Skizofrenia adalah masalah mental yang serius dimana pesakit tidak mampu untuk mentafsir realiti dengan cara yang normal. Pesakit selalunya mengalami kombinasi halusinasi, delusi dan cara berfikir yang tidak normal dan perkara ini akan menganggu aktiviti harian pesakit.
Pesakit selalunya memerlukan rawatan seumur hidup mereka dan rawatan awal perlu diberikan supaya tidak menyebabkan komplikasi yang serius kepada pesakit.
Skizofrenia boleh berlaku pada golongan lelaki atau wanita. Lelaki selalunya akan mempunyai simptom ini pada awal umur 20 an. Wanita pula selalunya akan mula mempunyai simpatom ini ketika umur mereka diantara 20 hingga 30 tahun.
Simptom Penyakit Skizofrenia
Skizofrenia mempunyai simptom yang merangkumi cara berfikir, tingkah-laku, emosi dan juga persepsi pesakit.
Simptom awal
Terdapat beberapa simptom awal yang ditunjukkan oleh pesakit pada awal umur 20 an. Pada umur begini, simptom dan tanda tersebut mungkin dianggap biasa kerana pada ketika itu pesakit baru menjejakkan kaki ke tahap dewasa.
Beberapa tanda awal skizofrenia adalah:
- Selalu mengasingkan diri daripada kawan dan keluarga
- Bertukar fokus dalm hidup
- Mempunyai masalah tidur(susah tidur)
- Mudah marah
- Susah untuk menyiapkan kerja atau keputusan belajar yang teruk
Simptom positif
Simptom positif bukan bermaksud simptom tersebut bagus. Tetapi ia bermaksud terdapat simptom yang menunjukkan pesakit mengalami masalah skizofrenia.
Beberapa simtpom tersebut adalah:
- Halusinasi: Ia berlaku apabila terdapat persepsi walaupun tiada rangsangan daripada deria badan. Sebagai contoh pesakit dengar seseorang berbisik ke telinganya sedangkan pada ketika itu dia duduk berseorangan. Pesakit dapat melihat sesuatu sebagai contoh tuhan turun dari langit, sedangkan tiada sesiapa pun ketika itu.
- Delusi: Adalah dimana pesakit percaya kepada sesuatu perkara yang berlawanan dengan fakta, adat ataupun pemikiran setempat. Sebagai contoh pesakit percaya yang dia adalah raja di dalam hutan sedangkan pada ketika itu dia adalah orang biasa. Dan kepercayaan ini adalah tetap dan tidak tergugat. Walaupun orang normal menyanggah tentang perkara tersebut, pesakit masih akan menyatakan bahawa dia adalah raja hutan.
- Masalah cara berfikir(thought disorder): Ia diterjemahkan dalam cara pesakit bercakap. Selalunya pesakit akan bercakap daripada satu topik tiba-tiba ke topik yang lain tanpa mempunyai hubungan di antara kedua-dua topik tersebut. Terdapat beberapa lagi contoh dalam masalah ini sebenarnya.
Simptom negatif
Simptom negatif ini pula bermaksud simptom yang akan mengganggu emosi, tingkah-laku dan juga kebolehan pesakit. Simptom tersebut adalah:
- Respons emosi yang pelik. Sebagai contoh marah secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh.
- Kurang mengekspresikan emosinya
- Kurang minat melakukan sesuatu yang diminati sebelum ini
- Menyendiri
- Percakapan yang tidak ada kena mengena dengan situasi dan melompat daripada satu topik kepada topik yang lain
Simptom kognitif
Beberapa simptom tersebut adalah:
- Masalah dalam pembelajaran
- Tidak mampu menyelesaikan masalah dengan baik
- Tidak mampu memberikan fokus
- Tidak mempunyai kesedaran ke atas simptom yang pesakit miliki
Punca Skizofrenia
Ia masih tidak diketahui punca sebenar kepada masalah ini. Tetapi para pengkaji percaya ia adalah disebabkan kombinasi genetik, bahan kimia di dalam otak dan juga persekitaran pesakit yang menyebabkan masalah ini berlaku.
Masalah dengan bahan kimia di dalam otak seperti dopamine dan juga glutamate boleh menyebabkan penyakit skizofrenia berlaku. Imej CT scan dan MRI pula menunjukkan terdapat perbezaan di antara otak orang normal dan pesakit skizofrenia.
Walaubagaimanapun terdapat faktor-faktor yang meningkatkan risiko anda untuk mengalami masalah ini. Faktor-faktor tersebut adalah:
- Mempunyai keluarga dengan sejarah penyakit skizofrenia
- Bapa berumur ketika anda dilahirkan
- Pendedahan kepada jangkitan kuman dan toksin ketika bayi berada dalam kandungan
- Mengambil dadah ketika remaja
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komplikasi
Terdapat beberapa komplikasi yang boleh dihadapi bukan setakat pada pesakit sahaja, tetapi juga pada orang di sekelilingnya.
Komplikasi tersebut adalah:
- Kejadian bunuh diri
- Mencederakan diri
- Membunuh orang lain
- Kemurungan
- Menjadi agresif
Ujian Pemeriksaan
Tiada satu ujian yang boleh mengesahkan penyakit ini. Pesakit sepatutnya perlu menjalani pemeriksaan psikiatri sepenuhnya untuk mengetahui sama ada pesakit mengalami masalah ini ataupun tidak.
Ketika berjumpa dengan doktor, doktor akan bertanyakan berkenaan:
- Sejarah perubatan
- Masalah kesihatan mental tersebut
- Sejarah penyakit di dalam keluarga
Doktor juga mungkin akan melakukan:
- Pemeriksaan fizikal
- Ujian darah
Kadang-kadang, ada masalah lain yang menyebabkan pesakit itu mempunyai simptom yang dinyatakan di atas. Punca-punca yang lain itu adalah:
- Penyalahgunaan dadah
- Beberapa jenis ubat
- Penyakit psikiatri yang lain seperti bipolar
Doktor selalunya akan mengesahkan diagnosis skizofrenia jika pesakit mempunyai 2 diantara 3 simptom ini iaitu:
- Halusinasi
- Delusis
- Pemikiran yang terganggu(Disorder thought)
Rawatan Skizofrenia
Tiada lagi ubat yang boleh menyembuhkan sepenuhnya masalah ini. Jika pesakit telah disahkan mengalami masalah ini, maka pesakit perlu mengambil unatuk mengurangkan simptom tersebut.
Beberapa jenis rawatan adalah:
1. Ubat-ubatan
Ubat yang selalu digunakan adalah anti-psikotik(anti-psychotic). Ubat ini boleh menghentikan simptom
- Halusinasi
- Delusi
- Simptom psychosis
Pesakit selalunya akan diberikan generasi kedua anti-psychotic kerana mempunyai kesan sampingan yang rendah berbanding generasi pertama
Beberapa contoh ubat generasi kedua ini adalah:
- Aripriprazole
- Clozapiine
- Olanzapine
- Quetiapine
- Resperidone
2. Rawatan psikososial
Rawatan psikosoial merupakan salah satu rawatan yang penting bagi penyakit ini. Beberapa rawatan tersebut adalah:
- Terapi individu: Boleh membantu dalam menormalkan semula cara berfikir pesakit. Ia juga penting untuk memastikan pesakit boleh berhadapan dengan stres.
- Latihan skill untuk bersosial: Untuk menambahbaik komunikasi dan juga interaksi sosial pesakit dengan orang lain.
- Terapi keluarga: Untuk menerangkan kepada keluarga berkenaan penyakit skizofrenia berserta apa keluarga boleh buat ketika pesakit berada di rumah.
Pesakit perlu dibawa ke hospital dengan segera jika:
- Cuba untuk mencederakan diri atau orang lain
- Bertindak ganas
- Langsung tidak mahu makan atau minum
Rujukan:
- Schizophrenia. In: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders DSM-5. 5th ed. Arlington, Va.: American Psychiatric Association; 2013. http://www.psychiatryonline.org.
- Schizophrenia. National Institute of Mental Health.
- Fischer BA, et al. Schizophrenia: Epidemiology and pathogenesis. http://www.uptodate.com/home.
- Schizophrenia. (n.d.)