Resusci Anne adalah nama yang sangat dikenali oleh sesiapa sahaja dari golongan perubatan seluruh dunia. Ada kalanya manikin ini sangat menyeramkan; terutamanya ketika ujian CPR & Megacode. Namun, tahukah anda siapakah pemilik wajah yang digunakan pada patung tersebut?
Wajah manikin Resusci Anne bukanlah wajah rambang yang digunakan oleh Laerdal dalam penghasilan manikin. Wajah yang digelar dengan pelbagai gelaran itu adalah milik L’Inconnue de la Seine (The Unknown Woman of the Sein). Wajah yang menyimpan seribu satu tanda tanya dan dalam masa yang sama telah menyelamatkan berjuta nyawa sehingga saat ini.
Siapakah L’Inconnue de la Seine?
Tiada sesiapa pun yang tahu mengenai identiti sebenar gadis tersebut. Awalnya, gadis malang yang tidak dikenali itu ditemui mati lemas dipercayai telah membunuh diri di sungai Seine, Paris. Mayatnya kemudian dibawa ke rumah mayat yang dikenali dengan nama “The Paris Morgue”. Di sana, mayat gadis ini bersama-sama beberapa lagi mayat lain yang tidak dikenali telah dipaparkan kepada umum untuk tujuan pengecaman.
Pada kurun ke 19, adalah menjadi kebiasaan bagi pihak pengurusan rumah mayat di Paris untuk meletakkan mayat-mayat yang tidak dikenali di sebalik dinding kaca sebagai tatapan umum bagi proses pengecaman.
Apa yang menariknya adalah, setiap kali ada mayat baru ditemui, orang ramai akan berpusu-pusu seakan pergi ke pesta demi melawat rumah mayat untuk menyaksikan sendiri pemandangan yang tidak menyenangkan itu. Untuk pengetahuan anda, rumah mayat tersebut kini telah menjadi taman awam yang dikenali sebagai Square de l’Ile de France ; salah satu lokasi menarik yang dikunjungi oleh pelancong dari serata dunia.
“Drowned Mona Lisa”
Dengan senyuman terukir di bibir bak senyuman Mona Lisa, L’Inconnue de la Seine mencetus fenomena pada ketika itu. Orang awam bahkan ahli falsafah, artis pelukis, penulis terpegun dengan senyuman wajah kaku milik gadis yang telah menjadi mayat itu.
Tidak seorang pun yang mengenalinya ketika dipaparkan di rumah mayat. Namun beliau menjadi sensasi lantaran misteri disebalik senyuman sehingga wajahnya diabadikan dalam bentuk lukisan, arca dan yang menarik sekali adalah manikin CPR ; Resusci Anne.
“The Most-Kissed Lips In History”
Manikin Resusci Anne adalah patung bersaiz manusia yang digunakan serata dunia bagi tujuan latihan CPR sejak penghasilannya pada tahun 1960 oleh Asmund Laerdal ; seorang usahawan yang memiliki kilang pembuatan mainan kanak-kanak.
Pada mulanya, patung “Anne” tidak lebih dari sekadar permainan kanak-kanak dan ianya langsung tiada kaitan dengan gadis mangsa lemas L’Inconnue de la Seine; walaupun ketika itu L’Inconnue de la Seine telah pun hangat diperkatakan. Patung “Anne” pada waktu itu merupakan satu kejayaan buat Asmund Laerdal apabila patung “Anne” dinobatkan sebagai “Toy of The Year”.
Namun, semuanya berubah apabila anak kepada Asmund Laerdal berumur 2 tahun hampir meninggal akibat lemas. Sejak dari peristiwa yang hampir-hampir meragut nyawa anaknya itu, Laerdal telah dikunjungi oleh sekumpulan anaesthesiologists (pakar bius) yang juga merupakan para penyelidik yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan prosedur CPR ke dalam dunia perubatan. Para penyelidik tersebut telah meminta bantuan Laerdal untuk menghasilkan sejenis patung bersaiz manusia yang boleh digunakan sebagai latihan CPR yang ketika itu masih lagi baru dibangunkan.
Terkesan daripada pengalaman ngeri yang pernah dialaminya, Laerdal bersetuju untuk bekerjasama dengan para penyelidik tersebut dan akhirnya berjaya mengubahsuai patung “Anne” bagi tujuan latihan CPR. Beliau mengambil keputusan untuk tetap menggunakan nama “Anne” sebagai nama manikin, namun, beliau telah menukar wajah patung tersebut kepada wajah L’Inconnue de la Seine yang pernah menjadi sensasi di Paris sebelum itu.
Sejak dari itu, L’Inconnue de la Seine telah mendapat gelaran “The Most-Kissed Lips In History” hanya kerana wajahnya yang digunakan pada beribu, bahkan berjuta unit manikin Resusci Anne yang telah digunakan sejak berkurun lamanya sehingga ke zaman ini dan telah membantu menyelamatkan jutaan nyawa seantero dunia. Kini terdapat banyak jenis barangan perubatan dibawah jenama Laerdal yang mendominasi pasaran termasuklah bag valve mask, endotracheal tube dan sebagainya.
Sumber
SCIENCE ALERT