Skip to content

Penyakit Malu Patologikal – Social Anxiety Disorder (SAD)

Pernahkah anda merasa malu yang teramat sehingga membuatkan muka anda berubah merah semerah buah tomato?

Bagi kebanyakan individu normal, keadaan seperti diatas adalah perkara biasa sekiranya secara tidak sengaja melakukan sesuatu perkara yang memalukan di khalayak ramai. Dan ia pula bukanlah satu keadaan yang berlaku setiap hari pada kebanyakan kita.

Namun tahukah anda bahawa bagi para penghidap penyakit malu patologikal, mereka terpaksa menghadapi keadaan tersebut setiap hari dalam hidup mereka? Ya. Dan ia amatlah perit!

Apa itu Social Anxiety Disorder (SAD)?



Malu patologikal adalah satu masalah psikologi berkait rapat dengan masalah Social Anxiety Disorder (SAD) atau dalam bahasa kebangsaan kita panggil sebagai Gangguan Kebimbangan Sosial. SAD juga dikenali dengan nama fobia sosial atau social phobia.

Orang yang mempunyai masalah SAD ini berasa terlalu takut sekiranya mereka melakukan sesuatu yang bodoh dan memalukan di hadapan orang lain seperti blushing  secara spontan atau wajah menjadi merah disebabkan oleh perasaan malu secara tiba-tiba walaupun dengan melakukan perkara yang dianggap tidaklah memalukan langsung.

Penghidap masalah ini akan berasa takut untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Mereka akan berasa fobia dan merasa gusar untuk berinteraksi dengan masyarakat kerana mereka takut dengan persepsi buruk orang lain terhadap mereka. Masalah ini adalah masalah kronik dan tidak akan sembuh dengan sendiri melainkan dengan terapi tingkahlaku kognitif dan melalui pendekatan terapi ubat-ubatan jika perlu.

Prevalens

Masalah ini sebenarnya bukanlah perkara ganjil dan rare. Ia biasanya berlaku pada golongan wanita namun golongan lelaki juga tidak terkecuali. Keadaan ini berlaku hampir sebanyak 12% daripada populasi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Diagnosa

Anda akan didiagnos mengalami masalah ini apabila ;

  • Rasa takut berterusan lebih daripada 6 bulan setiap kali berada dalam kelompok orang ramai.
  • Kebimbangan yang ekstrem sehingga mengganggu fungsi dan kehidupan seharian si penghidap.
  • Gejala-gejala ini bukan disebabkan oleh masalah perubatan.


Selain itu, terdapat satu lagi kaedah yang digunakan iaitu ;
MINI-SPIN (Mini Social Phobia Inventory)
– Amat sensitif dalam 90% pengesanan kes SAD yang mengandungi beberapa soalan psikologi yang perlu dijawab oleh pesakit.

Punca

SAD adalah masalah psikologi yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti;

  1. Genetik
  2. Pengalaman masa lampau :
    • Penderaan emosi dan fizikal pada kanak-kanak
    • Sikap ibu bapa yang terlalu mengawal
    • Buli
  3. Amygdala (satu bahagian otak yang mengawal respon ketakutan) – yang bertindak terlebih aktif daripada normal

Periksa Simptom anda Di Sini

Gejala

Para penghidap masalah ini sangat mudah untuk merasa malu walaupun untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya dimalukan. Ianya termasuklah;

  • Makan di khalayak ramai
  • Bercakap dengan individu berlainan jantina
  • Wajah mereka mungkin sahaja tiba-tiba bertukar kemerahan walaupun dengan hanya mendukung anak kecil atau ketika membantu seorang nenek tua di jalanan
  • Bertemu dengan individu berpengaruh, terkenal dan disegani
  • Apa sahaja aktiviti yang membuatkan si penghidap menjadi tumpuan orang ramai seperti sesi pembentangan dan pengucapan awam yang memerlukan si penghidap naik ke pentas
  • Bahkan, hanya dengan berada dalam kelompok orang ramai sahaja sudah mampu membuatkan si penghidap merasa malu dan tidak senang duduk seperti dalam majlis kenduri kahwin dan sebagainya ibarat cacing kepanasan.

Contoh-contoh diatas hanyalah cebisan dari beratus lagi situasi yang tidak masuk akal untuk si penghidap itu merasa malu. Namun begitu, tidak semua penghidap akan mengalami kesan yang sama pada setiap situasi. Masing-masing akan menunjukkan reaksi yang berlainan bagi situasi berlainan.

Apa yang membuatkan situasi itu semakin parah adalah orang-orang sekeliling dengan mudah dapat melihat betapa si penghidap tidak mampu menyembunyikan perasaan malu mereka. Ini kerana si penghidap akan menzahirkan tanda-tanda malu seperti muka menjadi merah padam (blushing), gugup, tidak berkeyakinan, berpeluh-peluh, pucat, terketar-ketar dan mulut kering.

Apa yang perlu diketahui adalah, gejala-gejala yang disebutkan tadi akan timbul secara spontan tanpa dapat dikawal oleh si penghidap walaupun mereka berusaha sedaya upaya mengawalnya. Gejala-gejala ini akan timbul dan berterusan selama beberapa saat sehingga minit bergantung pada situasi.
Semakin memalukan, maka semakin lama gejala itu berterusan dan akan hilang dengan sendiri apabila si penghidap berasa tenang atau fokus kepada perkara lain yang boleh membuatkannya lupa kepada ransangan berkaitan.

Walaupun gejala timbul hanya beberapa ketika, namun ianya cukup menyeksakan buat si penghidap apatah lagi apabila orang sekeliling perasan akan perubahan pada riak wajah si penghidap dan ditambah pula dengan soalan-soalan sumbang seperti,



“ kenapa muka kau tiba-tiba merah?”
“ kau malu dengan siapa?”
“ tengok tu muka dia dah merah, mesti dia ada perasaan dengan awek tu!”
“ ko ni loser la bro, sikit-sikit malu hahahaha ”

Hal inilah yang akan membuatkan si penghidap menjadi fobia dan dilihat sebagai seorang yang suka menyendiri dan tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka risau akan memperbodohkan diri sendiri di hadapan orang lain dan menjadi resah bila memikirkan apabila wajah mereka tiba-tiba bertukar merah pada waktu yang tidak sepatutnya. Perasaan fobia ini dikenali sebagai erythrophobia atau chronic blushing.

Perkara ini sesungguhnya satu bebanan buat si penghidap kerana bukan sahaja memberi tekanan emosi malahan boleh membantutkan potensi diri mereka dek kerana rasa rendah diri, tiada keyakinan dan merasa takut dengan pandangan serong masyarakat terutama ahli keluarga dan sahabat handai.

Rawatan Malu Patologikal

Terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit. Namun, kesembuhan adalah bergantung pada komitmen pesakit itu sendiri kerana rawatan ini memerlukan masa yang agak panjang untuk menunjukkan kesan. Antaranya ialah ;

1. Rawatan Psikologi –

• Terapi tingkahlaku kognitif seperti latihan kemahiran sosial

• Interpersonal psychotherapy (IPT)

Terdapat 3 fasa dalam rawatan ini iaitu ;



  1. Fasa pertama : Pesakit harus melihat penyakit ini sebagai satu penyakit yang boleh dirawat dan bukan satu kelemahan diri.
  2. Fasa kedua : Ahli terapi bekerjasama dengan pesakit untuk mengenalpasti punca dan membantu dalam memberi galakan agar pesakit membina hubungan sosial yang rapat dengan orang lain.
  3. Fasa ketiga : Menilai sejauh mana peekembangan terapi. Bersedia untuk menghadapi cabaran dalam dunia sebenar.

2. Rawatan Terapi Ubat –
Selective Serotonin Reuptake Inhibitors (SSRI) seperti escitalopram

Kesimpulan

Dari Abu Mas’ud Al-Badri r.a berkata bahawa Rasul bersabda: “Sesungguhnya diantara kata-kata kenabian terdahulu yang masih teringat oleh masyarakat adalah: ‘Jika kamu sudah tidak memiliki rasa malu maka kamu akan berbuat semahumu’.”
(Hadis Riwayat Al Bukhari)

Setiap dari kita sememangnya memiliki sifat malu iaitu sifat fitrah bagi manusia. Tanpanya, seseorang individu itu akan berani melakukan apa-apa sahaja walaupun perbuatan itu bertentangan dengan nilai-nilai norma sebagai seorang manusia bertamadun bersesuaian dengan beberapa lagi hadis lain dari Baginda Nabi S.A.W.

Namun begitu, tidaklah artikel ini ditulis untuk menyanggah hadis nabi tersebut melainkan sebagai satu perkongsian ikhlas untuk mendalami apa itu penyakit malu patologikal sebagai salah satu manifestasi dari masalah Social Anxiety Disorder (SAD).

Didalam Islam, tidaklah sesuatu yang berlebihan itu mendatangkan kebaikan melainkan hanya mendatangkan kemudharatan. Begitu jugalah dalam konteks perasaan malu. Apabila perasaan malu itu berlebihan sehingga mendatangkan mudharat pada individu, maka seharusnya ia diberi perhatian dan hendaklah dirawat.

Apa yang berlaku, kebanyakan pesakit cukup malu untuk mendapatkan rawatan, apatah lagi bercakap mengenai masalah ini kepada orang lain mahupun orang terdekat kerana anggapan bahawa hanya mereka yang mengalami masalah tersebut. Masyarakat juga haruslah cuba memahami kesengsaraan emosi yang dialami pesakit dan berhentilah memberi stigma yang buruk kepada pesakit yang mempunyai Social Anxiety Disorder (SAD).

*Penulis merupakan salah seorang penghidap SAD.

Bacaan seterusnya: Penyakit Cemburu Patologikal



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Dr. Sumeet Kaur – Penyakit Malu Patologikal: Lebih Daripada Sekadar Yang Kelihatan?. Retrieved Nov 16, 2017 from Malaysia Medical Gazette
  2. Social Anciety Disorder – The British Psychological Society & The Royal College of Psychiatrists, 2013. Retrieved Nov 17, 2017
  3. Thomas A. Richards, Ph.D., Psychologist President, Social Anxiety Association. Social Anxiety Fact Sheet: What is Social Anxiety Disorder? Symptoms, Treatment, Prevalence, Medications, Insight, Prognosis. Retrieved Nov 16, 2017
  4. What Is Social Anxiety Disorder? WebMd ( Jan 21, 2017 ) Retrieved Nov 17, 2017
  5. Featured image dari smartgirlsgroup.com
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + 15 =