Sakit Tekak: Punca, Petua dan Rawatan

sakit tekak

Apakah punca kepada masalah sakit tekak dan rawatan yang sesuai untuk masalah ini?

Artikel ini akan menerangkan secara lengkap berkenaan sakit tekak punca-puncanya berserta rawatan yang boleh dilakukan.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Sakit Tekak
  3. Rawatan Sakit Tekak
  4. Bila Perlu Berjumpa doktor?
  5. Komplikasi

Pengenalan


Kebanyakan masalah ini adalah disebabkan jangkitan virus dan selalunya tidak serius dan boleh baik dengan sendirinya. Manakala, jika sakit tersebut disebabkan jangkitan bakteria, selalu keadaan pesakit akan lebih teruk seperti mempunyai demam yang tinggi dan sangat berasa letih. Cara rawatan untuk jangkitan bakteria dan virus adalah berlainan.

Perlu diketahui keadaan ini selalu berlaku di dalam masyarakat. Ada yang mengalami simptom yang tidak terlalu teruk dan baik dengan sendiri. Tetapi ada juga sebilangan kecil yang mengalami simptom yang teruk seperti hilang selera makan, suara menjadi serak, demam yang tinggi dan lain-lain lagi.

Punca Sakit Tekak


Dibahagian tekak terdapat sistem imun yang akan melindungi daripada kuman tersebut masuk ke dalam paru-paru. Sistem imun yang mengelilingi bahagian tekak ini dinamakan sebagai waldeyer’s ring.

Jika terdapat kuman melekat pada bahagian ini, maka ia akan mencetuskan tindakan sistem imun. Ini menyebabkan bahagian tekak mengalami keradangan dan sakit.

Sakit tekak ini boleh disebabkan beberapa perkara:

1. Jangkitan virus

Kebanyakan masalah ini adalah disebabkan jangkitan virus. Jangkitan virus yang selalu berlaku adalah:

  • Selesema biasa(Common cold) yang boleh disebabkan jangkitan rhinovirus dan adenovirus
  • Jangkitan pada peti suara. Pesakit selalunya mengalami serak suara ataupun hilang suara.
  • Jangkitan virus yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru seperti virus influenza.

Jangkitan virus selalunya tidak menyebabkan simptom yang teruk. Tetapi terdapat juga jenis virus yang menyebabkan jangkitan paru-paru yang teruk. Contohnya adalah COVID-19.

Virus COVID-19 boleh menyebabkan sakit tekak berserta masalah pada paru-paru yang teruk

2. Jangkitan bakteria

Sakit tekak disebabkan jangkitan bakteria selalunya akan menghasilkan simptom yang lebih teruk. Pesakit selalunya akan mempunyai demam dengan suhu yang tinggi berserta sakit tekak yang teruk. Masalah ini boleh disebabkan:

  • Keradangan bahagian tekak yang dikenali sebagai acute pharyngitis. Selalunya ia disebabkan jangkitan bakteria Streptococcus.
  • Tonsil bengkak yang disebabkan keradangan pada tonsil
  • Bisul dikawasan tepi tonsil(Peritonsilar abscess)
  • Uvula iaitu anak tekak juga boleh mengalami keradangan(Uvulitis).

Pesakit yang mengalami jangkitan kuman bahagian tekak selalunya akan mengelami demam yang tinggi, bahagian tekak yang sangat merah berserta bengkak kelenjar bahagian leher

3. Kerengsaan pada tekak

Jika masalah ini berterusan lebih daripada seminggu, ia mungkin disebabkan perkara lain seperti bahan yang menyebabkan kerengsaan pada bahagian tekak. Ia boleh disebabkan:

  • Asap rokok, udara persekitaran yang kering dan air selesema yang mengalir daripada hidung ke bahagian tekak boleh menyebabkan iritasi dibahagian tekak.
  • Menjerit dengan banyak juga akan menyebabkan bahagian tekak mengalami iritasi dan keradangan
  • Bernafas melalui mulut. Perkara ini selalu berlaku ketika masa seseorang mengalami selesema dan hidung tersumbat
  • Masalah Gastroesophageal Reflux Disease(GERD) dimana asid daripada dalam perut akan naik ke bahagian tekak menyebabkan keradangan dibahagian tersebut.

Rawatan Sakit Tekak


Rawatan yang diperlukan bagi mereka yang menghadapi masalah ini adalah lebih kepada rawatan untuk mengurangkan sakit tekak tersebut.

Walaupun sakit tekak ini kebanyakannya disebabkan jangkitan kuman, tetapi majoriti daripada masalah ini adalah disebabkan jangkitan virus yang selalunya akan baik dengan sendirinya. Akan tetapi, jika pesakit disyaki mempunyai jangkitan bakteria, maka pesakit perlu dirawat menggunakan antibiotik.

1. Rawatan di rumah

Beberapa tips boleh dilakukan untuk merawat masalah sakit tekak di rumah. Ia adalah:

  • Kumur air garam: Air Garam boleh digunakan untuk mengurangkan kerengsaan dibahagian tekak seterusnya mengurangkan rasa sakit tekak. Anda boleh menggunakan satu sudu garam dimasukkan ke dalam satu gelas air kosong. Kemudian kumur air tersebut dibahagian tekak
  • Minum air yang secukupnya: Pesakit perlulah mengambil air dengan cukup untuk mengelakka tekak menjadi kering dan sakit.
  • Lozenges: Ubat seperti gula-gula ini dapat menyejukkan tekak anda dan mengurangkan sakit tekak tersebut.
  • Alat Pelembab Udara(Air humidifier): Alat ini boleh melembabkan udara di dalam rumah ataupun bilik. Ia bertujuan untuk mengelakkan tekak menjadi terlalu kering
  • Berhenti merokok ataupun elakkan diri daripada menghidu asap rokok: Asap rokok boleh menyebabkan iritasi pada bahagian tekak
  • Ambil aiskrim ataupun makanan yang sejuk: Makanan yang sejuk ini dapat mengurangkan keradangan dibahagian tekak

Artikel berkaitan: Ubat sakit tekak dan 8 cara untuk hilangkan sakit tekak

2. Ubat di Farmasi

Ada jenis ubat yang boleh dibeli difarmasi ketika anda menghadapi sakit tekak. Ubat tersebut adalah:

  • NSAIDs(Non-steroidal anti-inflammatory Drug): Beberapa contoh ubat yang boleh diambil adalah Naproxen sodium, Mefenemic acid dan diclofenac. Ubat jenis ini berfungsi untuk mengurangkan keradangan dibahagian tekak.
  • Paracetamol: Ubat ini dapat berfungsi untuk mengurangkan demam yang anda hadapi berserta mengurangkan sakit tekak.
  • Anti-histamine: Terdapat pesakit yang mengalami masalah ini disebabkan masalah selesema. Ia mungkin disebabkan air selesema tersebut mengalir ke bahagian tekak dan menyebabkan iritasi dibahagian tersebut. Contoh ubat yang boleh diambil adalah Chlorpheniramine, Loratadine dan cetrizine. Bagi kanak-kanak yang kurang daripada 2 tahun, mereka dilarang untuk mengambil ubat jenis ini.

3. Rawatan Klinik

Pesakit yang mengalami sakit tekak yang teruk berserta demam yang tinggi perlulah berjumpa doktor untuk mengesahkan punca kepada masalah tersebut. Jika pesakit disyaki mengalami jangkitan bakteria, pesakit akan dirawat dengan menggunakan antibiotik untuk membunuh bakteria tersebut.

Pesakit yang mempunyai jangkitan bakteria selalunya mempunyai tanda-tanda ini. Ia adalah:

  • Tekak yang sangat merah
  • Demam yang sangat tinggi
  • Tonsil bengkak berserta tompok putih pada permukaan tonsil tersebut
  • Kalenjar limfa yang bengkak dan sakit terutamanya dibahagian bawah rahang dan leher

Bila perlu bawa berjumpa dengan doktor?


Jika pesakit mempunyai tanda-tanda ini, anda perlulah membawa pesakit terus ke klinik ataupun ke hospital. Ia adalah:

  • Sesak nafas
  • Sakit tekak yang teruk
  • Timbul ruam
  • Kurang minum air
  • Sakit lebih daripada 2 minggu
  • Pesakit nampak terlampau letih
  • Mengalami demam yang tinggi
  • Muntah atau Cirit Birit yang teruk

Komplikasi Sakit Tekak


Terdapat beberapa komplikasi yang jarang berlaku jika terdapat sakit tekak disebabkan jangkitan bakteria.

1. Buah Pinggang Bengkak

Masalah ini dikenali sebagai Post Streptococcus Acute Glomerulonephritis. Perkara ini berlaku apabila terdapat jangkitan bakteria Streptococcus. Kemudian badan akan menghasilkan antibodi untuk membunuh bakteria ini

Akan tetapi antibodi yang dihasilkan ini malangnya menyerangkan sel di buah pinggang. Ini menyebabkan fungsi buah pinggang akan merosot. Pesakit akan mengalami masalah kaki bengkak dan tekanan darah tinggi.

Pesakit yang mengalami masalah ini selalunya dikalangan kanak-kanak. Rawatannya adalah dengan pemberian antibiotik untuk membunuh bakteria yang masih hidup dalam badan pesakit.

2. Demam Rheumatic

Rheumatic fever adalah keadaan dimana badan menghasilkan antibodi untuk membunuh jangkitan kuman streptococcus. Akan tetapi antibodi ini juga akan menyerang bahagian jantung menyebabkan jantung mengalami keradangan. Injap jantung boleh dirosakkan disebabkan demam ini.

Jika tidak dirawat awal, pesakit boleh mengalami masalah lemah jantung atau jantung tersebut boleh berhenti dan menyebabkan kematian.

Rujukan:

  1. Alcaide AL, Bisno AL. Pharyngitis and epiglottitis. Infect Dis Clin North Am. 2006. 21:449-469.
  2. Shaikh N, Swaminathan N, Hooper EG. Accuracy and precision of the signs and symptoms of streptococcal pharyngitis in children: a systematic review. J Pediatr. 2012 Mar. 160(3):487-493.e3.
  3. Twefik TL, Al Garni M. Tonsillopharyngitis: Clinical highlights. J of Otolaryngology. 2005. 34:
  4. Mostov PD. Treating the immunocompetent patient who presents with an upper respiratory infection: pharyngitis, sinusitis, and bronchitis. Prim Care. 2007 Mar. 34(1):39-58
  5. Del Mar CB, Glasziou PP, Spinks AB. Antibiotics for sore throat (Review). The Cochrane Collaboration. 2007. (1):1-41.

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science.

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − 16 =