Skip to content

Jerawat Muka: Punca, Simptom dan Cara Rawatan

Jerawat muka adalah salah satu masalah yang selalu berlaku pada mereka yang sedang meningkat kepada usia remaja. Masalah ini juga dipanggil sebagai Acne Vulgaris. Masalah ini merupakan salah satu mimpi ngeri bagi remaja kerana pada ketika ini remaja sangat mementingkan penampilan mereka dihadapan orang lain terutamanya pada yang berlainan jantina.

Ketika seseorang itu mencapai remaja, badan akan menghasilkan beberapa jenis hormon reproduktif untuk membantuk dalam perkembangan organ reproduktif. Namun, pada ketika ini ia juga akan menyebabkan kulit lebih berminyak hingga menyebabkan jerawat lebih mudah berlaku.

Walaupun begitu, masalah jerawat ini juga boleh berlaku pada mereka yang sudah dewasa.

Apakah masalah jerawat muka?



Seperti yang dikatakan diatas, jerawat iaitu Acne vulgaris merupakan salah satu masalah kulit yang kerap berlaku dikalangan remaja. Perkara ini berlaku disebabkan sumbatan pada liang roma kulit. Ini akan menyebabkan sebum yang dihasilkan daripada liang tersebut terkumpul di dalam kawasan yang tersumbat.

Liang yang tersumbat ini juga akan memudahkan lagi jangkitan kuman berlaku. Ini akan menyebabkan terbentuknya nanah dikawasan jerawat yang terlibat.

Perkara ini selalunya berlaku dikawasan badan yang mempunyai kalenjar sebum yang banyak seperti di muka, bahagian belakang badan dan juga bahagian atas dada.

Apakah punca kepada masalah jerawat di muka?

Banyak faktor dan punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Punca-punca tersebut adalah:

  • Keturunan(Genetik). Ahli keluarga yang mempunyai masalah jerawat akan meningkat risiko ahli keluarga yang lain untuk menghadapi masalah yang sama.
  • Ketika mana akil baligh, kalenjar sebum akan menjadi aktif menghasilkan sebum yang lebih dan ini menyebabkan masalah jerawat lebih mudah berlaku.
  • Jangkitan kuman pada kawasan liang roma. Kuman yang kerap menyebabkan jangkitan di kawasan ini adalah Propionibacterium acnes
  • Terdapat kosmetik yang disediakan menggunakan sediaan minyak. Kosmetik jenis ini akan lebih mudah untuk menyebabkan sumbatan pada liang roma.
  • Penggunaan steroid boleh merangsang penghasilan sebum secara berlebihan pada kalenjar sebum.
  • Terdapat segolongan kaum wanita yang akan menghadapi masalah jerawat yang teruk ketika mana mereka mengandung.

Genetik sangat memainkan peranan yang penting kerana ada sesetengah individu yang sangat sensitif dengan perubahan hormon dalam badan. Ia akan menyebabkan kalenjar sebum menghasilkan sebum dengan lebih banyak terutamanya ketika seseorang itu mencapai akil baligh.



Kemudian bakteria Propionibacterium acnes pula akan berperanan untuk menyebabkan peningkatan keratin di liang roma tersebut hingga menyebabkan masalah jerawat muka ini berlaku.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Apakah jenis jerawat yang ada?

Dua jenis jerawat yang perlu diketahui adalah:

  1. Komedo terbuka(open comedo) dan ia dikenali sebagai ‘black head‘. Seperti namanya iaitu black head merujuk kepada warna jerawat tersebut iaitu berwarna hitam. Warna hitam ini terjadi disebabkan liang roma terbuka menyebabkan kandungan sebum terdedah kepada udara dan kekotoran. Ini akan menyebabkan sebum yang terdedah itu menjadi warna hitam
  2. Komedo tertutup(closed comedo) juga dikenali sebagai ‘White head‘. Dalam masalah ini, liang roma jerawat tersebut masih tertutup dan melindungi sebum di dalamnya. Oleh itu, jerawat tersebut akan kelihatan berwarna putih.

Apakah yang akan berlaku pada mereka yang menghadapi jerawat muka?

Kebanyakan mereka yang menghadapi masalah ini selalunya akan baik dengan sendirinya ketika mereka menjejak dewasa.

Jerawat yang teruk dan tidak terkawal pula boleh menyebabkan penampilan seseorang itu tidak baik. Ini boleh memberi kesan kepada psikososial dan juga metnal mereka kerana rupa paras fizikal yang tidak elok.

Malah masalah ini juga akan menyebabkan seseorang itu merasa rendah diri dan tidak yakin apabila berhadapan dengan orang lain.

Apakah simptom mereka yang mengalami masalah jerawat?

Terdapat beberapa simptom yang boleh dialami oleh pesakit. Ianya adalah

  • Komedo tertutup(white head) dan juga Komedo terbuka(black head).
  • Jerawat yang mengandungi nanah. Selalunya jika komedo yang ditekan oleh diri sendiri boleh dijangkiti bakteria luar hingga menyebabkan jangkitan kuman. Ini akan menyebabkan pembentukan nanah dan kawasan tersebut akan kelihatan merah
  • Jerawat yang bernodul. Seseorang yang mengalami komedo yang teruk akan mempunyai nodul yang besar. Ia disebabkan keradangan dan pembentukan tisu parut dikawasan tersebut hingga menyebabkan terbentuknya ketulan-ketulan dibahagian kulit yang terlibat.

Mereka yang mempunyai komedo sahaja selalunya tidak akan berjumpa dengan doktor. Tetapi jika ia mempunyai komplikasi seperti bernanah ataupun bernodul, barulah pesakit tersebut selalunya akan berjumpa dengan perawat kesihatan



Apakah penyakit lain yang mempunyai simptom yang sama?

Terdapat beberapa penyakit lain yang mempunyai simptom yang sama. Ia adalah:

  • Rosacea
  • Sebaceous hyperplasia
  • Keradangan folikel
  • Syringoma

Apakah ujian yang dibuat untuk mengesahkan masalah jerawat ini?

Masalah jerawat tidak memerlukan ujian khas untuk mengesan masalah ini. Cukup dengan pemeriksaan fizikal sahaja dapat mengetahui masalah tersebut.

Tetapi jika masalah ini juga mempunyai simptom yang lain sebagai contoh bulu yang tumbuh secara lebat pada sesorang perempuan, maka penyiasatan yang lebih lanjut perlu dilakukan untuk mengesan punca kepada masalah tersebut. Mereka yang mengalami masalah ‘Polycystic Ovarian Syndrome‘ selalunya mempunyai simptom ini.

Apakah rawatan untuk masalah jerawat ini?

Pesakit yang tidak mengalami masalah jerawat yang teruk selalunya tidak akan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Ia disebabkan masalah tersebut kebanyakannya boleh sembuh dengan sendirinya.

Akan tetapi jika ia menjadi lebih teruk sebagai contohnya jerawat tersebut mengalami jangkitan kuman hingga menyebabkan bernanah dan juga bernodul(mempunyai biji dibahagian kulit), pesakit selalunya akan datang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

Rawatan selalunya lebih kepada penggunaan krim retinoid dan juga krim antibiotik;

1. Krim Retinoid(Vitamin A)

Vitamin A ataupun retinoid merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kulit kerana ia akan menyeimbangkan penghasilan keratin dibahagian kulit. Jika ia dihasilkan secara berlebihan keratin ini boleh menyebabkan sumbatan pada liang roma.



Maka penggunaan keratin dapat mengelakkan penghasilan keratin yang berlebihan bahkan menyebabkan tona kulit menjadi sekata.

Dinasihatkan jika krim ini menyebabkan iritasi pada bahagian muka, dinasihatkan untuk anda mengelakkan penggunaannya terlebih dahulu

2. Krim antibiotik

Krim antibiotik ini digunakan apabila terdapat tanda-tanda jangkitan kuman pada bahagian jerawat. Ia berfungsi untuk membunuh kuman yang berada di dalam jerawat tersebut. Ini akan menyebabkan jerawat ini kurang mengalami keradangan

Gabungan kedua-dua jenis krim ini dikatakan mampu memberikan rawatan yang baik berbanding jika menggunakan satu jenis krim sahaja.

Apakah cara untuk mengelakkan masalah ini?

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan jerawat. Ia adalah:

1. Mencuci muka setiap hari

Anda dinasihatkan untuk mencuci muka setiap hari terutamanya selepas berada dibawah matahari ataupun berpeluh. Ini kerana sebum banyak terhasil pada ketika itu.



Tetapi dinasihati juga untuk tidak terlalu kerap membasuh muka kerana ia boleh menyebabkan kulit muka menjadi terlalu kering

2. Gunakan pencuci muka yang tidak mempunyai sabun berserta pH 5.5

Pencuci muka jenis ini dapat mengelakkan kulit muka menjadi terlalu kering

3. Elakkan kosmetik yang berasaskan minyak

Kosmetik yang berasaskan minyak boleh menyebabkan sumbatan pada liang roma jesteru meningkatkan kemungkinan untuk berlakunya jerawat. Oleh itu, elakkan kosmetik jenis ini terlebih dahulu

4. Air kosong

Minum air kosong yang mencukupi agar kulit sentiasa lembab.

Soalan yang selalu ditanya

1. Adakah diet menyebabkan masalah ini berlaku?

Banyak kajian yang telah dibuat untuk mengaitkan permakanan dan juga masalah jerawat muka, tetapi kebanyakan daripada kajian tersebut masih belum menemukan sama ada diet mempengaruhi masalah jerawat ataupun tidak.



2. Kenapa bayi saya yang baru lahir pun ada masalah ini?

Bayi di dalam kandungan akan sedikit sebanyak terpengaruh dengan hormon ibu. Hormon tersebut boleh menyebabkan berlakunya penghasilan sebum yang banyak pada bayi hingga menyebabkan terjadinya jerawat. Setelah anak dilahirkan, pengaruh hormon tersebut akan hilang.

Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau. Selepas beberapa minggu, jerawat tersebut akan hilang dengan sendirinya

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Dawson AL, Dellavalle RP. Acne vulgaris. BMJ. 2013 May 8. 346:f2634.
  2. Goulden V, McGeown CH, Cunliffe WJ. The familial risk of adult acne: a comparison between first-degree relatives of affected and unaffected individuals. Br J Dermatol. 1999 Aug. 141(2):297-300.
  3. Kellett SC, Gawkrodger DJ. The psychological and emotional impact of acne and the effect of treatment with isotretinoin. Br J Dermatol. 1999 Feb. 140(2):273-82.
  4. Thiboutot D, Gollnick H, Bettoli V, Dréno B, Kang S, Leyden JJ, et al. New insights into the management of acne: an update from the Global Alliance to Improve Outcomes in Acne group. J Am Acad Dermatol. 2009 May. 60(5 Suppl):S1-50.
    Collier CN, Harper JC, Cafardi JA, Cantrell WC, Wang W, Foster KW, et al. The prevalence of acne in adults 20 years and older. J Am Acad Dermatol. 2008 Jan. 58(1):56-9
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − 10 =