Skip to content

Ubat Pizotifen: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat pizotifen? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan ubat migrain pizotifen ini.


Pernahkah anda merasa sakit kepala? Sakit kepala biasanya boleh diklasifikasikan kepada pelbagai jenis. Dan kebiasaannya ramai orang selalu menggunakan ubat tahan sakit macam paracetamol atau diclofenac untuk mengurangkan gejala mereka.

Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui terdapat pelbagai jenis ubat yang khas untuk sesetengah jenis sakit kepala. Maka artikel kali ini ingin memaparkan kepada pembaca salah satu jenis ubat sakit kepala dan juga migrain, pizotifen.

Kegunaan



Kegunaan utama untuk ubat pizotifen adalah untuk sakit kepala dan juga migrain

Formulari Kebangsaan menyatakan pizotifen sebagai rawatan pencegahan bagi sakit kepala vaskular berulang. The International Classification of Headache Disorders 2nd edition (ICHD-II) pula meletakkan pizotifen dalam rawatan profilaksis pelbagai jenis sakit kepala dan migrain meliputi:

  • Migrain klasik (classical migrain) atau migrain bersama aura – sakit kepala berulang-ulang kali disertai gangguan penglihatan, sensitif terhadap pancaran cahaya, kebas-kebas satu belah bahagian dan kesukaran bercakap sebagai contoh.
  • Migrain biasa (migrain tanpa aura)– sakit kepala yang tidak disertai gangguan deria tetapi turut muncul dengan intensiti kesakitan yang amat sangat dengan kehadiran loya dan kesukaran pergerakan sebagai contoh.
  • Sakit kepala kluster (sakit kepala yang berlaku berulang kali dalam masa dan tempoh tertentu, antara jenis sakit kepala yang sangat menyakitkan)

Ubat pizotifen tidak sama sekali berkesan ketika serangan migrain. Disebabkan itulah ubat ini  diletakkan sebagai ubat terkawal dan perlu dipreskrib oleh doktor.

Para pesakit tidak boleh menggunakan ubat ini terlebih dahulu tanpa kebenaran doktor setelah para doktor mengenal pasti jenis sakit kepala yang dialami serta parameter-parameter penting lain.

Cara Pengambilan Ubat

Berikut disediakan cara pengambilan ubat pizotifen:

  • Dewasa dan warga tua: dos awal 0.5 mg sekali sehari pada waktu malam sebelum tidur, dan boleh dinaikkan ke 1.5 mg sekali sehari atau dalam 3 pecahan dos. Maksimum perlu 4.5 mg sekali sehari dengan setiap dos yang diambil mesti ≤3 mg.
  • Kanak-kanak 2 tahun dan ke atas: dos permulaan 0.5 mg sekali sehari pada waktu malam sebelum tidur, boleh dinaikkan hingga 1.5 mg/hari dalam 3 pecahan dos. Maksimum perlu diambil ialah 1 mg/dos.
  • Ditelan dengan segelas air kosong sepenuhnya, tidak perlu dipotong, dikunyah dan dihancurkan ubat tersebut, perlu diambil selepas atau sebelum makan. Pengambilan mestilah diambil pada masa sama setiap hari. Jika terlupa dos, ambil dos secepat mungkin tetapi jika baru teringat mengambil ubat pada waktu hampir dengan dos ubat seterusnya, pesakit perlu meninggalkan dos tadi dan ambil dos seterusnya ikut jadual biasa. Jangan gandakan dos.
  • Pesakit buah pinggang dan hati perlu dikurangkan dosnya mengikut kesesuaian para doktor.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan



Ubat perlulah disimpan dalam suhu bilik (antara 15-30°C), dan dijauhkan dari cahaya dan kelembapan. Simpan tidak melebihi tarikh luput ubat. Jauhkan dari kanak-kanak.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Di pasaran Malaysia, carian dalam NPRA memberikan 2 jenama ubat pizotifen dipasarkan di dalam negara iaitu:

  • Pizogran (Remedica; Eucogen): 0.5 mg/tablet
  • Acugrain (Duopharma): 0.5 mg/tablet

Cara Ubat Berfungsi

Mekanisma kesan terapeutik pizotifen agak sukar dikenal pasti. Namun begitu kajian haiwan mendapati pizotifen mempunyai

  • Kesan pengaruhan perantara biologikal serotonin dan sifat anti-triptamin (asid amino yang digunakan dalam penghasilan serotonin oleh tubuh badan),
  • Sifat anti-kolinergik yang lemah (yang memberikan kesan halusinasi, kabur penglihatan, kulit kering dan kencing tak lawas), anti-histamin (kesan utama pengurangan selesema dan kegatalan)
  • Sifat anti-plasmakinin (mengaruh perantara kesakitan melintasi pembuluh darah di otak).

Pizotifen didapati mengurangkan kebolehan serotonin dan histamin diresap masuk ke dalam pembuluh darah otak, sekaligus mengurangkan penyerapan perantara kesakitan plasmakinin antara tisu-tisu otak dan menyebabkan pengenduran otot darah otak yang menjadi punca utama migrain.

Dalam masa yang sama, pizotifen menghalang penyerapan semula serotonin ke dalam platelet darah, mengurangkan lagi kesakitan migrain dan mengekalkan pengembangan pembuluh darah dalam otak. Pizotifen juga turut memiliki efek menaikkan selera makan.

Kesan sampingan

Adalah amat penting untuk pesakit berjumpa terus dengan doktor apabila berlaku sebarang simptom yang tidak diingini. Berikut adalah antara kesan sampingan yang terlibat:

  • Pening kepala
  • Mengantuk
  • Mulut kering
  • Sembelit (lebih-lebih lagi dalam kanak-kanak)
  • Berat badan naik (kerana peningkatan selera makan)
  • Loya dan muntah
  • Keletihan
  • Sakit-sakit dan kebas otot
  • Sensasi pada bahagian kulit badan seperti terbakar, kebas, ‘dicucuk-cucuk’ (paresthesia)
  • Kaki terasa berat atau sukar berehat
  • Oedema (pembentungan cecair dalam badan teruatmanya kaki dsb)
  • Penurunan tekanan darah
  • Merah muka
  • Ruam pada kulit
  • Bintik-bintik merah pada kulit, kegatalan
  • Mati pucuk
  • Meningkatkan insiden sawan
  • Kemerosotan fungsi hati
  • Rasa khayal
  • Kesan hipersensitif terhadap pizotifen (bengkak, ruam pada bahagian badan, kesukaran dan sesak nafas dsb)

Kesan sampingan apabila pesakit berhenti makan ubat ini juga ada berlaku. Jika keadaan tersebut berlaku, doktor perlu memastikan dos ubat dikurangkan sedikit demi sedikit untuk mengelakkan sindrom penarikan seperti yang dilaporkan:

  • Kemurungan (depresi)
  • Badan menggigil, jantung berdebar-debar
  • Ketakutan
  • Rasa tidak sedap hati (malaise)
  • Pening kepala
  • Masalah tidur
  • Pengurangan berat badan

Tidak Digalakkan pada Golongan

Atas sebab itulah, penggunaan pizotifen ini tidak digalakkan dalam kalangan populasi ini:



  • Pesakit angle-closure glaucoma (glaukoma) – menaikkan tekanan intraokular mata dan membahayakan mata
  • Pesakit yang mempunyai masalah berkaitan pundi kencing termasuklah pesakit benign prostate hyperplasia, BPH (tumbesaran abnormal kelenjar prostat) dan apa-apa sahaja yang membawa akibat penahanan air kencing keluar dari badan
  • Ada atau pernah mengalami sawan
  • Sebarang kesan hipersensitif terhadap pizotifen dan bahan kandungan dalam formulasi ubat ini.
  • Masalah kegagalan fungsi hati termasuklah hepatitis (jangkitan hati) – insiden kerosakan hati kerap dilaporkan berkenaan ubat ini. Penggunaan ubat ini perlu seterusnya dihentikan jika ada kemerosotan dalam parameter melibatkan fungsi hati sehinggalah punca kemerosotan fungsi hati diketahui.
  • Pesakit mengandung – sekiranya pengambilan pizotifen lebih mendatangkan manfaat dari mudarat, barulah boleh diambil ubat tersebut. Penggunaan dalam ibu mengandung masih tidak mempunyai cukup bukti.
  • Pesakit menyusukan anak – walaupun muncul dalam susu ibu dalam jumlah sedikit, kebanyakan rujukan tidak mengesyorkan pizotifen digunakan untuk mereka.
  • Kanak-kanak bawah 2 tahun – ubat ini juga mempunyai kesan antihistamin, jadi mungkin boleh menyebabkan kesukaran bernafas kepada kanak-kanak 2 tahun ke bawah. Jadi tidak sesuai untuk diambil.

Peringatan (precaution)

Jangan mengendali kerja-kerja berat dan memandu selepas mengambil ubat ini – menyebabkan mengantuk

Interaksi antara ubat

Berhubunglah dengan para doktor sekiranya pesakit ada mengambil apa-apa sahaja ubat yang diambil bersama pizotifen utuk mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini. Berikut adalah antara interaksi signifikan ubat ini dengan ubat dan makanan yang terlibat.

Meningkatkan kesan halusinasi dan mengantuk jika diambil bersama:

  • Alkohol,
  • Ubat jenis penebat enzim monoamine oxidase (MAO) seperti isocarboxazid, tranylcyromine dan selegiline
  • ubat tidur seperti zolpidem dan zopiclone
  • ubat tahan sakit opioid seperti fentanyl, morfin dan tramadol
  • ubat sawan seperti alprazolam dan diazepam
  • Ubat barbiturat seperti phenobarbitone

Meningkatkan kesan anti-kolinergik dan mengantuk jika diambil bersama

  • Ubat Trisiklik anti-kemurungan seperti amitryptyline, clomipramine, imipramine dan dothiepin
  • Ubat penebat reseptor muskarinik seperti atropine, hyoscine, ipratropium dan glycopyrronium
  • Herba Atropa belladona (pernah digunakan untuk celak mata) dan Datura stramonium
  • Ubat selsema dan alergik seperti chlorpheniramine, loratadine, cetirizine dll)

Kesan terlebih dos

Berikut adalah simptom biasa yang terjadi akibat keracunan pizotifen:

  • Mengantuk
  • Pening kepala
  • Mulut kering
  • Keliru
  • Tekanan darah kurang
  • Kesukaran berjalan, menelan dan keseimbangan badan (ataxia)
  • Kesukaran bernafas
  • Kanak-kanak – sawan dan pergerakan bahagian badan secara aktif (excitatory state)
  • Kenaikan kadar pernafasan dan nadi pesakit
  • Koma
  • Kelumpuhan sistem pernafasan

Rawatan keracunan pizotifen kebiasaannya bersifat suportif. Antaranya:

  • Prosedur gastric lavage untuk kes datang awal (kurang dari 4 jam) kemudiannya menggunakan arang aktif untuk menyerap lebihan pizotifen yang belum diserap.
  • Rawatan simptomatik seperti pemerhatian tekanan darah dan jantung seta simptom pernafasan.
  • Sawan – penggunaan ubat benzodiazepine dan barbiturat yang bertindak cepat; dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

  1. Jenis-jenis sakit kepala
  2. Migrain: Simptom dan Rawatan

Rujukan



  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. MIMS Gateway
  3. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Acugrain tablet: Pizotifen maleate (0.5 mg)
  4. BNF 78
  5. Pizotifen 0.5 mg tablets BP [Internet]. Medicines
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + 19 =