Asma: Punca, Simptom dan Rawatan

asma

Apakah punca kepada masalah asma dan rawatan yang boleh dilakukan untuk masalah ini?

Artikel berkenaan asma ini akan membincangkan secara ringkas dan lengkap berkenaan masalah ini berserta cara pencegahannya.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Asma
  3. Simptom Asma
  4. Jenis-jenis asma
  5. Ujian pengesahan
  6. Tahap kawalan Asma
  7. Diagnosa lain
  8. Rawatan
  9. Asthma VS COPD
  10. Cara Pencegahan Asma

“Doktor, anak saya Balqis ni, selalu mengadu susah nafas, kadang kadang sampai nak bercakap pun kena berhenti henti dulu. Kalau kat sekolah, cikgu pun bagitahu dia takboleh bersukan sebab dia mengadu susah bernafas. Dalam kelas pun, asyik tidur sahaja, macam letih sangat. Dulu saya ada bela kucing, tapi sejak dia semakin susah bernafas, saya terpaksa bagi kawan yang jaga. Ada kawan saya kata, karpet pun tak boleh ada dalam rumah. Saya risau juga doktor, sebab adik beradiknya yang lain sihat saja. Seperti ada yang tak kena dengan dia.”

Cerita Puan Ramlah kepada Dr. Adi tentang masalah anaknya yang berusia 5 tahun itu.

“Sebelum tu Puan, boleh saya tanya sedikit, ada orang di rumah yang merokok ke ya?” tanya Dr Adi. “Ada doktor, suami saya, dia memang selalu merokok, kadang kadang sehari boleh habis sekotak,” jawab Puan Ramlah jujur.

Dr Adi hanya menggelengkan kepala.

Pengenalan


Situasi di atas merupakan situasi yang sangat familiar terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Sebut sahaja nama sakit ini, terus semua tahu. Sakit semput atau asthma merupakan penyakit saluran pernafasan yang berpunca daripada radang yang berlaku. Ia menyebabkan saluran nafas menjadi sempit dan menyukarkan bernafas serta aktiviti fizikal.

Sebelum kita bercerita dengan lebih lanjut tentang asthma, mari kita lihat proses pernafasan kita.

Apabila kita menarik nafas, udara masuk melalui hidung dan mulut kedalam salur pernafasan dan akhirnya ke paru paru. Saluran pernafasan kita yang bersaiz kecil dikenali sebagai alveoli akan membantu menghantar oksigen dalam udara ke dalam darah.

Asma terjadi apabila permukaan saluran pernafasan kita menjadi bengkak dan otot di sekelilingnya mengetat. Berlaku juga peningkatan penghasilan mukus yang menyumbatkan saluran dan seterusnya mengurangkan jumlah udara yang masuk.

Ini semua menyebabkan berlakunya semput, batuk dan rasa menekan di dada dan sukar bernafas.

Punca Asma


Tidak ada satu punca yang menyebabkan asthma. Namun pakar bersetuju bahawa ia disebabkan oleh beberapa faktor yang memberi kesan kepada sistem pernafasan kita.

  • Genetik. Jika ibubapa atau adik beradik mempunyai asthma, anda mungkin boleh mendapatnya juga.
  • Jangkitan virus. Jangkitan virus respiratori yang teruk boleh mencetuskannya.
  • Atopy. Atopy merupakan satu keadaan dimana seseorang itu mempunyai kecenderungan untuk mendapat sekumpulan penyakit alahan iaitu allegic rhinitis (Resdung), asma dan ekzema.

Simptom dan Gejala Asma


Gejala semput yang paling kerap dialami ialah wheezing(berdehit), iaitu suatu bunyi seperti bersiul yang terjadi apabila pesakit bernafas. Selalunya orang yang mendengarnya akan mengambarkan ia sebagai bunyi ‘hit hit’. Ia terjadi apabila udara melalui saluran yang sempit. Antara simptom lain:

  • Batuk yang teruk, terutama pada waktu malam, dan ketika melakukan aktiviti fizikal
  • Rasa sempit dada
  • Sukar bernafas
  • Sukar bercakap
  • Rasa resah gelisah
  • Keletihan
  • Pesakit juga akan mudah mengalami masalah alahan yang lain seperti alergi kulit

Jenis jenis asma


Terdapat beberapa jenis asthma dan setiap satu daripadanya, walaupun mempunyai gejala lebih kurang sama, tetapi mungkin dicetuskan oleh perkara berlainan.

  • Bronchial asthma. Jenis paling kerap dialami dan memberi maksud asthma yang berlaku di bronkus iaitu salur pernafasan.
  • Childhood asthma. Kerap dialami oleh kanak kanak berusia 2 tahun keatas. Boleh berlarutan hingga dewasa.
  • Allergic asthma. Asthma yang dicetuskan oleh alergen seperti bulu haiwan, debu dan sesetengah makanan. Mungkin mempunyai kaitan dengan alergi yang lain.
  • Intrinsic asthma. Asma yang dicetuskan oleh bahan selain alergen yang terkandung dalam udara seperti habuk kayau yang dibakar, asap rokok, udara sejuk dan wangian.
  • Occupational asthma. Asma yang tercetus di tempat kerja yang biasanya berkaitan dengan bahan di tempat kerja seperti habuk kayu, gas dan asap, bahan kimia industri dan getah. Ia merangkumi bidang perkayuan, pembuatan dan perladangan.
  • Exercise-induced bronchoconstriction. Asma jenis ini dicetuskan oleh aktiviti fizikal dalam jangka masa beberapa minit memulakan aktiviti sehingga 15 minit kemudian.
  • Aspirin-induced asthma. Asma ini dicetuskan oleh ubat aspirin iaitu sejenis ubat anti radang. Ia terjadi dalam masa beberapa jam atau minit selepas memakan ubat. Hanya 9% sahaja pesakit mempunyai asthma jenis ini.
  • Nocturnal asthma. Asma jenis ini terjadi pada waktu malam dan disebabkan oleh pedih ulu hati dan debu pada katil.

Ujian Pengesahan


Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi mengesahkan asthma dan juga untuk mengenal pasti klasifikasi asthma anda kerana asthma mempunyai beberapa klasifikasi.

  • Pemeriksaan fizikal iaitu pemeriksaan paru paru bagi mengenal pasti tanda asthma seperti wheezing yang didengar menggunakan stetoskop.
  • Ujian pernafasan seperti spirometry dimana doktor akan melihat keupayaan paru paru anda berfungsi.
  • Ujian pada kulit iaitu skin prick test bagi mengenal pasti bahan yang anda alergik dan mungkin mencetus asthma anda.
  • Anda tidak memerlukan ujian X ray melainkan doktor mengesyaki anda mempunyai jangkitan paru paru yang mencetuskan asthma anda.
  • Doktor juga boleh mengenal pasti asthma anda dengan memberikan anda ubat asthma. Sekiranya simptom anda semakin baik, doktor akan merawat anda sebagai asthma.

Tahap Kawalan Asma


Klasifikasi asma yang digunakan di klinik klinik kesihatan kerajaan, swasta dan hospital di Malaysia adalah GINA Classification.

  • Terkawal. Anda tidak mempunyai gejala waktu siang dan malam, boleh beraktiviti fizikal seperti biasa dan tidak mendapat serangan asthma dalam tempoh masa tertentu.
  • Separa terkawal. Anda mempunyai simptom di waktu malam atau siang, mempunyai batasan aktiviti fizikal dan mendapat serangan asthma lebih dari sekali setahun.
  • Tidak terkawal. Anda mempunyai simptom malam dan siang, tidak mampu beraktiviti tanpa kesukaran bernafas dan mendapat serangan asthma sekali seminggu.

Rawatan yang diberikan oleh doktor akan bergantung kepada klasifikasi di atas dari segi jenis ubat, dos dan kekerapan.

Diagnosa-diagnosa lain


Terdapat beberapa jenis diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama seperti asma. Ia adalah:

  1. Jangkitan paru-paru
  2. Lemah Jantung
  3. Sakit jantung
  4. Chronic Obstructive Airway Disease (COPD)

Rawatan


Rawatan asthma terbahagi kepada 2 jenis iaitu acute management iaitu rawatan sewaktu serangan dan maintenance therapy iaitu bagi mengawal simptom anda dalam jangka lama.

1. Rawatan Kecemasan

Rawatan jenis ini diberikan kepada pesakit yang sedang mengalami serangan asma yang teruk. Rawatan tersebut adalah:

  • Nebulizer ataupun inhaler yang mengandungi ubat beta agonist  seperti Salbutamol yang akan menghalang otot di sekitar saluran pernafasan dari menyempit.
  • Anti cholinergic seperti ipratropium bromide yang juga membantu mengawal otot di sekitar saluran pernafasan. Ia juga diberikan dalam bentuk nebulizer
  • Ubat anti radang oral(makan)atau intravenous(dalam darah).Ini termasuk prednisone. Ia bertujuan mengawal radang yang terjadi yang menyebakan tisu sekitar saluran pernafasan membengkak dan penghasilan mukus meningkat.

2. Rawatan Kawalan

Rawatan ini digunakan untuk mengawal dan menghalang serangan asma.

  • Ubat anti radang dalam bentuk inhaler iaitu sedutan. Ini termasuk fluticasone, budesonide atau seretide. Ia mesti diambil setiap hari dan mempunyai risiko rendah untuk mendapat kesan sampingan yang serius berbanding ubat anti radang yang diambil melalui mulut.
  • Immunomodulator seperti theophylline, montelukast. Ubat ini berfungsi untuk merencatkan reaksi radang yang tercetus dengan memberi kesan kepada protein dan bahan yang dihasilkan dalam reaksi inflamasi seperti leukotriene.

Asthma vs COPD


Terdapat suatu lagi jenis penyakit pada saluran pernafasan kita yang sering disalah erti sebagai asthma. Mereka mempunyai gejala yang sama termasuk wheezing, batuk dan susah bernafas. Ia adalah COPD iaitu chronic obstructive pulmonary disorder. Ia juga berlaku apabila saluran pernafasan menjadi sempit akibat radang.

Kebanyakan pesakit asthma merupakan golongan kanak kanak walaupun ia boleh dialami semua lapisan umur. COPD pula sering dialami oleh mereka yang berusia 45 tahun.

Dalam asthma, faktor genetik memainkan peranan penting. Manakala dalam COPD, hampir semuanya disebabkan oleh merokok.

Cara Mencegah Serangan Asma


Terdapat beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mencegah serangan asma. Ia adalah:

  • Ambil ubat terutamanya ubat dalam rawatan kawalan secara berdisiplin. Patuhi arahan doktor dan pastikan ubat sentiasa berada dekat dengan anda.
  • Kenal pasti dan jauhkan diri anda dari alergen dan pencetus asma anda.
  • Amalkan diet yang sihat terutamanya mempunyai sumber vitamin C yang banyak seperti dari sayuran dan buahan yang berwarna kuning bagi membina antibodi anda.
  • Berhenti merokok sekiranya anda seorang perokok. Jika anak anda mempunyai asthma, anda mesti berhenti merokok kerana anak anda yang akan menanggung akibatnya.

Rujukan:

  1. Asthma – Healthline
  2. Asthma – Mayoclinic

Nurul Afza

Nurul Afza Shamsul Kamal merupakan merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Teknologi MARA. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nurul Afza di SINI

Kenali Nurul Afza melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *