Kes orang asli: Kenapa mula cakap Pneumonia lepas tu demam Campak?

Published by Dr Latif Saad on

Ramai yang tertanya-tanya berkenaan dengan kes orang asli di Kuala Koh sebab ia melibatkan kematian seramai 14 orang secara tiba-tiba. Hanya 2 orang sahaja yang dibuat post mortem pada ketika itu yang menunjukkan terdapat jangkitan paru-paru(Pneumonia dalam istilah perubatan). Ada pula yang cakap pada mulanya disebabkan jangkitan tuberculosis dan sebagainya.

Oleh itu kami ingin menjelaskan beberapa perkara supaya orang awam faham dengan perkara ini.

1. Post mortem orang asli dapat tahu mereka ada Pneumonia

Apabila 2 orang asli tersebut menjalani post mortem, beberapa ujian akan dilakukan untuk menentukan masalah ataupun punca kepada kematian pesakit. Salah satu cara untuk tahu ada pneumonia ataupun tidak adalah dengan timbang paru-paru pesakit, selalunya ia akan lebih berat daripada biasa kerana alveolar iaitu kawasan pertukaran gas dalam paru-paru ini akan dipenuh dengan cecair.

Keduanya adalah ambil sampel paru-paru dan tengok bawah mikroskop. Selalunya ia akan menunjukkan karakter seperti sel darah putih yang banyak, penebalan dinding alveolar dan banyak lagi.

Bahkan dengan melihat sampel daripada paru-paru ini juga anda boleh melihat sama ada wujudnya kuman Tibi ataupun tidak yang pada akhirnya disahkan pesakit bebas daripada penyakit Tibi.

Jadi kita tahu, pesakit ini mengalami Jangkitan paru-paru tetapi kita belum lagi tahu apakah punca ataupun kumannya yang menjangkiti paru-paru pesakit.

2. Apakah Punca pneumonia tersebut?

Jadi kita dah tahu dia ada pneumonia tetapi kita nak tahu apakah punca kepada masalah tersebut.

Beberapa ujian akan dibuat untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut seperti ujian kencing tikus, ujian Tibi, Ujian virus corona dan beberapa ujian lagi termasuk ujian measles yang dirasakan boleh berkait dengan masalah tersebut.

Bila dibuat ujian, semua ujian adalah negatif kecuali measles. Oleh itu, pesakit dikatakan mempunyai jangkitan measles iaitu demam campak.

Selalunya ujian yang dibuat untuk measles ini adalah ujian serologi untuk kesan antibodi jenis IgM. Dan antibodi IgM measles ini akan kekal dalam darah selama 30 hari lebih. Oleh itu, walaupun seseorang itu sudah sembuh daripada campak, kita masih boleh mengesan sama ada pesakit sebelum itu mengalami jangkitan measles ataupun tidak.

Ada juga ujian lain yang dilakukan adalah Polymerase Chain Reaction iaitu dengan mengesan DNA virus tersebut daripada specimen yang diambil.

Kedua-dua ini mengambil masa. Dia bukan buat hari ini terus dapat keputusan hari ini dan selalunya dia ada makmal khas untuk buat ujian ini dan rasanya ujian ini dilakukan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) iaitu di Sg Buloh. Sampel macam ini selalunya hantar ke sana

3. Kenapa jangkitan paru-paru bertukar diagnosis kepada demam campak?

Cerita dia macam ni, seseorang yang baru sahaja menghadapi campak selalunya akan mengalami masalah pada imun sistem. Iaitu imun sistem dia akan menjadi lemah pada sesuatu tempoh masa. Perkara ini telah dibuktikan sekian lamanya.

Pada ketika inilah segala bakteria akan bertindak untuk menyerang pesakit. Dan kawasan yang selalu mengalami jangkitan kuman lepas daripada jangkitan measles ini adalah paru-paru.

Data juga menunjukkan lebih daripada 80% mereka yang meninggal dunia selepas demam campak adalah disebabkan pneumonia. Jadi tidak pelik jika penemuan pada orang asli tersebut menunjukkan jangkitan pada paru-paru dan ujian darah pula mendapati pesakit menghidapi jangkitan measles.

Mudah cerita, pesakit ini kena jangkitan measles terlebih dahulu yang menyebabkan sistem imunnya lemah. Selepas itu, barulah jangkitan paru-paru berlaku.

4. Kenapa ramai yang mati orang dewasa berbanding budak-budak?

Lepas itu ada pulak yang pertikai, kenapa kebanyakan daripada mereka yang mati adalah orang dewasa, bukan kanak-kanak. Kan ini penyakit kanak-kanak.

Sebenarnya orang besar ataupun kanak-kanak, kedua-dua golongan ini boleh dijangkiti dengan virus ini. Manakala mereka yang berumur kurang daripada 5 tahun atau lebih daripada 20 tahun lebih berisiko untuk menghadapi komplikasi daripada jangkitan virus ini.

Jadi jika kesemua ataupun majoriti daripada mangsa ini tidak mengambil vaksin, maka mereka memang berkemungkinan besar untuk dijangkiti measles dan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat komplikasi tersebut yang boleh berakhir dengan kematian.

5. Kenapa orang asli ini banyak yang meninggal dunia?

Macam ini kebanyakan orang asli ini mengalami kekurangan nutrisi. Ini disebabkan suku tersebut hidup berpindah randah dan mereka tidak dapat access kepada makanan yang bernutrisi seperti orang di pekan atau bandar.

Kajian mendapati mereka yang kekurangan nutrisi ini sangat mudah menghadapi komplikasi daripada jangkitan measles seperti jangkitan paru-paru yang dikatakan tadi.

Vitamin A juga telah diberikan kepada para pesakit yang disyaki dan disahkan mengalami jangkitan measles ini kerana ia didapati mampu mengelakkan komplikasi buruk daripada jangkitan tersebut.

Sebab itu jugalah kadar kematian telah terhenti dan tidak mencanak naik setelah KKM mengesan perkara ini.

Rujukan:

  1. Kenyataan KKM pada 17/6/2019
  2. Yann M. Kerdiles Caroline I. Sellin Johan Druelle Branka HorvatImmunosuppression caused by measles virus: role of viral proteins. First published: 20 October 2005. https://doi.org/10.1002/rmv.486 Cited by: 37
  3. https://www.cdc.gov/measles/symptoms/complications.html?CDC_AA_refVal=https%3A%2F%2Fwww.cdc.gov%2Fmeasles%2Fabout%2Fcomplications.html
Categories: Berita

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

1 Comment

Benarkah Punca Kematian Orang Asli kerana Campak ? | Randau Sarawak News · June 19, 2019 at 7:04 am

[…] sumber artikelĀ  […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *