Apendiks adalah salah satu penyakit yang sering diperkatakan di dalam masyarakat. Sedangkan istilah yang benar untuk penyakit keradangan appendiks adalah appendicitis.
Rawatan kepada penyakit ini selalunya melibatkan pembedahan untuk membuang struktur apendiks tersebut. Berserta pemberian antibiotik, selalunya pesakit akan mempunyai kemungkinan untuk sembuh yang tinggi
Masalah Appendiks
Appendicitis merupakan penyakit yang disebabkan keradangan pada apendiks. Dan orang biasa selalu akan menyebut penyakit ini sebagai appendiks sahaja.
Apendiks adalah salah satu struktur yang terletak pada permulaan usus besar. Bahagian usus besar tersebut dipanggil sebagai ‘cecum’. Ia merupakan satu unjuran daripada usus besar tersebut. Ia seperti tiub tetapi pada hujungnya tertutup. Panjangnya diantara 8-10cm.
Pada permukaan abdomen, ia terletak pada bahagian bawah sebelah kanan. Perawat kesihatan selalunya akan memeriksa kawasan tersebut untuk menentukan jika sakit perut itu disebabkan appendicitis ataupun tidak.
Kelewatan dalam membuat diagnosis dan pembedahan akan meningkatkan risiko untuk apendiks tersebut pecah. Ketika appendiks pecah, isi di dalam appendiks berserta usus akan keluar ke dalam ruang abdomen yang akan menyebabkan keradangan yang teruk. Pesakit akan mengadu sakit yang teruk di seluruh abdomen. Jika lambat dirawat, pesakit boleh kehilangan nyawa
Anatomi apendiks
Appendix adalah struktur yang berbentuk seperti Vermiform iaitu berbentuk ulat. Panjang dalam 8-10cm. Ia melekat pada ‘cecum’ iaitu terletak pada bahagian bawah sebelah kanan abdomen.
Walaupun tapak appendiks tidak bergerak disebabkan ia terlekak pada ‘cecum’, hujungnya boleh berada pada lokasi yang berbeza-beza seperti di bahagian pelvis, retrocaecal(belakang cecum), retro-ileal(Belakang ileum) dan sub-caecal(bawah cecum)
Disebabkan hujung apendiks yang mempunyai lokasi yang berbeza, kadang-kadang ia menyebabkan simptom appendicitis yang berbeza-beza kerana lokasi apendiks meradang berada pada tempat yang berbeza.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
FUNGSI APPENDIKS
1. Struktur Vestigial
Kebanyakkan pendapat mengatakan Appendiks merupakan struktur Vestigial iaitu struktur ataupun organ yang kehilangan fungsinya apabila berlakunya proses evolusi ataupun perkembangan daripada embrio kepada orang dewasa.
Tetapi dapatan yang terbaru menunjukkan apendik mempunyai fungsi yang penting bagi usus manusia sebagai contoh menjadi perumah kepada bakteria baik dalam usus
2. Menjadi perumah kepada bakteria baik dalam usus
Kajian terbaru mendapati bahawa apendik menjadi perumah kepada bakteria baik di dalam usus. Ia akan melepaskan bakteria baik ke dalam usus besar dan melindungi usus besar daripada jangkitan kuman bakteria yang jahat. Ini akan mengelakkan penyakit seperti cirit-birit berlaku kepada seseorang.
Ketika mana jangkitan kuman berlaku di dalam usus, bakteria baik ini akan duduk di dalam appendiks sehinggalah semua bakteria jahat itu dihapuskan oleh badan. Setelah jangkitan kuman hilang, bakteria baik ini akan dilepaskan semula untuk melindungi usus besar.
Ada juga kajian mendapati bahawa, mereka yang telah menjalani pembedahan apendik mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami radangan usus besar disebabkan jangkitan kuman Clostridium difficile
Organ appendiks melindungi bakteria baik ketika mana usus dijangkiti kuman jahat. Apabila kuman tersebut telah dihapuskan oleh badan, bakteria baik ini akan masuk semula kedalam usus besar
3. Imun dan sistem limfa
Appendiks juga mempunyai sistem limfa yang kompleks pada dindingnya. Dikatakan ia bertindak sebagainya struktur yang akan mengesan bakteria-bakteria jahat yang baru sahaja memasuki usus besar. Kemudian mereka akan terus menghasilkan antibodi untuk melawan bakteria tersebut.
Bagaimana Keradangan Apendiks boleh berlaku?
Penyebab sebenar penyakit appendicitis sebenarnya masih lagi tidak diketemui. Tetapi beberapa hipotesis telah dicadangkan berkenaan penyakit tersebut terutamanya adalah sumbatan makanan pada struktur appendiks.
Apabila appendiks tersumbat dengan makanan, ia akan menjadi perumah kepada bakteria jahat membiak. Ini akan menyebabkan ia membesar dan membengkak. Kombinasi jangkitan kuman dan kurangnya pengaliran darah ke bahagian tersebut menyebabkan sel appendiks mati dan gangrene. Apabila ia menjadi gangrene, kawasan appendiks tersebut boleh pecah
Satu kajian telah dibuat dan menunjukkan kanak-kanak mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk appendiks pecah berbanding dengan orang dewasa. Disebabkan perkara tersebut, bila kanak-kanak mengalami simptom sakit perut yang teruk, ibubabapa ataupun penjaga dinasihatkan untuk pergi ke hospital pada kadar yang cepat. Ini supaya pembedahan dapat dilakukan dengan segera
Banyak kajian yang menunjukkan kemungkinan besar ia disebabkan ruang dalam appendiks yang tersumbat dan menjadi perumah kepada bakteria untuk membiak. Tetapi punca sebenar kenapa ia tersumbat di dalam struktur tersebut masih menjadi tanda tanya.
Sejarah Pesakit
Sakit perut merupakan salah satu simptom yang selalu diadukan oleh pesakit appendicitis.
Kebanyakkan pesakit appendicitis pada mulanya akan mengadu sakit perut di keliling pusat dahulu. Kemudian sakit tersebut bergerak ke bahagian bawah sebelah kanan abdomen.
Kajian menggunakan meta-analisis menunjukkan sakit perut yang bergerak daripada kawasan pusat kebahagian bawah sebelah kanan mempunyai kaitan yang kuat dengan penyakit appendicitis
Tetapi, ada sesetengah pesakit appendicitis yang mempunyai simptom yang berlainan daripada simptom-simptom tersebut. Ini disebabkan lokasi hujung appendiks yang boleh berubah-ubah. Seperti yang diterangkan di atas, appendiks merupakan satu unjuran yang keluar daripada ‘cecum’. Disebabkan ia seperti satu jari yang panjang, maka lokasi hujung appendiks adalah berlainan bergantung kepada individu.
Lokasi hujung appendiks yang berlainan inilah yang akan memberikan simptom yang berlainan kepada pesakit sebagai contoh:
1) Retrocaecal/retrocolic: Bermaksud appendiks terletak di bahagian belakang caecum. Pesakit appendicitis selalunya akan mengadu sakit belakang bahagian kanan. Kesakitannya akan bertambah apabila kaki kirinya di kepak kebelakang. Tanda ini dinamakan sebagai ‘Psoas sign’
Ia disebabkan lokasi appendiks dibelakang cecum akan bersentuhan dengan otot ‘psoas’ yang terletak dibelakang bahagian badan kita. Apabila kaki dikepakkan(extension of hip) ke belakang, ia akan menegangkan otot psoas yang sedang radang dan ini menyebabkan pesakit berasa sakit dibahagian belakang badan
2) Subcaecal/pelvic: Bermaksud appendiks itu terletak dibawah ‘caecum’ ataupun di dalam pelvis. Ini akan menyebabkan sakit di bahagian ari-ari dan pesakit akan asyik merasakan ingin membuang air kecil dan mengalami cirit-birit. Pesakit mungkin tidak akan mengadu sakit perut yang teruk tetapi apabila pemeriksaan pada dubur(per rectal) dibuat, pesakit akan mengadu kesakitan.
Ia disebabkan kedudukan appendiks di dalam ruang pelvis juga akan menyebabkan keradangan pada bahagian pundi kencing dan juga rectum. Rectum merupakan bahagian terakhir usus besar sebelum ia keluar melalui dubur(Anus).
Pemeriksaan Per Rectal adalah dengan cara memasukkan jari ke dalam dubur untuk memeriksa beberapa perkara seperti prostate, keadaan najis dan juga appendiks yang terletak dibahagian subcaecal
3) Pre-ilea dan post ileal: Tanda dan simptom mungkin sukar untuk dilihat. Muntah-muntah dan cirit-birit merupakan salah satu petanda appendicitis dibahagian ini.
Simptom dan tanda-tanda penyakit apendiks
- Demam melebihi 38 darjah celcius
- Denyutan nadi yang laju. Istilah perubatannya tachycardia. Denyutan jantung melebih 100 bagi orang dewasa
- Sakit bahagian bawah sebelah kanan apabila ditekan(tenderness at Right Iliac Fossa). Titik yang paling sakit adalah pada titik McBurney. Lokasi titik tersebut terletak 2/3 diantara pusat dan jugak ‘Anterior Superior Iliac Spine’(Unjuran tulang iliac bahagian atas dan depan. Tulang iliac merupakan salah satu daripada tulang pelvis.
Penyakit lain yang berkaitan
Terdapat beberapa diagnosis yang mungkin menghasilkan simptom yang sama. Ia adalah:
- Ovarian cyst
- Sedang hamil
- Kandungan diluar rahim
- Batu karang
- Volvolus dan banyak lagi
Ujian Pemeriksaan
Untuk mengehsahkan seseorang itu mempunyai penyakit appendicitis ataupun tidak ia berdasarkan pemeriksaan klinikal sahaja. Bermaksud jika seseorang itu mempunyai demam yang tinggi, sakit pada bahagian bawah sebelah kanan abdomen berserta bilangan sel darah putih yang tinggi, ini akan membuatkan seorang doktor mengesyaki dia mempunyai penyakit appendicitis dan pembedahan perlu dilakukan
Siasatan lain itu untuk membantu mengecualikan diagnosis-diagnosis penyakit yang lain dan membuatkan diagnosis penyakit appendicitis dapat dilakukan dengan tepat
Sebagai contoh:
1. Pemeriksaan air kencing(Urine analysis)
- dapat melihat sama ada pesakit mempunyai jangkitan kuman di tempat buang air kecil(kencing kotor)
- ia juga boleh melihat sama ada pesakit mempunyai kencing berdarah yang dialami pesakit batu karang, Henoch Scholein pupura dan beberapa penyakit lain
2. Ultrasound dan CT-scan
Penggunaan ultrasound dan CT-scan mampu melihat appendiks yang sedang bengkak. Tetapi jika ia tidak bengkak ataupun nampak normal, penyakit appendicitis masih tidak boleh dikecualikan. Jika simptom dan tanda-tanda merujuk kepada penyakit appendicitis, maka pembedahan masih perlu dilakukan mempunyai appendicitis ataupun tidak
3. Full blood count
Pesakit yang mempunyai appendicitis akan mempunyai bacaan sel darah putih yang tinggi menunjukkan adanya jangkitan kuman berlaku pada appendiks
Rawatan
Cara rawatan untuk penyakit appendicitis adalah dengan melakukan pembedahan bagi membuang appendiks tersebut. Dengan ini, sumber yang menyebabkan kepada penyakit tersebut dapat dibuang dan komplikasi dapat dielakkan.
Walaupun ada kajian yang menyatakan fungsi appendiks adalah untuk membekalkan bakteria baik pada saluran usus, tetapi ketiadaannya masih mampu memberi kehidupan yang normal kepada pesakit.
Ada juga kajian yang menyatakan penggunaan antibiotik sahaja mempunyai keberkesanan yang sama seperti melakukan pembedahan, tetapi dalam kajian tersebut juga menyatakan pesakit seperti ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat appendicitis semula. Oleh sebab itu, untuk rawatan appendicitis, pembedahan adalah rawatan utama.
1. Pembedahan
Kemajuan teknologi perubatan masa kini telah menemukan cara dan juga teknologi pembedahan yang canggih. Pada dahulunya pembedahan buang appendiks yang dikenali sebagai ‘appendicectomy’ memerlukan pemotongan bahagian abdomen untuk membuang appendiks tersebut. Tetapi, sekarang, dengan hanya membuat beberapa lubang pada bahagian abdomen, appendiks yang sedang meradang boleh dicari dan dibuang daripada badan.
Pembedahan dengan kaedah ini dinamakan sebagai pembedahan laparoscopic. Ia memberikan satu kaedah yang kurang kelukaan pada badan dan penyembuhan dapat berlaku dengan cepat. Laparoscopic merupakan salah satu pembedahan kurang invasif dan menjadi pilihan para doktor buat masa kini. Tetapi jika terdepat lekatan yang teruk di dalam abdomen dan menyusahkan doktor bedah pada ketika itu, maka pembedahan yang melibatkan pembukaan abdomen akan dilakukan.
2. Antibiotik
Pemberian antibiotik sebelum melakukan pembedahan dapat mengelakkan komplikasi jangkitan kuman yang teruk. Antibiotik yang selalu diberikan adalah yang akan membunuh organisma yang selalu hidup di dalam usus. Di Malaysia, selalunya kita akan beri antibiotik generasi kedua daripada kumpulan antibiotik cephalosporin iaitu cefuroxime.
Komplikasi
Komplikasi yang menakutkan bagi pesakit appendicitis telah pun diterangkan di atas iaitu appendiks pecah. Ketika mana appendiks pecah, najis berserta bakteria daripada saluran pencernaan akan memasuk rongga abdomen. Ini akan menyebabkan keseluruhan rongga abdomen menjadi radang(Inflammed). Bakteria yang memasuki rongga abdomen juga akan menyebabkan jangkitan kuman di dalam tempat tersebut.
Komplikasi ini akan menyebabkan pesakit mengadu kesakitan yang amat pada seluruh bahagian abdomen. Ia merupakan bendera merah apabila seseorang pesakit itu mengalami sakit keseluruhan abdomen.
Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit mungkin akan mengalamai jangkitan kuman yang teruk(Severe sepsis) yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah diikuti dengan multiorgan failure dan berakhir dengan kematian.
Oleh itu, jika anda rasa sakit perut yang teramat, mungkin anda perlu berjumpa dengan doktor supaya anda tidak mengalami komplikasi seperti ini
Rujukan:
- Larner AJ. The aetiology of appendicitis. Br J Hosp Med 1988;39: 540-2.
- Andersson R. Meta-analysis of the clinical and laboratory diagnosis of appendicitis. Br J Surg 2004;91: 28-37
- Sonnenburg J.L.; Angenent L.T.; Gordon J.I. (June 2004). “Getting a grip on things: how do communities of bacterial symbionts become established in our intestine?”. Nat. Immunol. 5 (6): 569–73
- D J Humes, Research into Ageing/Royal College of Surgeons of England research fellow and J Simpson, lecturer in surgery. Acute appendicitis. BMJ. 2006 Sep 9; 333(7567): 530–534. doi: 10.1136/bmj.38940.664363.AE
- Styrud J1, Eriksson S, Nilsson I, Ahlberg G, Haapaniemi S, Neovius G, Rex L, Badume I, Granström L.Appendectomy versus antibiotic treatment in acute appendicitis. a prospective multicenter randomized controlled trial. World J Surg. 2006 Jun;30(6):1033-7.