Skip to content

Disengat Tebuan: Kesan dan Cara Rawatan

Sengat tebuan terjadi terutamanya pada musim panas dan kebanyakkan orang menghabiskan masa beraktiviti di luar rumah. Apabila anda disengat tebuan, ia mungkin menyebabkan rasa tidak selesa namun kebanyakannya boleh sembuh seperti biasa tanpa berlaku sebarang komplikasi.

Tebuan sama seperti lebah, mereka mempunyai sengat yang berfungsi sebagai alat pertahanan diri. Sengat tebuan mengandungi bisa yang disuntik ke dalam tubuh manusia.

Akan tetapi, walaupun seseorang itu tidak disengat tebuan, bisa tebuan yang berada pada kulit boleh menyebabkan iritasi dan kesakitan. Anda juga boleh mendapatkan kesan alahan daripadanya. Oleh itu, rawatan segera diperlukan bagi mengawal simptom dan komplikasi.

Simptom Disengat Tebuan



Kebanyakan mereka yang disengat tidak menyebabkan alahan dan akan mengalami simptom yang ringan sahaja. Pada awalnya, terdapat rasa sakit mencucuk dan panas pada tempat disengat. Kemerahan, bengkak dan rasa gatal akan muncul setelah beberapa ketika.

Selain itu, terdapat luka pada tempat yang disengat dan garisan putih di sekitar kawasan berdekatan. Bengkak dan rasa sakit akan berkurangan setelah beberapa jam disengat.

Namun terdapat juga mereka yang mengalami bengkak dan kesan merah yang semakin besar setelah beberapa hari disengat. Loya dan muntah juga boleh terjadi.

Jika hal ini terjadi, anda mungkin mempunyai alahan terhadap sengat tebuan. Jika berlaku, segera maklumkan kepada doktor anda dan anda akan diberi ubat antihistamine seperti Chlorpheniramine bagi mengurangkan alahan tersebut.

Periksa Simptom anda Di Sini

Kesan Anaphylaxis Setelah Disengat Tebuan



Kesan paling serius yang boleh terjadi setelah disengat tebuan disebut sebagai anaphylaxis. Ia terjadi apabila badan mengalami alahan yang teruk terhadap bisa tebuan. Hal ini berlaku dalam masa yang singkat setelah disengat. Anda perlu mendapatkan rawatan kecemasan sekiranya ada mengalami kesan anaphylaxis.

Tanda tanda anaphylaxis adalah seperti berikut:

  • Bengkak pada seluruh muka, bibir dan tekak
  • Kemerahan pada kawasan badan yang tidak disengat
  • Kesukaran bernafas
  • Pening kepala
  • Tekanan darah rendah
  • Tidak sedarkan diri
  • Loya dan muntah
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Nadi berdenyut laju

Jika anda pernah mengalami kesan anaphylaxis, anda mungkin akan mengalaminya lagi jika disengat. Oleh itu anda disarankan untuk membawa bersama anda pada setiap masa EpiPen iaitu ubat epinephrine yang membantu mengawal tekanan darah, meningkatkan denyutan jantung dan menormalkan kembali pernafasan.

Kesan anaphylaxis merupakan satu keadaan kecemasan yang memerlukan rawatan segera.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan Sengatan Tebuan

Bagi reaksi yang sederhana, anda boleh merawatnya di rumah.

  • Basuh kawasan disengat dengan air dan sabun bagi membersihkan sisa bisa
  • Letakkan pek ais di kawasan luka bagi meredakan bengkak dan kesakitan
  • Pastikan luka bersih dan kering bagi mengelakkan jangkitan
  • Tutup dengan bandage jika perlu

Gunakan krim calamine atau steroid jika kegatalan dan iritasi semakin megganggu. Anda juga boleh mengambil ubat tahan sakit dibeli di farmasi seperti Ibuprofen bagj mengawal kesakitan anda.

Ubat antihistamine seperti diphenyhydramine dan chlorpheniramine boleh mengurangkan kegatalan. Ambil semua ubatan mengikut arahan yang diberi bagi mengelakkan kesan sampingan seperti sakit perut atau pening. Bagi kesan yang lebih serius, anda memerlukan rawatan perubatan. Rawatan yang diberikan termasuk:

  • Suntikan epinephrine bagi menstabilkan tekanan darah
  • Oksigen, steroid dan ubatan lain bagi mengawal simptom

Sengat Tebuan Vs Sengat Lebah

Sengat tebuan dan lebah boleh menghasilkan simptom yang sama, tetapi rawatan mungkin berbeza. Lebah hanya boleh menyengat satu kali sahaja kerana sengatnya akan ditinggalkan di kawasan disengat namun tebuan boleh menyengat berkali kali. 



Melainkan anda mempunyai alergi, kebanyakan sengat lebah boleh dirawat di rumah.

Anda boleh membuang bisa lebah dengan menyapu kawasan yang disengat dalam masa 30 saat setelah disengat. Anda juga boleh mengurangkan kesakitan dan bengkak menggunakan pek ais dan ubat tahan sakit seperti ibuprofen.

Komplikasi Sengat Tebuan

Dalam kes yang jarang berlaku, sengat tebuan boleh menyebabkan komplikasi pada sistem saraf.

Anda boleh mengalami lemah otot dan kesukaran untuk bercakap. Dalam satu kajian yang dijalankan, pesakit yang mengalami simptom di atas rupanya mengalami angin ahmar kerana terjadinya pembekuan darah kerana sengatan tebuan. Tetapi perkara ini sangat jarang berlaku

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Wasp Sting – Healthline
  2. Insect sting allergy. (2018).
  3. Stinging insect allergy. (n.d.).
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 9 =