Skip to content

Ubat Orlistat: Kegunaan, Dos Dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat orlistat dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan kegunaan ubat ini, dos dan kesan sampingannya


Agenda menjadi kurus sudah menjadi suatu keobsesan dalam kalangan masyarakat. Ada yang sanggup bergolok-bergadai – cakaplah apa saja, dari buat pembedahan usus, sedut lemak, hingga sanggup mengambil ubat “suplemen” untuk langsing badan (contohnya) supaya senang memperagakan pakaian menampakkan tubuh badan. Dalam artikel kali ini, penulis mahu menerangkan sedikit berkenaan antara terapi menguruskan badan dalam perubatan, dan ubat ini memang tidak asing lagi dalam kegunaan pesakit tersebut – orlistat.

Penggunaan

Orlistat (datang dalam jenama inovator Alli, Xenical dan Aslene) adalah ubat yang dikhaskan indikasi penggunannya untuk merawat obesiti sahaja dalam FDA (indikasi tetap untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas dan dewasa). Spesifiknya, indikasi penggunaannya berkisar pada golongan berikut:

  • Indeks jisim badan (BMI) ≥30 mg/m2 tanpa mengira keadaan pesakit.
  • Indeks jisim badan (BMI) ≥27 – 28 mg/m2 dengan risiko penting: diabetis, darah tinggi dan hiperkolesterolemia (lebihan kolesterol dalam badan).


Antara fungsi lain ubatan (tidak didaftar dalam FDA) adalah:

  • Pencegahan arterosklerosis dinding koronari jantung
  • Pencegahan kencing manis dan komplikasinya
  • Hiperlipidemia (lebihan lemak dalam badan)

Kajian lain telah menemui peranan orlistat untuk menghalang perkembangan tumor dalam badan, serta digunakan dalam rawatan chylous ascites (pembocoran lemak dari saluran sistem limpa ke dalam ruang peritoneum perut). Namun begitu, agak penting untuk para pesakit berhubung lebih lanjut daripada para doktor berkenaan penggunaan ubat ini sebab ia bukannya sebarangan ubat untuk dimulakan.

Berikut adalah cara pengambilan ubat ini:

  • Boleh diambil sebelum, semasa dan 1 jam selepas makan utama, tetapi sepatutnya mesti dengan makanan
  • Kalau tertinggal menu makan utama, tinggalkan dos ubat.
  • Jika diet pada waktu tersebut tidak melibatkan makanan berlemak, tidak perlu diambil dos ubat tersebut.
  • Lebih baik dimakan bersama makanan berminyak dan berlemak – meningkatkan penyerapan
  • Ubat ini perlu dihentikan selepas 12 minggu pertama penggunaannya jika pesakit tidak mencapai penurunan 5% dari berat badan asal sekurang-kurangnya. Bagi pesakit kencing manis jenis 2, sasaran pengurangan berat badan boleh dikurangkan jika perlu.

Ubat ini tersedia dalam bentuk tablet dan salutan filem oral 120 mg. Tujuan sediaan salutan filem dalam sesetengah jenama untuk ubat ini adalah untuk meningkatkan keberkesanan ubat.

Ubat ini memang tidak terdapat di klinik kesihatan dan hospital biasa sebenarnya – ubat ini memerlukan kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan untuk digunakan oleh pakar perunding sahaja untuk indikasi tertentu.

Penyimpanan



Seperti kebanyakan ubat lain, letakkan ubat ini di tempat sejuk dan kering (sebaik-baiknya suhu bilik). Jauhkan dari suhu panas dan lembap.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Ubat Berfungsi

Secara mudahnya, ubat ini akan merencat fungsi enzim lipase yang berfungsi mencernakan minyak di dalam makanan. Disebabkan minyak tidak dapat dicernakan, maka ia tidak dapat diserap daripada usus menyebabkan penyerapan kalori daripada usus berkurangan.

Pengurangan kalori berlaku kerana kurangnya penyerapan lemak terbabit, dan ini adalah antara kesan teraputik utama ubat ini. Ubat ini lebih banyak keluar bersama perkumuhan di dubur, jadi kesan ubat ini dalam tubuh badan kurang dirasai. Dalam dos terapeutik, 30% lemak dalam makanan berjaya dihalang dari diserap ke badan.

Kajian terbaru ubat ini dalam jurnal terbaru memberi perspektif mengurangkan penyerapan kolesterol menerusi aruhan protein pengangkutan kolesterol dalam usus kecil. Selain itu, struktur orlistat juga dicadang dapat mengaruh enzim fatty acid synthase (FAS) yang banyak wujud dalam sel kanser, yang kemudiannya membantutkan tumbesaran tumor dan kanser.

Kesan sampingan

Pesakit perlu diberitahu oleh doktor berkenaan kesan utama ubat ini, dan maklumkan kepada para doktor berkenaan simptom yang dihadapi selepas memakan ubat ini. Antara kesan sampingan biasa ubat ini adalah:

  • Berak berminyak, tahi berair atau berminyak, ataupun lendir berminyak keluar dari dubur
  • Kembung perut
  • Desakan membuang air dan kerap membuang air
  • Sembelit
  • Ketegangan dan sakit-sakit abdomen badan (biasanya kesan boleh dikurangkan dengan pengurangan pengambilan lemak dalam makanan, terutamanya pada pesakit kencing manis)
  • Steatorrhea (tahi berlemak) – tahi terapung atas permukaan air
  • Sakit belakang
  • Pening kepala
  • Jangkitan saluran pernafasan
  • Masalah berkaitan gusi dan gigi
  • Divertikulitis (gelembung poket kecil dalam saluran usus yang terdedah dengan jangkitan kuman dan kesakitan)
  • Pankreatitis (jangkitan saluran pankreas)
  • Hipersensitiviti (gatal-gatal, bengkak, kemerahan)
  • Hipoglisemia (untuk pesakit diabetis)
  • Kemurungan
  • Haid Tidak Teratur

Kesan serius yang dilaporkan (dan mungkin mengancam nyawa; mungkin memerlukan intervensi doktor seberapa segera), termasuklah:

  • Kegagalan fungsi hati (tisu sel hati mati, jangkitan hepatitis mungkin berlaku)
  • Kerosakan buah pinggang disebabkan penemuan garam oksalat (batu karang) dalam salur kencing, dan kegagalan buah pinggang.
  • Buang air besar berdarah
  • Pengurangan masa prothrombin dan kenaikan kadar INR (darah jadi lebih cair, pendarahan berterusan)

Orlistat mungkin tidak berapa sesuai digunakan untuk golongan ini:

  • Kolestasis (pengurangan penghasilan hempedu dari pundi hempedu dalam hati yang menyebabkan pengumpulan bilirubin)
  • Sindrom masalah penyerapan nutiren makanan kronik
  • Alahan terhadap orlistat
  • Wanita Hamil (Kategori X menurut FDA)
  • Wanita yang sedang menyusukan anak
  • Pesakit anoreksia nervosa (terlampau kurus) atau bulimia nervosa (terlampau gemuk)

Peringatan (precaution)

  • Pesakit perlu dinasihati agar lebih baik untuk tidak mengambil orlistat jika terlupa waktu makan biasa atau waktu makan utama yang tidak melibatkan diet berminyak dan berlemak.
  • Pengambilan vitamin larut lemak (A, D, E, dan K) perlu diambil 2 jam sebelum penggunaan orlistat.
  • Jika ada mengambil cyclosporine (ubat imunosupresan), asingkan 3 jam sebelum mengambil dos orlistat.
  • Jika ada mengambil ubat levothyroxine (ubat tiroid), asingkan 4 jam sebelum mengambil dos orlistat.
  • Sama ratakan pengambilan lemak harian (bawah dari 30% amat digalakkan) bersama pengambilan sumber karbohidrat dan protein yang seimbang untuk elakkan masalah sistem penghadaman yang teruk
  • Kecederaan hati dan kegagalan fungsi hati serius perlu dilaporkan pesakit pada doktor dengan melihat tanda-tanda berikut: anoreksia (kurus badan), kegatalan, kekuningan, air kencing gelap, tahi berwarna cerah. Jika perkara tersebut berlaku ketika pesakit dalam rawatan orlistat, doktor mungkin perlu memberhentikan orlistat segera dan dapatkan data parameter berkaitan fungsi hati seperti ALT dan AST.
  • Pesakit yang pernah mempunyai sejarah hiperoksaluria (lebihan garam oksalat dalam saluran kencing) dan oksalat nefrolitihiasis (jangkitan saluran perkumuhan disebabkan pembentukan garam oksalat dalam saluran kencing): orlistat boleh diteruskan dengan perhatian lebih kerap oleh para doktor untuk mengelakkan berlakunya kegagalan fungsi buah pinggang
  • Pengurangan berat badan yang agak sekata mungkin menaikkan risiko batu karang.
  • Pengurangan berat badan mungkin memberikan kesan pada kawalan gula bagi pesakit kencing manis, justeru perlu pengurangan dos ubat kencing manis (terutamanya ubat sulfonilurea seperti gliclazide dan glibenclamide serta insulin).

Interaksi antara ubat

Berikut adalah antara interaksi ubat-ubatan lain dengan orlistat:



  • Vitamin larut lemak (beta-carotene dari lobak, Vitamin A, D, E dan K): Kurang penyerapan vitamin ke dalam badan apabila diambil bersama orlistat
  • Cyclosporine: mengurangkan kesan terapeutik cyclosporine
  • Levothyroxine: mengurangkan kesan terapeutik levothyroxine, biasanya asingkan pengambilan ubat 4 jam sebelum mengambil orlistat dan kerap pantau tahap tiroid dalam badan pesakit.
  • Amiodarone (ubat untuk aritmia jantung): mengurangkan kesan terapeutik amiodarone.
  • Ubat sawan: menaikkan insiden sawan (terutamanya pesakit yang mengambil lamotrigine dan valproate)
  • Mengurangkan kesan terapeutik ubat-ubatan retroviral (ritonavir/lopinavir, tenofovir)
  • Mengurangkan kesan terapeutik warfarin, perlu dipantau dengan kerap oleh para doktor lebih-lebih lagi pesakit kronik yang memiliki INR stabil

Kesan terlebih dos

Keracunan sebab orlistat berlebihan adalah jarang berlaku, kerana orlistat tidak banyak diserap tubuh badan dan majoritinya (97%) keluar dari dubur. Jika ada kes toksisiti melibatkan orlistat, simptom utamanya boleh dilihat sebagai lanjutan dari kesan advers biasa ubat tersebut sendiri.

Ada satu kajian retrospektif melibatkan 92 kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah mendapati kebanyakan dari mereka tidak mempunyai apa-apa simptom terlebih dos selepas memakannya dengan hanya sedikit dari mereka hanya mengalami simptom minimum yang boleh dirawat selepas mengambil dos 120 mg ke bawah. Rawatan kebiasaannya terdiri daripada rawatan sokongan dan terarah kepada simptom yang dialami pesakit sahaja.

Rujukan

  1. Orlistat. Dalam: MIMS Gateway [Internet]. Diambil dari: MIMS
  2. Qi, X (2018). Review of clinical effect of orlistat. IOP Conference Series: Materials Science and Engineering, 301, 012063.
  3. BNF 66 & BNF 71
  4. Micromedex
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 1 =