Mata kering adalah keadaan dimana penghasilan air mata tidak cukup untuk membasah dan menjadi pelincir di bahagian mata. Air mata tidak cukup boleh disebabkan pelbagai punca.
Masalah ini boleh membuatkan perasaan tidak selesa pada mata anda seperti rasa berpasir dan rasa panas. Anda mungkin akan merasakan hal ini ketika berada di satu-satu keadaan seperti ketika menaiki kapal terbang, di dalam bilik yang mempunyai penghawa dingin, ketika menaiki motorsikal dan juga ketika melihat komputer dalam satu jangka masa yang panjang.
Rawatan untuk masalah ini akan membuatkan mata lebih rasa selesa dan ia termasuk perubahan dalam gaya hidup dan juga penggunaan ubat titik untuk mata.
Simptom dan Tanda Mata kering
Terdapat beberapa tanda dan simptom apabila seseorang itu mengalami masalah ini. Simptom tersebut adalah:
- Rasa panas dan berpasir pada mata
- Sensitif kepada cahaya
- Mata menjadi merah
- Mata menghasilkan lebih banyak air mata seolah seperti menangis
- Pandangan sedikit kabur
Bila perlu berjumpa dengan doktor?
Selalunya keadaan ini berlaku seketika sahaja dan ia boleh hilang dengan cara mengkedipkan mata dengan lebih kerap ataupun mengelakkan perkara yang menyebabkan mata tersebut menjadi kering.
Akan tetapi jika pesakit mengalami masalah ini dalam jangka lebih dari sehari berserta mata yang merah, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Mata kering
Punca kekeringan mata adalah disebabkan kurangnya penghasilan air mata yang mencukupi untuk membasah dan melincirkan bahagian mata. Ia juga boleh disebabkan beberapa perkara lain yang menyebabkan mata menjadi lebih mudah kering.
Kurang penghasilan air mata
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kurangnya penghasilan air mata. Perkara tersebut adalah:
- Umur yang semakin meningkat. Orang yang berumur akan selalu mengalami masalah ini
- Beberapa jenis penyakit seperti Kencing manis, Rheumatoid arthritis, SLE, Sindrom Sjorgen dan beberapa jenis penyakit yang lain
- Penggunaan beberapa jenis ubat seperti ubat antihistamin(yang digunakan bagi mereka yang mengalami selesema), penggunaan ubat hormon dan juga ubat anti-depressi
- Kerosakan pada kalenjar yang menghasilkan air mata
Punca lain yang menyebabkan kekeringan mata
Punca mata kering jenis ini selalu berlaku pada kita sebagai contoh:
- Duduk di dalam bilik yang berhawa dingin
- Naik motosikal menggunakan helmet yang tidak penghadang angin
- Melihat komputer pada satu jangkamasa yang lama.
- Memandu pada waktu yang lama
- Terkena asap
Cara untuk mengelakkan mata kering
Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku iaitu:
- Elakkan semburan angin ataupun penghawa dingin terus ke mata anda.
- Tambah kelembapan udara disekitar anda dengan menggunakan humidifier
- Gunakan cermin mata ketika menaiki motorsikal ataupun menaiki kenderaan yang laju untuk mengelakkan mata menjadi kering disebabkan terkena angin yang laju
- Rehatkan mata apabila melakukan kerja yang lama terutamanya ketika berhadapan dengan komputer
- Perhatikan persekitaran. Kawasan padang pasir ataupun kawasan yang tinggi selalunya mempunyai udara yang kering dan menyebabkan air lebih mudah tersejat daripada permukaan mata. Kedipkan mata dengan lebih selalu untuk mengelakkan mata menjadi kering.
- Posisikan komputer anda lebih rendah daripada aras mata. Ini kerana jika ia lebih tinggi dari aras mata, kelopak mata akan terbuka dengan lebih besar menyebabkan mata lebih cepat menjadi kering.
- Gunakan ubat titis mata
Rawatan
Rawatan mata kering bergantung kepada punca masalah tersebut. Jika ia disebabkan daripada faktor yang boleh dikawal seperti keadaan bilik berhawa dingin, selalu berkerja dihadapan komputer dan sebagainya, penggunaan ubat titis dan juga perubahan dalam gaya hidup sudah boleh mengatasi masalah tersebut.
Tetapi jika masalah ini disebabkan perkara lain, punca kepada masalah tersebut perlulah dirawat untuk mengelakkan masalah ini menjadi lebih teruk
Beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah:
1. Ubat titis
Boleh menggunakan ubat titis yang berada di pasaran. Tetapi dinasihatkan untuk mendapat nasihat daripada ahli farmasi jika ingin membelinya terus daripada pasaran. Fungsi ubat titis ini untuk memberikan rasa kegelegaan dan rawatan yang cepat untuk mengatasi masalah kekeringan mata ini.
2. Rehatkan mata
Jika anda sudah lebih 2 jam melihat komputer, anda dinasihatkan untuk berehat seketika daripada melakukan kerja anda. Ini kerana penggunaan komputer akan membuatkan mata anda kurang berkedip dan berisiko untuk mengalami masalah ini.
Ketika rehat, anda boleh membuat perkara lain yang tidak melibatkan skrin komputer. Jangan pula rehat daripada skrin komputer dengan cara melihat skrin telefon pula kerana ia adalah perkara yang sama.
Rujukan:
- Dry eye. American Optometric Association.
- What is dry eye? American Academy of Ophthalmology.
- Yao W, et al. Dry eye syndrome: An update in office management. The American Journal of Medicine. 2011;124:1016.
- What is Dry Eye?. American Academy of Ophthalmology.