Skip to content

Ubat Prednisolone: Penggunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan penggunaan ubat prednisolone? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap penggunaan ubat prednisolone, dos, kesan sampingan dan cara ubat ini berfungsi.

Pengenalan

Dalam siri yang lalu kita pernah memperkenalkan kepada para pembaca mengenai ubat-ubatan yang sering disalahgunakan dalam ubat-ubatan tradisional dan suplemen, yang semestinya menimbulkan lebih banyak kegusaran dalam kalangan pengamal kesihatan. Salah satu dari ubat-ubatan yang kerap disalahgunakan adalah ubat-ubatan steroid. Catatan berita dari The Star pada 14 Mei 2018 ada memetik sumber pihak autoriti kesihatan Singapura memberikan amaran kepada kedua-dua produk didaftarkan di Malaysia, iaitu Kapsul Serbuk Herba Ausbee oleh Ausbee Australia dan kapsul Shen Loon She Edoly yang didapati mengandungi ubat dexamethasone, salah satu ubat racun berjadual tergolong dalam kumpulan steroid yang menyebabkan penglibatan pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dilaporkan.

Sumber terbabit turut melaporkan ubat Ausbee Australia tersebut juga turut dicampur bersama-sama ubat antibiotik, ubat tahan sakit dan juga ubat anti-alergik. Malahan, pesakit yang dilaporkan memakan ubat tersebut untuk suplemen kesihatan dan untuk mengatasi masalah sakit belakangnya turut dilaporkan mengalami penurunan tekanan darah hasil dari komplikasi memakan ubat demikian. Satu kes lain dilaporkan pesakit mengalami sindrom Cushing dan bacaan gula dan tekanan darah yang agak tinggi selepas mengambil Shen Loon She Edoly. Ternyata, bukti sedemikian masih lagi suatu masalah kecil dari pelbagai masalah yang bersarang dalam pihak berkuasa tempatan berkenaan dengan penyalahgunaan ubat-ubatan dalam sediaan ubat-ubatan tradisional dan suplemen kesihatan!



Anda boleh nampak, cukup dari satu laporan berkenaan betapa ubat-ubatan steroid sebegini memang ada trend tidak sihat dalam industri pembuatan ubat-ubatan suplemen dan ubat-ubatan tradisional ini. Dapatan laporan dan selidikan pihak berkuasa bertanggungjawab dalam pelesanan dan penguatkuasaaan dadah negara Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada tahun 2013 mendapati dexamethasone juga turut dicampur bersama-sama ubat steroid lain juga seperti prednisolone, supaya keberkesanan ubat yang dicampuri tersebut dipertingkatkan. Semestinya amat menghairankan bukan? Edisi kali ini mahu menarik pembaca kepada prednisolone, salah satu dari ubat-ubatan steroid yang sememangnya kerap disalahgunakan, tetapi kesan sampingannya sendiri cukup berbahaya jika tidak diambil secara berhati-hati.

Penggunaan

Prednisolone, seperti juga dexamthasone, adalah salah satu kumpulan ubat steroid yang lebih dikenali dengan istilah klinikalnya kortikosteroid (ubat yang mengambil struktur mirip hormon kortisol yang dikeluarkan tubuh badan melalui kelenjar adrenokortikal dalam bahagian atas buah pinggang), kerap digunakan dalam pelbagai indikasi ubat-ubatan.

Masalah kesihatan yang menggunakan ubat Prednisolone

1. Alahan

FDA merumuskan penggunaan prednisolone di dalam rawatan penyakit berkaitan alergi, sebagai contoh penyakit kulit dan kegatalan dalam bahagian mata.



2. Asma

Selain itu, prednisolone dilesenkan untuk asma (untuk mengurangkan keradangan dalam paru-paru pesakit) dan lain-lain masalah sistem pernafasan.

3. Rawatan Endokrin

Tambahan pula, FDA meletakkan prednisolone untuk rawatan berkaitan masalah sistem endokrin (seperti melibatkan masalah pengeluaran kortisol dari kelenjar adrenal sebagai contoh),

4. Rawatan untuk mengawal sistem imun badan

Pengambilan prednisolone juga turut digunakan dalam kebanyakan masalah berkaitan sistem imunisasi tubuh badan dan juga tahan sakit. Dalam masalah sistem imunisasi tubuh badan, prednisolone kerap digunakan sebagai ubat adjung bagi terapi transplan organ (terutamanya pesakit buah pinggang dan hati dan sebagainya).

5. Kanser

Prednisolone juga selalunya digunakan bersama-sama rawatan melibatkan pelbagai jenis kanser untuk mengurangkan kesakitan akibat kemoterapi. Antara jenis kanser yang digunakan termasuklah limfoma Hodgkin (indikasi rasmi FDA), kanser payudara, myeloma pelbagai, dan kanser prostat (secara tidak rasmi) dan juga indikasi kanser lain.



6. Penyakit Autoimun

Masalah autoimun – “kawan makan kawan” – artritis reumatoid, sklerosis pelbagai (multiple sclerosis) dan systemic lupus erythematosus (SLE) juga turut memerlukan rawatan adjung bersama ubat kortikosteroid seperti prednisolone dalam regimen mereka.

7. Gout

Dalam pesakit gout dan penyakit berkaitan otot, prednisolone juga adalah antara ubat-ubatan yang juga turut berguna untuk mengurangkan kesakitan akibat masalah mereka.

8. Lain-lain

FDA turut meletakkan prednisolone dalam masalah sindrom nefrotik dalam buah pinggang, trichinosis melibatkan jangkitan otak dan jantung, serta tuberkulosis (TB) dengan penglibatan jangkitan ruang subarachoid dalam otak dan rawatan adjung pelengkap rawatan TB ini.

Prednisolone juga antara ubat penting digunakan dalam rawatan Bell’s palsy (penyakit lumpuh sementara dalam saraf-saraf dan otot muka), rawatan tahap serius untuk sirosis hati berkaitan pengambilan alkohol, hilang deria pendengaran, kejang otot dalam kalangan kanak-kanak kecil, mengurangkan kesakitan disebabkan tumor dalam otak, penyakit Kawasaki (inflamasi pembuluh darah arteri), kusta yang melibatkan kecederaan urat saraf, dan jangkitan sistem pernafasan disebabkan virus.

Sediaan



Ubat ini turut muncul dalam jenis tablet biji 5 mg, dalam sirap ampaian 2.5 mg/ 5 ml, 3 mg/ 5 ml atau 10 mg / 5 ml, ubat cucuk 25 mg /ml, ubat salap mata (opthalmic suspension) 1%, ubat titis mata (opthalmic solution) 0.1% dan enema (untuk dimasukkan ke dubur) 20 mg / 100 mg dengan pelbagai jenis jenama berada di pasaran. Walaupun begitu, ubat ini masih berada dalam kategori B, jadi seperti biasa memerlukan preskripsi doktor sebelum membelinya.

Ujian Pemeriksaan sebelum Penggunaan Ubat

Doktor biasanya akan menjalankan banyak ujian dan kajian terlebih dahulu, termasuklah bacaan gula, dan tekanan darah, serta profil darah, fungsi hati dan buah pinggang serta parameter-parameter melibatkan jangkitan dalam badan yang perlu. Pesakit juga perlu dimaklumkan jika ada mengambil vaksin terutamanya vaksin hidup (contohnya vaksin polio hidup atau sebagainya). Ada juga pesakit yang perlu diambil perhatian mengenai ketumpatan mineral dalam tulang, tekanan intraokular mata (paling kurang 6 bulan sekali) serta pengiraan berat dan tinggi dalam kanak-kanak dan sebarang gangguan pada kepekatan hormon berkaitan adrenal juga pada waktu sebelum dan selepas penggunaan prednisolone. Dan biasanya pemantauan akan tetap dijalankan secara berterusan.

Waktu Pengambilan Ubat

Mengikut kebiasaanya, ubat prednisolone jika boleh perlu diambil bersama-sama makanan adalah lebih baik (jika oral). Klinik kesihatan atau hospital kebiasaanya tidak menyimpan ubat sirap, biasanya ubat biji prednisolone yang ada perlu dihancurkan terlebih dahulu kemudiannya dicairkan dengan amaun air mineral yang bertetapan (contohnya 5 ml air mineral), dan kemudiannya diminum sekadar mengikut dos yang ditetapkan.

Dos

Pemberian prednisolone kepada kanak-kanak dan dewasa misalnya mengikut dos berat badan, bergantung kepada penyakit apa. Kita bagi contoh senang yang kerap dijumpai dalam pesakit asma dalam kanak-kanak contohnya. Dos yang biasa diberikan adalah di antara 0.5 – 1 mg/kg setiap 6 jam untuk 24 jam kemudian setiap 12 jam kemudian diberikan 1 mg/kg dos sehari. Jika diberikan kepada sesetengah pesakit kanser dan sesetengah pesakit lain, pemberian dos prednisolone banyak merujuk kepada luas permukaan badan dan lebih signifikan digunakan kerana pengiraan lebih menyeluruh untuk seluruh badan. Antara contoh dos adalah pesakit sindrom nefrotik dalam kanak-kanak, dengan dos awal 60 mg/m2 dan kemudian diturunkan dosnya selepas beberapa bulan.

Ubat prednisolone yang diambil secara oral perlu ditelan secara keseluruhannya, dan boleh dipotong. Jika terlupa mengambil ubat tersebut, perlu diambil serta-merta dan jangan berlaku pengambilan berganda (double dosing).  Ada juga ubat oral prednisolone yang turut dimodifikasi sebagai ubat mudah larut apabila terkena persekitaran (orodispersible tablet), dan amat digalakkan untuk para pesakit mengambilnya pada waktu itu juga, dan dimasukkan terus ke mulut dan ubat akan terus larut pada waktu itu juga.



Ubat Dalam Bentuk Titisan

Ubat titis mata dan telinga dan salap mata biasanya amatlah perlu diambil perhatian. Sebagai contoh, pengambilan ubat salap mata diambil pada mulanya 1 – 2 titis 3 hingga 4 kali sehari (selang 6 – 8 jam sekali) dan boleh dinaikkan dosnya sehinggalah 1 – 2 titis setiap 1 – 2 jam jika perlu untuk jangka masa yang tertentu sahaja sehinggalah kawalan berkesan (ini adalah untuk salap mata mengandungi 1% prednisolone), manakala untuk ubat yang mengandungi cecair 0.5% prednisolone sodium fosfat, 1 – 2 titis setiap 1 – 2 jam sehingga kawalan berjaya dilaksanakan.

Penggunaan prednisolone untuk inflamasi dan kes alergi di bahagian telinga pula biasanya menggunakan cecair 0.5% prednisolone sodium fosfat, dipakai 1 atau 2 titik setiap 1 – 2 jam sekali, dan biasanya perlu berhenti menggunakannya jika masih tidak berkesan selepas seminggu penggunaanya.

Ubat Dalam Bentuk Suntikan

Penggunaan prednisolone bukan sahaja dilaksanakan dengan pengambilan oral atau titis telinga atau mata semata-mata. Prednisolone juga digunakan untuk masalah berkaitan inflamasi di bahagian sendi di mana ada rawatan memerlukan suntikan ubat tersebut dalam kawasan sendi yang sakit, dos 5 – 25 mg sekali cucuk untuk tiap sendi (maksimum 3 sendi sehari) dan diulang jika berlaku kesakitan semula.

Pesakit yang mengalami masalah inflamasi lain juga ada yang disuntik melalui otot, kebiasaanya menurut respons pesakit dan keadaan penyakit tersebut dalam tubuh badan, biasanya dari 25 mg hingga ke 100 mg seminggu atau dua minggu sekali juga, maksimum boleh diberikan adalah 100 mg 2 kali seminggu. Ada pesakit yang menghidap penyakit Crohn dan ulseratif kolitis memerlukan rawatan prednisolone mereka diambil dengan cara memasukkan ubat ke dubur. Enema prednisolone sebagai contoh digunakan sekali sehari sebelum tidur untuk 2 – 4 minggu.

Cara Penggunaan

Perkara yang amat berbeza antara ubat-ubat lain dengan kortikosteroid seperti prednisolone adalah penggunaan ubat tersebut untuk jangka masa yang terhad dan pendek sahaja, dan hanya terdapat pengecualian serba sedikit mengenai penggunaan jangka masa lama untuk ubat tersebut digunakan dalam kalangan pesakit. Pengambilan ubat prednisolone dan juga sesetengah ubat kortikosteroid lain biasanya perlu dikurangkan dosnya secara bertahap-tahap sebelum dihentikan sepenuhnya, berbeza dengan sesetengah ubat lain.



Contoh yang boleh dilihat seperti pesakit Bell palsy, kebiasaanya mengambil dos tinggi 60 mg (12 biji tablet prednisolone) untuk 5 hari penuh sekali sehari, kemudiannya hari ke-enam 50 mg (10 biji) sekali sehari, ketujuh 40 mg (8 biji) sekali sehari, kelapan 6 biji sekali sehari, kesembilan 4 biji sekali sehari dan kesepuluh 2 biji sekali sehari dan tamat. Seperti juga dalam kalangan pesakit melibatkan mata dan telinga atas sebab alergik dan inflamasi, pesakit yang menghidapi masalah lain juga dirawat dengan penggunaan dos mereka yang cukup berbeza juga, antara sebab utama adalah untuk mengelakkan kesan sampingan utama ubat ini iaitu gangguan perembesan hormon kortisol dalam badan yang akan diterang selanjutnya.

Perbincangan ketara mengenai dos prednisolone yang digunakan dalam kalangan pesakit dari penerangan sebentar tadi boleh juga dikatakan hanya sekelumit sahaja daripada perbincangan bab besar berkenaan penggunaan prednisolone dalam indikasi lain. Namun begitu, keputusan akhir untuk memulakan prednisolone dalam pesakit-pesakit sedemikian tetap berada di tangan para doktor dan farmasis yang merawat pesakit berdasasrkan bukti-bukti klinikal sedia ada. Sebaik-baiknya dapatkan dahulu nasihat doktor berkenaan penggunaan ubat tersebut dan dos yang digunakan juga untuk lebih kepastian.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Ubat biji prednisolone yang digunakan mesti disimpan dalam suhu bilik di tempat dingin dan kering, kalau dah tamat tempoh bolehlah dibuang ya! Di sesetengah tempat seperti klinik kesihatan ataupun hospital, pemberian ubat prednisolone yang perlu dipecahkan dan dicairkan dengan air mineral biasa dan diambil secara freshly-prepared kebiasaanya perlu diambil setakat dos berapa yang diperlukan sahaja, dan bakinya terus dibuang.

Ubat ampaian sirap semestinya hanya boleh digunakan untuk tempoh sebulan sahaja dari tempoh ianya dibuka. Sediaan salap mata, ubat telinga, enema, supositori perlu disimpan dalam suhu bilik juga seperti ubat biji. Sementara ubat untuk suntikan pula perlu diletakkan dalam suhu sejuk bawah suhu bilik (15-25°C) dan diasingkan dari cahaya.

Cara ubat berfungsi

Seperti yang telah dinyatakan pada awal tadi, ubat prednisolone diletakkan sebagai ubat-ubatan kortikosteroid, ubta-ubatan sintetik dihasilkan melalui tindakan kimia yang mimik fungsi klinikal hormon kortisol yang dihasilkan badan kita.

Jenis Kortikosteroid

Ubat-ubatan kortikosteroid meliputi dua bahagian yang sama penting: glukokortikoid dan mineralokortikoid; di mana kedua-dua kumpulan berkenaan turut diregulasi bersama pihak yang sama iaitu kortisol. Kortisol dirembeskan melalui regulasi hormon yang kukuh menerusi laluan hipothalamik pituitari (hypothalamic-pituitary axis, HPA) yang bergantung sepenuhnya kepada ritma Circadia (senang cerita ritma masa biologikal kita). Pengeluaran kortisol secara normalnya amat tinggi ketika kita baru bangun pagi dan berada di bawah paras minimum pada waktu malam.

Fungsi Kortisol



Fungsi kortisol amatlah luas, lebih-lebih lagi di dalam mengawal tekanan darah serta paras gula dan lemak dalam darah kita, serta fungsi homeostasis dalam badan kita, termasuklah penghasilan sel-sel darah dalam sistem limfa, dan regulasi ion-ion garam dalam darah sekali. Jika pengeluaran kortisol bermasalah, ini seterusnya mengundang permasalahan ketara yang melibatkan pelbagai perkara daripada masalah metabolik seperti diabetis, kenaikan paras kolesterol dan darah tinggi serta komplikasi jantung dan darah, hinggalah kepada permasalah abnormal berkaitan mood seseorang serta masalah neurologikal lain di dalam otak kita.

Kortikosteroid seperti prednisolone lebih menyerlah sebagai fungsi glukokortikoid dalam darah berbanding mineralokortikoid. Dalam darah, prednisolone yang dimetabolisme dalam hati ditukarkan ke prednisone lebih sedia untuk menjalankan aktiviti penahan sakit dan juga imunosupresannya menerusi pertukaran dengan enzim 11β-hydroxysteroid dehydrogenase 2 kepada prednisol, yang seterusnya akan melekat pada reseptor glukokortikoid yang kerap berada di tempat-tempat yang agak penting seperti di paru-paru, hati, tisu adipos, dan juga otak.

Mekanisme prednisolone sebagai ubat immunosupresan dipercayai datang dari pengaktifan respons biologikal dalam sel limfa yang terlibat dalam penghasilan darah-darah berkaitan, lalu menyebabkan aktiviti dan penghasilan imunisasi terbantut. Dalam mekanisme tahan sakit pula, perkara yang perlu dilihat daripada tindak balas prednisolone menerusi pengaktifan dalam sel adalah, sel-sel yang terlibat akan menyahbalik kebolehserapan kapilari darah oleh sistem imunisasi badan ke sel sasaran, dan dalam masa yang sama turut mengawal pengeluaran dan sintesis protein dari sel, dan mengekang migrasi leukosit polimorfonuklear dan fibroblast yang membawa kepada pengekangan tindak balas imunisasi dan kesakitan seterusnya kepada sel sasaran.

Kesan sampingan

Sebagai ubat yang sangat berkait rapat dengan fungsi kebiasaan hormon kortikosteroid kortisol yang dihasilkan tubuh badan secara semulajadi pastinya prednisolone sendiri juga boleh membawa kesan berganda kepada seluruh aspek dalam penjagaan tubuh badan. Dah pun nama dia steroid, betul?

Secara ringkas, kesan sampingan ubat prednisolone adalah:

  • Memudahkan jangkitan kuman
  • Pedih ulu hati
  • Meningkatkan gula dalam darah
  • Sakit kepala
  • Pening
  • Jerawat
  • Meningkatkan berat badan
  • Menambah selera makan
  • Luka lambat sembut
  • Banyak lagi.

Ahli farmasi yang pernah mempelajari farmakologi (penulis juga tidak terkecuali di sini) tidak dapat tidak boleh memahami ubat tersebut sememangnya datang dengan kesan sampingan yang sebenarnya boleh dijangka. 4 benda yang selalu saya ingat tentang ubat ini: bengkak mana-mana tempat dalam kawasan badan (fluid retention), osteoporosis, tekanan darah tinggi serta kencing manis. Kesan sampingan sedemikian juga adalah antara kesan sampingan jangka masa panjang yang mudah dikenalpasti.

Catatan kajian kesan sampingan ubat prednisolone dan sesetengah kortikosteroid lain mendedahkan kesan sampingan seperti pembesaran adrenal kortikal (hasil tindak balas negatif kelenjar pituitari yang merembeskan hormon kortisol); pembesaran dinding mukosa dalam kawasan rektum (jika diambil masuk ke dalam dubur); sistem imun terbantut; dan perubahan dalam perasaan dan kesan psikologi abnormal seperti kemurungan, mudah terasa, dan reaksi kompulsif-impulsif.

Bengkak air



Perkara yang agak jelas terpapar pada pesakit yang mengambil steroid berlebihan adalah bengkak bahagian badan, lagi senang pada mukanya, dan kaki, serta bahagian tangan. Ini adalah antara epitom kepada sindrom Cushing (sebab ambil ubat steroid berlebihan). Jika sekiranya ada pesakit yang asalnya sudah pun ada komplikasi berkaitan jantung serta masalah berkaitan buah pinggang, lagi-lagi yang mempunyai kegagalan fungsi buah pinggang adalah merupakan antara kegerunan yang sangat-sangat membahayakan pesakit tersebut sendiri. Sebab paling senang? Air tidak boleh keluar dari badan.

Semestinya jika air juga tidak dapat keluar dari badan, garam natrium juga tidak mampu keluar dari tubuh badan, mengganggu tekanan darah pesakit. Kegagalan buah pinggang juga menjadikan masalah air bertakung menjadi terlampau serius lalu menyukarkan usaha untuk selamatkan pesakit, mungkin hingga ke tahap dialisis sebagai usaha terakhir yang mungkin mampu dilakukan pada pesakit sedemikian jika ada berlaku. Pesakit juga boleh mengalami kekurangan garam kalium dalam badan yang semestinya agak bahaya juga kepada jantung pesakit dalam jangka masa panjang.

Osteoporosis

Ada juga yang bertanyakan mengapa pula ubat steroid sendiri juga ada kongsi masalah kerapuhan tulang (osteoporosis)? Pesakit yang mempunyai masalah lebihan steroid dalam badan yang juga mendapat kesan sedemikian (biasanya golongan wanita yang kerap terima kesan ini) kebiasaannya mengalami penurunan penyerapan kalsium daripada sistem penghadaman mereka, dan dalam masa sama menghadang pembentukan osteoblas (sel yang membentuk pendepositan kalsium dalam tulang), menyebabkan kalsium terlepas keluar dari sel tulang ke saluran darah, lalu menjadikan kesan rapuhan tulang.

Dalam wanita, estrogen berperanan untuk mempertahankan kalsium keluar ke saluran darah. Namun bila menopaus datang, pembentukan tulang menjadi caca-marba akibat pengurangan rembesan hormon estrogen dalam badan. Oleh itu, anggapan estrogen bersifat antagonis kepada ubat kortikosteroid seperti prednisolone merupakan antara interaksi ubat yang jelas dan memerlukan perhatian.

Menganggu Sistem Endokrin

Prednisolone juga turut mengganggu sistem endokrin tubuh badan, terutamanya lebih kepada proses penghadaman lemak dan juga gula. Tumbesaran terbantut boleh berlaku pada awalnya lagi-lagi kanak-kanak termasuklah keabnormalan tahap lemak dalam badan. Malah insiden kenaikan berat badan juga boleh berlaku. Jika sekiranya terlampau banyak prednisolone diambil dalam masa yang lama, insiden bacaan gula yang abnormal akan berlaku.

Insiden diabetik ketoasidosis bersama-sama masalah diabetis, koma hyperosmolar disebabkan komplikasi diabetis menjadi terlampau serius. Pembengkakan kelenjar adrenal yang juga antara simptom ketara ditemui pada pesakit prednisolone juga boleh mengalami pelbagai masalah lain yang sama taraf kesannya pada tubuh badan seperti penyakit Cushing berkaitan ubat steroid, juga diterjemahkan menerusi pelbagai kesan sampingan yang dikemukakan di sini.

Glaukoma

Prednisolone jika diambil untuk indikasi masalah mata juga jika diambil dalam masa lama boleh menyebabkan masalah glaukoma yang biasanya adalah komplikasi kenaikan paras tekanan intraokular dalam mata pesakit, katarak mata, dan penipisan struktur sklera dan kornea dalam mata juga boleh berlaku.

Kulit yang sensitif

Pesakit yang mengambil ubat ini juga sekurang-kurangnya boleh dijangka akan mendapat masalah hipersensitiviti yang mungkin mengundang bahaya. Kes kebiasaanya boleh berlaku dari julat sekadar rasa gatal-gatal di kawasan kulit, kulit makin menipis, malah jerawat mungkin boleh berlaku. Insiden sarkoma Kaposi boleh menjadi masalah yang agak serius juga berlaku pada kulit, juga didapati menerusi tindak balas hipersensitiviti ubat tersebut.

Perencatan Sistem Imun

Namun begitu, perkara yang amat ditekankan dalam kesan sampingan ubat berkaitan steroid juga adalah perencatan sistem imunisasi (immunosuppression) dalam badan. Hal ini juga adalah suatu masalah ketara yang kerap dijumpai dalam kalangan pesakit kanser yang menjalani kemoterapi (ubat-ubatan kanser) dan juga pesakit yang lepas menjalani proses transplan organ seperti pembedahan penggantian buah pinggang misalnya.

Lain-lain

Bukan itu sahaja, malahan kerencatan sistem imunisasi juga adalah suatu perkara yang tidak elok ditemui lebih-lebih lagi jika pesakit sedia ada mempunyai masalah berkaitan sistem imunisasi mereka yang terlampau sensitif (seperti penyakit autoimun seperti lupus, dan juga pesakit HIV/AIDS).  Bagi kanak-kanak pula, pemberian vaksin yang mempunyai virus hidup juga berpotensi mengalami penurunan sistem imunisasi badan mereka juga jika ada mengambil steroid. Begitu juga dalam pemberian vaksin hidup kepada populasi dewasa.

Lagipun, prednisolone memang tidak boleh digunakan secara tiba-tiba dan terburu-buru. Malah, memberhentikan regimen ubat-ubatan berasaskan kortikosteroid pun juga tidak boleh diberhentikan secara tiba-tiba sebegitu sahaja. Simptom pemberhentian ubat juga boleh berlaku seperti keresahan (dysphoria), mudah terasa, kemurungan, otot dan sendi sakit-sakit, dan simptom kebimbangan juga bakal berlaku jika terus diberhentikan penggunaannya.

Apapun, agak penting jika doktor mengenalpasti sekiranya pesakit ada mengalami masalah kesihatan utama seperti penyakit dalaman yang aktif, tidak kiralah serangan virus (herpes simplex misalnya) atau kulat atau bakteria (TB misalnya), jangkitan kulat dalam telinga ataupun perubahan pada membran timpanik dalam telinga yang semestinya menjadikan penggunaan prednisolone sangatlah berkontraindikasi untuk digunakan bagi mengelakkan penurunan tahap imunisasi badan.

Sementara itu, penggunaan ubat ini untuk jangka masa terlampau lama menyebabkan sel dalam tubuh badan mengalami kerintangan kesan tindak balas ubat kortikosteroid juga. Ini juga adalah antara petanda yang sukar juga berlaku dalam kalangan pesakit lebih-lebih lagi yang mengalami kanser dan mengambilnya untuk terapi penerimaan organ dan sebagainya juga. Dos terpaksa dinaikkan untuk menghasilkan kesan terapeutik serupa.

Antara kesan sampingan lain yang turut dicatat adalah pertumbuhan bulu roma berlebihan (hirsutism), ulser perut dan komplikasi berkaitan sistem penghadaman lain, serta sawan dan TB pulmonari dalam sesetengah kes yang agak serius yang pernah dilaporkan.

Penggunaan Ketika Hamil

Prednisolone juga mungkin tidak berapa digalakkan penggunaanya ketika mengandung atau menyusukan anak kerana tiada bukti saintifik yang mencukupi untuk menggunakannya. Penarafan prednisolone dalam penggunaannya untuk ibu mengandung diletakkan dalam tahap C atau D oleh FDA (menurut pihak pengeluar juga) dan tahap C untuk penggunaan mata sahaja. Pihak doktor mungkin akan memulakan ubat ini ataupun memikirkan penggunaan ubat alternatif selain dari prednisolone setelah menimbang kesan kelebihan berbanding kekurangannya.

Peringatan (Precautions)

Pesakit yang mengambil prednisolone perlulah terlebih dahulu menerangkan pada para doktor mengenai keadaan mereka sepenuhnya, supaya penilaian menyeluruh mengenai kelebihan dan risiko pemberian prednisolone boleh dijalankan. Sebagai peringatan pertama, untuk mengelakkan risiko besar berkenaan penggunaan kortiosteroid, pesakit perlu memberitahu doktor jika ada mengambil ubat kortikosteroid lain dengan indikasi lain. Hal ini adalah penting bagi memastikan keberkesanan rawatan anda sepenuhnya.

Berkaitan dengan Penggunaan Kepada Mata

Pesakit yang mengambil prednisolone untuk mata dan telinga diperingatkan agar terus berehat selepas mengambil ubat mereka. Pesakit mata contohnya, jika mengambil krim prednisolone yang dikhaskan untuk indikasi sakit mata misalnya, perlu menjauhkan diri dari mengawal jentera, kereta atau motorsikal, ataupun melakukan kerja-kerja yang berat. Pesakit yang memakai kanta lekap mata perlu membuka kanta lekap sebelum pengambilan ubat salap mata prednisolone tersebut dan perlu menjauhkan diri dari memakai kanta lekap dalam masa 15 minit dari tempoh pengambilannya.

Berkaitan dengan Kemoterapi

Sekiranya pesakit ada mengambil ubat tersebut sebagai ubat adjung kepada kemoterapi kanser ataupun terapi transplan organ, pastikan mereka perlu mengambilnya dalam dos imunosupresan yang ditetapkan doktor, kebiasaanya untuk mengelakkan kerencatan sistem imunisasi badan.

Berkaitan dengan Pil Prednisolone yang diambil setiap hari

Pesakit yang mengambil ubat ini juga perlu diingatkan untuk menggunakan ubat mengikut arahan dan nasihat doktor. Perhatian juga perlu diberikan untuk menurunkan dos berselang-selang dalam sela masa yang ditetapkan adalah penting sebenarnya untuk memastikan masalah perencatan fungsi adrenal tidak terlampau ketara, lebih-lebih lagi pada pesakit yang perlu mengambil kortikosteroid sepanjang hayatnya. Ini juga adalah perkara yang agak penting dinyatakan di sini.

Interaksi dengan Penyakit

Pesakit tersebut boleh memulakan ubat prednisolone tetapi perlu digunakan secara berhati-hati. Ini termasuklah pada sesiapa sahaja yang mempunyai sejarah dan menghidapi penyakit darah tinggi dan berkaitan dengan jantung dan kencing manis serta komplikasinya; pesakit yang mengalami masalah autoimun; masalah sistem penghadaman (penyakit ulser peptik, ulseratif kolitis); sawan; myasthenia gravis (penyakit melibatkan organ tisu otot lembut dalaman); chicken pox dan demam campak; masalah berkaitan pembuluh darah; osteoporosis; penyakit hipertiroid atau hipotiroid; pembedahan katarak; kerosakan otot pasca pengambilan steroid; jangkitan mata akut melibatkan pengeluaran cecair dari mata; sekadar contoh sahaja.

Terus bertanya dengan doktor anda tentang apa-apa penyakit yang pesakit hadapi jika ada mempunyai sebarang kesan dengan penggunaan prednisolone. Pesakit yang turut mempunyai kegagalan fungsi hati dan buah pinggang juga perlu dikawal keadaannya oleh para doktor. Dalam masa yang sama, pesakit yang ada menjalani rawatan TB perlu diperiksa secara berkala kerana prednisolone bakal memburukkan lagi jangkitan aktif dan latent TB, dan penggunaanya dalam jenis TB aktif hanya cuma boleh dimulakan bagi membantu perawatan TB dengan regimen TB yang tertentu sahaja. Manakala dalam rawatan jenis TB latent pula, pemberikan rawatan preventatif untuk mengelakkan kesan TB lebih serius perlu diusahakan bagi pesakit sedemikian juga.

Berkaitan pemberian kepada kanak-kanak dan ibu mengandung

Seperti biasa, pemberian kortikosteroid pada kanak-kanak, ibu mengandung dan menyusukan anak juga perlu diberikan jika sekiranya manfaat penggunaan prednisolone mengatasi risiko juga. Selain itu, kanak-kanak perlu dinasihatkan agar tidak sama sekali mendekati pesakit yang mempunyai chicken pox ataupun demam campak. Jika ada, bawa segera kepada doktor. Pesakit kanak-kanak yang mengambil prednisolone dalam jangka masa lama juga mungkin perlu diselidiki berat dan tinggi mereka bagi mengelakkan kesan tumbesaran mereka terbantut.

Interaksi antara ubat

Seperti mana ubat-ubat berkaitan hormon estrogen terutamanya dalam pil perancang keluarga merencatkan peranan kortikosteroid prednisolone (seperti yang dibincangkan dalam kesan sampingan di atas), ada banyak lagi interaksi nyata antara ubat-ubatan lain dengan prednisolone yang perlu diambil perhatian juga oleh kebanyakan pesakit.

Prednisolone dimetabolismekan dalam hati oleh subenzim CYP3A (majoritinya) dan ditukar terus ke molekul aktifnya iaitu prednisone. Oleh itu, ubat-ubatan yang menurunkan dos terapeutik prednisolone dalam darah adalah seperti :

  • Ubat sawan (phenobarbitone, carbamazepine, phenytoin),
  • Ubat antibiotik (rifampicin)
  • Ubat perancang keluarga seperti mifepristone mengekang kesan terapeutik prednisolone

Terdapat juga beberap jenis ubat yang meningkatkan toksisiti ubat prednisolone ini. Ubat-ubat tersebut adalah:

  • Ubat HIV (indinavir dan sebagainya dalam kumpulan perencat protease)
  • Ubat kulat (fluconazole, ketoconazole, troleoandomycin) boleh meningkatkan kesan toksisiti prednisolone dan mengurangkan pembersihan prednisolone dalam darah, kebiasaannya disyorkan untuk tidak mengambilnya bersama-sama.
  • ubat-ubatan imunosupresan lain seperti cyclosporine melambatkan pengeluaran prednisolone keluar dari darah, dan juga meningkatkan kesan toksisiti prednisolone.

Efek penurunan paras gula dalam darah bagi insulin dan ubat diabetis oral lain turut terganggu melalui pengambilan prednisolone, begitu juga kesan antagonistik dirasai pada pesakit yang mengambil ubat komplikasi jantung, darah tinggi serta diuretik (seperti kumpulan thiazide dan frusemide).

Kesan kekurangan garam kalium yang serius juga turut direkodkan melalui interaksi bersama ubat asma theophylline dan beta-agonis (phenylephrine, salbutamol dan sebagainya) dan juga acetazolamide (ubat diuretik). Selain itu, terdapat juga insiden pendarahan dalam dinding gastrik perut jika prednisolone digandingkan bersama ubat tahan sakit oral (keluarga ubat-ubatan anti-inflamatori bukan steroid seperti indomethacin, piroxicam). Dalam masa yang sama, pengambilan ubat cair darah seperti warfarin meningkatkan kesan pendarahan dalam kalangan pesakit komlikasi jantung dan kardiak aritmia yang turut mengambil ubat tersebut bersama-sama prednisolone, jadi prednisolone mungkin tidak digalakkan penggunaanya dalam kalangan pesakit-pesakit ini.

Jika mengira hubungkait prednisolone dengan pengambilan diet pula, meminum arak atau bahan mengandungi alkohol juga mempengaruhi pengeluaran jus gastrik dan dinding gastrik sekali dalam perut. Justeru, adalah lebih baik jika sekiranya prednisolone tidak perlu digalakkan untuk diambil bersama-sama alkohol.

Kesan terlebih dos

Insiden terlebih memakan prednisolone agak jarang-jarang ditemui dan dilaporkan dalam keadaan semasa, tetapi jika ada berlaku kes akut melibatkan pengambilan ubat secara luar biasa; tiada sebarang defisit adrenal (adrenal insufficiency) dilaporkan. Kesan terlebih dos juga ada dilaporkan melibatkan reaksi anafilaksis yang mengancam nyawa tetapi jarang-jarang berlaku, sawan dan kardiak aritmia; tetapi hanya dilaporkan dari methylprednisolone sahaja, bukannya prednisolone. Namun begitu, pengawasan rapi masih diambil kira oleh doktor. (Methylprednisolone dan prednisolone tetap dari keluarga yang sama yang juga dimetabolisma dalam badan menjadi bahan aktif bernama prednisone).

Ambil peringatan juga tentang keracunan akibat pengambilan prednisolone atau apa-apa saja ubat steroid yang berlebihana adalah seperti:

Biasanya rawatan dan perubatan melibatkan terlebih dos ini juga amat berkait rapat dengan keadaan semasa pesakit dan rawatan serta simptom berkaitan mengikut penilaian utama pesakit sahaja. Sebagai contoh, rawatan berkaitan dengan kesan sawan akibat prednisolone boleh dilakukan dengan memberikan rawatan ubat sawan dari kumpulan benzodiazepin dan barbiturat.

Jika pengambilan akut ubat prednisolone ada berlaku dalam kuantiti yang banyak, prosedur gastrik lavage boleh difikirkan sesuai. Bantuan pernafasan boleh dilakukan jika anafilaktik atau alergik serius berlaku, walaupun keadaan tersebut jarang-jarang dilaporkan. Jika kes alergik ada berlaku juga, pemberian ubat antihistamin dengan atau tanpa ubat beta-agonis (ubat menggalakkan pengenduran tisu otot lembut yang seterusnya membesarkan laluan pernafasan), ubat-ubatan kortikosteroid serta adrenalin (epinefrin) agak sesuai dipertimbangkan.

Rujukan

  1. The Straits Times (2018). HSA warns of 2 health products from Malaysia; woman admitted to ICU, man develops medical problems. Dalam: The Star [Internet].
  2. Md Isa, B. (2013). Trending of Adultration – ADR in Traditonal Medicine & Helath Supplement (TMHS) Products. Proceedings from National Regulatory Conference in Kuala Lumpur, Malaysia. [Internet].
  3. Medscape – Prednisolone
  4. Micromedex
  5. Prednisolone. Dalam: MIMS Gateway
  6. Ramamoorthy, S., & Cidlowski, J. A. (2016). Corticosteroids: Mechanism of action in health and disease. Rheumatic Disease Clinics of North America, 42(1), 15–31. doi:10.1016/j.rdc.2015.08.002
Advertisements

1 thought on “Ubat Prednisolone: Penggunaan, Dos dan Kesan Sampingan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three − 1 =