Kencing Manis : Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Kencing manis juga dikenali sebagai Diabetes mellitus dalam istilah perubatan. Ia merupakan salah satu penyakit metabolik kerana ia memberi kesan kepada kandungan gula di dalam darah. 

Ia berpunca daripada kegagalan sistem badan mengekalkan kandungan gula pada tahap yang normal. Maka kandungan gula dalam darah meningkat daripada aras yang normal dan keadaan ini dipanggil sebagai hiperglisemia.

Isi Kandungan
1. Simptom
2. Punca
3. Bagaimana kencing manis berlaku?
4. Punca lain kencing manis
5. Ujian Pengesahan
6. Komplikasi
7. Ujian mengesah komplikasi
8. Rawatan
9. Soalan

Simptom dan tanda-tanda kencing manis


Simptom-simptom kencing manis ini selalunya akan timbul jika pesakit mempunyai bacaan kencing manis yang sangat tinggi. Simptom tersebut adalah:

  • Polyuria: Pesakit akan kerap membuang air kencing
  • Polydipsia: Pesakit akan sentiasa merasa haus dan mengambil air dalam kuantiti yang banyak
  • Polyphagia: Pesakit akan sentiasa rasa lapar dan asyik makan
  • Nocturia: Pesakit akan kerap bangun malam untuk buang air kencing
  • Mendapat jangkitan kuman yang teruk dan susah sembuh
  • Kaki rasa kebas
  • Tangan rasa kebas
  • Carbuncle(jangkitan kuman yang melibatkan beberapa folikel pada kulit yang membentuk nanah yang besar)

Majoriti daripada pesakit kencing manis tidak mempunyai apa-apa simptom atau tanda.

Oleh disebabkan itu, anda perlulah sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan pada diri anda sekurang-kurangnya setahun sekali. Sudah memadai untuk periksa tekanan darah dan juga gula dalam badan.


Punca kepada kencing manis


Penyakit ini selalunya berpunca daripada beberapa faktor risiko.

Faktor risiko tersebut adalah:


Kerintangan Insulin

Kebanyakan faktor risiko di atas akan menyebabkan kerintangan insulin iaitu insulin tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.

Ini menyebabkan gula dalam darah tidak dapat diserap ke dalam sel dengan sepenuhnya dan bacaan gula pun meningkat

Pesakit makan lebih banyak

Dalam pesakit di atas juga akan menyebabkan hormon leptin tidak berfungsi dengan sepenuhnya.

Fungsi hormon leptin adalah untuk memberikan rasa kenyang kepada seseorang.

Disebabkan hormon leptin bermasalah, maka seseorang itu akan sentiasa lapar dan menyebabkan ia kerap makan dan berat badannya semakin bertambah


Bagaimana kencing manis berlaku?


Kencing manis seperti yang diketahui adalah kandungan gula yang tinggi di dalam darah disebabkan badan tidak mampu mengawal keadaan tersebut.

Ia disebabkan 2 perkara iaitu:

  • Kerintangan insulin(Insulin resistance)
  • Kekurangan penghasilan insulin(Insulin Deficiency)

Fungsi insulin

Insulin berfungsi untuk mengawal kandungan gula di dalam darah. Kehadiran insulin dalam darah akan memudahkan penyerapan gula daripada dalam darah ke dalam sel.



Jenis kencing manis

Perlu kita tahu bahawa masalah ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu

  1. Kencing manis jenis 1(Type 1 Diabetes mellitus)
  2. Kencing manis jenis 2(Type 2 Diabetes mellitus)

Type 1 Diabetes Mellitus

Ia disebabkan sel imun badan menjadi keliru dan menyerang sel pankreas yang menghasilkan hormon insulin.

Ini menyebabkan pesakit tidak lagi menghasilkan hormon insulin dan kencing manis pun berlaku

Type 2 Diabetes mellitus

Ia disebabkan kerintangan insulin. Selalunya mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kencing manis dan obes

Kencing manis jenis ini adalah yang paling selalu berlaku di dalam masyarakat


Punca lain yang menyebabkan kencing manis


Terdapat beberapa jenis penyakit lain yang boleh menyebabkan gula menjadi tinggi di dalam darah. Penyakit-penyakit tersebut adalah

Ujian Pengesahan


Bagi mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah kencing manis ataupun tidak, pesakit perlulah menjalani pemeriksaan darah untuk melihat kandungan gula dalam darah.

Jenis darah yang perlu diambil adalah darah daripada saluran vena. Ia adalah lebih tepat berbanding darah daripada saluran kapilari(Iaitu darah yang selalu diambil pada hujung jari).

Terdapat 2 pembahagian bagi pesakit ini ketika melakukan saringan kencing manis iaitu mereka yang mempunyai simptom dan mereka yang tidak mempunyai simptom.

Pesakit yang mempunyai simptom

Mereka yang mempunyai simptom seperti yang dikatakan di atas seperti kerap kencing, kerap rasa dahaga, selalu letih berserta bacaan gula yang tinggi, akan disahkan menghidapi kencing manis.


Bacaan gula yang tinggi

Bacaan gula ketika puasa: Lebih 7 mmol/L
Bacaan gula ketika tidak berpuasa: 11.1 mmol/L



Pesakit yang tidak mempunyai simptom

Pesakit yang tidak mempunyai apa-apa simptom memerlukan bacaan gula yang tinggi sebanyak 2 kali sebelum disahkan mengalami kencing manis.

Bacaan gula ketika puasa yang melebihi 7mmol/L sebanyak 2 kali menunjukkan pesakit mempunyai kencing manis.


Oral Glucose tolerance test(OGTT)

Bagi pesakit yang mempunyai bacaan gula diantara 6.1-6.9mmol/L, pesakit perlulah menjalani ujian OGTT untuk mengesahkan sama ada pesakit mengalami kencing manis ataupun tidak.

Dalam ujian ini, pesakit akan disuruh puasa terlebih dahulu di malam hari. Kemudian, pagi tersebut darah akan diambil terlebih dahulu untuk memeriksa kandungan gula.

Selepas itu, pesakit akan disuruh minum air gula dan diminta tunggu selama 2 jam. Selepas 2 jam, darah akan diambil semula untuk memeriksa kandungan gula dalam darah.

Jika bacaan gula melebihi 11.1mmol/L, pesakit disahkan mempunyai kencing manis.


Komplikasi


Komplikasi yang berlaku bagi pesakit ini adalah disebabkan kerosakan pada saluran darah. Ketika mana saluran darah tersebut rosak, ia boleh menyebabkan sumbatan salur darah di bahagian tersebut dan menyebabkan sel dikawasan itu mati.

Beberapa komplikasi yang boleh berlaku adalah:

Ujian mengesan komplikasi kencing manis


Seperti mana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai masalah ini akan mudah terdedah kepada komplikasi seperti serangan sakit jantung, kerosakan buah pinggang, kerosakan mata dan sebagainya.

Oleh itu, terdapat pemeriksaan berkala yang perlu dilakukan oleh pesakit supaya komplikasi awal dapat dikesan dan dirawat seawal yang mungkin.

Beberapa ujian yang akan dilakukan adalah:

1. Bacaan microalbumin dalam air kencing

Terdapat sesetengah pesakit kencing manis mempunyai protein di dalam air kencingnya. Kehadiran protein dalam air kencing menunjukkan terdapat kebocoran pada buah pinggang disebabkan kencing manis tersebut.

Jika tidak dirawat ia akan merosakkan buah pinggang tersebut sedikit demi sedikit. Pada awalnya, pesakit tidak akan mempunyai apa-apa simptom dan bacaan untuk lihat fungsi buah pinggang adalah normal.

Pesakit kencing manis yang mempunyai masalah protein dalam air kencing selalunya akan diberi ubat Angiotensin-converting enzyme inhibitor(ACEi). Ini disebabkan terdapat kajian yang menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan protein dalam air kencing jesteru melindungi buah pinggang daripada mengalami kerosakan yang teruk. Perlu diketahui bahawa Ubati ACEi ini adalah ubat darah tinggi.

2. Electrocardiogram(ECG)

ECG digunakan untuk memeriksa keadaan jantung sama ada mempunyai komplikasi ataupun tidak. Ini kerana sesetengah pesakit mempunyai simptom yang tidak selalunya berlaku ketika mana seseorang itu menghadapi sakit jantung.

Pesakit selalunya akan membuat ujian ini setahun sekali sahaja jika tidak mempunyai apa simptom.

3. Fundoscopy

Masalah ini boleh merosakkan saluran darah termasuk saluran darah dibahagian mata. Oleh itu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan rutin bagi mata.

Pemeriksaan yang selalunya dilakukan adalah dengan menggunakan fundus camera dimana kamera khas digunakan untuk melihat retina mata.

4. X-ray dada

Pesakit diabetes mudah dijangkiti kuman tibi. Ini disebabkan penyakit diabtes akan menyebabkan sistem imun menjadi lemah menyebabkan penyakit tibi ini senang menjangkiti mereka.

Oleh kerana itu, pesakit akan diminta untuk membuat x-ray dada setahun sekali untuk melihat keadaan paru-paru.

5. Fungsi buah pinggang

Penyakit diabetes boleh memberi kesan kepada buah pinggang. Jika gula tidak dikawal dengan baik, ia akan membebankan buah pinggang dengan gula yang banyak dan menyebabkan ia rosak sedikit demi sedikit. Sebab itulah pentingnya untuk memeriksa fungsi buah pinggang tersebut secara berkala

6. Fungsi hati

Sesetengah pesakit ini mempunyai masalah hati dimana terdapat lemak di dalam organ tersebut. Ini boleh menjejaskan fungsi hati tersebut.

Oleh itu, sampel darah untuk memeriksa fungsi hati tersebut perlulah dibuat.

Rawatan kencing manis


Rawatan untuk masalah ini perlulah dilakukan secara holistik dan merangkumi semua aspek. Ini kerana jika kawalan gula tidak betul, pesakit semakin lama akan mempunyai komplikasi terhadap penyakit ini.

Beberapa rawatan yang boleh dilakukan:

1. Perubahan gaya hidup

Permakanan

Pesakit selalunya akan dirujuk kepada pakar pemakanan untuk diajar cara dan jenis makanan yang sesuai bagi mereka yang menghadapi masalah ini.

Makanan yang bagus dan terkawal akan dapat mengawal kandungan gula di dalam badan

Aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal yang cukup untuk badan akan menyebabkan berat badan kita berkurangan. Apabila berat badan berkurangan, insulin menjadi lebih sensitif dan lebih mampu untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah.

Beberapa cadangan yang boleh dilakukan untuk anda adalah:

  • Bersenam 5 kali seminggu atau
  • Perlu bersenam lebih daripada 150 minit dalam seminggu

2. Penggunaan ubat

Ubat ini bergantung kepada bacaan Hba1c. Hba1c adalah bacaan kawalan gula yang diambil daripada darah pesakit. Bacaan ini akan mengambarkan kawalan gula bagi 3 bulan yang lepas. Pesakit yang mempunyai bacaan gula kurang daripada 6.5% selalunya tidak memerlukan apa-apa ubat jika kencing manis tersebut baru sahaja dikesan. Bagi pesakit jenis ini, ia cukup dengan kaunseling permakanan.

Tetapi jika bacaan Hba1c melebih 6.5%, ubat sudah perlu untuk diberikan kepada pesakit.

Beberapa jenis ibuat yang selalunya digunakan untuk pesakit adalah:

  1. Metformin daripada kelas Biguanide
  2. Glibenclamide, Gliclazide dan Glimepiride daripada kelas sulphonylureas
  3. Acarbose daripada alpha-glucosidase
  4. Rosiglitazone daripada kelas Thiazolidinediones
  5. Sitagliptin, vildagliptin dan saxagliptin daripada kelas Dipeptidyl peptidase 4-inhibitor.

3. Penggunaan insulin

Bagi pesakit yang masih mempunyai kawalan gula yang teruk walaupun telah diberikan ubat kencing manis makan, maka solusi terkakhir adalah penggunaan insulin.

Insulin berfungsi untuk memasukkan gula daripada darah ke dalam sel. Ketika mana insulin rendah dalam badan ataupun insulin ini tidak berfungsi dengan betul, kandungan gula dalam darah akan meningkat.

Oleh sebab itulah, pesakit yang menghadapai masalah kencing manis ini juga boleh diberikan insulin.

Pesakit yang mempunyai Hba1c lebih daripada 10% perlulah diberi ubat ini untuk benar-benar mengawal kencing manis dalam badan.

Cadangan alat untuk periksa kandungan gula dalam darah

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus(5th Edition), Dec 2015
  2. Diagnosis and classification of diabetes mellitus. Diabetes Care. 2010 Jan. 33 Suppl 1:S62-9.
  3. U.S. Preventive Services Task Force. Screening for Type 2 Diabetes Mellitus in Adults.
  4. American Diabetes Association. Standards of medical care in diabetes–2012. Diabetes Care. 2012 Jan. 35 Suppl 1:S11-63.
  5. Report of the expert committee on the diagnosis and classification of diabetes mellitus. Diabetes Care. 2003 Jan. 26 Suppl 1:S5-20.

Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

Tuliskan Soalan Anda

avatar
  Ikut perbincangan ini  
Hantar notifikasi jika