Skip to content

Batu Karang: Punca, Simptom dan Rawatan

Batu karang adalah pembentukan batu di dalam saluran air kencing dan ia akan menyebabkan sakit belakang yang melampau. Pesakit selalunya akan berguling di atas katil disebabkan sakit ini.

Ia boleh disebabkan beberapa faktor risiko yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom
  3. Punca
  4. Bagaimana Batu Karang Terbentuk?
  5. Sakit Belakang Sebab Batu Karang
  6. Jenis Batu Karang
  7. Komplikasi
  8. Ujian Pengesahan
  9. Rawatan
  10. Cara Mengelakkan Batu Karang

Pengenalan

Masalah ini adalah masalah batu yang terbentuk di dalam saluran air kencing iaitu daripada buah pinggang hinggalah ke bahagian pundi kencing. Istilah perubatan bagi penyakit ini berbeza-beza berngantung pada tempat batu tersebut terbentuk.



Sebagai Contoh:

  • Nephrolithiasis: Batu karang itu terbentuk di buah pinggang
  • Ureterolithiasis: Batu itu terbentuk di saluran ureter iaitu saluran yang menyambung bahagian buah pinggang dan pundin kencing

Istilah-istilah ini mempunyai panggilan yang am iaitu urolithiasis iaitu pembentukan batu di dalam saluran air kencing tidak mengira lokasi batu tersebut.

Simptom dan Tanda Batu karang

Pesakit yang mengalami masalah batu karang ini selalunya akan menghadapi sakit belakang yang sangat teruk. Pesakit selalunya tidak mampu untuk berjalan dan meraung ataupun tertunduk kesakitan.

Beberapa simptom bagi penyakit batu karang adalah:

  1. Sakit belakang yang berlaku secara tiba-tiba
  2. Sakit itu boleh merebak ke bahagian ari-ari dan kemaluan. Ini berlaku jika batu itu tersekat dibahagian bawah saluran ureter. Ini disebabkan saraf kesakitan dibahagian tersebut bersambung dengan saraf kesakitan dibahagian ari-ari dan kemaluan
  3. Rasa loya
  4. Muntah-muntah
  5. Sakit ketika kencing
  6. Merasakan kencing berpasir
  7. Kencing berdarah. Selalunya diketahui dengan melakukan ujian air kencing.

Sakit belakang yang melampau ini terjadi disebabkan batu tersebut tersekat di saluran ureter iaitu saluran yang menyambungkan buah pinggang ke pundi kencing.



Apabila ia tersumbat, ia akan menyebabkan saluran ureter ini mengembang. Pengembangan saluran ini akan merangsang reseptor sakit dan menyebabkan sakit belakang yang tak terperi.

Batu karang yang tidak menyebabkan rasa sakit

Ada satu jenis batu karang yang tidak menyebabkan simptom sakit belakang. Batu karang ini dinamakan sebagai ‘Staghorn calculi’.

Ia mendapat nama tersebut kerana bentuk batu karang tersebut sama seperti ‘Staghorn’ iaitu tanduk rusa dimana ia mempunyai banyak cabang.

Selalunya batu in terletak dibahagian buah pinggang kerana ia mengikut bentuk saluran air kencing disitu yang bercabang.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Batu Karang

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah batu karang ini berlaku. Punca-punca tersebut adalah:

1. Kurang minum air

Kurang minum air akan menyebabkan penghasilan air kencing berkurangan dan lebih pekat daripada biasa. 

Perkara ini akan menyebabkan kompaun-kompaun seperti kalsium, oxalate lebih mudah untuk membentuk batu.

2. Banyak ambil garam

Ramai daripada kita suka makan makanan yang masin. Makanan yang masin dan banyak garam mempunyai kompaun natrium yang tinggi

Kompaun ini akan menyebabkan penyingkiran kalsium ke dalam air kencing meningkat. Kalsium ini pula boleh berkumpul membentuk batu di dalam saluran kencing



3. Vitamin C yang diambil secara berlebihan

Tidak semestinya kesemua vitamin C akan digunakan. Bahkan vitamin C di dalam badan akan diuraikan kepada kompaun lain yang boleh disingkirkan melalui air kencing.

Kompaun yang terhasil ini adalah oxalate iaitu merupakan salah satu bahan utama untuk membentuk batu karang.

4. Makanan yang tinggi dengan lemak omega-6

Kajian menunjukkan mereka yang mengambil makanan yang mempunyai lemak omega-6 akan menunjukkan peningkatan kompaun oxalate di dalam air kencing. Ia juga menyebabkan kandungan citrate di dalam air kencing semakin berkurangan.

5. Kalsium tinggi dalam badan

Terdapat satu keadaan yang dipanggil sebagai Hypercalciuria iaitu keadaan dimana air kencing mengandungi kepekatan kalsium yang tinggi.

Kandungan kalsium yang tinggi ini akan memudahkan unsur ini terenap pada dinding saluran air kencing dan membentuk batu.



Ia boleh disebabkan beberapa perkara seperti:

  • Pengambilan suplemen kalsium yang berlebihan
  • Penyakit hyperparathyroidism dimana ia menyebabkan tulang melepaskan kalsiumnya ke dalam darah. Ini menyebabkan buah pinggang menyingkirkan kalsium tersebut ke dalam air kencing

6. Pengambilan protein yang berlebihan

Mereka yang mengambil protein secara berlebihan didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami batu karang berbanding orang biasa.

punca batu karang

Periksa Simptom anda Di Sini

Bagaimana Batu Karang Terbentuk

Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan batu karang mudah terbentuk. Ia adalah:

1. Air kencing yang pekat

Kepekatan air kencing memainkan peranan yang penting dalam pembentukan batu karang. Semakin pekat air kencing, semakin mudah batu ini terbentuk. Ia sama seperti air garam. Jika garam di dalam air tersebut semakin pekat, semakin mudah ia membentuk serbuk garam semula di dalam air tersebut.

Air kencing menjadi pekat selalunya disebabkan seseorang itu kurang minum air. Ketika mana kepekatan kompaun seperti kalsium, oxalate dan asid urik semakin meningkat di dalam air kencing tersebut, semakin mudah ia membentuk batu di dalam air kencing atau dalam saluran air kencing tersebut.



Apabila kristal telah mula terbentuk daripada air kencing tersebut, maka ia akan memudahkan lagi kristal itu membesar dan membentuk batu hingga menyebabkan sumbatan pada saluran air kencing.

Batu yang terhasil disebabkan air kencing yang pekat ini selalunya batu jenis asid urik dan cystine. Manakala, batu yang berasaskan kalsium pula terjadi disebabkan perkara yang lebih kompleks.

2. Kalsium yang terenap

Punca kedua adalah disebabkan unsur kalsium yang terenap pada saluran air kencing. Kalsium ini boleh tercabut daripada dinding saluran air kencing tersebut dan menjadi pusat pembentukan lebih banyak enapan kalsium dibahagian tersebut.

Apabila ia semakin membesar, ia boleh menyumbati saluran air kencing dan menyebabkan kesakitan dibahagian tersebut

Bagaimana Batu Karang Menyebabkan Sakit Belakang

Sakit disebabkan masalah ini selalunya bergantung kepada kawasan saluran air kencing yang tersumbat. Beberapa kawasan yang boleh sakit adalah:

  1. Sakit belakang pinggang: Batu karang selalunya tersumbat pada ureter bahagian atas
  2. Sakit belakang dan merebak kebahagian ari-ari: Batu karang tersumbat pada ureter bahagian bawah
  3. Sakit bahagian ari-ari terutamanya ketika buang air kencing: Selalunya batu sudah berada di dalam pundi kencing

Pesakit yang mengalami sakit batu karang ini selalunya akan mengadu sakit yang sangat teruk.

Jenis-jenis Batu Karang

Terdapat beberapa jenis batu karang. Setiap daripadanya mempunyai punca yang berbeza dan ada yang tidak boleh dilihat dengan menggunakan x-ray. Sebab itu penting untuk mengetahui jenis batu karang bagi membolehkan penyakit itu dikesan dan dirawat dengan betul.



Jenis-jenis batu karang tersebut adalah:

1. Batu Kalsium

Majoriti daripada pesakit batu karang mempunyai batu karang jenis kalsium iaitu sebanyak 75%. Ia berlaku ketika mana air kencing mengandungi kepekatan kalsium yang tinggi dan ini memudahkan kalsium membentuk batu di dalam saluran air kencing tersebut.

Apa yang menariknya adalah makanan yang tinggi kalsium tidak menyebabkan batu karang berlaku. Hanya suplimen yang tinggi dengan kalsium sahaja menyebabkan penyakit ini berlaku. Ini kerana makanan yang tinggi dengan kalsium juga tinggi dengan kompaun oxalate.

Kompaun oxalate seperti yang diterangkan di atas boleh menyebabkan batu ini terbentuk. Ketika mana kalsium dan oxalate ini berada di dalam saluran pencernaan, kalsium ini akan bergabung dengan kompaun oxalate dan ia tidak diserap oleh usus dan disingkirkan di dalam tahi.

Jadi, tiada masalah jika anda ingin mengambil makanan yang tinggi dengan kalsum. Untuk suplemen pula, ambillah ia pada kadar yang diperlukan sahaja tanpa berlebih-lebihan.

2. Batu Struvite

Selepas batu kalsium, batu struvite menduduki tempat kedua bagi penyakit batu karang. Perkara ini selalu berlaku ketika mana terdapat jangkitan kuman pada saluran air kencing.



Ini disebabkan bakteria ini mampu menguraikan kandungan urea yang terdapat di dalam air kencing menjadi ammonia. Kompaun ammonia ini pula akan bergabung dengan unsur lain seperti magnesium dan phosphate untuk membentuk batu struvite.

Bakteria yang selalu menyebabkan perkara ini berlaku adalah Pseudomonas, Klebsiella dan Proteus. Disebabkan batu ini terjadi kerana kehadiran bakteria, pesakit selalunya akan mengadu simptom kencing kotor iaitu sakit ketika kencing dan kencing tidak lawas.

Bahkan batu ini juga akan menjadi rumah bagi pembiakan bakteria ini. Ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang teruk jika tidak dirawat dengan betul.

3. Batu Asid Urik

Batu asid urik terbentuk ketika mana air kencing pekat dengan kompaun asid urik. Ia berlaku sebanyak 6 %. Pesakit akan lebih mudah mempunyai batu ini jika mengambil diet yang tinggi dengan kandungan purine(Seperti ikan bilis, udang, makanan laut yang lain, organ dalama dan beberapa jenis makanan lagi), pesakit kanser dan juga pesakit yang mempunyai air kencing yang pH nya kurang daripada 5.5.

Pesakit gout juga berisiko untuk menghadapi masalah ini kerana ia berkaitan dengan asid urik.

4. Batu Cystine

Pesakit yang mempunyai batu ini selalunya mempunyai masalah metabolik dalam badan dimana ia akan menyebabkan penyerapan balik kompaun cystine daripada buah pinggang terganggu. Ini menyebabkan kompaun ini terkumpul di dalam air kencing dan menyebabkan pembentukan batu karang.



Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku pada mereka yang menghadapi penyakit ini. Ia adalah:

  • Jangkitan pada buah pinggang
  • Jangkitan yang teruk pada buah pinggang boleh menyebabkan nanah terhasil. Pesakit mungkin akan kencing mengeluarkan nanah
  • Kerosakan buah pinggang disebabkan saluran air kencing yang tersumbat
  • Sepsis(Jangkitan kuman dalam darah)
  • Saluran ureter yang bocor

Ujian Pengesahan

Terdapat beberapa ujian yang boleh dibuat untuk mengesahkan seseorang itu menghadapi penyakit ini. Ujian tersebut adalah:

1. Analisis Air Kencing(Urine Full Examination and Microscopic)

Beberapa perkara yang perlu dilihat untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah ini adalah:

  1. Kehadiran sel darah merah: Kehadiran batu ini akan menyebabkan saluran air kencing luka. Darah akan keluar dalam kuantiti yang sedikit dan boleh diperiksa kehadirannya dengan menggunakan ujian ini.
  2. Kehadiran sel darah putih: Sel darah putih juga mungkin ada kerana ada jenis batu karang yang mempunyai bakteria. Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran air kencing.
  3. pH air kencing: pH air kencing yang kurang daripada 5.5 juga akan memberikan risiko untuk terbentuknya batu karang.

2. X-ray

Kebanyakan daripada batu karang boleh dilihat dengan menggunakan x-ray. Selalunya batu karang tersebut boleh dilihat pada buah pinggang ataupun saluran ureter.

Akan tetapi, ada juga batu karang yang tidak boleh dilihat dengan menggunakan x-ray. Ini disebabkan kompaun tersebut tidak dapat dilihat melalui x-ray iaitu batu asid urik dan juga batu cystine.

Bagi kes sebegini, pesakit selalunya akan menjalani ujian ultrasound untuk mengesan batu tersebut.

3. Pengimbas ultrasound

Ujian ini boleh digunakan untuk mengesan batu karang terutamanya batu karang yang tidak boleh dikesan melalui x-ray.

Jika masih tidak dapat dilihat melalui ultrasound, bukan bermaksud batu itu tiada. Akan tetapi mungkin saiz batu tersebut kurang daripada 5mm ataupun keupayaan untuk melihat batu tersebut terhalang disebabkan struktur di dalam abdomen.

Dengan menggunakan ujian ini juga, struktur buah pinggang boleh dilihat sama ada mempunyai masalah ataupun tidak. Ada sesetengah pesakit yang mempunyai sumbatan saluran air kencing yang kronik akan menyebabkan buah pinggang mempunyai saiz yang lebih besar daripada biasa.

Rawatan

Rawatan bagi masalah ini adalah bergantung kepada keadaan pesakit ketika hadir berjumpa dengan doktor.

Jika pada ketika itu, pesakit sedang mengalami kesakitan yang melampau, maka pesakit wajib diberi ubat tahan sakit terlebih dahulu untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi.

Beberapa rawatan untuk pesakit ini adalah

1. Penggunaan ubat

Ubat Tahan Sakit

Ubat tahan sakit yang selalu digunakan untuk pesakit yang mengalami masalah ini adalah Diclofenac ataupun jenamanya adalah Voltaren. Ia merupakan ubat tahan sakit jenis non steroidal anti-inflammatory drugs. Kajian telah membuktikan ubat ini sangat membantu bagi pesakit batu karang kerana ia boleh menyebabkan saluran ureter relaks.

Pesakit yang masih mengalami kesakitan yang teruk akan diberi ubat yang lebih kuat seperti morphine. Pesakit akan diberi temujanji untuk bertemu dengan doktor bedah setelah sakit tersebut hilang.

Antibiotik

Pesakit yang mengalami simptom kencing kotor akan diberi ubat antibiotik. Ini kerana ada sesetengah pesakit yang mempunyai air jangkitan kuman pada saluran air kencing berserta batu karang. Batu tersebut mungkin menjadi perumah kepada bakteria

Ubat untuk melarutkan batu karang

Pesakit yang menghadapi masalah ini selalunya akan diberikan ubat untuk mengalkalikan air kencing pesakit tersebut.

Batu seperti batu asid urik dan batu cystine boleh dipecahkan dengan menggunakan kaedah ini. Tetapi jika batu itu terlalu besar, terdapat kaedah lain yang perlu dilakukan untuk mengeluarkan batu tersebut.

2. Prosedur

Terdapat beberapa prosedur yang boleh dilakukan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah ini. Ia adalah:

Pemasangan stent

Stent ini adalah satu tiub yang dimasukkan daripada pundi kencing terus ke buah pinggang. Ia akan menyebabkan saluran ureter tersebut tidak tersumbat dan menyebabkan buah pinggang dapat berfungsi dengan baik

Percutaneous nephrostomy

Prosedur ini dibuat dengan cara menebuk belakang pesakit dan memasukkan tiub terus ke saluran buah pinggang. Ia dibuat untuk mengeluarkan air kencing supaya ia tidak tersumbat dan merosakkan buah pinggang. Prosedur ini selalunya dilakukan apabila pemasangan stent tidak sesuai untuk dilakukan.

Extracorporeal Shockwave Lithotripsy(ESWL)

Prosedur ini dibuat dengan menggunakan gelombang bunyi untuk memecahkan batu tersebut. Ia adalah prosedur yang tidak melibatkan pembedahan dan sesuai jika batu tersebut tidak terlalu besar.

Pembedahan

Dibuat jika saiz batu tersebut terlalu besar dan tidak boleh dipecahkan dengan menggunakan ESWL.

Cara Mengelakkan Batu Karang

Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini dan anda boleh mengamalkannya

1. Minum air secukupnya

Seperti yang diterangkan sebelum ini, salah satu punca batu karang adalah kencing yang pekat disebabkan kurangnya minum air. Apabila air kencing pekat, batu karang lebih mudah terbentuk

Oleh itu, minum air secukupnya untuk membuatkan air kencing tidak terlalu pekat.

2. Ambil makanan yang tinggi Asid Sitrik

Makanan yang tinggi asid sitrik boleh mengelakkan pembentukan batu karang dalam air kencing. Ia akan bergabung dengan kalsium atau oxalate untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku

3. Ambil makanan yang mengandungi kalsium

Kalsium daripada makanan boleh mengelakkan masalah ini daripada berlaku. Kajian menunjukkan makanan yang tinggi kalsium adalah lebih bagus daripada mengambil suplemen kalsium sahaja.

Ini kerana kalsium akan bergabung dengan oxalate yang berada di dalam makanan menyebabkan oxalate tidak boleh diserap dan akan disingkirkan di dalam tahi

4. Elakkan pengambilan vitamin C secara berlebihan.

Terdapat kajian yang menjumpai pengambilan Vitamin C akan meningkatkan risiko masalah batu ini. Ini mungkin kerana produk terakhir daripada Vitamin C adalah kompoun oxalate iaitu salah satu punca kepada masalah ini.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Pearle MS, Calhoun EA, Curhan GC. Urologic diseases in America project: urolithiasis. J Urol. 2005 Mar. 173(3):848-57
  2. Middleton WD, Dodds WJ, Lawson TL, Foley WD. Renal calculi: sensitivity for detection with US. Radiology. 1988 Apr.167(1):239-44
  3. Borghi L, Schianchi T, Meschi T, Guerra A, Allegri F, Maggiore U, et al. Comparison of two diets for the prevention of recurrent stones in idiopathic hypercalciuria. N Engl J Med. 2002 Jan 10. 346(2):77-84
  4. Zeynep Gul and Manoj Mongacorresponding author. Medical and Dietary Therapy for Kidney Stone Prevention Korean Urol. 2014 Dec; 55(12): 775–779.Published online 2014 Nov 28. doi: 10.4111/kju.2014.55.12.77
  5. Worcester EM, Coe FL. Nephrolithiasis. Prim Care. 2008 Jun. 35(2):369-91, vii.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × five =