Skip to content

Serangan Panik: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu Serangan Panik, punca-puncanya dan cara untuk merawat?

Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan masalah ini, puncanya, cara rawatan dan mencegah dan beberapa perkara lain berkaitan dengan serangan panik

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom Serangan Panik
  3. Keberulangan Serangan Panik
  4. Punca Serangan Panik
  5. Golongan yang berisiko
  6. Diagnosis
  7. Rawatan
  8. Komplikasi
  9. Cara Mencegah
  10. Petua mengawal diri sendiri(Self-Control)
  11. Cara membantu individu yang diserang panik

Pengenalan


Serangan panik (panic attack) adalah episod ketakutan melampau secara tiba-tiba yang berlaku tanpa wujudnya sesuatu ancaman atau bahaya yang jelas. Di dalam bidang psikiatri, penyakit keresahan (anxiety disorder) mempunyai pelbagai jenis, dan gangguan panik (panic disorder) adalah salah satu daripadanya.



Masalah ini biasanya bermula secara tiba-tiba, tanpa amaran. Ia boleh menyerang pada bila-bila masa, semasa memandu kereta, di pusat membeli-belah, tertidur atau di tengah-tengah mesyuarat penting. Individu mungkin mengalami serangan panik secara sekali-sekala, atau kekerapan dalam tempoh yang dekat.

Fasa serangan panik ini kerap bermula pada usia akhir remaja atau awal dewasa dan mempengaruhi lebih banyak kaum wanita berbanding lelaki.

Individu mungkin merasa letih dan penat setelah serangan panik reda. Secara asasnya serangan ini tidaklah mengancam nyawa, ia memacu sistem saraf simpasetik dan membawa kepada tindak balas berlawan atau melarikan diri (fight or flight) yang biasa dialami ketika menghadapi bahaya.

Gejala serangan ini juga boleh menyerupai gejala masalah kesihatan serius yang lain, seperti serangan jantung dan ianya sering disalah tafsir dengan gejala serangan jantung. Rata-rata individu pernah mengalami simptom ini samada sekali atau beberapa serangan sepanjang hidup mereka.

Sekiranya tidak dirawat awal, serangan panik berpotensi untuk berulang kembali dan mengakibatkan kehidupan seharian terjejas. Ini merupakan petanda bahawa pesakit mungkin mengalami gangguan panik (panic disorder). Secara amnya, sesuatu serangan itu dikira sebagai gangguan (disorder) atau penyakit adalah apabila serangan tersebut mengganggu prestasi kehidupan seharian pesakit.

Simptom dan Tanda Serangan Panik




Serangan panik mempunyai banyak variasi, kebiasaannya gejala memuncak dalam beberapa minit. Gejala ini boleh muncul secara perlahan-lahan di dalam beberapa minit dan berpotensi untuk berlangsung melebihi satu jam, tetapi kebiasaannya sekitar 20 hingga 30 minit sahaja. Individu akan mengalami sekurang-kurangnya 4 simptom daripada simptom berikut.

Dari segi psikologi:

  1. Perasaan takut
  2. Merasa seperti akan mati
  3. Rasa terpisah dari realiti
  4. Perasaan takut-hilang-kawalan
  5. Kebingungan
  6. Disorientasi (tidak dapat menyesuaikan diri pada keadaan sekeliling)

Dari segi fizikal:

Walau bagaimanapun, masalah ini tidak boleh diremehkan, kerana ia membuatkan rasa sakit yang sama seperti serangan jantung. Serangan panik ini gejalanya berbeza-beza pada setiap orang, bahkan dari serangan ke serangan. Itulah sebabnya serangan panik ini rumit untuk dikenalpasti

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Keberulangan serangan panik


Serangan panik (panic attack) harus dibezakan dengan penyakit kecelaruan panik (panic disorder). Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yakni individu yang tidak mempunyai apa-apa penyakit psikiatri. Ada sesetengah sarjana mengatakan setiap manusia pernah mengalami serangan panik sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Penyakit kecelaruan panik (panic disorder) harus mempunyai sifat-sifat begini:

  1. Keberulangan serangan panik tanpa ada provokasi
  2. Apabila tiada serangan, pesakit hidup dalam ketakutan dan kerisauan ‘ternanti-nanti’ serangan seterusnya
  3. Keadaan (1) dan (2) berlaku dalam jangka masa yang lama, sekurang-kurangnya 1 bulan
  4. Disebabkan (1) dan (2), pesakit terpaksa mengubah cara hidupnya

Individu yang mengalami serangan ini dalam situasi tertentu mungkin menimbulkan ketakutan yang tidak rasional, yang disebut fobia terhadap situasi ini dan mula menghindarinya. Akhirnya, corak penghindaran dan tahap kegelisahan mengenai serangan lain boleh sampai ke tahap di mana individu dengan gangguan panik tidak dapat memandu atau bahkan keluar dari rumah. Pada tahap ini, individu tersebut dikatakan mengalami gangguan panik dengan agorafobia (panic disorder with agoraphobia)



Punca Serangan Panik


Punca sebenar serangan panik masih belum diketahui. Faktor umumnya adalah ketidakseimbangan kimia otak atau kecenderungan genetik. Dalam beberapa kes, masalah ini juga dikaitkan dengan penyakit mental lain yang mendasari seperti Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) dan lain-lain

Beberapa punca serangan panik:

1. Tekanan jangka pendek

  • Mengalami kejadian traumatik, seperti serangan seksual atau kemalangan serius
  • Mengalami perubahan yang besar dalam hidup, seperti perkahwinan, perceraian atau penambahan bayi
  • Kehilangan orang tersayang

2. Pengambilan Bahan Terlarang

  • Berhenti atau penurunan dos yang ketara terhadap sesuatu bahan, seperti ubat-ubatan.
  • Kesan sampingan menghisap ganja (sumber: Harvard Mental Health Letter)

3. Masalah Panik

  • Gangguan panik
  • Agoraphobia atau fobia lain
  • Gangguan obsesif kompulsif (OCD)
  • Gangguan tekanan selepas trauma (PTSD)
  • Kecelaruan Keresahan Menyeluruh (GAD)

4. Lain-lain (yang menyebabkan keberulangan serangan ini)

  • Terlalu banyak berfikiran “apa akan berlaku jika..” dan khuatir
  • Mempercayai pemikiran karut terhadap sesuatu yang membahayakan diri
  • Memendam perasaan terhadap perkara yang bermain difikiran

Golongan yang berisiko


Faktor-faktor yang dapat meningkatkan risiko terkena serangan panik atau gangguan panik termasuk:

  1. Sejarah keluarga yang mempunyai serangan panik atau gangguan panik
  2. Sejarah penderaan kanak-kanak (fizikal atau seksual)
  3. Tekanan hidup yang tinggi, seperti kematian orang yang disayangi
  4. Kejadian traumatik, seperti serangan seksual atau kemalangan serius
  5. Perubahan besar dalam hidup, seperti perceraian atau penambahan bayi
  6. Merokok, penyalahgunaan dadah atau pengambilan alkohol yang berlebihan

Pada tahun 1967 sebuah kajian telah menemui bahawa penyuntikan sodium lactase menyebabkan serangan-serangan panik pada kebanyakan individu yang memiliki sejarah serangan-serangan panik. Penemuan ini merupakan permulaan yang berharga untuk meneruskan kajian demi menjelaskan serangan-serangan panik yang kuat serta terjadi secara mendadak dan sampai saat ini belum dapat dijelaskan.



Diagnosis


Serangan panik yang berulang perlu dibuat penilaian dari kalangan ahli yang professional iaitu doktor psikiatri atau ahli psikologi klinikal. Faktor-faktor biologi, psikologi dan sosial akan diteliti satu persatu supaya dapat menemui puncanya.

Penting untuk melakukan kaedah diagnosis pengecualian (diagnosis of exclusion) sebelum mendiagnosis serangan panik bagi individu yang tidak diketahui status kesihatan mental dan kesihatan jantungnya. Beberapa kaedah penilaian dilakukan.

  1. Pemeriksaan fizikal yang lengkap
  2. Ujian darah untuk memeriksa tiroid dan keadaannya serta ujian lain seperti electrocardiogram (ECG) untuk memeriksa keadaan jantung
  3. Ujian saringan dengan menjawab beberapa soalan kajiselidik
  4. Evaluasi psikologi untuk membincangkan tentang gejala, situasi stress, masalah hubungan, sejarah keluarga dan lain-lain

Panic Disorder Severity Scale (PDSS) adalah soal selidik yang dikendalikan oleh doktor bertujuan untuk menilai skala keparahan dan dianggap alat yang boleh dipercayai untuk memantau hasil rawatan. Bentuk laporan diri dari Panic Disorder Severity Scale ini digunakan untuk mengesan kemungkinan gejala gangguan panik (panic disorder), bagi skor 9 dan ke atas menunjukkan perlunya kepada penilaian diagnostik yang formal.  

Rawatan


Gejala serangan panik juga boleh menyerupai gejala masalah kesihatan serius yang lain, seperti serangan jantung, adalah penting untuk dinilai oleh pegawai kesihatan jika tidak pasti apakah punca gejala tersebut. Masalah ini sukar dikendalikan oleh diri sendiri, dan ia mungkin bertambah buruk tanpa rawatan.

Keadaan dan situasi pesakit adalah berlainan antara satu sama lain. Penerangan, ubat-ubatan, pendidikan psikologi dan terapi kognisi tingkah laku juga adalah bersifat individualistik.

Ramalan penyembuhan: baik

1. Farmakoterapi (Ubat-ubatan)

Ubat boleh digunakan untuk mengawal sementara atau mengurangkan beberapa gejala gangguan panik. Namun, ia tidak mengatasi atau menyelesaikan masalah. Rawatan ubat-ubatan akan lebih berkesan apabila digabungkan dengan rawatan lain, seperti terapi dan perubahan gaya hidup.



Ubat yang digunakan:

  • Antidepresan. Ia memerlukan beberapa minggu untuk menunjukkan kesan, maka individu harus makan secara berterusan, bukan hanya semasa simptom serangan berlaku.
  • Benzodiazepin. Ini adalah ubat anti-kegelisahan yang bertindak sangat cepat (biasanya dalam masa 30 minit hingga satu jam). Jika diambil semasa serangan panik, ia dapat melegakan gejala dengan cepat. Walau bagaimanapun, benzodiazepin mudah untuk ketagihan dan mempunyai gejala berhenti makan ubat yang serius, jadi ia harus digunakan dengan berhati-hati.

2. Psikoterapi

Terapi tingkah laku kognitif memberi tumpuan kepada corak pemikiran dan tingkah laku yang menumpang atau mencetuskan serangan panik. Ia membantu individu melihat ketakutan dalam keadaan yang lebih realistik.

Contohnya, jika anda mengalami serangan panik ketika memandu, perhatikan apakah perkara terburuk yang sebenarnya akan berlaku? Anda mungkin terpaksa berhenti di tepi jalan, namun anda tidak melanggar kenderaan lain atau mengalami serangan jantung. Sebaik sahaja anda mengetahui bahawa tidak ada yang benar-benar keadaan buruk akan berlaku, pengalaman panik ini akan menjadi semakin kurang menakutkan.

Terapi pendedahan untuk gangguan panik membolehkan individu mengalami sensasi fizikal serangan panik di persekitaran yang selamat dan terkawal untuk memberi peluang belajar cara mengatasi yang lebih sihat.

Anda mungkin diminta melakukan hiperventilasi (tercungap-cungap), menggelengkan kepala, atau menahan nafas. Latihan ini menghasilkan sensasi serupa dengan gejala panik. Dengan setiap sesi terapi ini, anda menjadi kurang takut dengan sensasi dalaman badan ini dan mampu mengawal diri apabila benar-benar diserang panik

Terapi pendedahan untuk gangguan panik dengan agoraphobia merangkumi pendedahan kepada situasi yang individu takuti dan ingin hindari. Seperti dalam terapi pendedahan untuk fobia tertentu, anda akan berhadapan dengan situasi yang ditakuti sehingga rasa panik mula hilang. Melalui pengalaman ini, anda mengetahui bahawa keadaannya tidak berbahaya dan dapat mengawal emosi anda

Komplikasi


Individu mungkin risau jika berulangnya serangan panik malah hidup dalam keadaan ketakutan yang berterusan sehingga merosakkan kualiti hidup mereka. Jika tidak dirawat segera, masalah ini boleh mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan individu.



  • Mula mendapat fobia spesifik, seperti takut memandu atau meninggalkan rumah
  • Kemurungan, gangguan kecemasan dan gangguan psikiatri lain
  • Kerap menerima rawatan untuk masalah kesihatan dan keadaan kesihatan lain yang menambah
  • Menyendiri daripada bersosial
  • Masalah di tempat kerja atau sekolah
  • Masalah kewangan
  • Penyalahgunaan alkohol atau bahan lain
  • Meningkatkan risiko hadirnya pemikiran untuk bunuh diri atau cubaan untuk melakukannya

Cara Mencegah Serangan Panik daripada Berlaku


Tidak ada cara yang benar-benar berkesan untuk mencegah serangan panik atau gangguan panik. Walau bagaimanapun, cadangan ini dapat membantu.

  • Dapatkan rawatan serangan panik secepat mungkin untuk membantu menghentikannya daripada menjadi lebih teruk atau menjadi lebih kerap.
  • Ikuti pelan rawatan yang telah dirancang doktor untuk membantu mencegah kambuh (jatuh sakit lagi dengan keadaan yang lebih teruk daripada dahulu) atau memburukkan lagi gejala.
  • Lakukan aktiviti fizikal secara berkala, yang mungkin berperanan melindungi daripada kegelisahan (anxiety).

Petua mengawal diri sendiri (self-help)


Teknik bantu diri berikut boleh memberi impak yang besar dalam membantu mengatasi masalah ini:

  1. Tingkatkan pengetahuan mengenai serangan panik dan kegelisahan (anxiety)
  2. Elakkan merokok, pengambilan alkohol, dan kafein
  3. Ketahui teknik mengawal pernafasan dengan mengamalkan teknik 4-7-8 (Tarik nafas 4 saat, tahan nafas 7 saat dan hembus nafas 8 saat)
  4. Amalkan aktiviti relaksasi secara berkala seperti yoga, meditasi, dan relaksasi otot progresif
  5. Kerap bersosial dan melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan
  6. Bersenam secara berkala. Ia hanya memerlukan masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi, 3 kali seminggu
  7. Dapatkan tidur dan rehat yang mencukupi serta berkualiti

Cara membantu individu yang diserang panik


Jika anda menganggap bahawa tindak balas mangsa panik terhadap sesuatu keadaan itu seakan tidak rasional, adalah penting untuk diingat bahawa bahaya itu sangat nyata pada individu yang diserang panik. Dengan hanya memberitahu mereka untuk bertenang atau mengurangkan ketakutan mereka, ianya tidak akan membantu. Tetapi anda haruslah menolong bersama-sama mereka menghadapi serangan panik, ia dapat membantu mereka merasa tidak takut jika serangan berulang pada masa hadapan.

  1. Perkara asas yang diperlukan adalah bersikap tenang, memahami, dan tidak menghakimi akan membantu meredakan serangan tersebut
  2. Fokuskan pada pernafasan mereka. Cari tempat yang tenang untuk mereka duduk dan kemudian bimbing mereka melakukan teknik mengawal pernafasan
  3. Lakukan aktiviti fizikal bersama-sama seperti angkat dan turunkan lengan. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan individu tersebut
  4. Bantu untuk mengalihkan fokus minda mereka dengan meminta mereka menyebutkan 5 perkara di sekitar mereka atau berbual dengan tenang mengenai minat bersama
  5. Memberi keyakinan dan galakan kepada individu tersebut untuk meminta pertolongan sekiranya masalah ini berulang lagi

Periksa Simptom anda Di Sini

Sumber rujukan

  1. Drs. Yustinus semiun, OFM; Kesihatan Mental 2; Kanisius
  2. American Psychiatric Association (2013); Arlington: American Psychiatric Publishing
  3. The Anxiety and Phobia Workbook, 4th Edition
  4. Dr Zul Azlin Razali; Gejala Kecelaruan Panik; https://www.mmgazette.com
  5. Panic Attack and Panic Disorder – Mayoclinic
  6. Panic Attack – Healthline
  7. Panic Attack and Panic Disorder – Helpguide
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 5 =