Sakit Rusuk: Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Sakit rusuk mungkin dirasakan sebagai rasa mencucuk ataupun sengal yang di bahagian dada. Sakit tulang rusuk ini juga mempunyai pelbagai punca merujuk kepada sakit yang tidak berbahaya hinggalah jangkitan paru-paru yang boleh menyebabkan pesakit sesak nafas dan meninggal dunia.

Apakah punca sakit rusuk?

Terdapat pelbagai punca kepada masalah sakit rusuk. Staf perubatan akan mengetahui puncanya berdasarkan pemeriksaan fizikal dan juga x-ray jika diperlukan

1. Trauma

Trauma pada bahagian dada boleh menyebabkan kecederaan pada bahagian tersebut dan ia melibatkan:

  • Bengkak di bahagian rusuk
  • Tulang rusuk patah
  • Kecederaan pada otot dibahagian dada

Jika pesakit mempunyai sejarah trauma sebelum sakit rusuk, maka pesakit perlu menjalani x-ray untuk mengetahui sama ada terdapat kawasan tulang rusuk yang patah ataupun tidak.

2. Costochondritis

Masalah Costochondritis merupakan salah satu punca yang selalu menyebabkan sakit tulang rusuk. Ia disebabkan keradangan pada kawasan di antara tulang rusuk yang bersambung dengan tulang sternum(tulang dibahagian hadapan dada).

Terdapat tulang rawan di kawasan itu dan ianya boleh mengalami keradangan. Salah satu simptom yang lain adalah sakit tersebut akan berlaku apabila kawasan tersebut ditekan.

3. Pleurisy

Pleurisy adalah keradangan yang berlaku di bahagian pleura. Pleura pula adalah satu lapisan yang menyelaputi bahagian paru-paru yang berfungsi sebagai pelincir dan memudahkan paru-paru untuk berkembangan dan mengecut.

Ketika keradangan berlaku dan pesakit bernafas, ini akan menyebabkan permukaan pleura itu bergesel di antara satu sama lain dan perkara ini menyebabkan kesakitan ketika pesakit menarik nafas.

4. Kanser paru-paru

Kanser paru-paru merupakan kanser kedua yang tertinggi berlaku di Malaysia. Salah satu simptom kanser paru-paru adalah kesakitan di bahagian rusuk menjadi lebih teruk ketika mana pesakit menarik nafas dengan dalam, batuk ataupun gelak.

Simptom-simptom yang lain pula adalah batuk berdarah, sesak nafas atau nafas berbunyi. Pesakit yang dapat dikesan awal dengan kanser ini mempunyai peratusan sembuh yang tinggi berbanding jika dikesan diperingkat akhir.

5. Fibromyalgia

Ini merupakan keadaan sakit otot yang berlaku pada seluruh kawasan badan. Ia disebabkan sistem imun badan sendiri menyerang kawasan otot menyebabkan otot terasa sakit yang teruk.

Terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa mereka yang mempunyai fibromyalgia selalunya akan menyebabkan sakit rusuk.

6. Batuk yang lama atau teruk

Batuk yang teruk ataupun lama boleh menyebabkan keradangan di kawasan sendi dan perkara ini boleh menyebabkan sakit dibahagian rusuk juga.

Simptom sakit rusuk

Masalah ini selalunya mempunyai simptom yang berlainan dan perkara ini akan merujuk kepada penyakit yang lain. Simptom-simptom itu adalah:

  • Sakit sengal: Selalunya disebabkan aktiviti fizikal yang berlebihan ataupun batuk yang berlebih
  • Sakit seperti dihempap: Kebanyakkannya disebabkan sakit jantung ataupun serangan panik
  • Sakit lebih teruk ketika menarik nafas atau terbatuk: Selalunya ia disebabkan costochondritis:
  • Bengkak dibahagian rusuk: Mungkin disebabkan trauma

Bagaimanakah untuk mengesan punca kepada masalah ini?

Ia penting untuk mengetahui ciri-ciri sakit dada tersebut dan adakah ia melibatkan trauma pada dada pesakit.

Ini sedikit sebanyak akan membantu doktor untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut.

Jika pesakit disyaki mempunyai jangktitan paru-par ataupun tulang rusuk patah, pesakit selalunya akan diminta untuk menjalani ujian x-ray. Daripada situ doktor boleh memastikan diagnosa pesakit.

Apakah rawatan untuk sakit rusuk?

Rawatan untuk masalah ini adalah bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut.

1. Trauma dan Costochondirits

Untuk masalah ini, pesakit boleh mengambil ubat tahan sakit bagi mengurangkan rasa sakit. Selalunya trauma yang tidak terlalu teruk dan Costochondritis boleh baik dengan sendiri.

2. Pleurisy

Keradangan dibahagian pleura ini selalunya disebabkan jangkitan kuman di bahagian tersebut. Oleh itu, rawatan bagi mereka yang mengalami masalah ini adalah dengan penggunaan antibiotik bagi membunuh kuman yang ada.

3. Kanser Paru-paru

Rawatan untuk menghilang sakit rusuk disebabkan kanser paru-paru adalah dengan cara merawat kanser tersebut. Jika ia masih kecil dan tidak merebak ke kawasan badan yang lain, bahagian paru-paru tersebut boleh dibuang untuk mengelakkan kanser tersebut merebak.

Rawatan kemoterapi pula digunakan untuk membunuh sel kanser yang masih ada.

4. Fibromyalgia

Disebabkan fibromyalgia ini adalah penyakit autoimun, maka penggunaan ubat untuk merencat sistem imun seperti steroid perlu digunakan.

Dalam penyakit fibromyalgia, sistem imun badan sendiri akan menyerang otot badan dan menyebabkan keradangan. Penggunaan ubat steroid mampu mengelakkan badan diserang daripada sel imun tersebut.

5. Batuk yang lama

Punca batuk yang berpanjangan perlulah diketahui dan rawatan perlulah diberikan berasaskan punca tersebut.

Bilakah perlu berjumpa dengan doktor?

Anda perlulah berjumpa dengan doktor jika sakit rusuk anda:

  • Terlalu teruk
  • Menyebabkan anda sesak nafas
  • Mempunyai simptom lain seperti batuk berdarah atau penurunan berat badan yang mendadak
  • Masih berterusan setelah beberapa hari

Jika sakit rusuk anda itu disebabkan trauma atau kecederaan yang anda sendiri anggap biasa dan tidak terlalu sakit, maka anda boleh cuba rawatnya di ruma terlebih dahulu dengan menggunakan ubat tahan sakit dan ais untuk 3 hari yang pertama.

Rujukan:

  1. Mayo Clinic Staff. (2018). Broken ribs. mayoclinic.org/diseases-conditions/broken-ribs/home/ovc-20169623
  2. Muscle contusion (bruise). (2014). orthoinfo.aaos.org/topic.cfm?topic=a00341
  3. Sprains, strains, and other soft tissue issues. (2015).
    orthoinfo.aaos.org/topic.cfm?topic=A00111
  4. Fibromyalgia. (2017, June 12). womenshealth.gov/publications/our-publications/fact-sheet/fibromyalgia.html
  5. Haviland, M. G., Banta, J. E., & Przekop, P. (2011, Nov-Dec). Fibromyalgia: Prevalence, course, and co-morbidities in hospitalized patients in the United States, 1999-2007 [Abstract].
  6. Clinical and Experimental Rheumatology, 29(6 Supp 69), S79-87
    ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22243553
  7. Key statistics for lung cancer: How common is lung cancer? (2017, January 5). cancer.org/cancer/non-small-cell-lung-cancer/about/key-statistics.html
Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

Tinggalkan Komen Anda

avatar
  Ikut perbincangan ini  
Hantar notifikasi jika