Dulu kita tidak terfikir atau percaya organ-organ seperti jantung, paru-paru dan buah pinggang ini boleh dipindahkan kepada orang lain ataupun tidak. Kemajuan dalam bidang perubatan telah merubah perkara ini dan membuktikan bahawa organ-organ tersebut boleh dipindahkan kepada orang lain.
Terbaru ini pula para doktor cuba untuk memindahkan rahim kepada seorang wanita yang tidak mempunyai rahim. Bahkan mereka cuba untuk membuatkan wanita tersebut hamil dengan menggunakan rahim daripada orang lain tersebut.
Persoalan ini telah terjawab pada 2 November 2018, ketika mana sekumpulan doktor telah membuat laporan kejayaan berkenaan seorang bayi yang telah dilahirkan menggunakan rahim yang telah dipindahkan kepada wanita tersebut. Penemuan ini telah diterbitkan dalam Jurnal berprestij The Lancet
Bayi yang istimewa itu mempunyai berat 2.7kg itu telah selamat dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Ibunya sebelum ini mempunyai masalah dimana dia tidak mempunyai rahim sejak daripada kecil menyebabkan dia tidak boleh hamil.
Kelahiran bayi daripada rahim yang telah didermakan ini akan membuka era baru dalam bidang perubatan terutamanya bidang perbidanan.
Pasukan pengkaji yang membuat rawatan tersebut melaporkan bahawa ibu tersebut berumur 32 tahun dan dilahirkan tanpa rahim. Manakala pendermanya pula adalah wanita berumur 45 tahun yang telah meninggal dunia disebabkan Angin Ahmar. Wanita tersebut adalah salah seorang mereka yang berikrar untuk mendermakan organnya jika dia meninggal dunia.
Pembedahan pemindahan rahim itu telah dibuat pada September 2016 dan ia mengambil masa 10 jam. Setelah pembedahan dibuat, wanita itu menerima beberapa jenis ubat untuk mengelakkan badan tidak menerima organ tersebut.
Setelah daripada itu, Persenyawaan In Vitro akan dilakukan terlebih dahulu sebelum hasil persenyawaan itu disuntik masuk ke dalam rahim. Persenyawaan In Vitro ini adalah salah satu kaedah persenyawaan yang dilakukan di dalam makmal. Kemudian hasil daripada persenyawaan itu akan disuntik ke dalam rahim. Ketika mana hasil persenyawaan itu menempel pada rahim dan mula membesar, maka seseorang itu akan mengalami fasa kehamilan.
Bayi itu sekarang ini telah pun berumur 7 bulan dan mempunyai berat lebih kurang 6.8kg.
Penemuan ini akan membuka dimensi baru untuk merawat mereka yang mengalami masalah sukar untuk hamil terutamanya mereka yang mengalami masalah pada struktur peranakan.
Rujukan:
- Dani Ejzenberg, Wellington Andraus,Luana Regina Baratelli Carelli Mendes, Liliana Ducatti, Alice Song, Ryan Tanigawa, Vinicius Rocha-Santos, Rubens Macedo Arantes, José Maria Soares Jr, Paulo Cesar Serafini, Luciana Bertocco de Paiva Haddad, Rossana Pulcinelli Francisco, Prof Luiz Augusto Carneiro D’Albuquerque, Prof Edmund Chada Baracat. Livebirth after uterus transplantation from a deceased donor in a recipient with uterine infertility. Published:December 04, 2018. DOI:https://doi.org/10.1016/S0140-6736(18)31766-5