Rabun jauh adalah salah satu keadaan dimana seseorang individu itu tidak boleh melihat sesuatu yang berada pada jarak jauh ataupun pandangannya menjadi kabur apabila melihat sesuatu yang jauh.
Isi Kandungan Artikel Rabun Jauh |
---|
1. Punca |
2. Simptom rabun jauh |
3. Penyakit yang berkaitan |
4. Ujian |
5. Rawatan |
6. Tanya Soalan |
Tetapi apabila individu tersebut melihat benda yang dekat, pandangan matanya menjadi jelas semula.
Keadaan ini dinamakan sebagai rabun jauh ataupun myopia dalam istilah perubatannya
Punca Rabun Jauh
Perkara ini berlaku disebabkan pada struktur bebola mata. Apabila cahaya memasuki mata, sepatutnya imej yang terhasil akan difokuskan pada retina yang terletak pada belakang bahagian mata.
Retina berfungsi sebagai reseptor yang akan menerima maklumat cahaya untuk dihantar ke otak. Otak pula akan mentafsirkan cahaya yang dilihat.
Bagi individu yang mengalami masalah rabun, terdapat dua perkara yang berlaku pada struktur mata iaitu:
- Bebola mata terlalu panjang
- Kornea terlalu melengkung
Kedua-dua perkara ini menyebabkan cahaya tidak difokuskan secara tepat pada retina. Perkara ini akan menyebabkan imej yang kita lihat tersebut kabur
Simptom dan Tanda Rabun Jauh
Beberapa simptom yang akan dihadapi oleh mereka yang rabun jauh adalah:
- Penglihatan yang kabur apabila melihat sesuatu yang jauh. Pemandangan itu akan menjadi jelas apabila melihat sesuatu yang dekat
- Sakit kepala
- Juling
- Mata menjadi letih
- Melihat sesuatu dengan terlampau dekat seperti melihat TV ataupun membaca buku
Bagi pelajar di sekolah rendah atau menengah pula, pesakit akan mengalami
- Tidak dapat melihat apa yang ditulis oleh cikgu
- Mata pelajaran merosot
- Asyik sakit kepala
- Pelajar tersebut asyik berasa penat
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Penyakit yang berkaitan
Terdapat beberapa diagnosa lain yang menyebabkan mata menjadi kabur dan selalunya pesakit mempunyai masalah yang seriu. Masalah tersebut adalah:
- Trauma pada mata. Trauma tersebut mungkin telah mencalarkan bahagian kornea mata menyebabkan cahaya yang masuk tidak sekata
- Jangkitan kuman pada mata
- Tekanan dalam tengkorak yang meningkat (increase intracranial pressure) seperti dalam kes angin ahmar yang melibatkan pendarahan dalam otak
- Tekanan darah tinggi yang melampau
- Kanser dalam mata
- Gloucoma
Ujian untuk mengesahkan masalah rabun
Pesakit perlu pergi ke kedai cermin mata untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai masalah rabun ataupun penyakit lain.
Selalunya jika pesakit mempunyai masalah selain daripada rabun yang menyebabkan pemandangan mata menjadi kabur sebagai contoh dalam masalah katarak ataupun gloucoma, selalunya pesakit akan diminta terus berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan.
Rawatan
Terdapat beberapa rawatan yang digunakan untuk merawat masalah rabun. Rawatan tersebut adalah:
- Kaca mata: Rawatan ini adalah rawatan yang selalu digunakan oleh masyarakat. Ia bertujuan untuk memfokuskan semula cahaya daripada luar supaya ia jatuh dengan tepat ke atas retina.
- Kanta lekap: Pesakit akan menggunakan kanta yang dilekapkan terus ke atas kornea
- LASIK: Adalah salah satu prosedur yang digunakan untuk mengubahsuai bentuk kornea agar cahaya yang masuk ke dalam bebola mata dapat ditumpukan dengan tepat ke atas retina.
Rujukan:
- Ono K, Hiratsuka Y, Murakami A. Global inequality in eye health: country-level analysis from the Global Burden of Disease Study. Am. J. Public Health 100(9), 1784–1788 (2010).
- Resnikoff S, Pascolini D, Mariotti SP, Pokharel GP. Global magnitude of visual impairment caused by uncorrected refractive errors in 2004. Bull. World Health Organ. 86(1), 63–70
- National Eye Institute: “Facts About Refractive Errors,” “Facts About Myopia.”