Skip to content

Radang Usus: Punca, Simptom dan Rawatan

Radang usus juga dikenali sebagai Inflammatory bowel disease(IBD) dan ia merupakan satu kumpulan masalah usus disebabkan keradangan yang berpanjangan.

Saluran permakanan atau saluran alimentari adalah merangkumi mulut, esofagus, perut, usus kecil dan usus besar. Fungsinya adalah untuk mencernakan makanan, menyerap nutrien dan membuang bahan buangan yang tidak digunakan oleh badan.

Radang ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian saluran permakanan dan ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk malah boleh menyebabkan kematian.

Jenis Radang Usus



Terdapat 2 jenis masalah keradangan usus iaitu:

  • Ulcerative colitis: adalah keradangan bahagian usus besar dan rektum. Ia melibatkan lapisan usus paling dalam sekali
  • Crohn’s disease: Keradangan jenis ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian saluran pencernaan.

Simptom dan Tanda Masalah Radang Usus

Simptom bagi kedua-dua jenis keradangan usus ini selalunya adalah sama. Simptom tersebut adalah:

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Masalah Radang Usus

Punca sebenar kepada masalah ini masih lagi tidak diketahui. Sebelum ini, para pengkaji mengatakan bahawa ia disebabkan diet dan juga stress.

Akan tetapi kajian sekarang menunjukkan faktor tersebut lebih kepada menyebabkan simptom radang usus itu menjadi lebih teruk bukan menjadi punca kepada masalah tersebut. Beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk mengalami radang usus adalah:



1. Genetik

Anda lebih mudah terkena penyakit ini jika salah satu keluarga anda mempunyai masalah ini. Disebabkan itulah, para pengkaji menyatakan penyakit ini berkait dengan genetik dan keturunan seseorang.

2. Masalah sistem imun

Ketika berlakunya jangkitan kuman dalam usus, kawasan itu akan mengalami keradangan kerana ia berfungsi untuk membunuh jangkitan kuman di kawasan tersebut. Setelah jangkitan kuman itu sembuh, maka keradangan di kawasan yang terlibat akan berhenti dengan sendirinya.

Berlainan pula dengan mereka yang menghadapi masalah radang usus ini. Saluran pencernaan mereka akan berterusan radang walaupun tiada jangkitan kuman. Ini disebabkan sel pertahanan badan menyerang sel badan sendiri menyebabkan kawasan tersebut sentiasa berlaku keradangan. Mereka yang mengalami masalah ini dikatakan mempunyai penyakit autoimun

3. Merokok

Mereka yang merokok mempunyai faktor risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit Crohn’s disease. Merokok juga akan menyebabkan penyakit Crohn’s ini semakin teruk dan boleh menyebabkan komplikasi

4. Bangsa dan etnik



Mereka yang berbangsa Jew Askenazi atau berkulit putih mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah ini berbanding orang lain.

5. Kawasan geografi

Mereka yang tinggal di bandar atau kawasan industri lebih mudah mendapat masalah radang usus ini berbanding mereka yang tinggal di luar badan.

6. Jantina

Secara amnya, radang usus berlaku kepada kedua-dua jantina pada peratusan yang sama. Tetapi Ulcerative colitis selalunya berlaku pada lelaki. Manakala, Crohn’s disease pula selalu berlaku pada kaum wanita

Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit yang menghadapi masalah ini iaitu:

  • Kanser usus: Penyakit radang usus meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat kanser usus. Selalunya pesakit perlu menjalani pemeriksaan usus melalui kamera secara berkala. Ia penting untuk mengesan kanser tersebut sebelum ia merebak ke tempat lain
  • Keradangan pada kulit, mata dan sendi: Mereka yang mengalami masalah ini juga mempunyai risiko untuk mengalami keradangan di kawasan lain seperti mata, kulit dan sendi pesakit.
  • Malnutrisi: Pesakit selalunya akan mengalami cirit-birit menyebabkan serapan nutrien pada bahagian usus tidak begitu cekap. Oleh itu, pesakit mudah mengalami kekurangan nutrisi.
  • Usus bocor: Disebabkan keradangan yang berterusan, usus pesakit lebih mudah pecah dan bocor. Jika isi usus keluar ke dalam ruangan abdomen, pesakit selalunya akan mengalami sakit perut yang teruk, demam dan menjadi sangat tenat.

Ujian Pemeriksaan

Terdapat beberapa jenis ujian yang perlu dibuat untuk mengesahkan masalah ini dan untuk membezakannya daripada masalah yang lain.

1. Ujian darah



Ujian yang selalu dilakukan adalah ujian full blood count dimana kita melihat bilangan sel darah. Selalunya mereka yang mengalami masalah radang usus ini akan mengalami kekurangan darah merah kerana ususnya tidak dapat menyerap nutrisi yang secukupnya.

2. Prosedur endoskop

Selalunya doktor akan melakukan endoskop jenis colonoscopy iaitu memasukkan kamera melalui dubur. Ia digunakan untuk melihat permukaan dalam usus besar dan sampel boleh diambil untuk mengesahkan sama ada usus sedang mengalami keradangan ataupun tidak.

Rawatan Radang Usus

Tujuan rawatan untuk masalah ini adalah dengan cara mengurangkan keradangan usus yang menyebabkan simptom pada pesakit.

Dengan rawatan ini, ia bukan sahaja mengurangkan rasa sakit, tetapi ia juga boleh mengurangkan komplikasi yang bakal dihadapi oleh pesakit.

1. Ubat anti-keradangan

Ubat anti keradangan yang selalu diberikan adalah berasaskan corticosteroid dan juga aminosalicylates. Ia boleh mengurangkan keradangan pada kawasan yang terbabit.

2. Ubat perencat sistem imun



Ubat ini bertindak dengan cara mengurangkan keradangan yang disebabkan sel imun badan. Dengan merencat sel imun badan, sel tersebut tidak akan dapat menghasilkan faktor yang menyebabkan keradangan. Beberapa jenis ubat tersebut adalah azathioprine, cyclosporine dan methotrexate

3. Antibiotik

Antibiotik hanya akan diberikan jika didapati terdapat jangkitan kuman di dalam usus.

4. Pembedahan

Jika diet dan juga ubat tidak boleh mengurangkan simptom radang usus anda, doktor selalunya akan mencadangkan pembedahan

  • Pembedahan untuk ulcerative colitis: Pembedahan untuk menghilangkan masalah ini bermaksud dengan membuang semua usus besar berserta rektum.
  • Pembedahan untuk Crohn’s disease: Pembedahan hanya melibatkan saluran pencernaan yang mengalami masalah tersebut sahaja. Kemudian saluran tersebut akan disambung semula

Makanan yang sesuai bagi mereka yang mengalami masalah Radang Usus

Tiada bukti yang kukuh menunjukkan makanan menjadi punca kepada masalah radang usus. Akan tetapi beberapa jenis makanan didapati akan menyebabkan simptom pesakit menjadi lagi teruk.

Disini terdapat beberapa cadangan untuk pesakit:

  • Kurang makanan berasaskan susu: Kebanyakan pesakit ini selalunya mengalami cirit-birit dan pengambilan susu akan menyebabkan simptom tersebut semakin menjadi lebih teruk.
  • Ambil makanan yang rendah lemak: Anda akan mengalami masalah pencernaan lemak. Oleh itu, lemak tadi tidak akan diserap menyebabkan cirit-birit menjadi lebih teruk
  • Elakkan makanan pedas
  • Minum air secukupnya
  • Ambil vitamin

Periksa Simptom anda Di Sini



Rujukan:

  1. What is inflammatory bowel disease (IBD)? Centers for Disease Control and Prevention.
  2. Overview of inflammatory bowel disease. The Merck Manual for Health Care Professionals.
  3. IBD overview. American College of Gastroenterology.
  4. IBD 101: What is inflammatory bowel disease? American Gastroenterological Association.
  5. What is colorectal cancer screening? Centers for Disease Control and Prevention.
  6. Inflammatory bowel disease. U.S. Department of Health and Human Services.
  7. The role of endoscopy in inflammatory bowel disease. Gastrointestinal Endoscopy. 2015;81:1101.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 4 =