Skip to content

Sakit Jantung: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah simptom dan rawatan untuk masalah sakit jantung?

Artikel ini akan menerangkan secara lengkap berkenaan sakit jantung, simptom-simptomnya dan cara rawatan.

Pengenalan

Sakit jantung adalah keadaan dimana pembuluh darah pada bahagian jantung tersumbat hingga menyebabkan kematian sel-sel otot pada bahagian jantung. Denyutan jantung boleh terhenti disebabkan perkara tersebut.

Serangan sakit jantung ataupun dalam istilah perubatannya ‘Acute Coronary Syndrome’ merupakan salah satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di Malaysia. Ia selalu dikaitkan dengan kematian yang berlaku secara tiba-tiba.


Simptom Sakit jantung

Simptom dan tanda yang selalu dialami oleh mereka yang mengalami serangan sakit jantung adalah:

  • Sakit dada pada bahagian sebelah kiri
  • Sakit dada merebak ke bahagian leher dan tangan kiri
  • Rasa sakit digambarkan seperti dada tersebut ditekan dengan kuat.
  • Berpeluh dengan banyak(Diaphoresis)
  • Sesak nafas
  • Rasa berdebar-debar
  • Pengsan ataupun rasa hendak pengsan


Bagi pesakit yang mempunyai kencing manis, kadang-kadang simptomnya tidak tipikal seperti sakit jantung biasa. Ada daripada mereka yang hanya mengadu sesak nafas sahaja tanpa mempunyai rasa sakit di dada.

Ada pula yang hanya berasa pedih ulu hati sahaja dan menyangka ia disebabkan masalah gastrik, sedangkan dia sedang mengalami serangan sakit jantung pada ketika itu. Perkara ini tejadi disebabkan kencing manis telah merosakkan saraf yang membawa maklumat sakit dikawasan tersebut.


Punca Sakit Jantung

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung berlaku. Ia adalah;

1. Umur

Mereka yang semakin meningkat umur akan semakin berisiko untuk menghadapi masalah ini

2. Jantina

Kajian membuktikan lelaki lebih berisiko untuk mengalami serangan sakit jantung berbanding golongan wanita

3. Sejarah Keluarga

Adik-beradik ataupun ibubapa yang mengalami serangan sakit jantung akan membuatkan anda berisiko untuk mengalami perkara yang sama

4. Merokok

Mereka yang merokok sangat berisiko untuk mengalami serangan sakit jantung. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat trend sakit jantung dikalangan individu yang masih muda disebabkan merokok walaupun mangsa tidak mempunyai kencing manis ataupun darah tinggi.

5. Kolesterol tinggi

Mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi mempunyai risiko untuk menghadapi masalah jantung. Ini disebabkan kolesterol yang banyak boleh menututupi saluran darah dibahagian jantung dan menyebabkan sakit jantung berlaku

6. Kencing Manis

Mereka yang mempunyai masalah kencing manis selalunya akan mempermudahkan lagi kolesterol terenap pada saluran darah dan menyebabkan saluran darah tersumbat

7. Tekanan darah tinggi

Tekanan darah yang tinggi boleh merosakan saluran darah. Ini menyebabkan kolesterol dalam darah terenap di salur darah hingga boleh menyebabkan salur darah tersumbat.

8. Kegagalan buah pinggang

Selalunya mereka yang mengalami masalah buah pinggang juga akan mengalami masalah tekanan darah. Ini kerana masalah buah pinggang akan menyebabkan darah tidak ditapis dengan berkesan

Oleh itu, anda perlulah memerhatikan faktor risiko ini terutamanya risiko yang boleh diubah. Sebagai contoh, jika anda merokok, anda boleh berhenti merokok untuk mengurangkan risiko tersebut.

Majoriti serangan sakit jantung adalah disebabkan masalah atherosclerosis iaitu penebalan saluran darah disebabkan terkumpulnya cholesterol dibahagian tersebut. 90% daripada serangan sakit jantung adalah berasal daripada thrombus iaitu darah beku.

Thrombus(Darah beku) terhasil apabila atherosclerosis plug pada saluran darah pecah. Atherosclerosis plug merupakan benjolan pada dinding saluran darah disebabkan pengumpulan kolesterol padanya. Apabila terdapat benjolan tersebut, tekanan pada saluran darah tersebut bertambah besar, maka ia akan senang pecah.

Apabila atherosclerosis plug tersebut pecah, secara automatiknya ia akan menyebabkan pembekuan darah berlaku dikawasan tersebut. Ini menyebabkan darah beku(thrombus) akan terhasil dan menutup saluran darah di jantung. Sel jantung selepas daripada sumbatan tersebut akan kekurangan oksigen dan mati. Inilah yang akan menghasilkan simptom sakit jantung

Faktor risiko yang boleh diubah
  • Kolesterol tinggi
  • Obes
  • Kencing manis
  • Darah tinggi
  • Merokok


Kesemua faktor risiko ini boleh diubah dan dirawat. Jika anda boleh mengawal kesemua faktor risiko di atas ini, maka kebarangkalian untuk anda terkena serangan sakit jantung adalah rendah.

Jenis Sakit Jantung

Serangan sakit jantung dipanggil sebagai ‘Acute Coronary Syndrome’ dalam istilah perubatan. Perlu diketahui bahawa serangan sakit jantung adalah satu istilah yang umum untuk mengambarkan sakit pada bahagian dada disebabkan masalah jantung.

Akan tetapi dalam perubatan ia dinamakan sebagai ‘acute coronary syndrome’ kerana masalah ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu.

  1. ST-Elevation Myocardial Infarction(STEMI)
  2. Non ST-Elevation myocardial infarction(NSTEMI)
  3. Unstable angina

1. ST-Elevation Myocardial Infarction(STEMI)

Ini adalah jenis sakit jantung yang paling berbahaya kerana ia melibatkan seluruh ketebalan otot jantung.

ST-elevation itu adalah penemuan yang dijumpai di dalam ECG. Jika pesakit mengalami sakit jantung jenis ini, pesakit perlu dirawat dengan kadar yang segera.

Jika tidak pesakit akan mengalami komplikasi yang teruk

2. Non ST-Elevation myocardial infarction(NSTEMI)

Dalam serangan sakit jantung jenis ini, ia tidak melibatkan seluruh ketebalan otot. NSTEMI tidak seteruk STEMI.

Masih perlu dirawat dengan segera tetapi komplikasinya tidak seteruk STEMI



3. Unstable Angina

Merupakan sakit jantung yang paling minima komplikasinya. Sumbatan pada salur darah hanya menyebabkan jantung pesakit mengalami ischemia(kekurangan oksigen) sahaja. Tidak sampai menyebabkan sel otot jantung mati.

Tetapi jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh bertukar kepada STEMI ataupun NSTEMI

Maksud Istilah ini

Myocardial

Myocardial adalah merujuk kepada myocardium iaitu otot jantung

Infarction

Infarction bermaksud kematian sel disebabkan kurangnya oksigen yang pergi ke kawasan tersebut. vOleh itu, myocardial infarction merujuk kepada kematian sel jantung disebabkan kurangnya oksigen

Angina

Angina pula bermaksud sakit dibahagian dada disebabkan kurangnya oksigen pergi ke bahagian otot jantung tersebut.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama:

Masalah GastrikKeradangan Pundi Hempedu
Acute PericarditisSerangan Panik
Kebocoran Paru-paru (Pneumothorax)Jangkitan Paru-Paru
Pulmonary EmbolismHipertiroid

Ujian Pemeriksaan

Terdapat beberapa penyiasatan yang dilakukan untuk mengesan masalah ini.

1. Electrocardiogram

Apabila seseorang pesakit datang dengan masalah sakit dada, sesak nafas, sakit ulu hati, dan berdebar-debar, doktor akan memeriksa gelombang jantung dengan menggunakan mesin ECG

Jenis gelombang yang ditunjukkan daripada mesin tersebut akan memberi gambaran apa yang sedang berlaku pada jantung sama ada terdapat serangan sakit jantung ataupun masalah lain.



2. Pengambilan sampel darah

Terdapat satu jenis ujian yang boleh mengesan protein yang dikeluarkan oleh otot jantung yang telah mati. Ujian ini akan mengesan Troponin T atau Creatine Kinase MB yang dikeluarkan oleh otot jantung.

Kehadiran Troponin T atau Creatine Kinase MB dalam darah menunjukkan pesakit sedang mengalami serangan sakit jantung pada ketika itu

Tujuan lain untuk ambil sampel darah adalah untuk melihat bilangan sel darah dalam badan, kandungan oksigen, fungsi hati dan buah pinggang dan sebagainya

3. X-ray

Jika pesakit disyaki mempunyai masalah lain seperti pneumothorax, pengimejan seperti x-ray dada perlu dibuat. Pneumothorax adalah pengumpulan udara dalam ruang diantara paru-paru dan dinding dada

X-ray juga boleh dibuat untuk mengetahui tahap serangan tersebut. Sakit jantung yang teruk akan menyebabkan air masuk ke dalam kawasan alveolar paru-paru menyebabkan paru-paru kelihatan putih lebih daripada biasa.

4. Angiogram

Angiogram adalah prosedur yang dibuat untuk mengesan sumbatan pada salur darah jantung. Dalam prosedur ini, doktor akan memasukkan wayar dari salur darah di peha dan ditolak sampai ke jantung. Di situ, sumbatan akan dikesan dengan menggunakan x-ray.

Setelah mengesahkan bilangan salur darah yang tersumbat, barulah rawatan akan ditentukan sama ada perlu meletakkan stent ataupun membuat bypass iaitu membuat satu pintasan saluran darah yang lain bagi memintas sumbatan yang berlaku




Rawatan Sakit Jantung

Apabila seseorang itu disahkan mengalami masalah ini, beberapa rawatan akan diberikan kepada pesakit iaitu

1. Oksigen

Oksigen akan diberikan kepada pesakit melalui tiub terus ke hidung. Ia berfungsi untuk menambah kandungan oksigen dalam darah supaya kawasan jantung yang kekurangan oksigen tersebut masih dapat oksigen yang mencukupi

2. Ubat anti-platlet(anti pembekuan darah)

Aspirin dan clopidogrel adalah ubat yang selalu digunakan untuk menghentikan pembekuan darah di jantung. Ia akan mengelakkan pembekuan darah tersebut menjadi lebih besar.

3. Ubat Glyceril Trinitrate(GTN)

Ubat ini adalah ubat yang selalu digunakan oleh pesakit yang mengalami serangan jantung di rumah. Cara ubat ini diambil adalah dengan meletakkannya di bawah lidah.

Ubat ini akan cair dan masuk ke dalam saluran darah dibawah lidah dan terus ke jantung. Fungsinya adalah membuatkan saluran darah jantung relaks dan lebih membesar. Ini akan membenarkan pengaliran darah mengalir dikawasan darah beku tersebut.

4. Suntikan Morfin

Morfin bertindak sebagai ubat tahan sakit dan juga ubat yang boleh membesarkan saluran darah di jantung. Ini akan membenarkan pengaliran darah di kawasan saluran darah yang tersumbat.

5. Rawatan untuk menghilangkan Sumbatan

Terdapat 2 cara yang dilakukan iaitu dengan kaedah

  • Percutenous Coronary Intervention(PCI)
  • Fibrinolysis

Dalam rawatan PCI, satu wayar dimasukkan daripada salur darah dibahagian peha. Wayar itu ditolak sehingga sampai ke salur darah bahagian jantung. Satu ‘stent’ iaitu objek berbentuk cincin akan diletakkan dikawasan tersebut. Ia akan dikembangkan dan membuka kawasan yang tersumbat tadi menyebabkan darah dapat bergerak seperti biasa.

Untuk rawatan ‘fibrinolysis’ pula ia melibatkan penggunaan ubat untuk mencairkan darah yang beku tadi. Akan tetapi ia juga mempunyai komplikasi seperti pendarah pada tempat yang lain seperti dibahagian otak, tekanan darah menjadi rendah dan beberapa komplikasi yang lain. Pesakit perlu diperhatikan secara dekat ketika melakukan prosedur ini.

Cara untuk mengelakkan Sakit Jantung

Seperti yang telah diterangkan di atas, sakit jantung adalah disebabkan beberapa faktor risiko. Cara utama untuk mengelakkan masalah ini adalah:

1. Kawal tekanan darah

Tekanan darah tinggi adalah punca utama kepada masalah jantung. Ia adalah penting untuk memeriksa tekanan darah secara berkala terutama mereka yang sudah berumur 40 tahun ke atas.

Ini kerana terdapat beberapa pesakit yang tidak mengetahui dia mempunyai penyakit tekanan darah tinggi ini sehinggalah dia mendapat sakit jantung.

Jika seseorang itu mempunyai tekanan darah tinggi, dia perlu mengambil ubat darah tinggi untuk mengawal tekanan darah tersebut.

2. Kawal kolesterol

Kolesterol tinggi boleh menyebabkan serangan sakit jantung. Perubahan dalam gaya hidup dan jenis permakanan boleh mengelakkan bacaan kolesterol menjadi tinggi.

Kolesterol boleh dikawal dengan cara bersenam, mengambil diet yang betul ataupun mengambil ubat kolesterol



3. Senaman yang berkala

Senamanan lebih daripada 90 minit dalam seminggu terbukti dapat mengurangkan kolesterol bahkan ia juga dapat mengurangkan risiko serangan sakit jantung.

4. Makan makanan yang sihat

Cara permakanan yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan Malaysia adalah dengan mengamalkan pinggan suku suku separuh. Dimana suku pinggan mempunyai makanan yang berasaskan karbohidrat seperti nasi atau mee hoon. Suku lagi adalah lauk dan separuh daripada pinggan adalah sayur.

Elakkan mengambil secara kerap makanan dan minuman yang manis. Ini kerana makanan ini boleh menyebabkan kencing manis dan kolesterol tinggi yang boleh berakhir dengan masalah jantung

5. Tangani stress

Stress atau tekanan yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kepada masalah ini. Oleh itu, belajar cara untuk menangani stress dengan teknik relaksasi.

Jika tidak mampu, boleh berjumpa dengan kaunselor untuk berceritakan masalah anda.



6. Pastikan dapat tidur yang cukup

Terdapat satu keadaan yang dinamakan sebagai Sleep Apnea dimana pesakit akan berhenti bernafas ketika dalam tidur disebabkan saluran pernafasannya tersumbat.

Perkara ini selalu terjadi bagi mereka yang berlebihan berat badan. Kajian kini menunjukkan mereka yang mengalami masalah sleep apnea ini meningkatkan risiko serangan sakit jantung.

Selalunya pasangan akan mengadu pesakit mempunyai dengkur yang kuat diikuti dengan tiba-tiba berhenti bernafas. Kemudian pesakit akan terbatuk atau terbangun daripada tidur disebabkan hendak bernafas.

Jika ada masalah ini, cepat-cepat berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca kepada masalah sleep apnea ini.

Komplikasi

Beberapa komplikasi boleh terjadi disebabkan penyakit ini. Ia adalah:

1. Ritma Jantung yang tidak normal

Selalunya ritma dan denyutan jantung berada pada julat waktu yang sama. Akan tetapi serangan sakit jantung akan mengganggu laluan maklumat di dalam jantung menyebabkan denyutan jantung tidak mengikut ritma yang normal dan berubah-ubah.

Perkara ini akan menyebabkan aliran darah di dalam jantung menjadi tidak normal dan boleh menyebabkan pembekuan darah didalam jantung. Darah yang beku ini pula boleh kebahagian otak dan menyebabkan angin ahmar(stroke).



2. Dinding jantung yang pecah(ventricular septal rupture)

Ketika dinding bahagian tengah jantung pecah, ia akan menyebabkan darah daripada sebelah kiri yang membawa oksigen bercampur dengan darah di sebelah kanan yang membawa darah yang kurang oksigen.

Akhirnya, pesakit akan sesak nafas disebabkan kekurangan oksigen dalam darah

3. Dinding jantung membesar (Left ventricular aneurysm)

Apabila jantung membesar, ia akan menghasilkan pengaliran darah yang tidak sekata di kawasan tersebut. Ini juga akan menghasilkan darah beku yang akan menyumbati kawasan salur darah yang lain.

Penyakit Lain yang Berkaitan Jantung

Jantung BengkakSakit Jantung
Jantung BerdebarLemah Jantung
Jantung Berlubang

Rujukan:

  1. Amsterdam EA, Wenger NK, Brindis RG, Casey DE Jr, Ganiats TG, Holmes DR Jr, et al. 2014 AHA/ACC guideline for the management of patients with non-ST-elevation acute coronary syndromes: a report of the American College of Cardiology/American Heart Association Task Force on Practice Guidelines. Circulation. 2014 Dec 23. 130 (25):e344-426.
  2. Costa e Silva R, Pellanda L, Portal V, Maciel P, Furquim A, Schaan B. Transdisciplinary approach to the follow-up of patients after myocardial infarction. Clinics (Sao Paulo). 2008 Aug. 63 (4):489-96.
  3. Wang JC, Normand SL, Mauri L, Kuntz RE. Coronary artery spatial distribution of acute myocardial infarction occlusions. Circulation. 2004 Jul 20. 110(3):278-84
  4. Levi F, Lucchini F, Negri E, La Vecchia C. Trends in mortality from cardiovascular and cerebrovascular diseases in Europe and other areas of the world. Heart. 2002 Aug. 88 (2):119-24.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × three =