, ahli fisioterapi dan ahli terapi carakerja.

Pesakit akan dibekalkan dengan alatan bantuan pergerakan seperti tongkat. Ahli fisioterapi akan melatih pesakit menggunakan alatan tersebut bagi memudahkan pergerakan pesakit. Manakala, ahli terapi pekerjaan pula akan membantu pesakit dengan pergerakan rutin seperti membutang baju, menyikat rambut dan makan menggunakan sudu.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan



  1. Paralysis. (2017). – Clevel and Clinic
  2. Paralysis. (2017). – NHS
  3. Stats about paralysis. (n.d.).
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + 5 =