Skip to content

Spina Bifida: Punca dan Pencegahan

Spina bifida  merupakan  salah  satu  jenis  kecacatan  sejak  lahir.  Perkara  ini  berlaku  kerana  tulang  belakang  yang  tidak  terbentuk  secara  normal,  menyebabkan  saraf  tunjang  terkeluar  atau  terdedah.

Bagi  memahami  keadaan  ini,  kita  perlu  terlebih  dahulu  memahami  bagaimana  tulang belakang  kita  terbentuk  semasa  janin ( “embryological  development” ).  Dalam  kandungan  yang  normal,  perkembangan  otak,  saraf  tunjang  serta  struktur  berdekatan  seperti  tulang  belakang  bermula  daripada  pembentukan  tiub  neural. 

Bahagian  atas  tiub  akan  membentuk  otak  dan  selainnya  menjadi  saraf  tunjang  ( “central  nervous  system” ).  Kebiasaannya,  penutupan  tiub  neural  ini  akan  terjadi  pada  minggu  ke  empat  kandungan/ hari  ke  28.  Sekiranya  tiub neural  ini  tidak  tertutup,  tulang  belakang  tidak  dapat  bercantum  dengan  sempurna  dan  menyebabkan  saraf  tunjang  yang  terdedah.  Lalu,  spina  bifida  berlaku  terutamanya  pada  bahagian  bawah  tulang  belakang

Jenis-jenis  Spina  Bifida



Spina  Bifida  Occulta

  • Terdapat hanya  sedikit  jurang  pada  bahagian  tulang  belakang.
  • Saraf tunjang  tidak  terkeluar  atau  terjejas.
  • Kebiasaannya, tiada  kecacatan  yang  berlaku.

Meningocoele

  • Lapisan luaran  saraf  tunjang  yang  dinamakan  “meninges”  terkeluar  melalui  jurang  antara  tulang  belakang  yang  terbuka.
  • Namun begitu,  saraf  tunjang  kekal  di  posisinya.

Meningomyelocoele

  • Keadaan yang  paling  parah  di  mana  tulang  belakang  tidak  bercantum  di  beberapa  bahagian.
  • Hal ini  menyebabkan  lapisan  meninges  terkeluar  menjadi  sebuah  kantung  berisikan  sebahagian  saraf  tunjang,  cecair  serebrospina , meninges  dan  akar  saraf.
  • Perkara ini  merosakkan  saraf  dan  mendedahkan  bayi  kepada  jangkitan  kuman.

Keadaan  pesakit  bergantung  kepada  keterukan  jenis  yang  dialami.  Sebahagian  bayi  tidak  menunjukkan  apa-apa  tanda.  Bagi  kanak-kanak  yang  mengalami  jenis  yang  sederhana,  mereka  perlu  mendapatkan  rawatan  yang  sepatutnya.  Manakala  bagi  bayi  yang  dilahirkan  dengan  spina  bifida  yang  teruk  dan  melibatkan  saraf  tunjang  yang  atas,  ada  kemungkinan  bayi  tersebut  tidak  dapat  meneruskan  kehidupan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca  Berlakunya  Spina  Bifida



1. Faktor genetik

  • Pasangan yang  mempunyai  anak  sebelumnya  yang  mengalami masalah ini  lebih  cenderung  untuk  melahirkan  anak  lain dengan  keadaan  yang   sama.

2. Faktor persekitaran

  • Kekurangan asid  folik  sebelum  dan  semasa  awal kandungan
  • Pengambilan ubebeberapa jenis ubat
  • Diabetes yang  tidak  terkawal.
  • Obesiti.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyiasatan

Bagi menentukan bayi itu mengalami masalah ini, beberapa penyiasatan boleh dilakukan untuk mengesahkannya. Ia terbahagi kepada:

Semasa  dalam  kandungan:

  • Ujian darah:  Mengukur  tahap  Alpha-fetoprotein (AFP)  dalam  darah  ibu  mengandung.
  • Ultrasonogrpahy”: Bagi melihat  pembentukan  tulang  belakang  bayi.
  • “Amniocentesis”: Mengukur tahap  AFP  dalam  air ketuban.

Selepas  lahir:

  • Benjolan di  bahagian  belakang  badan  bayi.
  • Penonjolan saraf  tunjang  atau  meninges  melalui  ruang  pembukaan di tulang belakang.
  • Ukur lilit  kepala  yang  besar  ( “hydrocephalus” ).
  • Bagi kes  spina  bifida  occulta,  perubahan  warna  kulit,  lekok,  ketulan  tisu  lemak  yang  lembut  atau  tompokan  rerambut  akan  dapat  dilihat  pada  bahagian  belakang.
  • X-ray dan  MRI.

Komplikasi

Masalah ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi iaitu:

  • Kerosakan pada  saraf  tunjang  boleh  mengakibatkan  sakit  belakang,  hilang  kawalan  buangan  air  kecil  atau  besar ,  serta  kelemahan  atau  kelumpuhan  kaki.
  • Hydrocephalus berlaku  menyebabkan  pengumpulan  cecair  dalam  otak  sekaligus  melakukan  kerosakan  pada  otak  bayi.
  • Masalah jangkitan  kuman  seperti  jangkitan  pada  meninges  (“meningitis”).
  • Masalah tulang  seperti  “scoliosis”  iaitu  tulang  belakang  membongkok.

Rawatan  dan  Pencegahan

Tiada  rawatan  khusus  bagi  memulihkan  kerosakan  pada  saraf  yang  berpunca  daripada  spina  bifida.  Namun  begitu,  pembedahan  boleh  dilakukan  selepas  kelahiran  bayi  dalam  jangka  masa  48  jam. 

Hal  ini  bagi  mengurangkan  risiko  jangkitan  kuman  dengan  memasukkan  semula  saraf  tunjang  dan  meninges  yang  terkeluar.  Jika  didapati  bayi  mengalami  hydrocephalus,  cecair  berlebihan  yang  berkumpul  di  otak  akan  dialihkan  ke  abdomen  melalui  saluran lain yang dibuat. Selain  itu,  segala  jangkitan  kuman  perlu  dirawat  dengan  kadar  segera.



Bagi  mengurangkan  kadar  kelahiran  bayi  spina  bifida,  pencegahan  awal  boleh  dilakukan  dengan  mengambil  pemberian  tambahan  asid folik  sebanyak  0.4mg  sehari  sebelum  mengandung  sehingga  tiga  bulan  pertama  kandungan.  Untuk  pasangan  yang  mempunyai  anak  yang  menghidapi  spina  bifida,  kaunseling  akan  diberikan  kerana  risiko  yang  bertambah  tinggi  untuk  kelahiran  yang  seterusnya.

Artikel Berkaitan: Asid Folik

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Gilbert SF., “Formation of the Neural Tube”, Developmental Biology. 6th edition, Sunderland (MA): Sinauer Associates; 2000.
  2. Au, Kit Sing et al. “Epidemiologic and genetic aspects of spina bifida and other neural tube defects” Developmental disabilities research reviews vol. 16,1 (2010): 6-15.
  3. Fletcher, Jack M and Timothy J Brei. “Introduction: Spina bifida–a multidisciplinary perspective” Developmental disabilities research reviews vol. 16,1 (2010): 1-5.
  4. Copp, Andrew J et al. “Spina bifida” Nature reviews. Disease primers vol. 1 15007. 30 Apr. 2015.
  5. Diana A. Racusin, Sarah Villarreal et al, “Role of Maternal Serum Alpha-Fetoprotein and Ultrasonography in Contemporary Detection of Spina Bifida” American Journal of Perinatology 2015; 32(14): 1287-1291.
  6. Mohd-Zin, Siti W et al. “Spina Bifida: Pathogenesis, Mechanisms, and Genes in Mice and Humans” Scientifica vol. 2017 (2017): 5364827.
  7. Noreen B. Alabi, Judy Thibadeau et al, “Surgeries and Health Outcomes Among Patients With Spina Bifida” Pediatrics Sep 2018, 142 (3) e20173730.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × four =