Kutu: Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Kutu merupakan sejenis binatang kecil yang dipanggil parasit yang boleh merebak melalui sentuhan antara individu. Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah terdedah dengan kutu dan menyebarkannya kepada orang lain. Seharusnya ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mengenal pasti simptom-simptom yang menunjukkan anak anda mungkin terkena serangan kutu.

Jenis-jenis kutu

Terdapat tiga jenis utama kutu. Kesemua jenis kutu-kutu ini adalah berasal daripada keluarga parasite yang sama, namun setiap jenis kutu tersebut adalah berbeza spesis:

  1. Kutu kepala: boleh ditemui pada kulit kepala, leher dan telinga.
  2. Kutu badan: asalnya adalah dari pakaian dan tilam yang kemudian berpindah ke bahagian tubuh manusia.
  3. Kutu kemaluan: boleh ditemui di bahagian bulu kemaluan dan sekitar kulit.

Apa yang menyebabkan masalah ini?

Kutu kepala sangat mudah merebak kepad orang lain. Anda boleh mendapat masalah tersebut apabila kutu itu merayap kepada kepala anda. Beberapa punca yang menyebabkan kepala mengalami masalah ini adalah:

  • Memegang kepala pesakit yang menghidapi masalah ini
  • Berkongsi barang-barang harian seperti sikat, minyak rambut dan tuala
  • Kutu boleh hidup pada berus, sikat, headphone, topi dan banyak lagi. Ia juga boleh hidup pada perabut dan juga sofa.

Kegatalan

Simptom yang paling utama akibat serangan kutu adalah kegatalan. Gigitan binatang kecil itu boleh mengakibatkan alahan yang menyebabkan rasa gatal pada kulit. Namun begitu, anda mungkin tidak menyedari kegatalan apabila mengalami serangan kutu yang ringan. Anda mungkin mengambil masa lebih kurang enam minggu untuk anda menyedari bahawa anda sudah terkena masalah ini.

Siapakah yang berisiko untuk menghadapi masalah kutu?

Kanak-kanak tadika dan sekolah rendah adalah mereka yang lebih berisiko untuk menghadapi perkara ini kerana kanak-kanakn selalu bermain bersama-sama dan berkongsi barang diantara satu sama lain.

Mereka yang mempunyai kanak-kanak yang masih bersekolah juga mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding orang lain

Simptom-simptom lain

Selain daripada mengalami kegatalan, masalah ini juga boleh dikenalpasti melalui simptom seperti:

  1. Rasa seperti sesuatu merayap di bahagian kepala, rambut atau badan.
  2. Kesakitan akibat daripada menggaru kulit yang gatal.
  3. Rasa kurang selesa.
  4. Sukar untuk tidur.
  5. Timbul bitnik-bintik merah pada kepala, leher, bahu atau bahagian kemaluan.
  6. Terdapat telur kutu (berwarna putih dan bersaiz kecil) yang melekat pada helaian rambut dan amat sukar untuk ditanggalkan.

Bagaimana hendak mengesan kutu?

Selain menyebabkan kegatalan kulit kepala, masalah ini juga boleh membawa kepada masalah seperti kelemumur, eczema atau turut menyebabkan alahan kepada syampo dan produk rambut yang lain. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui cara untuk mengesan kutu terutama pada kanak-kanak.

Langkah yang pertama adalah basahkan rambut. Dengan membasahkan rambut, kutu akan menjadi kurang aktif dan lebih mudah untuk dikesan. Gunakan sikat kutu (mempunyai gigi yang halus) untuk menyikat rambut dan halakan kulit rambut ke arah sumber cahaya yang terang.

Masalah ini dapat dikesan apabila anda menjumpai binatang kecil, berwarna perang dan seakan saiz seperti sebutir bijan yang melata pada kulit kepala. Selain itu, anda juga akan menemukan telur kutu yang seakan berpaut pada helaian rambut. Selalunya kutu dan telurnya amat sukar untuk disikat atau dileraikan.



Langkah mencegah serangan kutu di rumah

Masalah ini sangat mudah untuk merebak. Anda seharusnya mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan daripada terkena serangan dan jangkitan kutu. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan iaitu:

  • Elakkan daripada berkongsi barang-barang peribadi seperti sikat rambut, getah pengikat rambut dan apa jua jenis pakaian yang menutupi kepala.
  • Pastikan anda menukar dan mencuci pakaian secara kerap.
  • Rendamkan pakaian anda di dalam air panas untuk membunuh kutu yang ada dan keringkan dalam ‘heat dryer’
  • Jika anda merasakan anda telah dijangkiti kutu di rumah, anda boleh menggunakan vakum/ penyedut hampagas untuk membersihkan lantai dan perabot.

Langkah mencegah serangan kutu di sekolah

Adalah amat sukar untuk mengelakkan masalah ini merebak di sekolah atau di pusat penjagaan kanak-kanak. Beberapa perkara perlu dibuat iaitu:

  • Anda boleh meminta anak anda supaya mengelakkan daripada sentuhan antara kepala dengan kanak-kanak lain ketika beraktiviti.
  • Turut elakkan berkongsi ruang menyimpan pakaian.

Namun demikian, walaupun anda mempraktikkan langkah kebersihan yang bagus, anak anda masih boleh terdedah dengan masalah ini. Jalan penyelesaian yang terbaik yang boleh diambil apabila terkena masalah ini adalah dengan mendapatkan rawatan yang disyorkan oleh doktor atau ahli farmasi.

Merawat serangan kutu kepala

Untuk rawatan kutu, anda boleh menggunakan beberapa produk luar kaunter (over-the-counter products, OTC) seperti yang telah disyorkan. Antaranya adalah seperti syampo rawatan yang mempunyai kandungan yang boleh merawat serangan kutu iaitu pyrethrin dan permethrin.

Selain daripada itu, ada juga ubat jarang diberikan kepada pesakit seperti:

  1. Malathion: digunakan dengan menyapu pada rambut dan kulit kepala sebelum dibilas.
  2. Losyen benzyl alcohol: losyen ini disapu pada rambut dan kulit kepala dan dibiarkan selama 10 minit sebelum dibilas.
  3. Syampo lindane.

Pastikan anda membaca label dan cara penggunaan ubatan dan ikuti langkah-langkahnya.

Rawatan alternatif

Jika anda tidak ingin menggunakan ubat diatas, anda boleh mengunakan cara lain iaitu anda boleh menggunakan sikat yang mempunyai jejari yang halus dan rapat. Sebelum sikat, anda terlebih dahulu perlu menyapukan minyak zaitun pada kepala. Ini akan memudahkan kutu tercabut ketika rambut disikat.

Anda perlulah melakukan perkara ini selama seminggu lebih sehinggalah tanda-tanda kutu telah hilang.



Rujukan:

  1. Head lice. (2015, April). kidshealth.org/parent/infections/common/head_lice.html#
  2. Head lice: Diagnosis, treatment, and outcome. (n.d.)
    aad.org/dermatology-a-to-z/diseases-and-treatments/e—h/head-lice/diagnosis-treatment
  3. Head lice treatment. (n.d.)
    cdc.gov/parasites/lice/head/treatment.html
Categories: Kulit

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *