Keletah anak-anak kecil ketika bercakap sudah tentunya menggembirakan ibu bapa. Kemahiran berkomunikasi ini adalah satu fitrah yang akan dipelajari oleh semua individu. Namun begitu, ada juga keadaan di mana anak-anak mengalami masalah kelewatan bertutur. Menurut artikel yang dikeluarkan oleh National Institute on Deafness and Other Communication Disorders (NIDCD) pada tahun 2016, sebanyak 5% daripada kanak-kanak berumur 3 hingga 17 tahun di Amerika Syarikat mengalami masalah berkaitan pertuturan yang berlaku dalam tempoh masa seminggu atau lebih.
Sebuah lagi kajian diterbitkan oleh Sunderajan. T & Kanhere S. V pada 2019 menunjukkan sebanyak 42 daripada 1658 pesakit yang hadir ke Klinik Pakar Paediatrik mereka di India mengalami masalah kelewatan bertutur dan bahasa. Ini adalah sebahagian data yang membuka mata kita bahawa masalah kelewatan bertutur bukanlah satu masalah yang ringan.
Dalam artikel kali ini, kita akan mengupas berkenaan kelewatan bertutur dalam skop yang lebih spesifik iaitu kaitannya dengan masalah pendengaran. Umum harus faham bahawa kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran, lebih berisiko mempunyai masalah lewat bertutur.
Walaubagaimanapun, harus ditekankan bahawa tidak semua kanak-kanak yang lewat bertutur mempunyai masalah pendengaran. Pemeriksaan dan ujian oleh audiologis, terapis pertuturan, pakar ORL serta pakar kanak-kanak perlu dilakukan untuk menentukan penyebab kelewatan bertutur serta rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut.
Perkembangan Pertuturan dan Pendengaran Normal
Sebelum mengenalpasti masalah lewat bertutur, kita harus faham tentang perkara yang normal dalam perkembangan pertuturan dan pendengaran kanak-kanak. Seawal kelahiran sehingga berumur 3 bulan, bayi seharusnya sudah mula menghasilkan bunyi (cooing). Mereka juga mempunyai tangisan yang berbeza apabila mereka lapar atau sakit. Pada waktu ini juga, bayi mudah terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat (startle reflex). Mereka juga akan tersenyum atau diam apabila mendengar suara yang mereka kenali contohnya seperti suara ibu atau ayah.
Pada umur 4 hingga 6 bulan pula, bayi akan menghasilkan bunyi seakan-akan bercakap yang dikenali sebagai babbling (ba-ba, ma-ma, da-da). Mereka juga mampu menghasilkan bunyi ketika gembira atau sakit. Pada waktu ini juga, bayi akan mula respons kepada bunyi dengan mencarinya melalui cara pergerakan mata.
Durasi umur 1 hingga 2 tahun akan menyaksikan anak-anak mampu menghasilkan perkataan pertama. Pada waktu ini juga, jumlah perkataan anak-anak kecil akan bertambah dari 10 hingga 50 patah perkataan. Anak-anak juga mampu memahami arahan yang mudah dengan bantuan gerak isyarat seperti duduk, ambil, diam, salam, bye-bye.
Ketika mencecah umur 2 tahun ke atas, kanak-kanak mampu menghasilkan 2 patah perkataan dalam 1 ayat. Jumlah perkataan yang mereka ketahui adalah dalam linkungan 300 patah perkataan. Arahan-arahan yang sedikit kompleks juga akan mampu difahami oleh mereka seperti “ambil botol susu atas meja’’.
Akhir sekali ketika berumur 3 tahun ke atas, anak-anak akan mula menghasilkan 3 ke 4 patah perkataan dalam satu ayat.
Simptom Masalah Pendengaran dalam Kalangan Kanak-kanak
Jika di atas kita melihat perkara yang normal dalam perkembangan pertuturan dan pendengaran kanak-kanak, kini kita lihat pula simptom masalah pendengaran pula.
Lazimnya, ibu bapa dapat melihat symptom-simptom ini dengan cara memerhatikan reaksi anak terhadap bunyi sekeliling serta kemahiran anak menghasilkan bunyi ataupun perkataan. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat termasuklah:
- Tidak memberi respons kepada sebarang bunyi.
- Tidak terkejut apabila ada bunyi kuat secara tiba-tiba.
- Tidak menghasilkan babbling ketika berumur 9 bulan.
- Masih belum menutur sebarang perkataan pada umur 18 bulan ke 24 bulan.
- Masih belum memahami arahan mudah ketika berumur 2 tahun.
- Lebih banyak berinteraksi dengan menunjuk sekiranya mahukan sesuatu (pointing).
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Masalah Pendengaran Bagi Kanak-kanak
Kini kita lihat pula punca masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak. Antara punca-punca yang selalu dilihat adalah seperti berikut:
- Kecacatan pada struktur fizikal telinga (anotia, microtia)
- Saluran telinga tersumbat.
- Jangkitan pada telinga tengah (otitis media).
- Gengendang telinga berlubang.
- Masalah pada saraf atau organ pendengaran (sensorineural).
Selain daripada di atas, terdapat banyak lagi punca masalah pendengaran yang lain. Punca-punca ini akan di kupas dengan lebih lanjut pada artikel lain pula.
Kaitan Masalah Lewat Bertutur dengan Masalah Pendengaran
Terdapat 4 fasa utama bagi kanak-kanak ketika belajar bertutur.
- Fasa pertama adalah mengesan (detection). Dalam fasa ini kanak-kanak sedar kewujudan bunyi di sekeliling mereka.
- Fasa kedua pula dikenali sebagai ajukan (imitation). Pada fasa ini, kanak-kanak akan cuba mengajuk bunyi yang mereka dengari.
- Fasa ketiga pula dikenali sebagai pemahaman (understanding). Untuk fasa ini, kanak-kanak akan cuba memahami maksud bunyi-bunyi tersebut melalui pemerhatian mereka kepada keadaan sekeliling dan intonasi suara.
- Fasa keempat pula dikenali sebagai perkataan (words). Ini adalah fasa terakhir di mana kanak-kanak akhirnya akan menghasilkan perkataan yang bermakna.
Bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran terutamanya bertahap sangat teruk, kemahiran bertutur mereka terganggu semenjak dari fasa pertama lagi iaitu fasa mengesan bunyi. Tanpa kemahiran ini, anak-anak ini tidak mampu mengajuk perkataan yang ditutur oleh orang lain. Sudah pastinya anak-anak tersebut tidak mampu menghasilkan perkataan jika proses untuk bertutur itu terganggu di peringkat awal lagi.
Bagi anak-anak yang mengalami masalah pendengaran tahap ringan ke sederhana pula, mereka berkemungkinan mampu mengahasilkan perkataan. Namun, jumlah perkataan yang mereka hasilkan tidak sebanyak anak-anak tanpa masalah pendengaran. Perkataan-perkataan ini juga mungkin tidak dapat dihasilkan dengan lengkap terutamanya jika melibatkan fonem-fonem /’s’/’sh’/’f’/’t’/ dan /’k’/. Ini berlaku kerana masalah pendengaran yang melibatkan koklea akan memberi kesan kepada bunyi-bunyi berfrekuensi tinggi seperti fonem-fonem terbabit.
Walaubagaimanapun, laporan yang lebih selalu diterima daripada ibu bapa atau guru adalah anak-anak ini tidak bercakap dan tidak memberi respons apabila dipanggil. Terdapat juga kes di mana penjaga merasakan anak-anak mereka normal dan memang menganggap mereka dari keluarga yang berketurunan lambat bercakap. Situasi ini agak merbahaya kerana terdapat kemungkinan anak-anak mereka dirujuk kepada pakar hanya apabila sudah masuk sekolah. Untuk itu, amat penting untuk ibu bapa dan penjaga untuk mengenalpasti symptom-simptom lambat bertutur serta maslah pendengaran.
Rawatan
Diagnosis serta rawatan yang diberikan untuk masalah lewat bertutur disebabkan masalah pendengaran adalah berbeza-beza mengikut punca kanak-kanak mengalami masalah tersebut. Alat bantu pendengaran akan dicadangkan sekiranya kelewatan bertutur disebabkan masalah pendengaran.
Ubat-ubatan pula akan diberi jika melibatkan jangkitan telinga. Kanak-kanak juga akan dirujuk untuk sesi terapi pertuturan selepas rawatan yang sesuai diberikan. Semua pihak terutamanya ibubapa dan ahli keluarga sangat memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak bermasalah pendengaran tidak tercicir dalam mencapai potensi sama dengan kanak-kanak seusia mereka.
Rujukan:
- A, N. (2013, July). Delayed Speech or Language Development. Retrieved from Rady Children Hospital San Diego
- American Academy of Family Physicians. (2020, May 22). Speech and Language Delay. Retrieved from Familydoctor.org
- American Speech-Language-Hearing Association. (2005). Effects of Hearing Loss on Development. Retrieved from Readingrockets.org
- American Speech-Language-Hearing Association. (2020). How Does Your Child Hear and Talk? Retrieved from American Speech-Language-Hearing Association.org
- K, H. J. (2019, November). Delayed Speech or Language Development. Retrieved from KidsHealth
- Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2019, Mac 7). Language Development: Speech Milestones for Babies. Retrieved from MayoClinic
- Mommabe Team. (2020). Speech Delay: Surprising Causes And Tips To Help. Retrieved from Mommabe.com
- National Institute on Deafness and Other Communication Disorders. (2016, May 19). Quick Statistics About Voice, Speech, Language. Retrieved from National Institute on Deafness and Other Communication Disorders
- S, L. (2017, May). Speech and Language Development. Retrieved from Mott Children’s Hospital:
- Shoebox Ltd. (2020). Solo Play Audiometry with a Tablet-Based Audiometer. Retrieved from Shoebox.md
- Stanford Children Health. (2020). Age-Appropriate Speech and Hearing Milestones. Retrieved from Standfordschildren.org
- T, S., & V, K. S. (2019). Speech and language delay in children: Prevalence and risk factors. Journal of Family Medicine and Primary Care, 1642–1646.
- Victoria State Government. (2019). Concept Development and Vocabulary. Retrieved from Victoria State Government