Skip to content

Penyakit Rubella: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah simptom dan tanda penyakit rubella? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada penyakit rubella.

Pengenalan

Pernahkah anda mendengar mengenai vaksin MMR? Vaksin ini sebenarnya adalah kombinasi 3 dalam 1 di mana ketiga-tiga antigen daripada campak (measles), beguk (mumps) serta rubella disertakan bersama dan diberi sebagai satu suntikan. Mengapa vaksin ini begitu penting dan diberikan kepada setiap kanak – kanak di Malaysia? Artikel ini akan membincangkan mengenai salah satu penyakit yang dapat dijangkiti jika kita tidak mengambil vaksin tersebut iaitu Penyakit Rubella.

Penyakit Rubella ataupun Campak Jerman (German Measles), adalah jangkitan virus yang menyebabkan ruam merah muncul pada badan. Selain ruam, orang yang dijangkiti Penyakit Rubella biasanya mengalami demam dan kelenjar limfa yang bengkak. Menakutkan bukan? Usah khuatir kerana, kebanyakan kanak – kanak di Malaysia termasuklah kita juga, sudah kebal dengan penyakit ini terima kasih kepada wujudnya Program Imunisasi Kebangsaan yang menyelitkan vaksin MMR untuk mengatasi penyakit ini. Walau bagaimanapun, keadaan ini masih biasa di banyak bahagian lain di dunia. Ia terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak, lebih kerap mereka yang berumur antara 5 dan 9 tahun, tetapi ia juga boleh berlaku pada orang dewasa.



Penyakit Rubella biasanya bermula dengan  jangkitan ringan yang hilang dalam masa satu minggu, walaupun tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi keadaan yang serius pada wanita hamil, bukan kerana ianya membahayakan nyawa ibu mengandung, tetapi kerana ia boleh menyebabkan sindrom rubella kongenital pada janin di dalam perut ibu mengandung tersebut. Sindrom rubella kongenital boleh mengganggu perkembangan bayi dan menyebabkan kecacatan kelahiran yang serius, seperti kecacatan struktur jantung, pekak, dan kerosakan otak. Adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera jika anda hamil dan mengesyaki anda menghidapi Penyakit Rubella.

Punca dan cara penyebaran virus.

Penyakit Rubella disebabkan oleh virus rubella. Ini adalah virus yang sangat senang menular yang boleh merebak melalui kontak rapat atau melalui udara terutama di kawasan tertutup. Jangkitan boleh merebak dari satu orang ke orang lain melalui sentuhan dengan titisan jika anda bersin atau batuk, oleh orang yang dijangkiti. Ini juga bermakna anda boleh dijangkiti dengan Penyakit Rubella jika anda menyentuh mulut, hidung atau mata anda selepas menyentuh sesuatu yang mempunyai titisan daripada orang yang dijangkiti. Anda juga mungkin mendapat Penyakit Rubella dengan berkongsi makanan atau minuman dengan seseorang yang dijangkiti.  Penyakit Rubella juga boleh disebarkan daripada wanita hamil kepada janinnya yang sedang berkembang melalui pertukaran darah.

Orang yang menghidapi Penyakit Rubella paling mudah menjangkiti orang lain dari minggu sebelum ruam muncul sehingga kira-kira dua minggu selepas ruam hilang. Tempoh genting ini adalah penting bagi orang yang mempunyai simptom – simptom penyakit Rubella untuk tidak bercampur dengan orang ramai. Walau bagaimanapun, 25% hingga 50% orang yang dijangkiti rubella tidak mengalami ruam atau mempunyai sebarang gejala, tetapi mereka masih menyebarkannya kepada orang lain.

Orang yang dijangkiti rubella harus memberitahu rakan, keluarga dan orang yang bekerja dengan mereka, terutamanya wanita hamil, jika mereka menghidapi Penyakit rubella. Jika anak anda menghidapi penyakit rubella, adalah penting untuk memberitahu sekolah atau pengasuh anak anda. 

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Siapa yang berisiko untuk Penyakit Rubella?

Penyakit Rubella sangat jarang berlaku di Malaysiat, terima kasih kepada vaksin yang biasanya memberikan imuniti sepanjang hayat dalam melawan virus rubella. Kebanyakan kes Penyakit Rubella berlaku pada orang yang tinggal di negara yang tidak menawarkan imunisasi rutin terhadap rubella.

Simptom



Gejala Penyakit Rubella selalunya sangat ringan ataupun berlaku tanpa disedari langsung sehingga sukar untuk didiagnos. Apabila gejala berlaku, ia biasanya berlaku dalam masa dua hingga tiga minggu selepas jangkitan awal kepada virus. Simptom –  simptom ini selalunya bertahan kira-kira tiga hingga tujuh hari boleh disenaraikan sebagai :

Ruam Rubella
  • Ruam merah jambu atau merah yang bermula pada muka dan kemudian merebak ke bawah ke seluruh badan
  • Demam panas
  • Kelenjar limfa bengkak 
  • Hidung berair atau tersumbat
  • Sakit kepala
  • Sakit otot badan
  • Radang mata

Walaupun simptom – simptom ini mungkin kelihatan tidak serius, anda harus menghubungi doktor anda sejurus sahaja jika anda mengesyaki anda dijangkiti Penyakit Rubella. Ini amat penting terutamanya jika anda hamil. 

Dalam kes yang jarang berlaku, Penyakit Rubella boleh menyebabkan jangkitan telinga dan pembengkakan otak. Hubungi doktor anda dengan segera jika anda melihat mana-mana gejala berikut semasa atau selepas jangkitan Penyakit Rubella:

  • Sakit kepala yang berpanjangan
  • Sakit telinga
  • Rasa leher yang tegang dan tidak selesa

Komplikasi – Bagaimanakah Penyakit Rubella memberi kesan spesifik kepada wanita hamil?

Apabila seorang wanita itu dijangkiti Penyakit Rubella semasa mengandung, virus itu boleh disebarkan kepada bayinya yang sedang berkembang melalui aliran darahnya. Jika berlaku, perkara ini dipanggil sebagai sindrom rubella kongenital. Sindrom rubella kongenital adalah satu keadaan yang serius, kerana ia boleh menyebabkan keguguran dan kematian bayi sewaktu lahir. Ia juga boleh menyebabkan kecacatan kelahiran pada bayi yang berjaya hidup dan dilahirkan, termasuklah :

  • Pertumbuhan terbantut
  • Kurang upaya dari aspek intelek dan pembelajaran
  • Kecacatan jantung
  • Pekak

Wanita dalam usia mengandung harus diuji status imuniti mereka terhadap virus rubella sebelum hamil. Jika vaksin diperlukan, adalah penting untuk mendapatkannya sekurang-kurangnya 28 hari sebelum seseorang wanita itu menjadi hamil

Sekitar 70% wanita yang dijangkiti virus rubella mungkin mengalami arthritis; ini jarang berlaku pada kanak-kanak dan lelaki. Dalam kes yang jarang berlaku, rubella boleh menyebabkan masalah serius, termasuk jangkitan otak dan masalah pendarahan.

Diagnosis dan ujian pengesahan

Bagaimanakah Penyakit Rubella didiagnosis? Memandangkan gejala dan tanda – tanda Penyakit Rubella kelihatan serupa dengan penyakit lain yang menyebabkan ruam, doktor anda akan mengesahkan diagnosis anda dengan ujian darah.

Ujian Ini dapat memeriksa kehadiran pelbagai jenis antibodi rubella dalam darah anda. Antibodi pula ialah protein yang dihasilkan oleh badan kita untuk mengenali dan memusnahkan bendasing, seperti virus dan bakteria. Keputusan ujian boleh menunjukkan sama ada anda kini mempunyai virus atau sudah mempunyai imuniti terhadapnya.



Diagnosis – diagnosis lain.

Terdapat penyakit lain yang juga mempunyai simptom yang sama seperti penyakit Measles (Campak)

Definisi kes klinikal campak merangkumi semua ciri berikut: 

  • Demam (≥ 38.3°C); batuk,
  • Konjunktivitis; 
  • Ruam makulopapular kemerahan yang boleh muncul di seluruh badan ( lebih dari tempoh tiga hari).

Diagnosis yang boleh juga terjadi selain penyakit rubella termasuklah Roseola, Sindrom Kawasaki, Scarlet fever dan jangkitan virus lain seperti rickettsial, enteroviral dan adenoviral.

Rawatan – Rawatan sokongan dan pemulihan.

Kebanyakan kes Penyakit Rubella dirawat di rumah. Doktor anda mungkin memberitahu anda untuk berehat di atas katil dan mengambil ubat tertentu untuk mengawal simptom – simptom ringan, yang boleh membantu melegakan ketidakselesaan akibat demam dan sakit. Mereka juga mungkin mengesyorkan agar anda supaya tinggal di rumah dari kerja atau sekolah untuk mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain.

Wanita hamil boleh dirawat dengan antibodi yang dipanggil hyperimmune globulin yang boleh melawan virus. Ini boleh membantu mengurangkan gejala anda. Walau bagaimanapun, masih ada kemungkinan bayi anda akan mengalami sindrom rubella kongenital iaitu sindrom kecacatan bayi yang sudah dijelaskan dalam bahagian komplikasi penyakit Rubella. Bayi yang dilahirkan dengan penyakit rubella kongenital memerlukan rawatan daripada pakar kanak – kanak dan neonatologi. 

Bagaimanakah saya boleh mencegah Rubella ?

Bagi kebanyakan orang, vaksinasi adalah cara yang paling selamat dan berkesan untuk mencegah demam Penyakit Rubella. Vaksin rubella biasanya digabungkan dengan vaksin untuk campak dan beguk serta varicella, virus yang menyebabkan cacar air. Gabungan vaksin ini dipanggil sebagai vaksin MMR.

Vaksin ini biasanya diberikan kepada kanak-kanak yang berumur antara 12 dan 15 bulan. Suntikan penggalak akan diperlukan sekali lagi apabila kanak-kanak berumur antara 4 dan 6 tahun. Memandangkan vaksin mengandungi dos kecil virus, demam ringan dan ruam mungkin berlaku.

Sesetengah orang terlepas vaksin MMR mereka ataupun tidak mencukupi vaksin penggalak mereka. Jika anda tidak tahu sama ada anda telah divaksinasi untuk Rubella, adalah penting untuk menjalani ujian imuniti anda, terutamanya jika anda:



  • Adalah seorang wanita dalam usia subur dan tidak hamil
  • Bekerja di fasiliti perubatan atau sekolah
  • Merancang untuk bercuti ke negara yang tidak menawarkan imunisasi terhadap rubella

Walaupun vaksin rubella biasanya tidak berbahaya, virus dalam suntikan boleh menyebabkan reaksi pada sesetengah orang. Anda tidak seharusnya diberi vaksin jika anda mempunyai sistem imun yang lemah akibat penyakit lain, sedang hamil, atau merancang untuk hamil dalam bulan berikutnya.

Rujukan:

  1. Atkinson, William (2011). Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Diseases (12 ed.). Public Health Foundation. pp. 301–323. ISBN 9780983263135. Archived from the original on 2017-05-01. Retrieved 2017-05-05.
  2.  Huong McLean (2014). “3 Infectious Diseases Related To Travel”. CDC health information for international travel 2014 : the yellow book. ISBN 9780199948499. Archived from the original on 2015-04-24.
  3.  Lambert, N; Strebel, P; Orenstein, W; Icenogle, J; Poland, GA (7 January 2015). “Rubella”. Lancet. 385 (9984): 2297–307. PMC 4514442. PMID 25576992.
  4.  “Rubella (German Measles, Three-Day Measles)”. cdc.gov. December 17, 2014. Archived from the original on 2 April 2015. Retrieved 30 March 2015.
  5.  Neighbors, M; Tannehill-Jones, R (2010). “Childhood diseases and disorders”. Human diseases (3rd ed.). Clifton Park, New York: Delmar, Cengage Learning. pp. 457–79. ISBN 978-1-4354-2751-8.
  6.  “Rubella vaccines: WHO position paper” (PDF). Wkly Epidemiol Rec. 86 (29): 301–16. 15 July 2011. PMID 21766537. Archived (PDF) from the original on 5 June 2015.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 4 =