Skip to content

Penyakit Gonorrhea: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah simptom dan tanda penyakit gonoorhea? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada penyakit gonorrhea.

Pengenalan –  Apakah itu penyakit Gonorrhea?

Gonorrhea adalah jangkitan seksual (Sexually Transmitted Infection) yang disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrheae.

Penyakit ini biasa ini selalunya menyerang dan lebih mudah menjangkiti melalui kawasan badan yang hangat dan lembap, termasuk:

  • Saluran Kencing atau Uretra
  • Mata
  • Tekak
  • Faraj
  • Dubur
  • Saluran pembiakan wanita, yang termasuk tiub fallopio, serviks, dan rahim


Gonorrhea boleh menjangkiti manusia tanpa mengira umur atau jantina, tetapi selalunya, penyakit ini agak kerap berlaku dalam kalangan remaja dan dewasa muda antara umur 15 dan 24.

Jika tidak dirawat, Gonorrhea boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang dan, dalam sesetengah kes, ketidaksuburan. Dalam masyarakat Malaysia, penyakit Gonorrhea adalah satu penyakit yang dikaitkan dengan stigma – stigma tertentu, seperti kelakuan seksual yang berlebihan ataupun dianggap penyakit pekerja seks. Namun begitu, bukan golongan ini sahaja yang dijangkiti. Artikel ini membincangkan mengenai informasi kesihatan yang kita patut tahu supaya pesakit yang mengesyaki mereka ada Gonorrhea boleh mendapatkan rawatan.

Simptom dan Tanda Gonorrhea

Untuk sesetengah pesakit yang menghidapi Gonorrhea, mereka tidak mempunyai sebarang simptom. Golongan seperti ini juga merupakan satu krisis kesihatan awam kerana walaupun tidak mempunyai gejala, mereka masih boleh menyebarkan penyakit Gonorrhea. Malah, kemungkinan untuk menyebarkan penyakit tersebut menjadi semakin tinggi kerana ketiadaan gejala bermakna mereka tidak menyedari mereka dijangkiti dan tidak mendapatkan rawatan ataupun menggunakan perlindungan semasa melakukan hubungan.

Gejala pada lelaki

Untuk orang lelaki, mereka mungkin mengalami gejala Gonorrhea yang ketara dalam masa 2 hingga 30 hari selepas dijangkiti. Walau bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk gejala muncul, dan anda mungkin tidak mengalami sebarang gejala sama sekali. Waktu semasa ketiadaan gejala ini juga menyebabkan risiko penularan penyakit Gonorrhoea tinggi.



Rasa seperti sensasi panas atau terbakar atau sakit semasa membuang air kecil mungkin merupakan gejala pertama yang pesakit sedar.

Gejala lain untuk para lelaki yang mungkin jadi termasuklah:

  1. Kekerapan atau rasa untuk membuang air kecil yang lebih kuat
  2. Lelehan cecair seperti nanah atau titisan cecair dari zakar anda (warna cecair tersebut boleh jadi warna kuning, putih, kuning air atau kehijauan)
  3. Perubahan warna dan bengkak pada pembukaan zakar
  4. Bengkak atau sakit pada testis atau bahagian telur
  5. Gatal-gatal dan pedih di bahagian dubur
  6. Pendarahan di najis semasa membuang air besar
  7. Sakit apabila membuang air besar

Gejala pada Wanita

Gejala yang mereka alami boleh terjadi dari hari pertama atau lebih hingga beberapa minggu selepas mereka terdedah. Gejala awal selalunya agak ringan. Selain itu, gejala tersebut mungkin kelihatan seperti jangkitan biasa golongan wanita seperti gejala jangkitan yis faraj atau jangkitan bakteria lain, yang boleh menjadikan penyakit Gonorrhea lebih sukar untuk dikenalpasti.

Gejala yang mungkin terjadi termasuklah :

  1. Keputihan berair, berkrim atau kehijauan
  2. Sakit atau terbakar semasa membuang air kecil
  3. Keinginan untuk membuang air kecil dengan lebih kerap
  4. Pendarahan haid yang lebih berat 
  5. Sakit semasa hubungan intim 
  6. Sakit tajam di bahagian bawah perut anda
  7. Gatal-gatal dan pedih di dubur anda
  8. Pendarahan rektum pada najis
  9. Sakit semasa buang air besar 

Gejala Gonorrhoea lain

Selain itu, Gonorrhea juga boleh menjejaskan mulut dan tekak anda.

Gejala Gonorrhea mulut boleh termasuk:



  1. Sakit tekak yang berterusan
  2. Keradangan dan kemerahan di tekak 
  3. Bengkak pada kelenjar limfa di leher
  4. Demam.

Gejala Gonorrhea di mata

Gonorrhea boleh juga merebak ke mata. Ini biasanya berlaku jika seseorang itu menyentuh alat kelamin, dan kemudian menyentuh mata sebelum mencuci tangan dengan teliti.

Gejala konjunktivitis gonokokkal, atau Gonorrhea mata, termasuklah :

  1. Sakit mata 
  2. Bengkak dan kemerahan di kelopak mata 
  3. Keradangan mata dan kemerahan
  4. Lendir putih atau kuning yang melekit di sekeliling mata anda

Jangkitan Gonorrhea di mata (Diambil dari Vision Center)

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bagaimana penyakit ini menjangkiti orang lain?

Secara amnya, seseorang itu boleh dijangkiti Gonorrhea melalui hubungan seks – melalui  oral, dubur atau faraj.

Menggunakan kondom apabila melakukan aktiviti seksual boleh membantu mengurangkan risiko untuk dijangkiti Gonorrhea. Perlu diingati bahawa kondom tidak selalunya akan mengurangkan sepenuhnya risiko mendapatkan Gonorrhoea, terutamanya jika penggunaan kondom yang salah.

Jika seseorang itu pernah dijangkiti Gonorrhea sebelum ini, anda mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk dijangkiti lagi. Gonorrhea yang tidak dirawat juga boleh meningkatkan risiko anda dijangkiti penyakit berkaitan dengan hubungan seksual yang lain.

Gonorrhea juga boleh berjangkit daripada ibu bersalin kepada bayi semasa bersalin. Oleh itu, sangatlah penting untuk ibu mengandung memastikan mereka tidak dijangkiti Gonorrhea semasa proses awal booking.



Komplikasi

Kaum wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi jangka panjang jika tidak dirawat.

Penyakit jangkitan seksual yang tidak dirawat seperti Gonorrhea dan Klamidia boleh merebak  ke saluran pembiakan dan menjejaskan rahim dan ovari. Ini boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai penyakit keradangan pelvis (PID atau Pelvic Inflmmatory Disease). PID boleh menyebabkan kesakitan kronik dan kerosakan pada organ pembiakan.

Kesan PID kepada kaum wanita termasuklah : 

  • Menjadikan seseorang itu lebih sukar untuk hamil
  • Menyebabkan kehamilan ektopik, berlaku apabila telur yang disenyawakan ditanam di luar rahim

Gonorrhea juga boleh berlaku kepada bayi yang baru lahir semasa bersalin.

Untuk para lelaki, Gonorrhea yang tidak dirawat boleh menyebabkan:

  • Kecacatan salur kencing melalui parut.
  • Abses atau jangkitan yang mempunyai nanah – rasa yang sangat menyakitkan dalam zakar, juga boleh menjejaskan kesuburan 
  • Epididymitis, atau keradangan pada struktur yang mengalirkan air mani berhampiran testis anda

Jangkitan yang tidak dirawat juga boleh merebak ke aliran darah anda, di mana ia boleh menyebabkan komplikasi yang jarang berlaku tetapi serius seperti arthritis dan kerosakan injap jantung.

Ujian Pengesahan

Di fasiliti kesihatan terdekat, terdapat beberapa cara untuk didiagnos, antaranya :

  • Menguji air kencing anda. Selalunya, ujian air kencing boleh mengesan Gonorrhea.
  • Menguji sampel cecair badan dari mana – mana bahagian badan. Doktor juga boleh menyapu zakar, faraj, tekak atau rektum untuk mendapatkan sampel cecair untuk ujian pengesahan. Ujian jenis ini memerlukan kultur di dalam makmal, yang boleh mengambil masa beberapa hari.
  • Menguji sampel darah. Ujian darah juga boleh mengesan sebarang jangkitan daripada Gonorrhoea.

Jika seseorang itu percaya mereka ada kemungkinan untuk dijangkiti Gonorrhea, adalah penting untuk mereka mengelakkan sebarang aktiviti seksual sehingga menerima keputusan ujian negatif yang muktamad. Selain itu, test kit  untuk Gonorrhea juga boleh digunakan.



Diagnosa-diagnosa lain

Apabila memeriksa dengan menyeluruh pesakit wanita yang disyaki jangkitan gonokokal, pertimbangan daripada doktor juga merangkumi penyakit – penyakit lain seperti jangkitan bakteria vaginosis, vaginitis, kehamilan ektopik, kehamilan, endometriosis, ataupun jangkitan seksual lain.Untuk para lelaki, pertimbangan juga diberikan kepada penyakit seperti epididimitis, orchitis, dan jangkitan seksual yang lain.

Diagnosis – diagnosis lain yang perlu dipertimbangkan termasuklah yang berikut:

  • Jangkitan saluran kencing
  • Hepatitis
  • Jangkitan Herpes Simplex

Rawatan

Antibiotik yang boleh didapati dari pusat kesihatan boleh menyembuhkan Gonorrhea, dalam kebanyakan kes. Gonorrhea tidak boleh dirawat sepenuhnya dengan dengan ubat yang dijual di farmasi atau ubat tradisional. Sangat penting untuk pesakit yang dijangkiti Gonorrhoea untuk mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan bagi mengurangkan risiko komplikasi dan juga mengurangkan kemungkinan untuk mereka menjangkiti orang lain.

Antibiotik

Rawatan yang disyorkan untuk Gonorrhea ialah suntikan melalui otot satu kali antibiotik jenis Ceftriaxone. Biasanya,pesakit akan mendapat suntikan ini di bahagian punggung. Suntikan ini tidak sakit dan dilakukan dalam masa yang sekejap sahaja. Antibiotik secara oral juga diberikan kepada pesakit untuk dihabiskan dalam masa 7 hari. Selepas mengambil antibiotik ini, pesakit sepatutnya mula berasa lega daripada sebarang gejala dalam beberapa hari – tetapi mereka perlu menunggu seminggu penuh selepas menghabiskan ubat antibiotik sebelum menyertai sebarang aktiviti seksual.

Jika pesakit terus mengalami gejala selepas mengambil antibiotik seperti yang ditetapkan, mereka haruslah hubungi doktor ataupun pusat kesihatan terdekat dengan secepat mungkin supaya rawatan lain dapat ditawarkan ataupun pertimbangan terhadap diagnosis lain.

Mencegah Gonorrhea

Setakat ini, tiada vaksin boleh mencegah jangkitan Gonorrhea. Cara paling selamat untuk mencegah Gonorrhea dan penyakit jangkitan seksual yang lain adalah melalui dengan cara memakai kondom dan tidak melakukan hubungan seksual. Menggunakan kondom atau kaedah penghalang lain setiap kali melakukan hubungan seks oral, dubur atau faraj juga boleh membantu mengurangkan risiko dijangkiti banyak penyakit jangkitan seksual yang lain.

Kondom untuk mengelakkan jangkitan Gonorrhea (Diambil dari HealthDirect Australia)



Rujukan : 

  1. “Gonorrhea – CDC Fact Sheet (Detailed Version)”. CDC. 17 November 2015. Archived from the original on 2 September 2016. Retrieved 27 August 2016.
  2.  Morgan, MK; Decker, CF (August 2016). “Gonorrhea”. Disease-a-Month. 62 (8): 260–8. . PMID 27107780.
  3.  Workowski, KA; Bolan, GA (5 June 2015). “Sexually transmitted diseases treatment guidelines, 2015”. MMWR. Recommendations and Reports. 64 (RR-03): 1–137. PMC 5885289. PMID 26042815.
  4.  “Antibiotic-Resistant Gonorrhea Basic Information”. CDC. 13 June 2016. Archived from the original on 8 September 2016. Retrieved 27 August 2016.
  5.  Unemo, M (21 August 2015). “Current and future antimicrobial treatment of gonorrhoea – the rapidly evolving Neisseria gonorrhoeae continues to challenge”. BMC Infectious Diseases. 15: 364. PMC 4546108. PMID 26293005.
  6. “Gonorrhea – Symptoms and causes”. Mayo Clinic. Retrieved 6 August 2019
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 3 =