Skip to content

Benarkah peralatan bekam boleh menyebabkan jangkitan HIV?

Tular satu kenyataan di Twitter yang menyatakan ada kes HIV yang telah berlaku di dalam Malaysia disebabkan menjalani prosedur Bekam.

Tweet yang tersebar

Jadi ada yang bertanya kepada kami, adakah prosedur bekam boleh menyebabkan jangkitan HIV tersebar.

Jawapan kami adalah Ya. Ia boleh menyebabkan HIV tersebar. Bahkan ia juga boleh menyebarkan virus yang lain seperti Virus Hepatitis B dan C.

Kenapa perkara ini boleh terjadi?



Perlu diketahui bahawa ketiga-tiga jenis penyakit ini boleh menjangkiti orang lain dengan pendedahan kepada darah pesakit tersebut dan juga melalui hubungan seks.

Bagi kes ini, penyakit tersebut telah menjangkiti orang itu melalui pendedahan kepada darah pesakit HIV yang lain iaitu daripada jarum atau pisau yang digunakan.

Ada sesetengah ahli bekam yang sentiasa menggunakan jarum ataupun peralatan yang sama untuk membuat prosedur bekam. Ini boleh menyebabkan virus HIV melekat pada peralatan yang digunakan dan berpindah kepada manusia yang lain apabila prosedur bekam dibuat menggunakan alatan yang sama.

Jangkitan HIV masih boleh berlaku walaupun pisau atau jarum yang digunakan dibersihkan dengan alkohol atau klorin.

Kajian telah dibuat berkenaan hal ini dan mendapati masih terdapat risiko untuk menghadapi penyakit-penyakit tersebut walaupun peralatan yang digunakan telah dibersihkan menggunakan alkohol ataupun air klorin.

Satu sahaja cara untuk mengelakkan jangkitan tersebut iaitu dengan menggunakan peralatan atau jarum yang baru setiap kali prosedur bekam dilakukan. Bermaksud satu pesakit hanya menggunakan satu jarum atau pisau sahaja tanpa berkongsi dengan orang lain.



Jika tidak, anda mungkin berisiko untuk menghadapi masalah tersebut.

Keadaan tercucuk jarum di hospital

Di hospital, keadaan tercucuk jarum bagi seorang staf kesihatan adalah salah satu perkara yang sangat diambil berat sehinga mana terdapat Garis panduan(Clinical Practice Guideline) yang diwujudkan jika berhadapan berkara ini

Staf kesihatan yang tercucuk jarum yang telah digunakan pada pesakit akan menjalani beberapa prosedur yang leceh tetapi wajib dilakukan.

Kes tersebut wajib dinotifikasi supaya pihak pejabat kesihatan mengetahui kes tersebut. Kemudian sampel darah perlu diambil daripada pesakit dan juga daripada staf kesihatan tersebut untuk mengetahui status penyakit HIV, hepatitis B dan C mereka.

Kemudian pelbagai borang perlu diisi untuk merekodkan kes ini. Staf kesihatan daripada pejabat kesihatan pula perlu menyiasat kenapa perkara ini terjadi, adakah staf ataupun pesakit tersebut mempunyai HIV ataupun tidak, apakah cara untuk mengelakkan perkara ini berlaku di masa hadapan. Kemudian, mereka juga perlu membuat laporan untuk dihantar kepada Kementerian Kesihatan.

Saya menceritakan perkara kerana ingin menunjukkan bahawa kami tidak menganggap tercucuk jarum ini sesuatu yang ringan. Ia sesuatu perkara yang dikesali kami jika kes tercucuk jarum(needle stick injury) ini berlaku.

Begitulah yang sepatutnya diamalkan bagi mereka yang melakukan bekam ataupun ingin melakukan bekam. Mereka perlu mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang sama. Mereka perlu ada rasa tanggungjawab yang tinggi ketika mana bekam dilakukan. Salah prosedur anda mungkin menyebabkan diri anda ataupun pesakit anda dijangkiti virus HIV.

Tak pasal-pasal anda telah merosakkan kehidupan orang lain ataupun kehidupan anda sendiri. Kes ini telah menyebabkan individu tersebut tidak dapat berkahwin dengan pasangannya.



***Kami membuat post ini bukanlah untuk memburukkan perawat bekam ataupun menakutkan orang ramai melakukan bekam, tetapi kami ingin meningkatkan kesedaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi di dalam masyarakat.

Rujukan:

  1. Strike C, Watson TM, Gohil H, et al. The Best Practice Recommendations for Canadian Harm Reduction Programs that Provide Service to People Who Use Drugs and are at Risk for HIV, HCV, and Other Harms: Part 2. Toronto, ON: Working Group on Best Practice for Harm Reduction Programs in Canada. 2015.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 16 =