Skip to content

Hipertiroid boleh menyebabkan serangan panik

Seorang pesakit datang ke klinik disebabkan masalah serangan panik(Panik attack).

Pesakit telah beberapa kali datang ke klinik dan juga jabatan kecemasan sebelum ini disebabkan masalah yang sama.

Pada ketika itu, dada tiba-tiba menjadi berdebar-debar, pernafasan menjadi sesak. Jadi pesakit terpaksa bernafas dengan laju seolah-olah nyawa dihujung tanduk.



Apabila oksigen dalam badan di periksa dengan menggunakan mesin pulse oximetry, ia menunjukkan bacaan 99%. Bacaan yang normal adalah lebih daripada 95%.

Tetapi pesakit tidak mampu mengawal pernafasannya. Dia masih bernafas dengan laju. Ini menyebabkan lebih banyak karbon dioksida disingkir daripada badan. pH darah meningkat sehingga menjadi alkali disebabkan pembuangan karbon dioksida ini.

Ini membawa kepada simptom yang lain iaitu pesakit berasa pening, tangan menjadi kebas kemudian tangan menjadi kejang. Ini adalah salah satu simptom serangan panik yang selalu berlaku pada pesakit.

Kebanyakan pesakit selalunya mengalami gastrik atau GERD yang teruk sebelum serangan ini berlaku. Sebab itu selalunya di jabatan kecemasan, mereka akan memberikan Syrup MMT untuk meredakan serangan gastrik yang berlaku ketika itu.

Tetapi lain pula bagi seorang pesakit ini. Pesakit datang berkali-kali ke jabatan kecemasan dan juga klinik disebabkan masalah yang sama. Walaupun ubat gastrik telah pesakit makan di rumah, tetapi ia masih berlaku berkali-kali. Ingat nak rujuk ke bahagian Psiakitri je disebabkan masalah ini kerap berlaku.



Tetapi saya perasan yang denyutan nadi pesakit selalunya lebih daripada 100 kali dalam seminit.

Tangan pula menggeletar secara halus(fine tremor) apabila diperiksa. Refleks kaki lebih kuat sedikit daripada biasa.

Daripada segi buang air besar dan berat badan adalah seperti biasa. Selalunya kalau mereka yang ada masalah hipertiroid yang teruk akan mengalami cirit birit dan juga berat badan yang berkurangan.

Jadi aku pun syak pesakit mungkin mengalami masalah hipertiroid yang boleh menyebabkan serangan panik.

Darah diambil untuk menguji tahap hormon tiroid di dalam badan. Selalunya keputusan darah ini mengambil masa 1 bulan untuk siap.

Tapi sebelum sampai sebulan tu, aku mulakan ubat propanol terlebih dahulu untuk mengawal denyutan jantungnya dan lihat dalam seminggu.
Selepas seminggu, denyutan jantung sudah kurang daripada 100 kali per minit dan pesakit pun merasakan dadanya sudah kurang berdebar-debar berbanding sebelum ini.

Untuk pengetahuian, ubat propanolol ini adalah sejenis beta blocker. Ia berfungsi sebagai ubat tekanan darah tinggi dan juga boleh berfungsi untuk mengurangkan denyutan nadi terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah hipertiroid.

Sebulan telah berlalu, keputusan hormon tiroid telah pun siap dan ia menunjukkan bacaan hormon tiroid(T4) yang tinggi.



Pesakit mula diberikan ubat hipertiroid iaitu carbimazole untuk mengurangkan hormon tiroid yang berlebihan tersebut dan sejak dari itu serangan paniknya tiada dan tiada lagi rasa berdebar yang teruk.

Kesimpulannya, salah satu punca serangan panik yang teruk adalah disebabkan masalah hipertiroid.

ARTIKEL BERKAITAN: HIPERTIROID

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − eight =