Sakit Jantung: Punca, Simptom dan Rawatan
Panduan lengkap mengenai penyakit Acute Coronary Syndrome (ACS), tanda-tanda serangan kecemasan, kaedah saringan, dan pilihan rawatan stent/bypass.
1. Pengenalan
Sakit jantung adalah keadaan di mana pembuluh darah pada bahagian jantung tersumbat hingga menyebabkan kematian sel-sel otot pada bahagian jantung. Denyutan jantung boleh terhenti disebabkan perkara tersebut.
Serangan sakit jantung ataupun dalam istilah perubatannya Acute Coronary Syndrome (ACS) merupakan salah satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di Malaysia. Ia selalu dikaitkan dengan kematian yang berlaku secara tiba-tiba.
2. Simptom Sakit Jantung
Simptom tipikal serangan jantung melibatkan ketidakselesaan dada secara tiba-tiba:
Sakit dada sebelah kiri yang menusuk
Sakit dada merebak ke leher dan lengan/tangan kiri
Dada terasa berat bagaikan ditekan dengan kuat
Berpeluh dingin dengan banyak (diaphoresis)
Sesak nafas yang kronik secara tiba-tiba
Rasa jantung berdebar-debar (palpitations)
Pengsan (syncope) atau rasa melayang hendak pitam
⚠️ Amaran Simptom Tidak Tipikal (Atypical Symptoms):
Bagi pesakit yang mempunyai kencing manis (diabetes), kerosakan saraf (neuropati) boleh menyekat isyarat sakit dada tipikal:
- Sesetengah pesakit diabetes hanya mengalami sesak nafas secara tiba-tiba tanpa rasa sakit dada sama sekali.
- Sesetengah yang lain hanya berasa pedih ulu hati yang disangkakan masalah gastrik biasa, sedangkan mereka sedang diserang sakit jantung.
Mengalami sakit dada atau berdebar-debar?
Periksa Simptom Anda Di Sini3. Punca Sakit Jantung
Serangan jantung berpunca daripada pengerasan dan penyempitan arteri secara beransur-ansur (Aterosklerosis) akibat mendapan kolesterol. Apabila mendapan kolesterol (plak) ini pecah, gumpalan darah beku (thrombus) terhasil dengan pantas, menyekat aliran darah ke otot jantung sehingga menyebabkan sel otot mati (myocardial infarction).
Berikut adalah faktor risiko utama berlakunya serangan jantung:
🚫 Risiko Yang Tidak Boleh Diubah
- Umur: Peningkatan usia meningkatkan kekakuan salur darah.
- Jantina: Golongan lelaki mempunyai peratusan risiko serangan awal yang lebih tinggi berbanding wanita.
- Sejarah Keluarga: Faktor genetik jika ibu bapa atau adik-beradik pernah menghidap serangan jantung awal.
⚙️ Risiko Yang Boleh Diubah & Dirawat
- Merokok: Pemangkin utama sakit jantung di usia muda tanpa sejarah penyakit lain.
- Kolesterol Tinggi: Plak kolesterol menyumbat lumen salur darah jantung.
- Darah Tinggi: Tekanan tinggi merosakkan lapisan dinding arteri secara berterusan.
- Masalah Buah Pinggang: Menjejaskan penapisan cecair dan menaikkan tekanan darah.
- Obesiti & Gaya Hidup Pasif: Membawa beban berat pada keupayaan pam jantung.
4. Jenis Sakit Jantung
Serangan jantung diletakkan di bawah payung klinikal Acute Coronary Syndrome (ACS) dan dibahagikan kepada 3 jenis utama berdasarkan keterukan sumbatan:
Serangan paling merbahaya yang melibatkan sumbatan 100% pada arteri koronari, menyebabkan kematian seluruh ketebalan dinding otot jantung. Kriteria dikesan terus melalui corak graf ECG khas (ST-elevation) dan memerlukan rawatan kecemasan buka salur darah serta-merta.
Sumbatan separa arteri koronari yang tidak melibatkan seluruh ketebalan otot jantung. Gelombang graf ECG tidak menunjukkan lonjakan ST-elevation tetapi sel otot jantung masih mengalami kematian biokimia (dikesan menerusi protein darah).
Sumbatan minima arteri di mana jantung kekurangan oksigen (iskemia) semasa berehat tetapi tidak cukup teruk untuk menyebabkan sel otot mati. Komplikasi adalah paling minima namun boleh melarat menjadi STEMI/NSTEMI jika diabaikan.
- Myocardial: Merujuk kepada myocardium iaitu tisu otot jantung.
- Infarction: Kematian sel-sel tisu akibat ketiadaan bekalan oksigen yang mutlak.
- Angina: Rasa sakit atau kejang pada dada akibat salur darah mengecil sementara waktu.
5. Diagnosis Pembezaan
Sakit dada tidak semestinya serangan jantung. Doktor perlu melakukan pemeriksaan teliti bagi menolak kemungkinan penyakit peniru (mimickers) ini:
| Masalah Gastrik / GERD: Asid perut naik merengsakan esofagus (pedih ulu hati). | Keradangan Pundi Hempedu (Cholecystitis): Keradangan pundi hempedu yang menyebarkan sakit ke atas. |
| Acute Pericarditis: Keradangan pada selaput luar jantung. | Serangan Panik (Panic Attack): Kecemasan mental yang meniru sakit dada dan sesak nafas strok/jantung. |
| Pneumothorax: Paru-paru bocor di mana udara terperangkap dalam dada secara tiba-tiba. | Jangkitan Paru-paru (Pneumonia): Keradangan paru-paru yang menyebabkan sakit dada ketika bernafas dalam. |
| Pulmonary Embolism: Darah beku menyekat saluran darah utama paru-paru. | Hipertiroid: Lebihan hormon tiroid menyebabkan denyutan jantung menjadi terlalu laju. |
6. Ujian Pengesahan Sakit Jantung
Bagi pesakit yang dikejarkan ke kecemasan dengan sakit dada, ujian penyiasatan berikut dilakukan segera:
1. Electrocardiogram (ECG)
Ujian wajib dalam masa 10 minit pertama. Merakam isyarat elektrik jantung untuk mengesan corak ST-elevation (sumbatan 100%) atau kecederaan otot jantung.
2. Ujian Darah Enzim (Cardiac Enzymes)
Mengesan kehadiran protein khusus Troponin T atau Creatine Kinase MB (CK-MB) dalam darah yang dilepaskan oleh otot jantung yang cedera atau mati.
3. X-ray Dada
Mengenalpasti pneumothorax atau kehadiran air dalam paru-paru (pulmonary edema) akibat serangan jantung yang melumpuhkan keupayaan pam.
4. Angiogram Koronari
Prosedur memasukkan wayar kateter melalui arteri peha/pergelangan tangan ke jantung. Bahan kontras disuntik untuk melihat lokasi tepat sumbatan salur darah.
7. Rawatan Sakit Jantung
Sebaik sahaja serangan disahkan, rawatan berikut dijalankan secara berfasa untuk menyelamatkan otot jantung:
💊 A. Rawatan Awal & Ubat-Ubatan
- Oksigen Sokongan: Diberikan melalui kanula hidung untuk meningkatkan bekalan oksigen ke otot jantung yang terjejas.
- Ubat Anti-platelet (Aspirin & Clopidogrel): Menghentikan proses pembekuan darah daripada meluas di salur darah jantung.
- Glyceryl Trinitrate (GTN): Diletakkan di bawah lidah untuk meluaskan saluran darah jantung secara serta-merta bagi melancarkan semula aliran darah.
- Suntikan Morfin: Ubat penahan sakit kuat yang turut bertindak meluaskan (vasodilation) salur darah jantung.
🩺 B. Rawatan Menghilangkan Sumbatan (Reperfusion)
- Percutaneous Coronary Intervention (PCI): Wayar dan belon dimasukkan untuk membuka arteri yang tersumbat, diikuti dengan peletakan stent logam untuk mengekalkan laluan darah.
- Fibrinolysis (Ubat Pencair Darah Beku): Suntikan ubat khas (cth: Streptokinase/Alteplase) untuk melarutkan gumpalan darah. Memerlukan pemantauan rapi kerana risiko komplikasi pendarahan otak.
- Pembedahan Pintasan Koronari (CABG / Bypass): Dibuat sekiranya terdapat banyak saluran darah tersumbat serentak. Saluran darah baru diambil dari dada/peha untuk memintas sumbatan asal.
8. Cara Mengelakkan Sakit Jantung
Kunci utama menghindari sakit jantung adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat kardiovaskular:
9. Komplikasi Sakit Jantung
Kemusnahan otot jantung akibat serangan teruk boleh membawa kepada komplikasi serius jangka panjang:
1. Aritmia (Ritma Rosak)
Isyarat elektrik terjejas menyebabkan denyutan jantung tidak sekata. Boleh mencetuskan pembentukan darah beku dalam jantung yang membawa kepada serangan strok.
2. Dinding Jantung Pecah
Ventricular Septal Rupture (VSR) berlaku apabila dinding tengah jantung pecah, mencampurkan darah bersih & kotor, menyebabkan sesak nafas akut.
3. Left Ventricular Aneurysm
Dinding ventrikel kiri menjadi nipis dan menggelembung keluar. Mengganggu pengaliran darah normal dan memicu pembentukan darah beku sistemik.
Penyakit Lain yang Berkaitan Jantung
| Jantung Bengkak: Pembesaran saiz jantung akibat tekanan atau kelemahan otot. | Jantung Berdebar: Sensasi jantung berdenyut laju, kuat, atau tidak sekata. |
| Lemah Jantung: Keadaan di mana jantung tidak mampu mengepam darah dengan cekap. | Jantung Berlubang: Masalah struktur dinding pemisah jantung (kongenital). |
10. Soalan Lazim (FAQ)
Q Bolehkah serangan sakit jantung disalah anggap sebagai gastrik?
Sangat boleh. Pesakit yang mengalami sakit jantung pada dinding bawah jantung (inferior MI) kerap merasai sakit di ulu hati yang menyerupai pedih ulu hati atau gastrik. Keadaan ini sangat lazim dalam kalangan pesakit kencing manis kerana deria rasa sakit dada mereka terjejas akibat kerosakan saraf.
Q Apakah fungsi sebenar meletakkan ubat GTN di bawah lidah?
Ubat GTN berfungsi meluaskan pembuluh darah jantung (vasodilator) dengan pantas. Kawasan di bawah lidah mempunyai banyak kapilari darah kecil yang membolehkan ubat GTN diserap terus ke dalam aliran darah tanpa melalui proses pencernaan perut, sekali gus memberikan kelegaan kecemasan dalam beberapa saat sahaja.
Q Apakah perbezaan di antara rawatan pasang Stent (PCI) dan pembedahan Bypass (CABG)?
Pasang stent (PCI) adalah prosedur memasukkan tiub belon kecil untuk membuka salur darah tersumbat tanpa bedah dada secara terbuka. Manakala Bypass (CABG) adalah pembedahan dada terbuka di mana salur darah sihat dari bahagian peha/dada dijahit pada jantung untuk membuat jalan pintasan baru memotong sumbatan salur darah lama.
Q Mengapakah Sleep Apnea boleh menyumbang kepada masalah sakit jantung?
Sleep apnea menyebabkan pernafasan terhenti berulang kali ketika tidur, menurunkan paras oksigen darah secara drastik. Keadaan ini memaksa jantung mengepam lebih kuat dan membebaskan hormon stres yang melonjakkan tekanan darah tinggi, seterusnya menyumbang kepada kerosakan dinding arteri jantung.
Rujukan
- Amsterdam EA, Wenger NK, Brindis RG, Casey DE Jr, Ganiats TG, Holmes DR Jr, et al. 2014 AHA/ACC guideline for the management of patients with non-ST-elevation acute coronary syndromes. *Circulation.* 2014 Dec 23. 130(25):e344-426.
- Costa e Silva R, Pellanda L, Portal V, Maciel P, Furquim A, Schaan B. Transdisciplinary approach to the follow-up of patients after myocardial infarction. *Clinics (Sao Paulo).* 2008 Aug. 63(4):489-96.
- Wang JC, Normand SL, Mauri L, Kuntz RE. Coronary artery spatial distribution of acute myocardial infarction occlusions. *Circulation.* 2004 Jul 20. 110(3):278-84.
- Levi F, Lucchini F, Negri E, La Vecchia C. Trends in mortality from cardiovascular and cerebrovascular diseases in Europe and other areas of the world. *Heart.* 2002 Aug. 88(2):119-24.


