Skip to content

Anjing Gila(Rabies): Punca, Simptom dan Cara Rawatan Bila Digigit Anjing

Beberapa tahun ini, Malaysia telah mempunyai kes anjing gila (rabies) yang meningkat. Kehadiran kes ini sangat membimbangkan kerana ia dijangka akan merebak ke tempat lain jika tidak dikawal dengan sempurna. Peratus kematian apabila seseorang itu mempunyai simptom rabies ini pula adalah 100%.

Nak tak nak, perlu kita ketahui serba sedikit berkenaan penyakit ini supaya kita dapat mencegahnya daripada menjangkiti kita

Istilah Perubatan

Rabies: Daripada terjemahan latin bermaksud meracau atau kegilaan. Penyakit ini juga dipanggil sebagai ‘hydrophobia‘ disebabkan ciri-ciri pesakit yang sangat takut kepada air.
Prodromal: adalah fasa permulaan penyakit
Profilaksis: Rawatan yang diberikan untuk mengelakkan sesuatu penyakit

Apakah itu penyakit Anjing gila?



Rabies adalah salah jangkitan virus yang mengganggu fungsi sistem saraf pusat(Central Nervous System). Sistem saraf pusat terdiri daripada sistem saraf yang bersambungan diantara otak dan juga saraf tunjang. Jenis virus yang menyebabkan penyakit ini bernama Lyssavirus dan ia mempunyai 80 jenis spesies.

Rabies virus berbentuk peluru. Dalam virus tersebut mengandungi sehelai asid ribonukleik yang membawa genetik virus rabies. Bahan genetik tersebut terletak di dalam teras nukleukapsid. Lapisan paling luar pula diliputi lipoprotein. Teras nukleukapsid mengandungi ‘Negri bodies‘ yang boleh dilihat di dalam sel saraf yang telah dijangkiti dengan virus tersebut.

Virus ini disebarkan melalui air liur haiwan ataupun manusia yang telah dijangkiti. Kegilaan rabies yang membawa kepada kematian telah diketahui berkurun lamanya akan tetapi tiada rawatan yang mampu diberikan kepada pesakit sebelum ini. Kaitannya dengan anjing pula menyebabkan masyarakat kita di Malaysia selalu memanggil penyakit ini sebagai penyakit anjing gila.

Perlu diketahui bahawa ia juga boleh dijangkiti melalui gigitan haiwan lain yang dijangkiti virus tersebut seperti monyet, kucing, kelawar dan beberapa jenis haiwan yang lain.

Kehadiran vaksin rabies telah memberi harapan kepada mereka yang terkena gigitan anjing gila ini kerana ia boleh mengelakkan penyakit itu daripada merebak ke seluruh badan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca penyakit anjing gila



Rabies adalah virus yang bersifat neurotropik yang membawa maksud ia suka tinggal dan memberi kesan kepada kawasan saraf(neuron). Ketika digigit, virus ini akan pergi di bahagian otot yang menghubungkan otot dan juga saraf periferi(Neuromascular junction). Disini virus ini akan membiak tanpa disedari oleh sistem imun badan

Setelah jumlah virus semakin banyak, ia akan bergerak sedikit demi sedikit melalui saraf periferi untuk sampai ke sistem saraf pusat. Dikatakan pergerakkan virus melalui saraf periferi ini adalah 12-24mm dalam sehari. Virus ini pada mulanya akan sampai ke ganglion spinal terlebih dahulu sebelum masuk ke saraf tunjang dan naik ke bahagian otak

Ketika sampai di ganglion spinal, simptom utama yang dapat dilihat adalah sakit yang teramat ataupun kebas di bahagian luka gigitan sebelum ini. Walaupun luka gigitan sudah semakin baik, ia masih menyebabkan sakit di kawasan bekas luka tersebut. Ia merupakan simptom pertama dalam penyakit ini. Di ganglion spinal, ia akan membiak dengan lebih cepat dan bergerak ke bahagian atas sistem saraf pusat hingga menyebabkan keradangan di bahagian otak(encephalitis).

Kemudian barulah ia akan merebak ke sistem saraf periferi yang lain dan juga pada kalenjar air liur. Ketika kalenjar air liur dijangkiti, ia akan menyebabkan penghasilan air liur yang banyak disebabkan virus sedang membiak di dalam kalenjar tersebut dan pesakit tidak mahu menelan air liurnya juga. Ini menyebabkan air liur mempunyai jumlah virus rabies yang banyak dan ia disebarkan melalui gigitan.

Ketika mana simptom sudah bermula, peratusan untuk seseorang itu mati adalah 100%.

Perlu diketahui bahawa Rabies tidak merosakkan tisu ataupun sel badan. Bentuk dan sel saraf adalah normal sebelum simptom Rabies itu terhasil. Tetapi kematian berlaku apabila kesemua sistem saraf tidak berfungsi. Ia disebabkan virus ini mampu menyamai fungsi ‘neurotransmitter’ yang berada di dalam saraf badan kita.

***Neurotransmiter adalah kompaun yang digunakan supaya penghantaran maklumat daripada satu saraf ke saraf yang lain dapat dilakukan.

Apabila kehadiran virus ini terlampau banyak, ia akan menyebabkan sistem saraf menjadi kacau bilau. Oleh kerana itu, ia menyebabkan pesakit meracau, mempunyai halusinasi, aggresif dan lain-lain.

Periksa Simptom anda Di Sini



Cara virus ini menjangkit kepada orang lain(transmission)

Manusia selalnya dijangkiti apabila ada gigitan dan cakaran yang tajam oleh haiwan yang sudah mempunyai jangkitan rabies. 99% jangkitan rabies adalah berpunca daripada anjing yang membawa virus tersebut. Sebab itu di Malaysia, ada yang memanggil penyakit ini sebagai penyakit anjing gila.

Transmissi virus rabies juga boleh berlaku jika barang yang tercemar dengan virus rabies bersentuhan dengan luka yang terbuka

Masa inkubasi

‘Incubation period’ adalah masa ketika mana hari pertama seseorang itu digigit dengan anjing gila hinggalah ia mempunyai simptom

***Secara spesifik incubation period adalah hari pertama seseorang itu terdedah dengan seseuatu kuman hinggalah ia mempunyai simptom jangkitan kuman tersebut

Bagi virus rabies selalunya masa inkubasi adalah 1 hingga 3 bulan. Tetapi ada juga kes lain dimana ia boleh berlaku setelah 1 minggu dan ada juga yang membawa ke 1 tahun.

Periksa Simptom anda Di Sini

Simptom dan Tanda Penyakit Anjing Gila (rabies)

Bagi simptom dan tanda-tanda rabies, ia bergantung pada fasa jangkitan rabies tersebut. Setiap fasa mempunyai simptom yang berlainan

1. Fasa Prodromal(permulaan)



Pada permulaan penyakit ia akan menunjukkan beberapa simptom yang tidak spesifik di mana simptom ini kebanyakkan pun berlaku pada jangkitan kuman yang lain. Tetapi simptom yang spesifik menunjukkan pesakit ini mungkin mempunyai jangkitan rabies adalah kebas, sakit ataupun kegatalan yang teruk pada tempat gigitan sebelum ini. Fasa ini akan berlaku selama 2 hingga ke 10 hari sebelum ke fasa yang seterusnya

Simptom yang lain adalah:

  • Selalu rasa letih
  • Tidak mempunyai selera makan
  • Sakit kepala
  • Demam
  • Kesejukan
  • Rasa risau
  • Tak boleh tidur
  • Rasa tertekan
  • dan banyak lagi simptom yang tidak spesifik

2. Fasa serangan saraf akut

Pada fasa ini, pesakit sudah mengalami masalah pada sistem saraf pusat kerana virus rabies sudah pun menjangkiti majoriti saraf bahagian pusat terutamanya otak. Fasa ini selalunya berlaku dalam 2 hingga ke 7 hari sebelum pesakit koma.

Pesakit akan mengalami sawan, priapisma(Kemaluan lelaki akan berterusan dalam keadaan ereksi tanpa kehadiran sebarang stimulasi) dan ‘muscle fasciculation(otot badan akan mengecut-ngecut tanpa kawalan)

Dalam fasa ini, pesakit akan mengalami dua keadaan:

1.  Furious Rabies(jangkitan rabies yang menyebabkan keadaan pesakit menjadi agresif)

Dalam keadaan ini pesakit akan cepat marah, hyperaktif, tidak boleh duduk diam, menggigit-gigit, konfius dan mempunyai halusinasi serta sawan



Pesakit juga akan mempunyai ketakutan kepada air iaitu ‘hydrophobia’ simptom klasik rabies

2. Paralytic rabies(Rabies yang menyebabkan kelumpuhan)

Pesakit jenis ini selalunya berkeadaan senyap dan tidak banyak bergerak. Pesakit seolah-olah kelumpuhan

3. Fasa coma

Koma selalunya berlaku 10 hari selepas simptom rabies bermula. Dalam fasa ini, otot pernafasan tidak akan berfungsi dan kandungan oksigen dalam badan akan berkurangan.

Bantuan pernafasan dan juga bantuan yang lain dalam unit rawatan rapi boleh melanjutkan usia pesakit hingga beberapa bulan. Tetapi, keselaluannya ia masih akan berakhir dengan kematian.

Penyakit lain yang Berkaitan

Diagnosis penyakit yang lain juga perlu difikirkan kerana simptom rabies juga boleh berlaku dalam penyakit lain sebagai contoh

Ujian Pemeriksaan

Untuk mengesan seseorang itu dijangkiti penyakit Rabies sebelum mempunyai simptom adalah susah. Ini kerana majoriti peralatan tersebut, hanya boleh mengesan jangkitan Rabies jika pesakit sudah mempunyai simptom Rabies sahaja.



Pesakit yang sudah mempunyai simptom adalah lebih mudah untuk kita mengesan virus rabies sama ada daripada air liur, air kencing dan juga sampel otak bagi pesakit yang sudah meninggal dunia.

Cara mengurus bila terkena gigitan anjing dan juga rawatan

Apa nak buat dengan luka gigitan?

Selepas digigit anjing, luka perlulah dibersihkan dengan cermat. Penggunaan sabun berserta air, iodine ataupun bahan yang boleh membunuh virus rabies digunakan ketika pembersihan luka tersebut. Pembersihan luka tersebut perlulah mengambil masa selama 15 minit ataupun lebih sehingga luka benar-benar bersih.

Penggunaan profilaksis selepas terdedah dengan gigitan anjing gila.

Profilaksis membawa maksud pencegahan yang dibuat supaya jangkitan Rabies pada manusia tidak berlaku. Dalam kes Rabies ini selalunya mereka yang digigit akan diberikan suntikan vaksin dan juga rabies immunoglobin.

Pemberian vaksin dan immunoglobulin adalah berdasarkan kategori luka yang dihadapi oleh pesakit. Jika lukanya dalam, selalunya akan diberikan vaksin dan juga rabies immunoglobulin. Jika luaran sahaja, vaksin sahaja sudah mencukupi.

Risiko untuk dijangkiti Rabies ini semakin tinggi jika:

  • Haiwan yang menggigit itu diketahui sebagai pembawa penyakit ini seperti anjing
  • Di tempat tersebut sedang berlakunya wabak Rabies
  • Haiwan yang menggigit itu menunjukkan perangai yang pelik seperti air liur mengalir dengan banyak daripada mulut, menggigit haiwan yang lain dan sebagainya
  • Gigitan itu berlaku tanpa mengganggu haiwan tersebut
  • Haiwan yang menggigit itu tidak pernah divaksin untuk penyakit rabies

Nota penting: Pemberian Vaksin dan rabies immunoglobulin tertakluk kepada panduan semasa, kawasan wabak dan juga doktor yang merawat pesakit.



Apa nak buat dengan anjing yang menggigit?

Selalunya jika anjing yang menggigit itu adalah anjing belaan, lebih senang kerana status vaksin anjing itu diketahui dan senang untuk tangkap anjing tersebut. Tetapi masalah timbul jika digigit anjing liar, kerana status immunisasinya tidak diketahui dan untuk menangkap anjing tersebut adalah susah sebab kemungkinan ia sudah pergi ke tempat lain.

Penting untuk menangkap anjing yang menggigit ini terutamanya anjing liar kerana ia perlu dikuarantinkan selama 10 ke 14 hari. Jika anjing tersebut tidak mengalami simptom dan tidak mati, maka tidak perlu memberi profilaksis kepada mangsa gigitan.

Jika anjing itu mempunyai simptom seperti anjing gila atau mati ketika dikuarantinkan, maka pesakit perlu mengambil vaksin dan/atau rabies immunoglobulin. Sampel otak anjing tersebut juga akan diambil untuk melihat kehadiran virus di dalam sel saraf otaknya.

Kes yang hidup selepas jangkitan Virus Rabies

Terdapat satu kes sahaja dimana mangsa jangkitan rabies terus hidup. Kes tersebut melibatkan seorang wanita remaja di Wisconsin yang berlaku pada tahun 2004. Pesakit tersebut langsung tidak menerima vaksin mahupun rabies immunoglobulin sebelum menghidapi penyakit itu.

Tetapi mangsa dikatakan masih boleh terus hidup disebabkan dia dijangkiti virus rabies jenis yang lemah(Kurang neurovirulent) daripada gigitan kelawar. Tiada kes yang selamat lagi selepas daripada itu

Pencegahan

1. Penghapusan virus rabies di kalangan anjing

Penyakit Rabies adalah penyakit yang boleh dicegah dengan pemberian vaksin. Pemberian vaksin kepada anjing merupakan strategi yang sangat berbaloi kerana ia dapat mencegah penyakit yang menyebabkan kematian kepada manusia.



Di US, jangkitan Rabies semakin berkurangan disebabkan pemberian vaksin kepada anjing peliharaan mereka.

2. Pemberian vaksin kepada manusia

Vaksin rabies adalah sangat sesuai untuk diberi kepada mereka yang mempunyai faktor risiko untuk digigit ataupun terdedah kepada virus rabies ini seperti pekerja makmal yang terlibat dalam menguruskan virus ini, mereka yang terlibat dalam penangkapan anjing liar dan beberapa jenis pekerjaan lain

Kesimpulan

Jangkitan Rabies mempunyai kadar kematian 100%. Tetapi ia boleh dielakkan dengan pemberian vaksin kepada haiwan peliharaan dan mengelakkan gigitan anjing.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Baer GM. The Natural History of Rabies. Boston, MA: CRC Press; 1991.
    National Association of State Public Health Veterinarians. Compendium of animal rabies prevention and control, 2004: National Association of State Public Health Veterinarians, Inc. (NASPHV). MMWR Recomm Rep. 2004 Jun 25. 53:1-8.
  2. Moore DA, Sischo WM, Hunter A, Miles T. Animal bite epidemiology and surveillance for rabies postexposure prophylaxis. J Am Vet Med Assoc. 2000 Jul 15. 217(2):190-4
  3. Doyle TJ, Bryan RT. Infectious disease morbidity in the US region bordering Mexico, 1990-1998. J Infect Dis. 2000 Nov. 182(5):1503-10.
  4. WHO. WHO Guide for Rabies Pre- and Post-exposure Prophylaxis in Humans. World Health Organization.
  5. Willoughby RE Jr, Tieves KS, Hoffman GM, et al. Survival after treatment of rabies with induction of coma. N Engl J Med. 2005 Jun 16. 352(24):2508-14.
  6. Interim Guideline for Human Rabies Prevention and Control in Malaysia, Disease Control Division, Ministry of Health Malaysia
  7. Sumber feature image: dogsaholic.com
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × five =