Skip to content

Bayi Kembung Perut : Punca dan Rawatan

Bayi Kembung perut dalam istilah perubatan disebut sebagai masalah ‘colic’. Masalah colic selalunya berlaku disebabkan masalah di bahagian usus. Sakit disebabkan kembung perut selalunya datang dan pergi. Ini kerana ia berkait dengan pergerakkan usus. Ketika mana usus aktif bergerak, ia akan menyebabkan sakit itu datang. Kemudian otot usus tersebut akan relaks semula menyebabkan sakit itu pun hilang dengan sendirinya.

Apabila anda baru sahaja menjadi ayah ataupun ibu, masalah bayi kembung perut mungkin sesuatu cabaran bagi anda terutamanya apabila anak selalu menangis.

Apakah itu masalah bayi kembung perut?

Kembung perut adalah istilah yang digunakan untuk mengambarkan bayi yang sihat, menyusu dengan normal dan kanak-kanak ini mesti menangis lebih daripada 3 jam sehari, perkara tersebut berlaku lebih daripada 3 hari dalam seminggu, dan simptom ini berlarutan lebih daripada 3 minggu.



Selalunya bayi akan mula menangis pada waktu malam dan tidur pada waktu pagi. Pada ketika itu, bayi akan seolah-olah mengeraskan badan dia, menarik kakinya dan melepas kentut. Ia menjadi salah satu punca ibubapa untuk pergi berjumpa dengan doktor

Apa yang kita tahu berkenaan masalah ini adalah:

  • Kembung perut selalunya berlaku pada bayi yang berumur 2 minggu
  • Ia akan hilang sepenuhnya ketika umur 3-4 bulan
  • Bayi yang mengalami bayi kembung perut tidak mempunyai kelainan ataupun kecacatan jika dibandingkan dengan bayi yang tidak mempunyai masalah ini
  • Ia boleh berlaku pada bayi yang menyusu badan ataupun yang menyusu dengan susu formula

Punca Bayi Kembung Perut

Para pengkaji masih lagi tidak mengetahui punca sebenar berkenaan masalah ini. Tetapi ada beberapa teori yang mengaitkan dengan perkara-perkara ini seperti:

  • Tumbesaran saluran permakanan yang menyebabkan usus bayi selalu mengecut
  • Angin yang berlebihan disebabkan teknik menyusu yang tidak betul
  • Hormon yang menyebabkan perut sakit dan mood bayi yang tidak baik
  • Sistem saraf yang masih membesar membuatkan bayi sensitif terhadap persekitaran
  • Ada juga kajian yang mengatakan kembung perut adalah salah satu simptom seperti migrain. Ini kerana kajian yang menunjukkan ibu yang mempunyai migrain akan mudah mempunyai anak yang mengalami kembung perut
  • Ibu dan bapa yang merokok. Kajian menunjukkan ibubapa yang merokok lebih mudah mendapat anak yang mengalami masalah bayi kembung perut
  • Alahan kepada susu formula.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Beberapa diagnosa yang berbahaya jika bayi asyik menangis

Ibubapa perlu tahu bahawa ada penyakit yang nampak seperti kembung perut, tetapi ia bukan masalah tersebut. Oleh itu, jika risau, ibubapa perlulah membawa anak mereka berjumpa dengan doktor.

Beberapa punca yang boleh menyebabkan bayi menangis secara berterusan adalah:

  • Jangkitan kuman di bahagian otak(meningitis atau encephalitis)
  • Masalah refluks asid pada perut
  • Kecederaan pada mana-mana bahagian badan.
  • Cirit-birit disebabkan jangkitan kuman

Tips untuk mengurangkan masalah bayi kembung perut



Disini kami ada sediakan beberapa tips untuk ibubapa amalkan bagi mengelakkan ataupun merawat kembung perut

Tips Penyusuan

  • Susu badan ataupun susu formula? Sudah tentu susu badan adalah lebih baik daripada susu formula. Ini kerana ia mempunyai protein yang sesuai dengan sistem pencernaa bayi. Jika susu formula, ia mungkin mempunyai protein yang tidak sesuai menyebabkan alahan kepada bayi. Malah bayi mungkin mengalami cirit-birit jika dia mempunyai masalah ‘lactose intolerence’.
  • Bantu bayi supaya dia kurang menelan angin. Jika menyusu botol, pastikan teknik dan saiz puting sesuai untuk bayi. Teruskan penyusuan bagi bayi yang menyusu badan. Pastikan bayi disendawakan selepas penyusuan untuk mengeluarkan angin

Selesakan bayi dengan bunyi dan pergerakan

1) Berjalan-jalan ataupun gunakan buaian

  • Pergerakkan dapatkan menenangkan bayi. Berjalan-jalanlah dengan bayi samada dengan memegangnya ataupun dengan menggunakan’baby carrier’
  • Membuai bayi dalam buaian ataupun ‘stroller’ boleh membuatkan bayi berhenti menangis
  • Jika kedua-dua cara ini tidak berkesan, mungkin anda boleh cuba letak bayi anda dalam ‘car seat’ kereta dan berjalan-jalan dengannya.

2) Gunakan bunyi

Di dalam rahim bukanlah suatu tempat yang senyap. Ini kerana ia boleh mendengar banyak bunyi seperti bunyi percakapan kita, bunyi denyutan jantung ibu dan sebagainya. Bayi sudah biasa mendengar suara latar yang sangat banyak.

Oleh itu, kita juga boleh menghidupkan suara ini untuk memberi keselesaan kepada bayi. Beberapa alat boleh digunakan untuk menghidupkan bunyi tersebut sepert:

  • Kipas
  • Vakum
  • Pengering pakaian

Ibubapa dinasihatkan untuk tidak meletakkan bayi mereka terlalu dekat dengan peralatan ini kerana ia boleh mencederakan bayi. Malah bunyi yang terlalu kuat juga akan menyebabkan bayi lagi kuat menangis.



3) Menenangkan deria bayi

Beberapa perkara yang boleh dibuat adalah:

  • Bedung bayi supaya ia merasa selesa
  • Letak diriba anda dan dengan lembut urut bahagian belakangnya
  • Letak botol yang suam pada perutnya. Pastikan ibubapa merasa botol tersebut sebelum meletakkan pada perut bayi. Cukup untuk diletakkan atas baju bayi
  • Mandikan dia dalam air suam.

Jika anda letih

Kembung perut bukan sahaja memberi masalah kepada bayi. Tetapi ia juga akan memberi masalah kepada ibubapa. Jika anda terlalu tertekan dalam menghadapi bayi ini, lebih baik anda berehat dan berikannya kepada ahli keluarga yang lain untuk menjaganya.

Jangan sesekali menggoncang bayi anda dengan kuat. Ini kerana ia boleh menyebabkan ‘Shaken Baby Syndrome’ dimana berlakunya pendarahan di dalam otak disebabkan goncangan yang kuat.

Oleh itu, jika anda merasa terlalu tertekan dan mungkin akan mencederakan bayi tersebut, maka berehat dan suruh orang lain jaga dahulu.

Bila nak bawa pergi jumpa doktor?

Jika bayi mempunyai simptom dan tanda-tanda ini, ibubapa perlulah membawa bayi tersebut berjumpa dengan doktor. Ia adalah:

  • Mempunyai cirit birit yang teruk, terutamanya jika ia mempunyai darah
  • Berat badan tidak bertambah, malah berkurangan
  • Mempunyai demam
  • Muntah-muntah
  • Ibubapa yang risau anaknya tercedera ataupun mempunyai masalah lain
  • Nampak letih daripada biasa

Bacaan setersunya: Asma pada kanak-kanak

Periksa Simptom anda Di Sini



Rujukan:

  1. Cleveland Clinic Children’s Hospital: “What is colic?”
  2. American Academy of Pediatrics: “Colic.”
  3. International Breastfeeding Centre.
  4. Canivet CA, Ostergren PO, Jakobsson IL, Dejin-Karlsson E, Hagander BM. Infantile colic, maternal smoking and infant feeding at 5 weeks of age. Scand J Public Health. 2008 May. 36(3):284-91.
  5. Sondergaard C, Skajaa E, Henriksen T B. Fetal Growth and Infantile Colic. Arch Dis Child Fetal Neonatal Ed. 2000. 83:F44-F47.
  6. Wessel MA, Cobb JC, Jackson EB. Paroxysmal fussing in infancy, sometimes called “colic”. Pediatr. 1954. 14:721
  7. Sumber featured image: naturedoc.co.uk
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + nine =