Skip to content

Betul ke Chicken pox lebih mudah merebak waktu kering?

Ramai yang bertanyakan dan percaya bahawa jika seseorang kena penyakit chicken pox, maka waktu yang paling senang ia berjangkit kepada orang lain adalah ketika mana ruam chicken pox itu sudah kering.

Perkara ini dihadapi terutamanya jika dalam keluarganya terdapat ramai adik beradik. Sebagai contohnya adiknya ini kena chicken Pox. Setelah ruam chicken pox adiknya ini kering dalm 2 minggu, barulah abangnya menghadapi penyakit chicken pox tadi. Oleh itu, ramai menganggap ketika ruam chicken pox ini kering, maka virusnya akan lagi semakin mengganas dan lebih mudah menjangkiti orang lain.

Tetapi adakah ia benar? Mari kita terangkan

Apakah penyakit Chicken pox?



Penyakit chicken pox dalam bahasa melayu kita gelar sebagai Cacar air. Ia disebabkan jangkitan virus yang bernama Varicella-Zoster Virus.

Ini bukan penyakit demam campak ye. Demam campak ini disebabkan jangkitan virus yang lain iaitu Virus measles dan ruam yang terhasil disebabkan campak ini tidak menghasilkan gelembung air pada kulit seperti chicken pox.

Berbalik kepada penyakit Chicken pox ini, selalunya ia bermula dengan demam, batuk dan selesema terlebih dahulu. Walaupun pada ketika itu tiada lagi ruam pada badan pesakit, pesakit telah mula menyebarkan virus tersebut tidak kisahlah ketika dia batuk atau bersin dalam bentuk titisan air. Hingus pesakit juga mengandungi virus tersebut.

Ini menyebabkan virus ini sudah tersebar kepada orang lain terlebih dahulu sebelum mengetahui dia sedang menghadapi penyakit chicken pox.

Kenapa selalunya adik beradik yang lain kena chicken pox waktu ruam chicken pox tu dah kering?

Perlu diketahui bahawa masa inkubasi untuk virus ini adalah pada 14 hingga 16 hari(julat 10 hingga 21 hari). Masa inkubasi ini adalah waktu dimana badan mula terdedah dengan virus tersebut sehinggalah pesakit mula menunjukkan simptom jangkitan itu.



Sebagai contohnya, jika seseorang itu terdedah dengan virus chicken pox pada hari ini, maka dia akan mula menunjukkan simptom selepas 14, 15 atau 16 hari.

Jadi jika seseorang dalam keluarga terkena chicken pox pada hari ini. Maka adik beradik yang lain akan terkena chicken pox selepas daripada 14 hari dan pada ketika itu sudah tentu ahli keluarga yang pertama sekali kena chicken pox itu sudah pun sembuh dan tinggal kuping yang sudah kering sahaja.

Sebab itulah ramai yang cakap, bila ruam chicken pox itu sudah kering, maka ia lebih mudah merebak. Sedangkan ianya tidak.

Bila ruam chicken pox itu sudah kering, virus varicella itu sudah tidak boleh lagi merebak daripada kawasan ruam tersebut kerana ia sudah terdedah dengan kawasan persekitaran menyebabkan virus itu mati.

Oleh itu, doktor akan membenarkan anak anda pergi ke sekolah walaupun kupingnya masih ada lagi. Jadi diminta ibubapa untuk tidak risau.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kesimpulan

Ruam chicken pox yang sudah kering tidak akan menyebabkan jangkitan chicken pox kepada orang lain. Malah menunjukkan jangkitan tersebut telah sembuh sepenuhnya.

Rujukan:

  1. https://www.cdc.gov/chickenpox/hcp/index.html
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × one =