Skip to content

Batuk Kering (Penyakit Tibi): Punca, Simptom & Rawatan

Batuk Kering (Tuberkulosis) juga dikenali sebagai penyakit tibi merupakan jangkitan kuman yang boleh berlaku kepada semua sistem dan organ dalam tubuh. Penyakit ini adalah disebabkan jangkitan bakteria yang dipanggil sebagai Mycobacterium tuberculosis.

Dalam masyarakat kita, tuberculosis(TB) dikenali sebagai batuk kering kerana salah satu simptom yang pesakit hadapi apabila kuman ini mengjangkiti paru-paru adalah batuk yang berpanjangan.

Akan tetapi, ada juga jenis penyakit batuk kering yang tidak melibatkan simptom batuk langsung. Ianya berlaku apabila kuman tersebut menjangkiti kawasan badan yang lain selain daripada paru-paru. Oleh disebabkan itu, pesakit TB akan dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  • Pulmonary Tuberculosis iaitu jangkitan kuman hanya berlaku pada bahagian paru-paru sahaja
  • Extra-pulmonary Tuberculosis iaitu jangkitan kuman tersebut berlaku luar daripad kawasan paru-paru.


***Pulomnary bermaksud paru-paru. Extra-pulmonary bermaksud diluar paru-paru

Penting untuk membahagikan dua jenis penyakit ini kerana masa rawatannya adalah berbeza. Extra-pulmonary TB memerlukan jangka masa rawatan yang lebih panjang berbanding dengan pulmonary TB

Bagaimana Penyakit Tibi berlaku?

Jangkitan kuman M tuberculosis berlaku apabila terdapat pemindahan titisan air yang dijangkiti daripada pesakit yang dijangkiti TB masuk ke dalam paru-paru manusia yang lain. Sekali batuk mampu menghasilkan beribu titisan air yang mengandungi bakteria tersebut.

Apabila dihidu, titisan air tersebut akan masuk ke dalam paru-paru. Bakteria tersebut mengambil masa lebih kurang 2 hingga ke 12 minggu untuk menghasilkan satu bilangan yang besar. Pada ketika itu salah satu ujian tuberculosis yang dinamakan sebagai ujian Tuberculin boleh memberi keputusan yang positif apabila dijalankan.

Paru-paru merupakan organ yang selalu dijangkiti batuk kering. Ia merangkumi 85% pesakit yang mengalami penyakit tibi. Jangkitan tersebut mungkin akan disembuhkan oleh sistem imun pesakit menjadikan pesakit tersebut berstatus ‘latent TB infection'(Jangkitan TB terpendam) dimana kuman tersebut boleh aktif semula ketika mana sistem imun badan menjadi lemah.



Extrapulmonary TB selalunya berlaku pada bahagian badan tersebut iaitu:

  • Kalenjar limfa
  • Tulang belakang
  • Kalenjar adrenal
  • Selaput otak (meninges)
  • Saluran permakanan

Punca batuk kering (Punca Penyakit Tibi)

Batuk kering berlaku disebabkan jangkitan kuman Mycobacterium tuberculosis yang merupakan bakteria aerob iaitu memerlukan oksigen untuk hidup. Ia berbentuk rod, tidak boleh bergerak dan mempunyai dinding sel yang terbina daripada rantaian panjang glycolipids dan phospholipoglycans yang melindungi bakteria tersebut daripada serangan sistem imun badan.

Cara menjangkiti manusia

M tuberculosis hanya diketahui menjangkiti manusia sahaja. Ia tidak menjangkiti haiwan.

Ia merebak ke manusia lain daripada titisan air yang terhasil daripada perbuatan batuk ataupun bersin seseorang pesakit TB

Bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang bagus, jangkitan ini akan menyebabkan ‘latent TB infection‘(Jangkitan TB terpendam) sahaja dimana bakteria tersebut akan menjadi tidak aktif. Hanya lebih kurang 5% sahaja daripada individu ini akan menghadapi penyakit Tibi yang aktif semula apabila sistem imun badan menjadi lemah.

Cara Jangkitan TB merebak ke bahagian badan yang lain (extrapulmonary TB)

Disebabkan kebolehan M tuberculosis untuk terus hidup di dalam sel imun yang telah menelan bakteria tersebut, sel imun ini akan dibawa ke tempat lain melalui peredaran darah dan juga peredaran saluran limfa.



Ini membuatkan jangkitan tuberculosis boleh dibawa ke bahagian badan yang lain seperti bahagian tulang, hati, buah pinggang, sumsum tulang dan juga otak.

Walaupun demikian extra-pulmonary TB jarang berlaku pada mereka yang mempunyai sistem imun yang normal. Selalunya ia berlaku pada mereka yang mengalami masalah imun sistem seperti pesakit HIV, kencing manis, mereka yang berumur ataupun pesakit yang sedang mengambil ubat yang akan mengurangkan keberkesann sistem imunya seperti pengambilan ubat steroid mahupun kemoterapi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor Risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan kebarangkalian seseorang itu untuk dijangkiti dengan penyakit batuk kering. Ianya adalah:

  • Penyakit HIV
  • Penagih dadah
  • Pesakit kencing manis
  • Mereka yang selalu minum arak
  • Mereka yang sedang mengambil ubat yang akan mengurangkan keberkesanan sistem imun
  • Kanser darah
  • Kegagalan buah pinggang
  • Merokok
  • Kanak-kanak kurang daripada 5 tahun

Simptom dan Tanda Batuk Kering(Penyakit tibi)

Simptom dan tanda yang selalu berlaku kepada pesakit batuk kering adalah:

Simptom dan tanda jangkitan tuberculosis pada selaput otak(meningitis) pula adalah:

  • Sakit kepala yang berterusan selama 2-3 minggu
  • Perubahan dalam tingkah laku
  • Sawan
  • Pesakit mungkin akan pengsan dan koma

Simptom TB yang telah menjangkiti tulang pula adalah:

  • Sakit belakang
  • Bahagian tulang belakang menjadi bengkok
  • Kaki menjadi lumpuh disebabkan himpitan yang berlaku pada saraf tunjang

Simptom bagi jangkitan TB pada saluran buang air kencing pula adalah:

  • Sakit pinggang
  • Sakit ketika buang air kencing
  • Kerap kencing
  • Pada kaum lelaki, keradangan pada testis boleh berlaku

Simptom bagi jangkitan TB pada saluran permakanan pula adalah:



  • Ulser yang tidak boleh sembuh
  • Susah untuk menelan(Jangkitan yang berlaku di esofagus)
  • Sakit ulu hati (Jangkitan TB pada perut)
  • Cirit-birit dan juga pendarahan ketika buang air besar(Jangkitan TB pada usus)

Periksa Simptom anda Di Sini

Diagnosa-diagnosa lain

Pulmonary TB juga dikira sebagai salah satu penyakit jangkitan paru-paru. Terdapat beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama. Ianya adalah:

Kanser Paru-paruNanah dalam Paru-paru
BronchiectasisAspergilosis
HistoplasmosisPulmonary Embolism

Kanser-kanser yang lain seperti kanser usus, kanser hati, kanser prostat, kanser payu dara juga boleh menyebabkan simptom-simptom di atas. Ini kerana kanser tersebut boleh merebak ke paru-paru

Penyiasatan

Ujian saringan yang selalu dibuat adalah Ujian Mantoux tuberculin.

Ujian Mantoux

Ujian ini dilakukan dengan menggunakan protein daripada bakteria M tuberculosis. Protein tersebut disuntik dibawah kulit untuk melihat reaksi yang akan berlaku. Selalunya masa yang diambil adalah dalam 3 hari.

Pada hari yang ketiga, bahagian kulit yang timbul seperti digigit nyamuk akan diukur. Jika ia lebih daripada 10 cm, pesakit akan menjalani ujian x-ray dada pula selepas itu. Jika kurang daripada 10cm, pesakit tidak perlu menjalani ujian yang seterusnya.

X-ray



Jika x-ray tersebut tidak normal, pesakit akan seterusnya menjalani ujian untuk memastikan sama ada dia mempunyai jangkitan TB yang aktif ataupun tidak iaitu dengan pemeriksaan kahak.

Pemeriksaan Kahak

Pesakit akan menjalani pemeriksaan kahak untuk melihat sama ada dalam kahak tersebut mempunyai kuman Tuberculosis. Selalunya kahak akan diambil pada waktu pagi dan ujian ini memerlukan 3 sampel kahak bagi memastikan benar-benar bahawa seseorang itu mempunyai Batuk kering ataupun tidak

Kultur dan sensitiviti

Jika kahak tersebut mempunyai kuman M tuberculosis, prosedur yang seterusnya adalah untuk menghantar spesimen tersebut di makmal untuk membiakkannya dan mengujinya sama ada dia boleh dirawat dengan menggunakan ubat yang biasa ataupun memerlukan ubat yang lebih kuat.

Ini penting supaya rawatan yang dijalankan ke atas pesakit adalah rawatan yang berkesan.

Pengambilan sampel pada tempat yang disyaki mempunyai extrapulmonary TB

Jika pesakit disyaki mempunyai TB di tempat lain sebagai contohnya pada kalenjar limfa, pengambilan sampel pada kawasan tersebut boleh dilakukan untuk melihat kehadiran M tuberculosis.



Rawatan Batuk Kering (Tuberculosis)

Rawatan Batuk kering adalah bertujuan untuk menyembuhkan pesakit dan juga mengurangkan risiko merebaknya pesakit tersebut.

Oleh itu, jika seseorang telah dijangkiti TB, bahagian kesihatan akan menyiasat kes tersebut dan juga mencari mereka yang pernah bersentuhan ataupun bergaul dengan pesakit terutamanya ahli rumah dan juga kawan satu tempat kerja.

Mereka yang terlibat akan dibuat saringan supaya kes TB dapat dikesan dan dirawat sama seperti pesakit. Ini penting untuk mengelakkan daripada jangkitan TB semakin merebak.

Rawatan Pulmonary TB (TB paru-paru)

Rawatan TB paru-paru terbahagi kepada 2 fasa iaitu fasa pertama selama 2 bulan dan fasa kedua selama 4 bulan. Dalam fasa pertama pesakit akan diberikan ubat Isoniazid, rifampicin, pyrazinamide dan juga ethambutol untuk membunuh kuman tersebut.

Pada fasa pertama, kahak pesakit akan diambil beberapa kali untuk memastikan bahawa tidak lagi wujud bakteria tersebut di dalam kahak. Pesakit diwajibkan untuk memakai topeng mulut pada ketika ini untuk mengelakkan jangkitan pada orang lain

Pada fasa kedua pula, pesakit akan meneruskan ubat isoniazid dan juga rifampicin sahaja sehinggalah habis 4 bulan. Oleh itu, jumlah waktu rawatan semuanya adalah 6 bulan.

Rawatan Extrapulmonary TB



Bagi pesakit yang mengalami extrapulmonary TB, selalunya waktu rawatan adalah lebih lama berbanding dengan rawatan Pulmonary TB. Pesakit yang mempunyai TB meningitis rawatan selalunya selama 9 hingga 12 bulan. Manakala TB tulang pula rawatannya adalah untuk 9 bulan.

Directly Observed Therapy (DOT)

DOT adalah salah satu program penting dalam rawatan TB. Ini disebabkan rawatan TB yang memakan waktu berbulan-bulan akan menyebabkan pesakit cenderung untuk tidak meneruskan rawatan apabila merasa diri mereka sihat.

Pesakit yang cenderung tidak meneruskan rawatan ini selalunya akan datang balik ke klinik disebabkan perkara yang sama. Ini kerana jangkitan kuman TB masih berada di dalam badan jika pesakit tidak menghabiskan ubat yang diberikan.

Disebabkan perkara itu, program DOT diperkenalkan dimana pesakit wajib datang setiap hari ke klinik untuk diberikan ubat dan pesakit akan makan ubat tersebut dihadapan perawat kesihatan. Pesakit yang tidak datang ke klinik akan dihubungi oleh perawat kesihatan dan diingatkan untuk datang ke klinik pada hari tersebut.

Perkara ini penting supaya pesakit menerima rawatan setiap hari dan jangkitan tersebut dapat disembuhkan sepenuhnya.

Salah satu perkara yang buruk boleh terjadi apabila pesakit sering tidak makan ubat yang diberikan adalah kuman tuberculosis tersebut akan menjadi kebal daripada ubat yang selalu diberikan. Pesakit yang menghadapi perkara ini akan lebih sukar dirawat kerana memerlukan ubat yang lebih kuat daripada ubat yang sebelum ini.

Oleh itu, jika anda disahkan mempunyai jangkitan TB, wajib untuk anda mengambil ubat setiap hari sehinggalah penyakit tersebut benar-benar sembuh.



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guideline: Management of Tuberculosis (3rd Edition/Nov 2012). Ministry of Health Malaysia
  2. Menzies D, Joshi R, Pai M. Risk of tuberculosis infection and disease associated with work in health care settings. Int J Tuberc Lung Dis. 2007 Jun. 11(6):593-605.
  3. Slama K, Chiang CY, Enarson DA, et al. Tobacco and tuberculosis: a qualitative systematic review and meta-analysis. Int J Tuberc Lung Dis. 2007 Oct. 11(10):1049-61.
  4. Featured image daripada ideahacks.com
Advertisements

2 thoughts on “Batuk Kering (Penyakit Tibi): Punca, Simptom & Rawatan”

  1. Hai. Sejak saya baik demam awal bulan 12 saya ada batuk tapi bukan batuk kering. Batuk berkahak. Sudah bermacam ubat batuk saya ambil tapi masih juga tidak baik. Saya juga ada athma. Saya kerap ambil inhaler apabila batuk. Kadang2 saya terpaksa jolok tekak untuk keluarkan muntah kahak baru rasa lega sikit. Boleh saya tau apa yang perlu saya lakukan?

    1. Selalunya kalau batuk sudah 2 minggu, perlu dilakukan saringan TB iaitu melibatkan x-ray, pengambilan kahak and ujian mantoux test. Tapi selalunya doktor akan periksa sama ada puan mengalami masalah asthma yang tidak terkawal ataupun punca lain seperti masalah GERD. Boleh ke klinik kesihatan terlebih dahulu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + fifteen =