Apakah punca kepada masalah angin ahmar dan apakah cara rawatan untuk masalah ini?

Artikel ini akan menjelaskan punca-punca kepada masalah ini, faktor risiko berserta rawatan yang perlu diberikan oleh pesakit

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Jenis-jenis Angin Ahmar
  3. Punca Angin Ahmar
  4. Simptom dan Tanda Angin Ahmar
  5. Faktor Risiko
  6. Diagnosa-diagnosa lain
  7. Ujian Pengesahan
  8. Rawatan
  9. Pencegahan

Pengenalan


Angin ahmar atau serangan strok terjadi apabila saluran darah di otak pecah dan berdarah, ataupun apabila terdapat halangan yang menghalang bekalan darah ke bahagian otak. Pendarahan yang berlaku serta halangan tersebut menghalang bekalan darah dan oksigen ke tisu otak. Tanpa oksigen, sel dan tisu otak mula rosak dan mati dalam beberapa minit.

Jenis -Jenis Serangan Angin Ahmar


Stroke mempunyai 3 kategori utama;

  • Transient ischemic attack (TIA)- Strok Iskemik yang seketika. Strok jenis ini berlaku kurang 24jam kemudian pesakit menjadi normal semula
  • Ischemic stroke – Strok Iskemik adalah disebabkan sumbatan darah di bahagian otak
  • Hemorrhagic stroke – Juga dikenali sebagai strok berdarah adalah disebabkan pembuluh darah di otak pecah

Kategori ini pula dibahagikan kepada punca puncanya termasuk:

  • Stroke embolik
  • Stroke trombotik
  • Stroke intacerebral
  • Stroke subaraknoid

1. Ischemic stroke atau stroke iskemik

Dalam stroke iskemik, saluran darah ke otak menjadi sempit ataupun tersumbat. Halangan terjadi kerana gumpalan darah beku atau bekalan darah yang berkurangan. Ia juga boleh terjadi kerana serpihan plak dari atherosclerosis yang pecah setelah menyumbatkan saluran darah.

Dua jenis stroke iskemik yang kerap terjadi ialah strok embolik  dan thrombotik. Strok thrombotic terjadi apabila gumpalan darah beku terjadi di dalam saluran darah yang membekalkan darah ke otak. Gumpalan darah beku ini kemudiannya melalui saluran darah dan tersekat, menyebabkan saluran darah tersebut tersumbat. Strok embolik pula adalah apabila gumpalan darah beku ataupun debris yang terjadi di bahagian badan yang lain tersekat di saluran darah ke otak.

Stroke embolik

Strok embolik adalah salah satu jenis strok iskemik.ia berlaku apabila gumpalan darah beku yang terjadi di tempat lain , selalunya jantung atau saluran darah di leher dan dada, dan melalui saluran darah masuk ke otak. Darah beku tersebut kemudiannya tersekat dalam saluran darah di otak dan menghalang bekalan darah menyebabkan stroke.

Stroke embolik boleh terjadi kerana keadaan jantung. Atrial fibrillation adalah sejenis degupan jantung yang tidak sekata, boleh menyebabkan gumpalan darah beku terjadi dalam jantung. Darah beku ini kemudiannya melalui saluran darah masuk ke otak.

2. Transient ischemic attack atau stroke iskemik sementara

TIA atau dipanggil mini stroke, terjadi apabila bekalan darah ke otak terhalang sementara. Tanda tandanya sama dengan stroke cuma, mereka bersifat sementara dan hilang selepas.beberapa minit atau jam.

TIA kebiasaannya disebabkan oleh gumpalan darah beku. Ia menjadi tanda amaran tentang stroke yang boleh terjadi di masa hadapan. Kebanyakan mereka yang mengalami TIA dan tidak mendapatkan rawatan mengalami strok dalam masa setahun.

3. Hemorrhagic stroke atau strok berdarah

Strok hemoragik terjadi apabila saluran darah di otak pecah dan berlaku pendarahan. Pengumpulan darah yang banyak dari saluran darah yang pecah meningkatkan  tekanan dalam tengkorak dan menyebabkan otak bengkak, merosakkan sel dan tisu otak.

Dua jenis strok hemoragik ialah intracerebral dan subarachnoid. Strok hemoragik intracerebral berlaku apabila tisu sekitar otak dipenuhi darah setelah saluran darah pecah. Strok hemoragik  subarachnoid pula terjadi apabila pendarah berlaku di antara kawasan tisu otak dan tengkorak. Strok hemoragik intracerebral lebih kerap terjadi berbanding subaraknoid.

Punca Angin Ahmar


Punca stroke bergantung kepada jenisnya:

1. Strok Iskemik sementara

TIA(Strok Iskemik sementara) berlaku disebabkan halangan sementara dalam saluran darah otak. Halangan tersebut adalah gumpalan darah beku yang menghalang laluan darah ke bahagian otak. TIA biasanya terjadi selama beberapa minit ke beberapa jam dan halangan tersebut bergerak dan saluran darah kembali normal.

2. Strok Iskemik

Seperti TIA, strok iskemik juga berpunca dari saluran darah yang tersumbat, ia boleh disebabkan oleh gumpalan darah beku ataupun atherosclerosis. Ia disebabkan oleh plak lemak yang terkumpul di dinding saluran darah. Serpihan boleh pecah dan tersumbat dalam saluran darah , menyebabkan serangan stroke kerana halangan bekalan darah yang terjadi.

3. Strok berdarah

Strok hemoragik pula terjadi apabila saluran darah pecah dan berlaku pendarahan. Darah akan berkumpul di sekitar tisu otak dan meningkatkan tekanan dan merosakkan sel otak.

Terdapat 2 punca hemoragik strok. Aneurism (saluran darah yang benjol dan lemah) boleh terjadi disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Keadaan seperti arteriovenous malformation iaitu saluran darah abnormal antara vein dan arteri boleh menyebabkan pendarahan di otak.

Simptom dan Tanda Angin Ahmar


Kehilangan bekalan darah ke otak merosakkan tisu dalam otak. Tanda tanda strok akan terjadi di bahagian yang di kawal oleh bahagian otak yang rosak.

  • Kelumpuhan. Selalunya melibatkan satu bahagian badan sahaja iaitu sama ada sebelah kanan atau sebelah kiri
  • Rasa kebas atau lemah di tangan, muka, kaki terutamanya sebelah bahagian badan sahaja
  • Kesukaran bercakap
  • Percakapan yang tidak jelas
  • Gangguan penglihatan seperti tidak nampak sebelah mata atau penglihatan tampak berbayang
  • Kesukaran berjalan
  • Kehilangan keseimbangan dan koordinasi
  • Pening
  • Sakit kepala secara tiba tiba
  • Muntah atau loya
  • Halusinasi
  • Sawan
  • Konfusi, disorientasi
  • Muka senget sebelah atau senyum yang senget

Faktor Risiko


Kesemua jenis strok ini mempunyai beberapa jenis punca atau faktor risiko. Punca-punca tersebut adalah:

  • Umur: Semakin meningkat umur seseorang semakin mudah dia mengalami masalah ini.
  • Sejarah keluarga: Terdapat adik beradik atau ibubapa yang mempunyai sejarah mengalami masalah ini
  • Diet yang tidak sihat mengandungi garam,lemak tepu dan kolesterol
  • Tidak aktif bersenam
  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Sejarah ahli keluarga yang mengalami strok
  • Usia yang meningkat
  • Sejarah kesihatan seperti tekanan darah tinggi
  • Merokok
  • Kolesterol tinggi
  • Penyakit jantung
  • Penyakit kencing manis

Diagnosa-diagnosa lain


Walaubagaimanapun, terdapat beberapa penyakit lain juga mempunyai simptom yang sama. Oleh itu, adalah lebih baik untuk memeriksa penyakit-penyakit ini juga supaya rawatan yang tepat boleh diberikan kepada pesakit

  • Kekurangan garam atau gula dalam darah
  • Penyakit kelumpuhan otot muka – Bell’s Palsy
  • Kanser Otak – Ia juga boleh merosak sistem saraf diotak dan menyebabkan pesakit menjadi lumpuh
  • Epilepsi – Sawan kekal

Ujian pengesahan angin ahmar


Doktor akan bertanyakan dengan terperinci keadaan anda kepada anda atau orang berdekatan anda sewaktu kejadian berlaku. Doktor juga memerlukan maklumat mengenai ubatan yang anda ambil, tekanan darah tinggi dan melakukan pemeriksaan jantung.

Anda juga akan dinilai dari segi keseimbangan, koordinasi, kelemahan otot, kekebasan pada anggota badan, dan penglihatan.

Doktor juga perlu melakukan beberapa ujian seperti:

  • Ujian darah untuk melihat kandungan gula, parameter jangkitan, tahap platelet dan faktor pembeku darah
  • Ujian MRI dan CT scan bagi melihat kerosakan pada tisu otak dan juga mengenal pasti sekiranya terdapat pendarahan dalam otak
  • Ujian ECG iaitu ukuran aktiviti eletrik pada jantung bagi mengenal pasti sebarang degupan tidak sekata
  • Angiogram saluran darah otak bagi melihat dengan lebih jelas saluran darah
  • Echocardiogram bagi melihat fungsi dan struktur jantung

Rawatan


Rawatan untuk masalah angin ahmar adalah bergantung kepada jenis angin ahmar yang berlaku. Sebagai contoh jika seseorang itu mengalami strok disebabkan salur darah yang tersumbat(strok iskemik), kita boleh berikan ubat cair darah untuk menghilangkan sumbatan tersebut. Tetapi jika strok itu disebabkan pendarahan otak, ubat cair darah hanya akan menyebabkan pendarahan menjadi semakin teruk.

a) Strok Iskemik

Bagi serangan strok iskemik dan juga TIA, doktor akan memberikan anda ubatan:

1. Ubat Cair darah

Ubat cair darah seperti Aspirin merupakan ubatan pertama untuk melawat strok. Ubat ini perlu diambil dalam masa 24-48 jam setelah serangan berlaku.

2. Ubat trombolitik

Ubat ini akan menghancurkan gumpalan darah beku dalam saluran darah otak. Alteplase berfungsi dengan efisien jika diberi dalam masa 3 jam awal setelah serangan berlaku. Buat masa sekarang di Malaysia, penggunaan Alteplase tidak meluas

3. Thrombectomy mekanikal

Ini merupakan satu pembedahan untuk mengeluarkan gumpalan darah beku dari saluran darah menggunakan kateter. Ia perlu dilakukan dalam masa 6-24 jam setelah serangan berlaku. Rawatan jenis ini pun masih tidak digunakan secara meluas di Malaysia

b) Strok Berdarah

Bagi serangan strok hemoragik pula, berikut merupakan ubatannya:

1. Rawatan Sokongan

Kebanyakan strok berdarah yang tidak serius selalunya tidak memerlukan rawatan yang invasif. Cukup dengan pengambilan ubat tekanan darah tinggi dan juga fisioterapi mampu untuk membantu pesakit mendapatkan kekuatan tangan dan kaki semula.

Ubat cair darah bagi strok ini adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan sakit pendarahan semakin teruk.

2. Pembedahan

Strok berdarah akan meningkatkan tekanan di dalam otak menyebabkan sebahagian daripada otak terutamanya dibahagian bawah ditolak melalui foramen magnum. Perkara ini akan menyebabkan kawasan otak tersebut gagal berfungsi dan boleh menyebabkan pesakit berhenti bernafas. Ini kerana salah satu pusat untuk kawal pernafasan adalah di kawasan tersebut.

Untuk mengelakkan dan mengurangkan tekanan yang tinggi di dalam kepala, pembedahan yang dinamakan sebagai ‘decompressive craniectomy akan dilakukan dimana sebahagian tempurung kepala akan dibuka.

Ini akan mengelakkan tekanan yang tinggi dalam tempurung kepala dan komplikasi yang tidak diingini dapat dielakkan

3. Coiling

Coiling dilakukan apabila terdapat aneurisma yang ditemui sewaktu MRI scan dan mencegah aneurisma dari berlaku pendarahan. Alatan diletakkan di dalam salur darah yang bengkak bagi menghalang saluran darah itu pecah.

c) Pemulihan serangan angin ahmar

1. Terapi pertuturan

Strok boleh menyebabkan kesukaran bercakap. Terapi ini akan membantu pesakit belajar untuk bercakap semula dan berkomunikasi dengan orang lain

2. Terapi kognitif

Terapi kognitif diperlukan kerana strok memberi kesan kepada keupayaan berfikir. Terapi akan membantu anda mengawal proses fikiran dan emosi.

3. Terapi fizikal

Terapi fizikal diperlukan untuk membina kekuatan otot selepas strok. Ia juga membantu keseimbangan dan koordinasi.

Cara untuk mengelakkan angin ahmar


Cara untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku adalah dengan mengawal faktor risiko seseorang yang boleh membawa kepada masalah ini. Ia adalah:

  • Berhenti merokok. Jika anda berhenti merokok, dalam 5 tahun risiko anda akan semaking berkurangan sama seperti orang yang tidak merokok
  • Pengambilan alkohol secara minima
  • Kawal berat badan dan amalkan diet yang seimbang
  • Dapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengawal kandungan kolesterol dan tekanan darah
  • Kawal stress

Rujukan:

  1. Healthline – Stroke
  2. Mozaffarian D, Benjamin EJ, Go AS, Arnett DK, Blaha MJ, et al, et al. Heart disease and stroke statistics–2015 update: a report from the American Heart Association. Circulation. 2015 Jan 27. 131 (4):e29-322.
  3. Ovbiagele B, Goldstein LB, Higashida RT, Howard VJ, Johnston SC, Khavjou OA, et al. Forecasting the future of stroke in the United States: a policy statement from the American Heart Association and American Stroke Association. Stroke. 2013 Aug. 44 (8):2361-75.
  4. Donnan GA, Fisher M, Macleod M, Davis SM. Stroke. Lancet. 2008 May 10. 371(9624):1612-23.
  5. Kasner SE, Grotta JC. Emergency identification and treatment of acute ischemic stroke. Ann Emerg Med. 1997 Nov. 30(5):642-53

2 thoughts on “Angin Ahmar: Punca, Simptom dan Cara Rawatan

  1. Najwa says:

    Assalamualaikum,
    Bagi strok berdarah dan telah jalani pembedahan decompressive craniectomy. Adakah pesakit berpeluang untuk sembuh seperti sebelum saikit dan mampu untuk menggerakkan fungsi tubuh badan?
    Jika ya, apakah caranya.

    1. Dr Latif Saad says:

      Waalaikumsalam Puan. Selalunya untuk strok berdarah peluang adalah cerah untuk fungsi tubuh kembali normal. Selalunya selepas daripada pesakit keluar daripada wad, pesakit akan diberikan temujanji dengan fisioterapi/occupational therapy untuk tujuan rehabilitasi. Puan ikut senaman ataupun latihan yang diajarkan kepada puan. Insyallah nanti akan semakin ok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *