Ramai daripada individu dalam masyarakat yang risau akan sakit di bahagian dada. Ia diterukkan lagi apabila kesakitan itu juga mempunyai simptom yang lain seperti sesak nafas. Kebanyakannya mesti datang ke klinik kesihatan kerana risau sakit jantung.
Tetapi ada satu lagi simptom yang sama seperti orang yang ada gastrik tapi sebenarnya dia sedang mengalami serangan sakit jantung. Disebabkan dia tidak tahu itu adalah masalah sakit jantung, maka dia tidak pergi berjumpa dengan doktor perubatan hingga ada pesakit yang meninggal dunia disebabkan dia tidak tahu itu adalah tanda-tanda ajal yang akan tiba.
Simptom tersebut adalah pedih ulu hati. Ya, ada sesetengah pesakit yang hanya mengalami sakit ulu hati sahaja tetapi sebenarnya dia sedang mengalami sakit jantung.
Ingatkan gastrik, tapi sakit jantung
Ada satu hari tu, seorang Makcik datang kepada saya disebabkan pedih ulu hati. Waktu tu saya sedang jaga Zon kuning Jabatan kecemasan. Kata makcik tersebut sudah seharian dia sakit ulu hati. Sakitnya bermula pada malam hari membawa ke siang dan dia pun sudah berjumpa doktor di klinik pada malam tadi.
Doktor malam tadi mengatakan makcik tersebut mengalami masalah gastrik sahaja kerana pesakit hanya mengadu pedih ulu hati. Tiada ujian Electrocardiogram (ECG) dibuat kepada pesakit mungkin sebab doktor ingatkan ianya masalah gastrik sahaja.
***ECG merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mengesan masalah pada bahagian jantung. Dalam serangan sakit jantung, ia menjadi alat utama untuk mengesan dan mengesahkan masalah tersebut bersama-sama dengan pemeriksaan klinikal
Pada pagi itu pula, keadaan makcik tersebut semakin tenat kerana dia sudah mula mengalami sesak nafas. Tekanan darah diambil dan bacaannya sangat tinggi iaitu 200/100. Bacaan pulse oximetry iaitu bacaan kandungan oksigen dalam badan pula adalah 70%. Bacaan tersebut adalah rendah menunjukkan pesakit kekurangan gas oksigen dalam badan. Bacaan normalnya adalah lebih daripada 94%
Saya menggunakan stetoskop untuk mendengar jantung dan juga paru-paru makcik tersebut. Degupan jantung adalah normal tetapi tidak bagi paru-parunya. Bila makcik tersebut menarik nafas, terdengar bunyi seolah-olah buih-buih kecil pecah daripada paru-paru tersebut. Istilah perubatan bagi penemuan ini dipanggil sebagai ‘Crepitus’
Bunyi tersebut dihasilkan kerana terdapatnya air yang telah memasuki bahagian dalam paru-paru iaitu bahagian alveolus. Perkara tersebut boleh disebabkan beberapa perkara seperti jangkitan kuman paru-paru, lemah jantung dan juga serangan sakit jantung
Alveolus berfungsi sebagai tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida. Apabila ia dipenuhi dengan air, maka ia tidak boleh berfungis dengan sepenuhnya menyebabkan kandungan oksigen dalam darah semakin berkurangan.
Ujian Electrocardiogram(ECG)
Mesin ECG ditolak ke sebelah pesakit untuk melakukan ujian tersebut. Daripada keputusan ujian tersebut saya terkejut kerana apa yang saya takuti telah berlaku depan mata. Makcik tersebut sedang mengalami serangan sakit jantung kerana bacaan ECG tersebut sangat tipikal. Terdapat peningkatan segmen ST pada bahagian hadapan jantung(ST segment elevation) menunjukkan salur darah bahagian hadapan jantung telah tersumbat.
Tetapi kenapa makcik tersebut sakit ulu hati berbanding dada? Jadi saya pun tanya makcik tersebut sama ada mempunyai masalah kencing manis ataupun tidak. Dia menjawab ya dia ada kencing manis tetapi tidak mengambil ubat secara konsisten.
Persoalan dalam benak saya sudah terjawab kenapa makcik itu mengalami simptom yang tidak tipikal berbanding pesakit jantung yang lain. Makcuk tersebut mengalami pedih ulu hati, manakala pesakit jantung yang lain selalunya mengalami sakit dada.
Saya kemudian membawa makcik tersebut ke zon merah untuk rawatan selanjutnya.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kenapa pesakit kencing manis mempunyai simptom sakit jantung yang berbeza?
Penting untuk kita tahu bahawa seseorang yang mempunyai kencing manis mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan juga strok.
Bahkan bagi pesakit kencing manis, ia boleh datang dengan simptom yang pelik dan tidak sama seperti sakit jantung yang biasa. Contoh sakit ulu hati. Malah kadang-kadang pesakit tidak mempunyai apa-apa simptom sehinggalah dia sesak nafas dan terus mati begitu sahaja.
Satu sebab kenapa pesakit kencing manis mempunyai simptom sakit jantung yang pelik adalah kerana kencing manis itu sendiri menyebabkan KEROSAKKAN PADA SARAF. Gula yang tinggi akan merosakkan saraf yang menyalurkan rasa sakit daripada jantung ke otak.
Ini menyebabkan pesakit mungkin tidak merasa sakit langsung ketika berlakunya serangan sakit jantung tersebut ataupun mempunyai simptom yang tidak tipikal sebagai contoh pedih ulu hati ataupun sesak nafas sahaja.
Sebab itu jika mereka yang mempunyai tanda tanda kencing manis, perlulah pergi membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan yang berdekatan
Nasihat daripada saya
Jika anda mempunyai simptom seperti sesak nafas, pedih ulu hati berserta faktor risiko seperti kencing manis dan darah tinggi, kami nasihatkan anda untuk tidak berlengah berjumpa dengan doktor.
Bagi pesakit kencing manis pula, kawallah gula anda dengan baik agar anda tidak diserang sakit jantung secara tiba-tiba ataupun mati secara tiba-tiba.
Gambar ECG diambil daripada lifeinthefastlane.com