Skip to content

Ubat Erythromycin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat antibiotik erythromycin dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat ini, dos dan kesan sampingannya pada kesihatan badan.

Kegunaan

Erythromycin merupakan antibiotik kumpulan macrolide. Antibiotik seperti azithromycin dan clarithromycin juga berada didalam kumpulan yang sama. Erythromycin boleh digunakan bagi merawat pelbagai penyakit yang berpunca daripada jangkitan bakteria termasuk jangkitan sistem pernafasan, jangkitan pada kulit dan tisu lembut, jangkitan mata seperti konjunktivitis, serta boleh juga digunakan sebagai rawatan profilaksis bagi menghalang daripada mendapat jangkitan terutama dalam prosedur pembedahan.

Antibiotik erythromycin boleh diambil secara :

  • Melalui mulut dan juga intravenous(Iaitu suntik terus dalam salur darah) bagi rawatan profilaksis untuk jangkitan melibatkan pembedahan, jangkitan sistem pernafasan, jangkitan pada kulit dan tisu lembut, serta jangkitan organisma gram negatif dan positif yang terkesan
  • ophthalmic iaitu melalui mata bagi rawatan profilaksis bagi konjunktivitis pada bayi yang baru dilahirkan (neonatal conjunctivitis) dan jangkitan mata yang ringan
  • topical atau cutaneous dimana ianya digunakan pada permukaan badan seperti kulit atau membran mukus. Sebagai contoh erythromycin digunakan bagi merawat masalah jerawat jenis acne vulgaris.


Pengambilan erythromycin perlu diambil ketika perut kosong. Disyorkan 2 jam sebelum makan atau sekurang-kurangnya 30 minit sebelum makan.

Penyimpanan

Setiap ubat haruslah disimpan di tempat yang selamat dan mudah dicari, disimpan dalam bekas ubat yang asal tanpa menanggalkan label asal ubat, dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Ubat juga haruslah disimpan mengikut suhu yang disarankan. Bagi antibiotik erythromycin, suhu yang disarankan adalah antara 20-25’C.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Ubat Berfungsi

Antibiotik kumpulan macrolide seperti erythromycin, azithromycin dan clarithromycin bertindak dengan menghalang pertumbuhan bakteria juga dipanggil sebagai bacteriostatic. Erythromycin menghalang pertumbuhan bakteria dengan menghalang proses penghasilan protein dalam bakteria tersebut. Ianya dengan mengikat pada subunit 50s ribosom pada bakteria.

Proses penyerapan antibiotik erythromycin adalah pelbagai disebabkan oleh ketidakstabilan asid didalam perut. Namun, waktu puncak kepekatan erythromycin dalam darah antara 1 hingga 4 jam. Ianya dimetabolisasi di hati dan disingkirkan melalui najis dan air kencing.

Kesan Sampingan

Terdapat pelbagai kesan sampingan antibiotik erythromycin melibatkan beberapa sistem badan. Antaranya termasuk :

  • Umum : demam, rasa lemah
  • Sistem gastrousus : loya, muntah, sakit perut, cirit-birit
  • Kulit dan tisu subkutaneus : kulit menjadi gatal, ruam, dan bengkak atau kulit menjadi terbakar, mengelupas, merah dan kering pada kawasan penggunaan antibiotik erythromycin topikal
  • Sistem jantung : sakit dada, degupan jantung terasa laju
  • Sistem salur darah : tekanan darah menjadi rendah
  • Kesan sampingan lain termasuk reaksi alahan, sawan, masalah pada buah pinggan dan juga hati

Peringatan



Sebelum mengambil erythromycin, anda hendaklah mengambil kira sebarang alahan dan perlu dimaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi. Sejarah perubatan seperti masalah buah pinggang, hati, dan jantung juga perlu mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu.

Selain itu, erythromycin juga tidak disyorkan bagi wanita mengandung, wanita yang menyusukan anak dan kanak – kanak berumur kurang daripada 12 tahun. Namun, perbandingan risiko dan manfaat bagi setiap penyakit dan rawatan haruslah dibuat oleh doktor perubatan terlebih dahulu.

Interaksi Antara Ubat

Tersebut merupakan beberapa ubat yang mempunyai interaksi dengan erythromycin. Antaranya ialah:

  • Pengambilan bersama veramil, diltiazem dan amlodipine (ubat tekanan darah tinggi atau penyakit jantung) boleh meningkatkan risiko tekanan darah rendah
  • Erythromycin boleh meningkatkan kepekatan ubat colchicine (ubat gout) dalam darah
  • Mengurangkan keberkesanan pil pencegah kehamilan
  • Meningkatkan risiko kerosakan otot (rhabdomyolysis) dengan pengambilan bersama simvastatin dan lovastatin
  • Menambah risiko penyakit jantung dengan pengambilan bersama astemizole, terfenadine, pimozide, tolterodine, mizolastine, amisulpride

Kesan Terlebih Dos

Sekiranya anda mengambil berlebihan dos erythromycin, anda hendaklah berhenti mengambil erythromycin. Hubungi doktor anda dengan segera atau pergi ke Jabatan Kecemasan hospital berdekatan. Hal ini perlu dilakukan walaupun anda tidak mengalami sebarang kesan keracunan atau tidak selesa. Perhatian daripada doktor perubatan adalah diperlukan sekiranya terambil dos berlebihan.

Sekiranya anda terlupa untuk mengambil dos yang ditentukan, anda hendaklah mengambil dos yang seterusnya seperti biasa. Elakkan daripada mengambil dos berganda bagi menggantikan dos yang telah tertinggal.

Pengambilan antibiotic mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor perubatan atau ahli farmasi adalah penting, bagi mengelakkan masalah rintangan antibiotik apabila dos tidak dihabiskan dan keracunan apabila berlebihan.

Rujukan :

  1. Overview of Antibiotic Therapy – Amboss
  2. Erythromycin info – mims.com
  3. Penyimpanan Ubat Yang Betul
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − 5 =