Skip to content

Bengkak Air: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah bengkak air berserta punca-punca?

Artikel ini akan menceritakan dengan lengkap berkenaan masalah bengkak air, punca-puncanya serta rawatan yang boleh dilakukan di rumah untuk mengurangkan simptom ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Bengkak air
  3. Simptom
  4. Rawatan Bengkak air
  5. Bila perlu berjumpa doktor?

Pengenalan


Bengkak air (edema) yang lazimnya berlaku di bahagian pergelangan kaki merupakan kondisi yang sering terjadi kepada wanita hamil atau individu yang berdiri dan berjalan dengan terlalu lama. Keadaan ini biasanya tidak parah dan mudah untuk dirawat, namun pesakit yang mengalami bengkak kaki kronik yang disebakan oleh beberapa penyakit serius boleh mendapat tekanan psikologi dan mungkin mempunyai masalah untuk bergerak.



Bengkak air terjadi apabila terdapat pengumpulan cecair berlebihan dalam tisu badan, terutamanya di bahagian kaki sehingga menyebabkan kaki membengkak dan kelihatan sembab. 

Punca Bengkak Air


Terdapat beberapa punca kepada masalah bengkak air. Ia adalah

1. Penyakit buah pinggang

Fungsi utama buah pinggang ialah untuk membuang air yang berlebihan di dalam saluran darah. Apabila organ ini tidak dapat bekerja dengan baik, ia menyebabkan lebihan cecair di kaki sehingga bengkak. Pelbagai penyakit yang boleh menghindari buah pinggang daripada berfungsi secara normal seperti diabetes, jangkitan kuman, sindrom “nephrotic” dan penggunaan beberapa jenis ubat.

2. Jantung lemah



Jantung yang lemah tidak dapat menjalankan tugas normalnya untuk mengepam darah ke seluruh badan dengan berkesan. Ini menyebabkan air berkumpul secara berlebihan terutamanya di bahagian kaki. Antara individu yang berisiko tinggi menghadapi jantung lemah adalah mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, gangguan denyutan jantung seperti degupan jantung tidak selari dan sejarah serangan jantung.

3. Kehamilan

Wanita yang mengandung juga mungkin mengalami masalah bengkak kaki kerana tekanan yang tinggi yang diberi oleh bayi atas saluran darah membuat pergerakan darah kurang cekap dan ini sekaligus membawa kepada pengumpulan air.

4. Berat badan berlebihan

Berat badan yang berlebihan menyebabkan kelemahan peredaran darah dalam badan dan menyebabkan darah tertumpu di bahagian kaki.

5. Trauma

Trauma atau cedera di bahagian kaki seperti terseliuh kaki atau patah kaki menyebabkan proses inflamasi. Proses ini disebabkan oleh reaksi tindak balas sistem pertahanan badan terhadap inflamasi tisu di kaki yang boleh mengakibatkan rasa sakit.

6. Sindrom Deep Vein Thrombosis (DVT)



DVT ialah keadaan di mana terdapat darah beku dalam saluran darah yang boleh membawa kepada kaki bengkak. Pesakit seperti ini selalunya mempunyai masalah Darah pekat. Individu berisiko ialah individu yang menggunakan pil perancang, mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah DVT, kanser, perokok dan individu yang tidak bergerak dalam jangka masa yang panjang.

7. Limfedema (Lymphedema)

Limfedema merupakan suatu kondisi di mana saluran limfatik tersumbat yang menyebabkan terjadinya pembengkakan jaringan tubuh, seperti pada tangan dan kaki. Ia boleh berlaku kepada pesakit yang mendapatkan rawatan kanser kemoterapi, radioterapi atau mastectomy (pembedahan membuang payudara).

8. Ubat-ubatan

Pengunaan ubat-ubatan tertentu juga dapat menjadi penyebab kaki bengkak. Antaranya ialah:

  • Ubat hormon seperti estrogen dan testosteron
  • Ubat darah tinggi seperti amlodipine
  • Ubat tahan sakit seperti ibuprofen
  • Steroid
  • Antidepresan
  • Ubat diabetes

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom Bengkak Air


Terdapat beberapa simptom yang menunjukkan seseorang itu mengalami masalah bengkak air. Ia adalah:

  • Kembung, terutamanya di bahagian perut
  • Kaki dan pergelangan kaki bengkak
  • Bengkak pada perut, muka, dan pinggul
  • Sendi menjadi keras
  • Kenaikan berat badan secara mendadak
  • Lekuk pada kulit, sama seperti yang anda lihat pada jari tangan selepas mandi atau mandi dalam masa yang lama

Rawatan


Rawatan bergantung kepada punca bengkak kaki sama ada akut atau kronik, penyakit sistemik atau kanser.

1. Turunkan berat badan.



Menurunkan berat badan dapat mengurangi pembengkakan pada kaki, sekaligus membuatkan anda menjadi lebih sihat.

2. Kurangkan pengambilan garam

Had optimum pengambilan garam yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah TIDAK melebihi 1 sudu teh sehari. Apabila kandungan garam berlebihan dalam badan, ia dapat menarik air dalam badan sehingga menyebabkan lebih banyak air yang terkumpul.

3. Sandar kaki di tempat yang lebih tinggi

Apabila baring dan tidur, letak bantal di bawah kaki atau sandarkan kaki pada dinding agar kaki berada di paras yang lebih tinggi dari jantung. Ini membantu darah mengalir dengan baik ke jantung.

4. Memakai stokin tekanan (compressive socks)

Ini merupakan stokin yang memberi tekanan kepada saluran darah. Namun, anda perlu hati-hati. Jangan mengguna stokin yang terlalu ketat kerana jika anda ada penyakit arteri, memakai stokin ini boleh memudaratkan lagi keadaan. Sila rujuk nasihat doktor sebelum mengguna stokin ini.

Jika masalah kaki ini adalah disebabkan penyakit tertentu seperti kegagalan buah pinggang, lemah jantung, kegagalan hati atau penyakit-penyakit lain, pesakit hendaklah sentiasa membuat pemeriksaan dengan doktor di klinik atau hospital.



Bilakah perlu berjumpa doktor?


Jika bengkak kaki anda masih berlarutan dan tidak baik, eloklah sekiranya anda membuat temujanji untuk berjumpa doktor kerana terdapat beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan keadaan ini menjadi teruk terutamanya jika tindakan segera tidak di ambil. Contohnya ialah apabila:

  • Kaki rasa sakit dan panas daripada biasa
  • Bengkak berlaku di sekeliling luka yang terdapat pada bahagian kaki
  • Mengalami demam
  • Bengkak yang semakin teruk
  • Wanita yang mengandung dan mengalami bengkak yang amat teruk atau sakit kepala yang teruk
  • Mengalami sesak nafas

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit PerutHidung Berbau Busuk
Puting SakitPayudara Bengkak
Puting TenggelamTidur Berdengkur
Rasa LoyaBengkak Lutut
Susah Buang Air KencingDemam Berpanjangan
Bengkak AirPerut Kembung
Tangan MenggeletarSakit Pergelangan Tangan
SelesemaBayi Selesema
Hidung TersumbatMuka Pucat
Bibir BengkakCirit-Birit Berpanjangan

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Dr Saad, L. (2020, July 05). 12 Punca kaki anda bengkak seperti gambar di atas.
  2. Chaeroni, F. (2020, June 19). Penyebab Kaki Bengkak, Cedera hingga Penyakit Jantung! – Gooddoctor
  3. Edema – Healthline
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − 8 =