Sakit Belakang: Punca dan Cara Mencegah

Published by Dr Latif Saad on

Seseorang itu mesti pernah merasa sakit belakang walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Bahkan ia merupakan salah satu perkara yang kerap berlaku di dalam masyarakat. Majoriti masalah ini adalah disebabkan kesalahan pada postur badan hingga menyebabkan otot dibahagian belakang badan tersebut cedera dan menyebabkan kesakitan.

Masalah pada postur badan yang salah selalunya hanya berlaku untuk beberapa hari sahaja. Ia selalunya akan pulih dengan sendirinya tanpa melakukan apa-apa rawatan.

Tetapi, jika seseorang itu mengalami sakit belakang badan yang teruk dan berterusan, ia perlulah mendapatkan pemeriksaan doktor. Ini kerana ia boleh disebabkan penyakit yang memerlukan rawatan lebih lanjut daripada doktor.

Apakah punca sakit belakang?

Seperti yang telah dijelaskan diatas, kebanyakan daripada masalah sakit belakang adalah disebabkan kesalahan pada postur badan tidak kiralah ketika duduk, berdiri ataupun ketika sedang melakukan sesuatu pekerjaan seperti mengangkat sesuatu benda yang berat.

Postur yang salah boleh membebankan otot bahagian belakang badan dan menyebabkan kecederaan. Inilah yang akan menyebabkan seseorang itu mengalami sakit belakang.

Ada pun beberapa punca yang lain ini memerlukan pemeriksaan dan rawatan lebih lanjut daripada doktor perubatan.

Masalah Tulang Belakang

1. Slipped Disc

Masalah ini berlaku apabila ruas tulang belakang(intervertebral disc) terkeluar daripada tempatnya. Perkara ini selalu berlaku disebabkan kapsul iaitu lapisan paling luar ruas tulang belakang itu koyak. Ini menyebabkan bahagian dalam ruas tulang belakang itu keluar membentuk benjolan dan menghimpit saraf berdekatan kawasan tersebut.

Ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk pada kawasan yang terlibat.

2. Penuaan ruas tulang belakang

Ketika seseorang itu semakin berumur, isipadu ruas tulang belakang semakin berkurangan menyebabkan fungsinya untuk menyerap hentakan semakin berkurangan.

Tulang belakang yang bergeser antara satu sama lain akan menyebabkan kesakitan pada bahagian tersebut.

3. Spinal stenosis

Terdapat laluan keluar saraf daripada tulang belakang. Apabila seseorang itu semakin berumur, ruas tulang belakangnya tidak dapat berfungsi dengan betul hingga menyebabkan tulang belakang bergeser antara satu sama lain.

Perkara ini akan menyebabkan tumbuhnya tulang baru dikawasan geselan tersebut. Tulang itu akan semakin membesar dan menghimpit saraf dilaluan keluar saraf tersebut.

4. Sendi Sacroiliac yang menghadapi keradangan

Sendi sacroiliac terbentuk daripada gabungan 2 jenis tulang iaitu tulang sacrum dan tulang ilium. Tulang ini merupakan 2 buah tulang yang terdapat pada tulang pelvis.

Kecederaan pada kawasan tersebut seperti boleh disebabkan trauma, arthritis dan juga kehamilan.

5. Spondylolisthesis

Keadaan ini berlaku apabila bahagian atas tulang belakang tergelincir ke hadapan menyebabkan saraf tunjang belakang dihimpit.

Kecederaan selepas kemalangan ataupun bersukan

Ketika mana seseorang itu mengalami kemalangan, banyak daripada tisu badan termasuk otot akan mengalami kecederaan. Otot ini termasuk otot dibahagian belakang.

Begitu juga ketika bersukan. Sukan yang intensif ataupun pada waktu yang lama boleh membebankan otot badan dan menyebabkan kecederaan di bahagian otot.

Kedua-dua perkara ini boleh menyebabkan sakit belakang.

Gaya hidup

Kebanyakan penyumbang kepada masalah sakit belakang adalah disebabkan gaya hidup yang tidak sihat. Beberapa perkara yang menyebabkan sakit belakang daripada aspek ini adalah:

  • Jarang bersenam
  • Berat badan yang berlebihan ataupun obes
  • Tidak duduk pada postur yang betul
  • Merokok
  • Mengangkat barang yang terlampau berat ataupun postur badan yang salah ketika mengangkat berat
  • Penggunaan kasut tumit tinggi

Keradangan sendi

Terdapat beberapa pesakit yang boleh menyebabkan keradangan pada bahagian sendi. Jika ia menyebabkan kerdangan sendi pada tulang belakang, pesakit akan mengalami sakit belakang.

Terdapat beberapa penyakit yang boleh menyebabkan keradangan sendi dan selalunya penyakit ini adalah penyakit autoimun. Beberapa contoh penyakit autoimun adalah seperti Rheumatoid Arthritis, Ankylosing spondylosis dan Systemic lupus erythematosus.

Mengandung

Ibu yang mengandung selalunya akan mengadun sakit belakang. Ini kerana berat badan yang semakin bertambah akan memberi beban pada tulang belakang.

Ada juga penyakit lain yang boleh menyebabkan kesakitan bahagian belakang seperti

Apakah komplikasi sakit belakang?

Komplikasi kepada masalah ini bergantung kepada punca yang menyebabkan sakit belakang itu berlaku. Jika sakit belakang itu berpunca daripada salah postur badan ataupun baru lepas kecederaan, selalunya sakit belakang tersebut akan pulih dengan sendirinya tanpa mengalami apa-apa komplikasi.

1. Penyakit yang melibatkan masalah tulang belakang

Masalah tulang belakang yang teruk seperti slipped disc, spinal stenosis dan spondylolisthesis boleh menyebabkan masalah pada bahagian saraf pesakit.

Beberapa perkara yang boleh berlaku kepada pesakit adalah:

  • Sakit bahagian kaki yang teruk
  • Lumpuh bahagian kaki
  • Pesakit tidak boleh mengawal kencing dan buang air besar

2. Penyakit autoimun

Penyakit autoimun yang tidak dirawat dengan betul akan menyebabkan sendi menjadi keras dan susah untuk bergerak. Pesakit akan mengalami sakit belakang yang berterusan

Apakah rawatan pesakit tulang belakang?

Rawatan juga bergantung kepada punca sakit tulang belakang tersebut. Jika ia berkaitan dengan tulang belakang, maka pesakit perlu dirujuk kepada pakar orthopaedic(sakit tulang). Setiap daripada masalah tulang belakang mempunyai cara rawatan yang berbeza.

Jika ia terlalu teruk sehingga menyebabkan kaki menjadi lemah dan tidak dapat mengawal air kencing, kemungkinan besar pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan masalah tulang belakangnya.

Bagi pesakit yang mengalami masalah ini disebabkan gaya hidup, pesakit boleh mencuba beberapa perkara ini sebagai rawatan:

  • Duduk dengan postur yang betul
  • Elakkan daripada mengangkat barang yang berat
  • Menggunakan ubat sapu bagi mengurangkan sakit belakang. Selalunya kita akan gunakan minyak panas yang berfungsi untuk relakskan otot belakang
  • Mengambil ubat tahan sakit jika terlalu sakit
  • Boleh gunakan alat penyokong tulang belakang untuk membetulkan postur badan.

Apakah cara untuk mencegah sakit belakang?

Terdapat beberapa cara dan amalan yang boleh dibuat untuk mengelakkan sakit belakang berlaku. Ia adalah:

  • Duduk pada postur yang betul
  • Elakkan diri daripada mengangkat barang yang berat.
  • Menggunakan postur yang betul ketika mengangkat barang
  • Mengurangkan berat badan ataupun kekalkan berat badan ideal
  • Jangan berlebihan ketika bersukan

Rujukan:

  1. American Academy of Pain Medicine web site: “Commonly-Reported Pain Conditions.”
  2. UCLA Spine Center: “Sacroiliac Joint Disease” and “What You Should Know About Radiculopathy.”
  3. Chien JJ. Curr Pain Headache Rep. Dec 2008.
  4. National Institute of Arthritis and Musculoskeletal and Skin Diseases: “Fast Facts About Back Pain;” “Low Back Pain Fact Sheet;” and “What is Spinal Stenosis?”
  5. Arthritis Foundation: “Degenerative Disc Disease;” “Understanding Arthritis;” and “What is Ankylosing Spondylitis?”
  6. Spine Universe: “Common and Uncommon Causes of Back Pain.”
Categories: Ortopedik

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

1 Comment

Batuk Kering (Penyakit Tibi): Punca, Simptom dan Rawatan - The Diagnosa · January 31, 2019 at 2:32 pm

[…] Sakit belakang […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *