Skip to content

BEZA UBAT SUNTIKAN DAN UBAT TABLET?

Terdapat beberapa kefahaman yang salah dalam masyarakat yang berfikiran bahawa ubat suntikan adalah lebih berkesan dan bagus berbanding ubat tablet. Untuk menjelaskan perihal sebenar, mari kita kupas satu persatu mengenai perbezaan ubat-ubat ini.

1. BIOAVAILABILITY (KEWUJUDAN BIO)

Beberapa ubat hanya mampu dicipta dan diberikan dalam bentuk suntikan, kerana ubat ini akan dihancur dan diuraikan oleh enzim dan suasana berasid di dalam perut atau saluran pencernaan. Contoh terbaik ubat jenis suntikan yang akan musnah di dalam perut jika diberikan dalam bentuk tablet adalah suntikan insulin untuk pesakit kencing manis.

Begini, insulin adalah sejenis molekul yang terbentuk dalam bentuk protein, sama seperti daging,ayam dan ikan. Oleh itu, andainya insulin ini diberikan dalam bentuk tablet, sebelum sempat insulin memainkan peranan pentingnya dalam badan pesakit, ia akan terlebih dahulu dihancur dan terurai oleh enzim perut.



Justeru itu, anda tidak akan pernah melihat insulin dalam bentuk tablet, terdapat beberapa kajian yang terbaru untuk menjadikannya dalam bentuk wasap, dan sudah menunjukkan hasil memberangsangkan tapi masih lagi di peringkat kajian. Doakan agar kajian ini dapat sampai ke negara kita dalam masa terdekat. (Artikel ini ditulis pada 18/01/2018).

Sama juga dengan pil tablet tertentu yang tidak dapat dicipta dalam bentuk cecair suntikan. Contoh termudah adalah dengan melihat susu tepung yang dihasilkan dalam bentuk serbuk. Dalam bentuk ini, susu tepung ini dapat bertahan lama sehingga berbulan-bulan, namun apabila dicampurkan menjadi air susu, secepat mungkin susu ini harus diminum kerana jika dibiar terdedah, maka basilah susu itu.

Sebab itu, sesetengah ubatan yang tidak dapat dicipta dalam bentuk cecair suntikan, akan dihasilkan dalam bentuk serbuk, kemudian doctor akan “membancuh” ubat tersebut dengan air suling untuk suntikan sebelum diberikan kepada pesakit.

Contoh mudah ubat sebegini adalah antibiotic yang dinamakan sebagai Ceftriaxone. Antibiotik ini adalah antara yang terbanyak para doktor gunakan untuk jangkitan bacteria yang agak kuat terutama di kawasan tekak, kulit mahupun untuk kuman gonorrhea.

2. KEADAAN PESAKIT

Pesakit yang sedang muntah-muntah ataupon mempunyai masalah untuk mengambil makanan dan ubatan melalui mulut sudah tentu akan diberikan suntikan yang sesuai. Sebagai contoh suntikan celah otot (IM) Metoclopramide bagi pesakit yang mengalami keracunan makanan serius dan muntah-muntah.



Contoh lain adalah seperti pesakit yang sedang tidak sedarkan diri dan pesakit kanser pada saluran pencernaan seperti kanser perut atau usus. Untuk pesakit sebegini, ubat suntikan cecair diberikan bukan kerana ianya lebih efektif berbanding tablet, tetapi kerana untuk memudahkan pesakit tersebut mengambilnya.

3. KADAR PENYERAPAN UBAT

Dalam keadaan tertentu yang memerlukan ubat diserap cepat, seseorang petugas kesihatan perlu memberikan ubat kepada pesakit dalam bentuk yang segera.  Sebagai contoh,pesakit yang mengalami sakit batu karang akut (renal colic) diberikan suntikan celah otot (IM) Diclofenac/Voren kerana kesakitan yang teramat melampau pada pesakit ini menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan bergolek di atas lantai sahaja.

Contoh lain adalah dalam kes kejutan alahan teruk (anaphylactic shock) yang disebabkan oleh samaada alahan terhadap kekacang, sengatan lebah dan sebagainya. Kes sebegini memerlukan pesakit diberikan suntikan celah otot (IM) Epinephrine untuk meredakan alahan tersebut dengan cepat kerana ia boleh meragut nyawa.

Ubat berbentuk tablet jika diberikan dalam kes sebegini sangat tidak sesuai kerana ubatan tersebut perlu dilarutkan dahulu di dalam saluran pencernaan sebelum sampai ke dalam saluran peredaran darah.

4. JENIS PENYAKIT

Kewujudan ubatan dalam bentuk tablet, ubat suntikan mahupun krim amat bergantung kepada jenis penyakit yang dialami. Contoh pesakit yang perlu diberikan ubat tablet adalah pesakit yang mendapat jangkitan parasit cacing kerawit/cacing pita dan sebagainya. Pesakit sebegini sudah semestinya memerlukan pil tablet yang bertindak terus ke dalam perut pesakit yang dijangkiti parasit tersebut.

Contoh lain pula adalah suntikan Hyaluronic acid pada kawasan lutut pesakit yang menghidap Osteoartrhritis (OA) iaitu keadaan di mana “pelincir” dalam sendi lutut sudah haus dan perlu ditambah melalui suntikan berkala. Suntikan ini bagaimanapon hanya untuk pesakit OA stage 2 dan 3 sahaja. Pesakit OA yang lebih kronik dan serius perlu menjalani pembedahan untuk menukar tempurung lutut (TKR).

5. KADAR KEBERKESANAN UBAT

Sesetengah pendapat yang mempercayai ubat suntikan adalah lebih bagus adalah kerana kemungkinan dos yang lebih tinggi. Pendapat ini salah sama sekali kerana sebelum dijual di pasaran, ubat-ubatan telah diuji secara klinikal perihal dos yang sesuai untuk setiap individu dan para doktor juga mengira ketentuan cecair suntikan yang harus diberikan kepada pesakit berdasarkan berat dan umur pesakit.

Pendapat lain juga mengatakan bahawa ubat suntikan lebih berkesan kerana terus masuk ke dalam saluran darah. Hal ini juga tidak tepat kerana sesetengah ubat mempunyai reseptor tertentu dan bertindak pada organ tertentu. Walaupon ubat tersebut disuntik, mahupun dimakan, ubat itu tetap akan diserap pada organ yang dituju,tidak kiralah cepat atau lambat, kadar keberkesanannya tetap sama.



Bahkan, ubat yang disuntik kebanyakannya mempunyai kadar “half-life” yang rendah, maka ia akan cepat disingkirkan badan. Oleh itu,dalam kes ini, ubat yang diberikan dalam bentuk tablet akan memberikan kesan lebih lama dan berpanjangan untuk pesakit.

6. KESIMPULAN

Oleh itu, selepas ini, jika anda datang ke klinik doktor dan ingin meminta suntikan, pastikan anda benar-benar tahu apa itu perbezaan ubat dan keperluan untuk memberikannya. Tidak semestinya jika anda tidak disuntik, itu bermakna doktor tersebut tidak bersungguh-sungguh merawat anda atau ahli keluarga anda ya!

Rujukan :

  1. “Injection safety”. Health Topics A to Z. World Health Organization. Retrieved 2011-05-09.
  2. Comparison of pharmacokinetics and efficacy of oral and injectable medicine by Simonsen et al. WHO 1999
  3. Are injections more effective than tablets? – original article by Samuel Opio
  4. “Half-Life”. Medical Subject Headings. United States National Library of Medicine. 2016. Tree No. G01.910.405. Retrieved June 3,2016.
  5. Lin VW; Cardenas DD (2003). Spinal Cord Medicine. Demos Medical Publishing
  6. Compendium of Chemical Terminology, 2nd ed. (the “Gold Book”) (1997). Online corrected version:  (2006–) “Biological Half Life”.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − 9 =