Skip to content

Sakit Dada: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada sakit dada dan apakah rawatan-nya?

Artikel ini akan membincangkan pelbagai punca kepada masalah sakit dada dan juga cara rawatannya


Pengenalan

Sakit dada merupakan salah satu tanda yang ditakuti oleh orang ramai kerana ia boleh merujuk kepada sakit jantung. Ia boleh datang dengan pelbagai rasa sakit seperti rasa dicucuk, rasa ditekan, rasa terbakar dan juga rasa pedih.

Kesemua jenis kesakitan ini boleh merujuk kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut.Kesakitan yang melibatkan sakit jantung sebagai contoh, ia boleh menyebabkan sakit itu pergi ke bahagian leher, rahang dan juga bahagian tangan kiri. Oleh itu, penting untuk membezakan jenis kesakitan dada supaya punca kepada masalah itu dapat dikenalpasti dengan lebih tepat.

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan simptom ini berlaku. Tetapi penyebab utama kematian selalunya adalah disebabkan serangan sakit jantung.Oleh kerana simptom ini boleh merujuk kepada penyakit yang serius seperti serangan sakit jantung, maka anda dinasihati untuk berjumpa dengan doktor jika mempunyai simptom tersebut.


Punca Sakit Dada

Sakit dada mempunyai pelbagai punca dan ia berkait rapat dengan struktur yang berada di bahagian dada seperti jantung, organ perut, paru-paru termasuk otot-otot yang berada di kawasan tersebut.

Masalah Jantung

Ini adalah punca yang berkaitan dengan masalah jantung. Ia adalah:

1. Angina

Angina adalah sakit dada yang berlaku disebabkan salur darah yang semakin mengecil dibahagian jantung. Perkara ini berlaku kerana terdapat plak yang terbentuk pada saluran darah disebabkan kolesterol.

Jika plak tersebut pecah, ia akan menyebabkan pembekuan darah dikawasan tersebut. Ini akan menyebabkan salur darah dibahagian jantung itu tersumbat dan menyebabkan kawasan jantung kekurangan oksigen.Perkara ini menyebabkan rasa sakit dada, tetapi ia masih tidak menyebabkan kematian sel jantung.

2. Serangan Sakit Jantung

Sakit jantung berlaku disebabkan sumbatan pada salur darah dibahagian jantung sehingga menyebabkan kematian sel. Jadi, ini merupakan salah satu punca utama sakit dada yang perlu disiasat. Pesakit-pesakit yang mengalami simptom selalunya akan dibuat ujian Elektrokardiogram bagi mengesan masalah sakit jantung ini.

3. Aortic dissection

Ini adalah keadaan dimana lapisan dalam saluran darah dibahagian jantung terkoyak. Perkara ini berlaku dibahagian salur darah aorta. Apabila saluran darah tersebut terkoyak ini, menyebabkan salur darah tersebut tersumbat dan darah tidak dapat dipamkan secara efisien ke seluruh tubuh.

4. Pericarditis

Terdapat satu lapisan yang menyelaputi jantung. Lapisan tersebut dipanggil sebagai pericardium dan berfungsi untuk melindungi jantung dan membenarkan jantung mengepam seperti biasa. Masalah pericarditis ini pula berlaku apabila lapisan tersebut mengalami keradangan.

Masalah Pencernaan

Sistem pencernaan juga boleh menyebabkan simptom ini. Punca-puncanya adalah:

1. Masalah pundi hempedu

Pundi hempedu terletak dibahagian kanan hati. Ia terletak dibahagian kanan atas abdomen. Batu hempedu boleh menyebabkan sakit dibahagian tersebut dan ia boleh merebak kebahagian dada. Perkara ini berlaku disebabkan saraf yang menghantar maklumat sakit dibahagian hempedu adalah sama dengan bahagian dada. Oleh itu, pesakit juga akan mengalami simptom ini

2. Masalah pankreas

Keradangan pankreas(acute pancreatitis) boleh menyebabkan sakit dada berlaku. Pankreas walaupun terletak dibahagian belakang abdomen ia masih boleh menyebabkan kesakitan dibahagian dada. Ini kerana kerandangan pankreas selalunya teruk dan akan memberi kesan di organ sekelilingnya seperti diafragma. Diafragma ini pula membawa saraf sakit sama seperti dibahagian dada menyebabkan pesakit akan mengalami sakit dada juga.

3. Penyakit gastrik

Pesakit gastrik selalunya akan mengadu sakit atau pedih dibahagian ulu hati. Tetapi jika ia terlalu teruk, ia juga boleh menyebabkan sakit itu merebak kebahagian dada

Masalah otot dan tulang

Masalah dibahagian otot dan tulang boleh menyebabkan simptom ini berlaku. Punca-puncanya adalah:

1. Sakit otot

Batuk teruk yang dialami oleh seseorang boleh mencederakan otot pada bahagian dada. Kecederaan pada otot bahagian dada ini akan menyebabkan dada merasa sakit terutamanya ketika bergerak, semasa menarik nafas dan semasa batuk.

2. Costochondritis

Terdapat tisu rawan yang menyambungkan tulang rusuk dan tulang sternum. Tulang sternum merupakan tulang bahagian tengah dadah. Tisu rawan itu boleh mengelami keradangan dan menyebabkan kesakitan terutamanya apabila seseorang itu menarik nafas dengan dalam.

Masalah Paru Paru

Masalah pada bahagian paru-paru juga boleh menyebabkan simptom sakit dada. Ia boleh berpunca disebabkan:

1. Pneumothorax

Paru-paru diibaratkan seperti belon. Saiznya kekal tidak berubah kerana ia melekat dibahagian dinding dada. Dalam pneumothorax, paru-paru telah pecah menyebabkan udara memasuki ruang diantara paru-paru. Ini menyebabkan paru-paru mengecut dan pesakit akan merasa sakit yang teruk berserta sesak nafas. Jika tidak dirawat, nyawa pesakit mungkin akan melayang.

2. Pulmonary embolism

Adalah satu keadaan dimana darah beku telah menyumbati saluran darah dibahagian paru-paru. Ini menyebabkan oksigen tidak dapat dimasukkan ke dalam darah. Jika sumbatan itu berlaku pada salur darah utama, pesakit selalunya akan meninggal dunia.

3. Penyakit tibi: Penyakit Tibi adalah disebabkan jangkitan kuman bernama Mycobacterium Tuberculosis. Selalunya penyakit ini berjangkit daripada orang lain dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit kencing manis dan HIV mudah dijangkiti penyakit ini

4. Jangkitan Paru-paru: Pesakit selalunya akan mengalami demam yang tinggi dan sesak nafas jika jangkitan tersebut teruk

5. Kanser paru-paru: Adalah disebabkan ketumbuhan yang tidak normal dalam paru-paru. Mereka yang kerap menghisap rokok mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kanser jenis ini.

Punca-punca lain sakit dada

Terdapat beberapa penyakit lain yang menyebabkan simptom ini berlaku. Ia adalah:

1. Panic attack

Ketika serangan panik berlaku, pesakit akan merasa sakit dada yang teruk, sesak nafas, berdebar-debar dan berpeluh dengan banyak.

2. Kayap

Kayap adalah jangkitan virus dibahagian sarah kulit. Jika ia berlaku dibahagian dada, ia boleh menyebabkan rasa sakit terutamanya pada bahagian kulit dada.



Punca Sakit Dada secara ringkas ialah:

Masalah JantungSakit Jantung, Angina, Aortic Dissection, Pericarditis
Masalah PencernaanGastrik, Batu Hempedu, GERD, Keradangan Pankreas
Masalah Paru-ParuJangkitan Paru-paru, Kanser Paru-paru, Penyakit Tibi, Pulmonary Embolism, Pneumothorax
Masalah OtotSakit Otot, Costochondritis
Punca lain Sakit DadaKayap, Serangan Panik

Jenis Simptom Sakit Dada

Sakit mempunyai karakter ataupun sifat yang berlanian. Sifat yang berlainan ini membolehkan punca kepada masalah ini dikenalpasti.

Sakit Dada Disebabkan Masalah Jantung

Ramai daripada masyarakat mengaitkan sakit dada dengan serangan sakit jantung. Tetapi majoritinya bukanlah disebabkan masalah jantung. Ia boleh disebabkan masalah lain seperti gastrik, batuk yang teruk dan beberapa penyebab yang lain.

Akan tetapi, terdapat beberapa ciri-ciri yang dialami oleh mereka yang sedang menghadapi sakit jantung. Ciri-ciri tersebut adalah:

  • Sakit seolah dada di tekan atau dihimpit
  • Sakit itu boleh pergi ke bahagian kiri leher, kiri rahang dan juga tangan kiri
  • Berpeluh seolah-olah sedang berlari
  • Susah bernafas
  • Sakit dada yang berterusan walaupun sedang berehat
  • Rasa ketat pada bahagian dada
  • Rasa nak pitam
  • Muntah


Sakit Dada Yang Lain

Terkadang susah untuk membezakan sakit dada yang disebabkan masalah jantung ataupun disebabkan penyakit lain. Terdapat beberapa ciri-ciri yang boleh digunakan untuk membezakan simptom ini daripada sakit jantung. Oa adalah:

  • Selalu merasa masam pada bahagian tekak terutamanya bila bangun tidur
  • Kesukaran untuk menelan.
  • Kesakitan bertambah apabila posisi badan beruabah
  • Kesakitan bertambah apabila menari nafas ataupun batuk
  • Dada sakit ketika ditekan

Perlu anda tahu bahawa simptom seperti sakit ataupun pedih pada ulu hati merupakan salah satu simptom serangan sakit jantung walaupun kebanyakannya lebih menunjukkan penyakit gastrik. Oleh itu, doktor akan memeriksa jantung jika pesakit disyaki menghadapi serangan sakit jantung

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pengesahan

Ramai dikalangan kita yang merasakan jika seseorang itu mengalami sakit dada, maka ia ada kaitan dengan sakit jantung. Tetapi kebanyakannya ia bukan disebabkan masalah tersebut. Oleh sebab itu, anda perlulah mendapat pemeriksaan di klinik jika menghadapi masalah ini.

Terdapat beberapa ujian yang akan dilakukan untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut. Ia adalah:

  • Electrocardiogram(ECG): Dalam ujian ini, beberapa wayar akan ditampal pada bahagian pesakit. Ia bertujuan untuk mengesan gelombang elektrik yang dihasilkan jantung. Dengan bacaan tersebut, keadaan jantung pesakit tersebut dapat diketahui.
  • Ujian darah: Ada beberapa ujian yang kita boleh buat untuk mengetahui seseorang itu mengalami saringan sakit jantung ataupun tidak. Ujian yang selalu dibuat adalah Troponin T ataupun creatinine kinase.
  • X-ray dada: Pengimejan jenis ini diperlukan untuk melihat kawasan paru-paru dan juga kawasan jantung.

Rawatan Sakit Dada

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah ini. Oleh itu rawatan yang diberikan perlulah spesifik kepada masalah tersebut. Kami hanya akan menceritakan beberapa rawatan tersebut:

1. Serangan sakit jantung

Untuk serangan sakit jantung ia bergantung kepada beberapa faktor. Tetapi ini adalah beberapa rawatan yang selalu diberikan kepada pesakit

  • Ubat Cair darah (Aspirin dan Clopidogrel): Kedua-dua jenis ubat ini adalah bertujuan untuk mencairkan darah. Ia akan mengelakkan darah beku yang berlaku di saluran darah jantung semakin membesar.
  • Ubat Thrombolytic: Ubat ini berfungsi untuk menguraikan darah beku di saluran jantung. Apabila darah beku tersebut telah terurai, aliran darah akan menjadi normal semula.
  • Angioplasty: Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan wayar terus ke dalam saluran darah bahagian jantung. Fungsinya adalah untuk membuka saluran darah dibahagian tersebut
  • Pembedahan ‘Bypass’: Bahagian saluran jantung yang tersumbat akan digantikan dengan saluran darah yang lain dimana ia akan memintas kawasan yang tersebut tersebut.

Kesemua rawatan ini memerlukan konsultansi daripada doktor.



2. Masalah Gastrik

Untuk masalah gastrik, selalunya pesakit akan dirawat dengan memberikan ubat Gastrik dan ubat alkali untuk meneutralkan asid dalam perut. Jika pemeriksaan mendapat pesakit mempunyai jangkitan H. pylori, pesakit perlulah diberikan antibiotik untuk membunuh kuman tersebut.

3. Masalah otot

Ada sesetengah sakit dada disebabkan otot dada yang tercedera mungkin disebabkan batuk yang terlalu kuat. Selalunya pesakit seperti ini boleh dirawat dengan penggunaan ubat tahan sakit. Malah jika ia tidak terlalu teruk, pesakit tidak perlu ambil apa-apa ubat dan ia akan baik dengan sendirinya

Artikel Berkaitan:

  1. 10 Cara Mengelakkan Sakit Jantung

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Tintinalli JE, et al. Chest pain. In: Tintinalli’s Emergency Medicine: A Comprehensive Study Guide. 8th ed. New York, N.Y.: The McGraw Hill Companies; 2016
  2. McKean SC, et al. Chest pain. In: Principles and Practice of Hospital Medicine. New York, N.Y: The McGraw-Hill Companies; 2012
  3. Light RW. Primary spontaneous pneumothorax in adults. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × three =