Skip to content

Penyakit Parkinson: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada penyakit parkinson dan rawatan yang berkesan?

Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan masalah parkinson ini, punca-puncanya berserta cara rawatan.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Tahap penyakit
  3. Punca Penyakit Parkinson
  4. Simptom Penyakit Parkinson
  5. Ujian Pengesahan
  6. Rawatan Parkinson
  7. Komplikasi
  8. Jangka hayat pesakit
  9. Parkinson VS Multiple Sclerosis

Tahukah anda apa persamaan antara peninju tersohor dunia, Muhammad Ali dan presiden Amerika Syarikat yang ke 41, George W Bush?



Tak ramai yang tahu bahawa dua figura hebat di mata dunia ini mempunyai satu persamaan bahkan hidup kedua duanya dihabiskan melawan satu penyakit dikenali sebagai penyakit Parkinson. Muhammad Ali meninggal di usia 74 tahun manakala Bush meninggal di usia 94 tahun. Masing masing adalah kerana komplikasi penyakit Parkinson.

Pengenalan


Penyakit Parkinson adalah satu penyakit saraf yang progresif. Tanda pertamanya adalah masalah dengan pergerakan. Pergerakan badan yang lancar dan teratur dikawal oleh otak melalui satu bahan bernama dopamin. Dopamin dihasilkan di bahagian otak yang bernama substantia nigra.

Dalam pesakit Parkinson, sel sel di substantia nigra mula mati. Apabila ini terjadi, kandungan dopamin mula menurun sehingga ke 60 peratus, pesakit akan mula mengalami tanda tanda Parkinson.

Para doktor berpendapat bahawa genetik dan gaya hidup mungkin mempunyai faktor yang menyebabkan anda mendapat penyakit Parkinson. Kebanyakan pesakit tidak mempunyai sejarah penyakit Parkinson di dalam keluarga. Penyakit Parkinson jarang diwarisi dan hanya 15% ibubapa yang mempunyai penyakit Parkinson mewarisinya kepada anak mereka.

Tahap penyakit Parkinson


Penyakit Parkinson adalah progresif yakni tandanya akan menjadi lebih ketara saban masa.



Doktor membahagikan tanda tanda Parkinson kepada 5 tahap bergantung kepada keterukannya.

  • Tahap 1. Ini adalah tahap yang paling tidak ketara di mana tanda tandanya tidak dirasai oleh sesetengah pesakit.
  • Tahap 2. Di tahap ini, pesakit akan mengalami otot kejang, tangan menggeletar, perubahan riak muka. Namun ianya tidak ketara.
  • Tahap 3 adalah dimana tanda tanda tadi menjadi semakin ketara sehingga mengganggu aktiviti seharian. Pergerakan menjadi semakin perlahan, badan menjadi tidak stabil.
  • Tahap 4 adalah dimana ia menjadi teruk sehingga anda memerlukan bantuan untuk berdiri dan berjalan. Pesakit memerlukan bantuan orang sekeliling.
  • Tahap 5 adalah yang paling akhir dimana pesakit memerlukan bantuan sekeliling setiap masa. Pesakit mungkin memerlukan kerusi roda dan mula mengalami halusinasi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca penyakit Parkinson


Punca sebenar penyakit Parkinson masih belum diketahui. Ia mungkin berkaitan dengan faktor genetik dan persekitaran.

Apa yang diketahui adalah kadar dopamin yang rendah mempunyai hubungan dengan penyakit Parkinson. Doktor juga menemui protein abnormal di dalam otak pesakit Parkinson iaitu lewy bodies.

Meskipun puncanya masih belum ditemui, doktor telah mengenal pasti beberapa golongan yang lebih terdedah untuk mendapat penyakit Parkinson:

  • Kaum lelaki lebih berisiko untuk mendapatnya
  • Kaum caucasian ataupun mereka yang berkulit putih
  • Mereka yang berusia lingkungan 50an hingga 60an
  • Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit Parkinson
  • Kecederaan pada kepala

Simptom penyakit Parkinson


Tanda tanda awal penyakit Parkinson mungkin muncul bertahun tahun sebelum masalah otot muncul. Antaranya:

  • Kurang deria bau
  • Masalah penghadaman iaitu sembelit
  • Tulisan yang mengecil
  • Perubahan suara
  • Postur badan yang membongkok

Terdapat 4 masalah motor yang dapat dilihat dalam pesakit Parkinson iaitu:

  • Menggeletar tangan terutama sewaktu tidak menggunakan tangan
  • Pergerakan yang perlahan
  • Otot tangan, kaki dan badan yang keras
  • Masalah keseimbangan dan kerap jatuh

Simptom lain yang mungkin dialami ialah:

  • Riak muka yang kosong
  • Kesukaran ketika berjalan
  • Suara yang tenggelam dan tidak jelas
  • Kedipan mata dan proses menelan yang perlahan dan berkurang
  • Kecenderungan untuk terjatuh
  • Pergerakan tangan yang berkurang sewaktu berjalan

Simptom yang mungkin lebih teruk ialah:



  • Tumbuh sisik kering pada kulit berwarna kekuningan dikenali sebagai seborrheic dermatitis
  • Terdedah kepada melanoma iaitu sejenis kanser kulit
  • Gangguan tidur seperti bercakap dan bergerak
  • Depresi
  • Keresahan
  • Halusinasi
  • Masalah ingatan dan tumpuan

Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian Pengesahan


Selain dari pemeriksaan fizikal yang menyeluruh melibatkan sistem saraf dan fungsi otak, doktor akan menjalankan ujian lain bagi mengenal pasti penyakit Parkinson.

  • Ujian pengimejan seperti CAT scan atau MRI diperlukan untuk melihat struktur otak terutamanya di bahagian substantia nigra. Ia juga diperlukan untuk mengenal pasti keadaan lain yang terjadi kepada struktur otak yang menyebabkan simptom yang dialami.

Rawatan penyakit Parkinson


Rawatan penyakit ini terdiri daripada gabungan perubahan gaya hidup, ubatan dan terapi. Rehat yang cukup, aktiviti riadah dan diet yang seimbang adalah penting. Terapi fizikal, percakapan dan tatakerja juga boleh membantu menambah baik komunikasi dan penjagaan diri pesakit.

Dalam kebanyakan kes, ubatan diperlukan bagi mengawal tanda tanda fizikal dan mental yang dialami pesakit.

Nama ubatMekanisma
LevodopaMenggantikan dopamin
Dopamine agonist (bromocriptine)Mempunyai fungsi yang sama seperti dopamin
Anticholinergic (benztropine)Menghalang aktiviti parasympathetic dan membantu melegakan otot keras
Amantadine (symmetrel)Mengawal pergerakan tidak teratur
COMT inhibitor (entacapone)Membantu fungsi levodopa

Bagi pesakit yang tidak responsif terhadap ubatan, pesakit mungkin memerlukan pembedahan:

  • Deep brain stimulation, electrodes ditanam di dalam otak dan mengalirkan eletrik untuk mengawal simptom Parkinson seperti tangan menggeletar

Pesakit Parkinson juga memerlukan beberapa terapi fizikal dan aktiviti bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan.

  • Berjalan dengan berhati hati, tidak perlu terlalu laju.
  • Pastikan anda mempunyai postur badan yang betul dan berdiri secara tegak.
  • Elakkan berjalan sambil memegang barangan.
  • Pastikan keadaan rumah mempunyai ruang yang luas
  • Gunakan pakaian yang senang dipakai seperti pakaian berzip
  • Amalkan aktiviti yoga bagi menguatkan otot, meningkatkan mobiliti dan fleksibiliti.

Diet juga memainkan peranan penting dalam rawatan pesakit Parkinson. Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh meningkatkan kadar dopamin secara semulajadi.

  • Anti oksidan seperti kekacang, buah beri
  • Kacang fava mengandungi levodopa secara semulajadi, bahan sama dalam ubat penyakit Parkinson
  • Omega 3s seperit dalam salmon, tiram dan kacang yang boleh melindungi otak dan jantung dari kerosakan

Komplikasi


Hampir 50% ke 80% pesakit Parkinson akan mengalami dementia iaitu kesukaran berfikir dan menyelesaikan masalah.



Simptom dementia ialah:

  • Depresi
  • Gangguan tidur
  • Delusi dan halusinasi
  • Kecelaruan fikiran
  • Perubahan mood yang drastik
  • Percakapan yang tidak jelas
  • Perubahan selera makan dan tenaga badan

Jangka hayat pesakit Parkinson


Penyakit ini tidak membawa maut namun komplikasinya boleh memendekkan jangka hayat pesakit.

Pesakit Parkinson lebih berisiko untuk jatuh, mendapat gumpalan darah beku dan jangkitan paru paru. Ia terjadi kerana kegagalan mereka untuk menjalankan aktiviti seperti biasa dan boleh menyebabkan komplikasi serius.

Penyakit Parkinson vs Multiple Sclerosis


Terdapat satu lagi keadaan yang menyerupai Parkinson iaitu Multiple Sclerosis (MS). Ia juga terjadi kepada sistem saraf dan menghasilkan tanda yang hampir serupa.

  • Tangan menggeletar
  • Percakapan tidak jelas
  • Kurang keseimbangan
  • Perubahan pergerakan
  • Otot lemah dan pergerakan tidak teratur

MS terjadi kerana sistem imun badan menyerang sel badan sendiri iaitu autoimmune. Ia tidak mempunyai kaitan dengan kadar dopamin dalam otak. Ia juga terjadi dalam kalangan mereka yang berusia 20 an hingga 50an. Pesakit MS juga akan mengalami masalah sakit kepala, kurang pendengaran, penglihatan kabur. Pesakit Parkinson pula mengalami masalah lebih kepada fungsi motor pada otot seperti pergerakan perlahan dan postur yang membongkok.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Parkinson – Healthline
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten + twelve =