Jangkitan Paru-paru: Punca, Simptom dan Rawatan

Penyakit Pernafasan

Panduan lengkap untuk mengenali, mencegah dan merawat pneumonia.

Kenali tanda awal, faktor risiko, ujian pengesahan dan cara rawatan yang perlu anda tahu untuk melindungi diri dan keluarga.

Jangkitan paru-paru merupakan salah satu penyakit yang kerap dihadapi oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Ia sering kali menyebabkan pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital dan menjadi salah satu punca utama kemasukan wad di seluruh dunia.

Ringkasan Pantas

  • Pneumonia ialah keradangan alveoli paru-paru yang mengganggu pertukaran oksigen.
  • Simptom utama: demam, batuk, sesak nafas dan sakit dada.
  • Disebabkan bakteria, virus atau kulat — boleh dicegah dengan vaksin & kebersihan.
  • Rawatan awal dengan antibiotik yang tepat mempercepatkan pemulihan.

Pengenalan

Dalam istilah perubatan, masalah ini dikenali sebagai pneumonia. Jangkitan ini sering berlaku dalam masyarakat dan menjadi salah satu punca kematian dalam komuniti.

Masalah ini menyebabkan struktur alveoli — yang berfungsi sebagai kawasan pertukaran gas oksigen — mengalami keradangan. Keradangan tersebut menghasilkan cecair yang terkumpul di dalam alveoli, lalu mengganggu pertukaran oksigen di kawasan itu.

Apa itu alveoli? Alveoli merupakan struktur seperti kantung kecil di dalam paru-paru. Ia berfungsi untuk pertukaran oksigen dengan darah.

Perbezaan antara alveolus paru-paru normal dan alveolus yang dijangkiti kuman pneumonia
Perbezaan antara alveolus normal dan alveolus yang dijangkiti kuman


Semakin besar kawasan jangkitan, semakin besar kawasan yang mengalami masalah pertukaran oksigen. Jika terlalu teruk, pesakit akan mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen dalam badan.

Simptom & Tanda

Pesakit akan mengalami kekurangan oksigen kerana cecair yang terhasil dalam alveoli mengganggu pertukaran oksigen. Antara simptom utama:

Sesak nafas

Bernafas laju akibat kekurangan oksigen dalam badan.

Batuk yang teruk

Kerap dan berterusan, kadangkala berkahak.

Demam tinggi

Suhu badan meningkat kerana tindak balas jangkitan.

Sakit dada

Batuk kerap menyebabkan otot dada tercedera dan sakit ketika tarik nafas.

Punca Jangkitan Paru-paru

Terdapat beberapa jenis kuman yang boleh menyebabkan pneumonia — melibatkan jangkitan bakteria, virus dan juga kulat.

1. Jangkitan Bakteria

Antara bakteria penyebab:

  • Streptococcus pneumoniae
  • Haemophilus influenzae
  • Chlamydia pneumoniae
  • Mycoplasma pneumoniae
  • Dan beberapa jenis lain

2. Jangkitan Virus

Antara virus penyebab:

  • Adenovirus
  • Rhinovirus
  • Coxsackievirus
  • Virus Influenza
  • Coronavirus (MERS-CoV)

Antara virus yang menyebabkan wabak teruk termasuklah virus COVID-19, di samping SARS, MERS dan influenza yang turut boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius.

Jenis Jangkitan Paru-paru

Pneumonia boleh dibahagikan kepada jangkitan yang berlaku dalam komuniti (Community Acquired Pneumonia) dan jangkitan yang berlaku di hospital (Hospital Acquired Pneumonia). Jangkitan komuniti pula terbahagi kepada jenis tipikal dan tidak tipikal.

🅰️ Jangkitan Tipikal

Jangkitan yang biasa berlaku dengan simptom jelas seperti demam, batuk dan sesak nafas — jadi lebih mudah dikesan. Bakteria penyebab:

  • Streptococcus pneumoniae
  • Moraxella catarrhalis
  • Haemophilus influenzae

Majoriti kes teruk disebabkan Streptococcus pneumoniae. Vaksin pneumococcal telah dicipta untuk melindungi daripada bakteria ini, dan berjaya menurunkan kadar kematian secara ketara.

🅱️ Jangkitan Tidak Tipikal

Tidak menghasilkan simptom biasa. Pesakit mungkin hanya batuk berpanjangan tanpa sesak nafas atau demam berpanjangan, atau terus sesak nafas tanpa batuk dahulu. Penyebab termasuk:

  • Chlamydia pneumoniae, Mycoplasma pneumoniae
  • Chlamydia psittaci, Legionella spesies
  • Virus: Adenovirus, Rhinovirus, Influenza, Coronavirus (MERS-CoV)

Faktor Risiko

Beberapa faktor menjadikan seseorang lebih terdedah kepada jangkitan paru-paru:

🤝 Bersentuhan dengan pesakit jangkitan paru-paru
🤧 Bersentuhan dengan individu batuk & selsema
🕋 Baru pulang Haji/Umrah (risiko MERS-CoV)
🐫 Melawat kandang unta atau minum susu unta
🚬 Merokok

Komplikasi



Walaupun jarang berlaku, terdapat komplikasi yang perlu diketahui:

  • Empyema — pembentukan nanah di dalam paru-paru.
  • Ruang kosong (kaviti) — sel di kawasan jangkitan mati dan merosakkan struktur paru-paru; kelihatan sebagai kawasan hitam berlubang pada x-ray.

Faktor Risiko yang Menyebabkan Komplikasi

Jika pesakit mempunyai faktor ini, mereka lebih mudah mengalami jangkitan yang teruk:

  • Limpa (spleen) telah dibuang (contoh: talasemia atau trauma)
  • Masalah paru-paru kronik (sering akibat merokok)
  • Masalah jantung
  • Usia terlalu tua atau bayi baru lahir
  • Jangkitan melibatkan satu lobar penuh paru-paru

Penyakit Berkaitan

Beberapa penyakit lain mempunyai simptom yang serupa. Penting bagi perawat perubatan untuk membezakannya kerana rawatan berbeza:

Sakit JantungAsma
Keradangan paru-paru akibat SLEPenyakit Tibi
GERDPulmonary Fibrosis
BronkitisSarcoidosis

Ujian Pengesahan

Pemeriksaan klinikal sahaja sudah boleh mengesan jangkitan paru-paru. Ujian berikut dilakukan untuk mengesahkan diagnosis yang disyaki doktor:

1. X-ray Dada

X-ray ialah ujian paling mudah untuk mengesan pneumonia. Paru-paru normal kelihatan gelap kerana dipenuhi udara. Kawasan yang dijangkiti kuman akan kelihatan tompok putih akibat cecair yang terbentuk dalam alveoli.

2. Pembiakan Bakteria (Kahak & Darah)

Bagi pesakit yang batuk berpanjangan atau dimasukkan ke wad, sampel kahak dan darah diambil untuk mengenal pasti bakteria supaya antibiotik yang sesuai dapat ditentukan.

3. Ujian Darah

  • Full Blood Count (FBC) — sel darah putih meningkat pada jangkitan bakteria.
  • C-reactive Protein (CRP) — meningkat pada jangkitan bakteria akut.

Rawatan

Pesakit boleh dirawat di rumah jika stabil dan tiada sesak nafas. Namun, jika tidak stabil atau berusia tua, rawatan di hospital diperlukan.

Bila perlu ke hospital?

Bayi < 1 tahun Usia > 65 tahun Sesak nafas Tidak sedarkan diri Tekanan darah rendah Kurang makan/minum Sakit dada melampau Bernafas laju

1. Rawatan Sokongan

Oksigen: membantu pesakit yang sesak nafas supaya tidak perlu bernafas laju.

Air melalui salur darah (IV): mengelakkan dehidrasi bagi pesakit yang kurang minum akibat sesak nafas dan hilang selera.

2. Antibiotik

Pesakit stabil boleh dirawat di rumah dengan antibiotik seperti Amoxycillin. Jika tidak berkesan, doktor akan menaik taraf kepada antibiotik lebih kuat seperti Augmentin.

Pesakit tidak stabil akan diberi antibiotik secara suntikan di wad, dan menghabiskan pil/sirap di rumah selepas stabil.

Soalan Lazim (FAQ)

Apakah itu jangkitan paru-paru (pneumonia)?

Pneumonia ialah keradangan pada alveoli paru-paru yang menyebabkan cecair terkumpul dan mengganggu pertukaran oksigen dengan darah.

Apakah simptom utama jangkitan paru-paru?

Simptom utama termasuk demam tinggi, batuk teruk, sesak nafas atau bernafas laju, dan sakit dada ketika batuk atau menarik nafas.

Adakah jangkitan paru-paru boleh berjangkit?

Ya, pneumonia yang disebabkan bakteria dan virus boleh merebak melalui sentuhan dengan pesakit atau individu yang batuk dan selsema.

Bila perlu mendapatkan rawatan di hospital?

Rawatan hospital diperlukan bagi bayi bawah 1 tahun, warga emas melebihi 65 tahun, atau pesakit dengan sesak nafas, tekanan darah rendah, sakit dada melampau atau tidak sedarkan diri.

Bagaimana pneumonia dirawat?

Rawatan melibatkan sokongan (oksigen dan cecair IV) serta antibiotik seperti Amoxycillin, atau antibiotik lebih kuat seperti Augmentin jika perlu.

Rujukan

  1. Dunbar LM, et al. Efficacy of 750-mg, 5-day levofloxacin in the treatment of community-acquired pneumonia caused by atypical pathogens. Curr Med Res Opin. 2004;20(4):555-63.
  2. Musher DM, Thorner AR. Community-acquired pneumonia. N Engl J Med. 2014;371(17):1619-28.
  3. Cunha BA. Swine Influenza (H1N1) Pneumonia: Clinical Considerations. Infect Dis Clin N Am. 2010;24:203-228.
  4. Blasi F, Tarsia P. Value of short-course antimicrobial therapy in community-acquired pneumonia. Int J Antimicrob Agents. 2005;26 Suppl 3:S148-55.
  5. Nakanishi M, et al. Significance of the progression of respiratory symptoms for predicting community-acquired pneumonia in general practice. Respirology. 2010;15(6):969-74.

Nota: Artikel ini bertujuan untuk pendidikan kesihatan sahaja dan bukan pengganti nasihat perubatan profesional. Sila rujuk doktor untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.

2 thoughts on “Jangkitan Paru-paru: Punca, Simptom dan Rawatan”

  1. Tuan Dr. Apakah punca kepada batuk yang lama? Saya dah lama mengalami masalah ini lebih daripada 1 bulan. Adakah jangkitan kuman pada paru-paru adalah salah satu punca dan apa yang saya perlu buat?

    1. Dr Latif Saad

      Batuk berpanjangan atau batuk lebih daripada 2 minggu mempunyai pelbagai punca. Saya senaraikan beberapa punca seperti:
      1. Jangkitan Tuberkulosis. Ini orang kita selalu panggil batuk kering.
      2. Jangkitan paru-paru pun boleh menyebabkan batuk yang lama
      3. Gastroesophageal reflux disease. Keadaan dimana asid dalam perut naik ke bahagian tekak
      4. Penyakit Asma
      5. Ubat Darah Tinggi. Terdapat satu jenis ubat darah tinggi yang menyebabkan batuk yang berpanjangan dan kering
      6. Resdung (allergy rhinits)
      7. Kanser paru-paru

      Kesemua masalah boleh menyebabkan batuk yang lama dan setiap satu masalah ini mempunyai cara rawatan yang berbeza. Sebagai contoh jika seseorang mengalami masalah GERD, rawatan yang diberikan selalunya ubat gastrik seperti Omeprazole untuk mengawal penghasilan asid dalam perut. Ini boleh mengelakkan asid ini naik dari perut ke bahagian tekak.

      Begitu juga penyakit asma. Rawatannya berbeza. Ia memerlukan ubat sedut jenis steroid untuk menjadikan kawalan asma pesakit lebih terkawal dan mengurangkan kekerapan serangan asma.

      Oleh itu, setiap daripada penyakit mempunyai rawatan dan simptom yang berbeza. Ini memerlukan pemeriksaan daripada doktor yang merawat. Oleh itu, dinasihatkan tuan untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik yang terdekat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × two =

Scroll to Top