Skip to content

Keradangan Sinus: Punca, Simptom dan Cara Rawatan

Sinusitis selalu dipanggil sebagai penyakit sinus oleh masyarakat kita. Ia selalu dikaitkan dengan penyakit resdung walaupun majoritinya tiada kaitan dengan resdung(allergic rhinitis). Di dalam masalah ini, ia melibatkan keradangan lapisan yang menyelaputi ruang sinus dalam tengkorak manusia.

Disebabkan keradangan pada bahagian tersebut, selalunya pesakit akan mengadu sakit dibahagian muka bergantung kepada lokasi sinus yang terlibat

Istilah perubatan

Sinus: Adalah ruang kosong yang terdapat di bahagian tengkorak muka. Ia boleh dibahagikan kepada 4 lokasi iaitu sinus maxillary, sinus frontal, sinus ethmoidal dan sinus sphenoid
Sinusitis: Adalah radang pada lapisan yang menyelaputi ruang sinus
Rhinitis: Adalah radang pada lapisan yang menyelaputi bahagian dalam hidung hingga menyebabkan simptom hidung berair dan hidung tersumbat
Rhinosinusittis: adalah kombinasi rhinitis dan sinusitis

Masalah Sinus



Sinusitis ataupun keradangan sinus adalah penyakit yang melibatkan keradangan pada lapisan yang menyelaputi rongga sinus. Sinus pula adalah rongga yang terletak pada tengkorak bahagian muka.

Sinus mempunyai beberapa fungsi iaitu:

  • Mengurangkan berat tengkorak
  • Meningkatkan kekuatan suara
  • Melembabkan dan menghangatkan udara yang disedut ketika bernafas
  • Melawan jangkitan kuman

Disebabkan penyakit sinusitis pun akan diikuti dengan simptom rhinitis iaitu hidung berair. Oleh itu, istilah yang lebih tepat untuk penyakit ini adalah ‘rhinosinusitis’.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Anatomi sinus

Sinus adalah rongga bahagian tengkorak yang terdiri daripada 4 bahagian merujuk kepada lokasi rongga tersebut. Ia adalah:

  • sinus maxillary
  • sinus frontal
  • sinus ethmoidal
  • sinus sphenoid

Permukaan sinus dilapisi oleh satu lapisan sel yang mempunyai sel goblet yang akan mengeluarkan mukus(bendalir seperti hingus). Ia berfungsi untuk memerangkap habuk ataupun benda asing yang masuk melalui rongga hidung.



Lapisan sel tersebut juga mempunyai ‘Cilia’ berupa rambut halus yang boleh bergerak untuk menolak mukus keluar daripada rongga sinus masuk ke dalam ruang hidung melalui satu lubang yang dipanggil sebagai ‘ostia’

Fungsi rongga telah diterangkan di atas iaitu untuk mengurangkan berat tengkorak, meningkatkan kekuatan suara, melembabkan dan menghangatkan udara yang disedut ketika bernafas dan untuk melawan jangkitan kuman

Bagaimana Masalah Sinus berlaku?

Penyakit sinusitis ini mempunyai 3 faktor yang menyebabkan jangkitan kuman di dalam rongga ini. Ianya adalah:

  1. Sumbatan yang berlaku pada lubang ostia
  2.  Pergerakkan cilia yang terganggu
  3. Kuantiti dan kualiti mukus yang terganggu

1. Sumbatan yang berlaku pada lubang ostia

Sumbatan yang berlaku pada lubang ostia boleh disebabkan lapisan yang melapisi sinus menjadi bengkak disebabkan jangkitan kuman ataupun trauma. Sumbatan juga boleh berlaku disebabkan polip hidung, ketumbuhan balam rongga hidung dan benda asing yang menutupi lubang ostia.

Apabila lubang ostia tertutup, mukus di dalam rongga tersebut tidak dapat dikeluarkan lagi. Lalu ia menjadi perumah yang sesuai untuk pembiakan bakteria dan menyebabkan keradangan di dalam rongga sinus.

2. Pergerakkan Cilia yang terganggu

Apa-apa perkara yang mengganggu fungsi cilia akan menyebabkan terkumpulnya cecair di dalam sinus. Fungsi cilia boleh terganggu apabila adanya:



  • Jangkitan kuman
  • Bahan yang toksin terhadap sel cilia
  • Penyakit Kartagener sindrome
  • Asap rokok

3. Kuantiti dan kualiti mukus yang terganggu

Jika mukus yang dihasilkan lebih likat sebagai contohnya dalam penyakit cystic fibrosis, ia akan menyebabkan pergerakkan mukus untuk dikeluarkan daripada sinus menjadi sedikit lambat.

Manakala jikalau, penghasilan mukus terlampau banyak pula, ia juga menyebabkan cilia semakin banyak kerja untuk mengeluarkan mukus tersebut.

Kedua-dua perkara ini akan memberi peluang kepada kuman untuk menjangkiti kawasan rongga sinus dan seterusnya menyebabkan penyakit sinusitis

Prognosis

Selalunya sinusitis sendiri tidak menyebabkan kematian. Tetapi jika ianya terlampau teruk, ia boleh menyebabkan komplikasi dan jarang-jarang membawa kepada kematian

Lebih kurang 40% kes sinusitis boleh baik dengan sendirinya tanpa bantuan antibiotik. Kes sinusitis yang baik sendiri ini selalunya disebabkan jangkitan virus. Manakala selebihnya itu adalah disebabkan jangkitan bakteria yang memerlukan antibiotik

Jika selepas 5-10 hari, simptom masih ada ataupun semakin bertambah teruk, pemeriksaan perlu dilakukan balik semula. Ini kerana pesakit mungkin memerlukan antibiotik ataupun antibiotik yang sedia ada perlu ditukar. Penyakit Sinusitis yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.

Simptom

Diagnosa kepada penyakit ini dapat dibuat secara klinikal. Ini bermaksud doktor boleh mengatakan kita mempunyai sinusitis dengan hanya bertanyakan simptom dan juga memeriksa pesakit. Simptom yang dihadapi oleh pesakit sinusitis adalah:



  • Sakit dibahagian muka terutamanya apabila ditekan
  • Sakit itu semakin teruk jika muka diletakkan dalam posisi menunduk
  • Sakit kepala
  • Selesema
  • Demam
  • Batuk
  • Rasa letih
  • Nanah yang keluar bersama dengan hingus

Periksa Simptom anda Di Sini

Komplikasi

Beberapa komplikasi yang boleh berlaku dalam penyakit ini adalah:

  • Osteomylitis: Jangkitan kuman pada bahagian tulang. Dalam masalah ini, jangkitan kuman pada tulang di bahagian muka
  • Nanah pada bahagian mata
  • Meningitis: Jangkitan kuman pada selaput otak
  • Nanah yang terbentuk dalam otak

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama iaitu:

Penyiasatan

Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah sinusitis, ia tidak memerlukan pengambilan sampel darah mahupun pengimejan seperti x-ray mahupun CT-scan. Cukup dengan mengambil sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal boleh membuatkan seseorang doktor mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah sinusitis ataupun tidak

Simptom-simptom tersebut adalah selesema, demam dan sakit dibahagian muka selama beberapa hari berserta hingus yang mengandungi nanah.

Pengambilan darah seperti Erythrocyte Sedimentation Rate bersama C-Reactive protein boleh diambil untuk membezakan sama ada ia jangkitan bakteria ataupun jangkitan virus.

X-ray juga boleh dilakukan hanya untuk mengesahkan bahawa penyakit tersebut adalah sinusitis

Pengimejan seperti CT-scan pula perlu jika pesakit mempunyai komplikasi dan juga untuk melihat penyebab yang lain seperti ketumbuhan, polip hidung dan sebagainnya.



Rawatan

Sesiapa yang mempunyai simptom yang telah diterangkan perlulah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Rawatan memerlukan beberapa jenis ubat yang hanya boleh disahkan oleh pihak doktor kerana ia mungkin melibatkan penggunaan antibiotik dan steroid.

Sebanyak 40% daripada pesakit yang mengalami sinusitis boleh baik dengan sendirinya. Ini disebabkan ia dijangkiti dengan kuman jenis virus dan sistem imun badan akan melawannya dengan sendiri.

Untuk pesakit ini, cukup rawatan sokongan sahaja seperti:

  • Penggunaan ubat tahan sakit
  • Berhenti merokok
  • Ubat titis hidung seperti Oxymetazoline boleh digunakan untuk mengurangkan pembengkakan lapisan mukosa yang menyelaputi saluran hidung dan sinus seterusnya mengurangkan simptom hidung berair. Ia tidak boleh digunakan lebih daripada 3 hari

Penggunaan ubat anti-histamine dalam penyakit sinusitis adalah tidak membantu.

Penggunaan Antibiotik

Ada beberapa garis panduan untuk rawatan antibiotik bagi sinusitis. Garis panduan tersebut ada menyatakan

  • Boleh tunggu 5-10 hari simptom sinusitis. Jika simptom telah lebih daripada itu, barulah antibiotik diberikan
  • Selain daripada itu, antibiotik juga boleh diberikan jika permulaan simptom sinusitis adalah teruk ataupun simptom sinusitis semakin teruk. Sebagai contoh, jika sakit dibahagian muka semakin teruk, hidung mengeluar hingus yang mempunyai nanah dan demam yang tinggi.
  • Apa-apa pun, rawatan untuk memulakan antibiotik adalah bergantung kepada seseorang doktor. Jika anda mempunyai persoalan kenapa antibiotik diberikan, anda boleh bertanyakan terus kepada doktor tersebut.

Pembedahan pula hanya akan dilakukan jika sinusitis sangat kerap berlaku.

Periksa Simptom anda Di Sini



Rujukan:

  1. Slavin RG, Spector SL, Bernstein IL, Kaliner MA, Kennedy DW, Virant FS, et al. The diagnosis and management of sinusitis: a practice parameter update. J Allergy Clin Immunol. 2005 Dec. 116(6 Suppl):S13-47.
  2. McQuillan L, Crane LA, Kempe A. Diagnosis and management of acute sinusitis by pediatricians. Pediatrics. 2009 Feb. 123(2):e193-8
  3. Kaplan A. Canadian guidelines for acute bacterial rhinosinusitis: clinical summary. Can Fam Physician. 2014 Mar. 60 (3):227-34.
  4. National Guidelines Clearinghouse. Clinical practice guideline: adult sinusitis. National Guidelines Clearinghouse. Accessed: September 29, 2010
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × five =