Insiden tercekik tulang ikan adalah suatu yang kerap berlaku di kalangan masyarakat. Tulang ikan mempunyai saiz yang kecil dan kadang-kadang kita tidak perasan kehadiran tulang tersebut hinggalah kita menelan makanan yang kita ambil.
Hujungnya yang tajam membuatkan ia senang untuk tercucuk dan tersekat dibahagian tekak.
Jika terdapat tulang ikan yang tersekat di tekak, ia boleh menyebabkan sakit tekak dan rasa tidak selesa yang teruk.
Apakah yang akan pesakit rasa?
Jika terdapat tulang ikan yang tersekat di tekak, anda mungkin akan merasakan tulang tersebut. Disamping itu, anda juga akan mempunyai simptom-simptom ini:
- Sakit yang mencucuk di bahagian tekak
- Rasa sakit apabila bahagian leher ditekan
- Terbatuk
- Susah atau sakit ketika menelan
- Batuk keluar darah
Bagaimana untuk menghilangkan tercekik tulang ikan?
Tercekik tulang ikan selalunya bukan sesuatu keadaan yang membahayakan. Oleh itu, anda boleh cuba kaedah ini terlebih dahulu sebelum pergi ke hospital atau klinik.
1. Telan air
Ini adalah cara yang selalu dilakukan oleh kebanyakan orang ketika mereka menghadapi masalah ini.
Selalunya tulang ikan yang tidak terlekat dalam akan mudah tercabut bila seseorang itu minum air.
2. Telan nasi
Benda pepejal seperti nasi boleh membantu untuk mencabut tulang tersebut jika air tidak boleh mencabutnya.
Apa yang anda perlu buat adalah kunyah nasi, jangan terlalu hancur ataupun terlalu keras dan telan.
Anda perlulah menyediakan air di tepi untuk mengelakkan diri anda tercekik nasi pula.
3. Batuk
Ada sesetengah orang boleh mengeluarkan tulang tersebut dengan cara batuk yang kuat.
Ini sebab kerana ketika batuk, ia akan menyebabkan tekak mengecut dan perbuatan batuk itu sendiri akan menghasilkan satu hembusan angin yang kuat dan tulang ikan boleh tercabut.
4. Gunakan minyak zaiton
Ada yang menggunakan minyak zaiton sebagai pelincir untuk memudahkan tulang itu tertanggal.
Telan 1 atau 2 sudu minyak zaiton supaya ia menyelaputi tulang tersebut.
Kemudian cuba batuk ataupun telan dengan makanan untuk mencabutkan tulang tersebut.
5. Biarkan sahaja
Jika sakit pada tekak itu sangat sedikit dan tidak mengganggu anda, ia mungkin disebabkan tulang ikan itu menyebabkan luka di bahagian tekak dan sudah tercabut
Anda boleh tunggu untuk beberapa hari dan biarkan ia baik dengan sendiri.
Tetapi jika kesakitan itu teruk dan anda masih merasa tidak selesa, anda perlulah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Bila perlu berjumpa doktor?
Kadang-kadang tulang ikan tersebut tidak boleh tercabut dengan sendirinya. Oleh itu anda perlu berjumpa dengan doktor.
Jika tulang tersebut tersekat di bahagian esofagus ataupun pada mana-mana saluran pencernaan yang lain, ia boleh menyebabkan terbentuknya nanah, menyebabkan jangkitan kuman dan berakhir dengan kematian jika tidak dirawat.
Jumpa dengan doktor jika sakit tidak tidak hilang setelah beberapa hari. Jumpa terus doktor jika anda mengalami
- Sakit dada
- Melilih air liur secara berlebihan
- Tidak boleh makan ataupun minum
Rawatan tercekik tulang ikan
Ketika anda berjumpa dengan doktor, selalunya doktor akan menyuluh bahagian tekak anda untuk melihat kehadiran tulang tersebut. Kemudian, jika ia kelihatan, doktor akan menarik tulang itu menggunakan alat khas.
X-ray
X-ray akan dibuat jika tulang itu tidak dapat dilihat secara mata kasar. Ini mungkin disebabkan ia tersekat bahagian bawah tekak.
Dengan menggunakan x-ray, tulang ini dapat dilihat. Jika terdapat tulang, pesakit akan dirujuk ke bahagian otorhinolaryngology dan mereka boleh menggunakan kamera untuk melihat dengan lebih dalam lagi saluran tersebut.
Jika terdapat tulang, mereka akan mencabutnya menggunakan alat khas.
Jika selepas x-ray tiada tulang kelihatan, ini bermaksud tiada tulang dibahagian tersebut dan kesakitan itu adalah disebabkan tercederanya kawasan tekak tersebut.
Oleh itu, selalunya doktor akan memberikan ubat tahan sakit sahaja dan sakit tekak itu akan hilang dengan sendirinya.
Rujukan:
- Khayyat YM. (2013). Pharmacological management of esophageal food bolus impaction. DOI: 10.1155/2013/924015
- Swain SK, et al. (2017). Management of fish bone impaction in throat – Our experiences in a tertiary care hospital of eastern India. DOI: 10.1016/j.ejenta.2016.12.001