Skip to content

Cara Diet Bagi Pesakit Kencing Manis

Pemakanan bagi pesakit kencing manis perlu di kawal agar gula di dalam darah dalam keadaan tidak terlalu tinggi (hyperglycemia) atau rendah (hypoglycemia).

Cara Pemakanan bagi pesakit Diabetes Mellitus

Beberapa tips yang anda boleh ikut adalah:.

1. Waktu makan yang tetap



Jadual waktu makanan yang tetap disarankan seperti wajib mengambil 3 hidangan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Namun sekiranya lapar, boleh untuk mengambil makanan pada waktu minum pagi, minum petang dan minum malam (supper).

Setiap kali mengikut waktu makan yang tetap, seseorang tidak akan melangkau waktu makan. Berlaku tindak balas pada badan seperti sekiranya melangkau waktu makan:

  • Badan membuat sendiri gula dari simpanan di dalam hati disebabkan oleh badan yang tidak cukup gula untuk membuat tenaga dari sumber karbohidrat. Proses metabolik badan ini dikenali sebagai gluconeogenesis dalam istilah perubatan. Proses ini menyebabkan gula tinggi dalam darah akibat daripada menahan lapar terlalu lama.
  • Selain itu, badan juga boleh menjadi hypoglycemia atau kurang gula dalam darah. Simptom hypoglycemia adalah ketar tangan, berdebar, berpeluh, jantung berdegup laju, pandangan kabur, dan loya. Sekiranya anda mendapati simptom- simptom tersebut, anda perlu:
    • Makan gula-gula 3 biji atau
    • Minum separuh daripada air kotak 250ml atau
    • Bancuh satu sudu besar gula pasir di dalam 1 cawan gelas dan minum
    • Kemudian tunggu selama 15 minit, sekiranya tiada alat pemeriksaan gula dan simtom masih belum reda, ulang langkah di atas
    • Sekiranya gula dalam darah sudah kembali ke paras optimal dan tiada simptom gula rendah, segera mengambil makan daripada karbohidrat bagi megelakkan gula rendah berlaku kembali.
  • Tambahan lagi, akibat langkau waktu makan, individu akan menahan rasa lapar yang lama. Oleh itu, minda telah di set untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak pada waktu makan seterusnya dan mengakibatkan tahap gula menjadi tinggi pada waktu tersebut.

Cadangan waktu makan:

Sarapan pagi: 6-8 pagi                                   Minum pagi: 10-11 pagi

Makan tengah hari: 12-2 petang                    Minum petang: 3.30-5 petang



Makan malam: 6-8 malam                             Minum malam: 9-10 malam

2. Mengawal pengambilan karbohidrat

Karbohidrat ialah salah satu komponen utama dalam membekalkan tenaga kepada badan untuk melakukan aktiviti seharian. Karbohidrat memainkan peranan penting dalam mengawal tahap gula di dalam badan. Namun, tahukan anda karbohidrat terbahagi kepada 5 kumpulan iaitu: 

  • Bijirin & produk bijirin (nasi/bubur/mee/ roti)

Siapa kata pesakit kencing manis perlu tinggalkan nasi. Tak boleh sentuh nasi sebab gula naik. Sebenarnya, bukan tidak boleh makan nasi, cuma perlu kawal dari segi kuantiti karbohidrat. Jika tidak menjaga kuantiti karbohidrat gula akan naik. Kenapa gula boleh naik, sebab dalam nasi sudah ada gula dari nasi tu sendiri.

Jadi berapa banyak nasi boleh ambil sekali makan ? Secara umumnya bagi pesakit kencing manis pada hanya boleh ambil 3 senduk rata nasi atau segenggam pada satu waktu makan. Secara keseluruhannya, cukup 9 senduk rata nasi pada satu hari. Sekiranya selera ingin bertukar kepada mee seperti mee hoon kue teow dan juga mee kuning konsepnya sama sahaja. Namun sedikit berbeza bagi bubur nasi, ianya terhad kepada 1 ½ cawan kecil bubur sahaja pada satu waktu makan utama.

  • Gula dan manisan

Gula dan manisan juga merupakan karbohidrat. Ianya dikenali sebagai karbohidrat ringkas, dimana apabila mengambil makanan tersebut, lidah akan terasa manis. Sebagai contoh gula dan manisan ialah gula pasir, gula melaka, madu,serbuk koko, jem, kaya, dan juga susu pekat manis. 1 sudu gula dan manisan sehari memadai kerana gula juga tersembunyi pada makanan lain.

Mengapa perlu mengawal pengambilan gula hanya 3 sudu teh atau bersamaan 1 sudu makan sahaja sehari adalah untuk mengawal paras gula dalam darah. Gula ringkas ini begitu cepat melonjakkan gula di dalam darah.

  • Sayuran berkanji

Sayuran berkanji seperti ubi keledek, ubi kayu, sengkuang, lobak merah, jagung, kacang peas, ubi kentang, labu merah perlu juga di pantau ketika makan. Hal ini kerana terdapat kanji di dalam sayuran tersebut yang menjadi faktor gula naik mendadak sekiranya mengambil dalam kuantitu yang banyak. 1 genggam sudah memadai untuk diambil sekali makan bagi ubi-ubian. Bagi jagung rebus setongkol memadai. Secara umumnya, sekiranya hendak mengambil makanan sayuran berkanji seperti ini, makanan utama seperti nasi perlu dikurangkan.



  • Susu dan produk tenusu

Ramai pesakit kencing manis mengelakkan untuk mengambil susu kerana takut gula naik. Namun pemilihan susu dan produk susu perlu dititiberatkan. Susu dan produk tenusu akan meningkatkan gula dalam darah sekiranya diambil dalam jumlah yang berlebihan kerana mempunyai gula laktosa.

Contoh produk tenusu yang sering diambil oleh masyarakat di Malaysia adalah yogurt. Tips untuk memilih susu dan produk tenusu adalah dengan mengambil yang berperisa asli. Hal ini kerana, susu yang berperisa tambahan seperti coklat dan perisa lain mempunyai perisa tambahan iaitu gula tambahan. Namun, seeloknya pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil susu yang rendah lemak.

Bagi pesakit kencing manis, saranan pengambilan susu adalah 2 gelas sehari, 1 gelas sekali minum. 1 gelas susu boleh dipilih mengikut pilihan waktu makan namun tidak digalakkan minum bersama waktu makan utama seperti makan tengah hari dan makan malam.

  • Buah- buahan

Buah-buahan juga mempunyai gula sendiri iaitu fruktosa. Saranan 2 hidangan buah sehari, 1 hidangan sekali makan. Bagi buah- buahan saranan waktu makan perlu diambil bersama waktu makan utama iaitu tengah hari dan makan malam. Hal ini kerana, buah dapat meningkatkan gula dengan cepat. 1 hidangan bagi buah yang sebiji seperti epal, pir, dan lai adalah sebiji buah tersebut.

Manakala, bagi buah yang besar- besar seperti nenas, tembikai susu, tembikai, 1 hidangan adalah satu potong yang biasanya seperti dijual di kedai buah atau sepanjang sudu makan. 1 hidangan jambu batu adalah separuh buah tersebut. Bagi buah yang sebutir kecil-kecil seperti buah anggur, langsat, duku, rambutan, 1 hidangan adalah anggaran segenggam tangan.

3. Ambil serat separuh pinggan

Pernah dengar suku-suku separuh ? Paling mudah untuk berdiet ialah dengan menggunakan konsep suku-suku separuh. Suku bagi karbohidrat, suku bagi sumber protein (ayam/ikan/daging/tempeh/tauhu), dan separuh lagi adalah sayuran hijau dan buah-buahan.

Makanan lengkap bernutrisi dapat melambatkan perut kosong dan rasa lapar. Karbohidrat duduk lebih lama di perut sekiranya makanan diambil bersama protein dan serat. Sekiranya di makan berasingan, karbohidrat akan keluar dari perut dengan cepat, diikuti oleh protein, lemak dan juga serat.



Makanan yang berasaskan cecair sahaja, akan duduk di perut selama 1-2 jam sahaja, manakala bagi makanan  pepejal iaitu 2 hingga 3 jam di dalam perut dan memberikan kekenyangan yang lebih lama.

Selain itu, sayuran hijau dan buah-buahan juga memberikan peranan dalam menguruskan paras gula dalam darah kepada lebih baik kerana ianya mempunyai serat. Serat tidak hanya bersumberkan sayuran hijau dan buah- buahan sahaja. Contoh serat ialah roti mil penuh, barli, oat, beras perang, sayuran berdaun hijau dan buah-buahan. Fungsi serat ialah, sebagai penapis yang melambatkan proses pencernaan serta membantu memperlahankan penyerapan gula dan secara tidak langsung dapat mengawal paras gula. Keperluan seharian bagi serat ialah 20-30g sehari. Saranan ialah 3 sajian sayur dan 2 biji buah sehari.  

4. Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak

Pengambilan makanan yang berlemak juga perlu di hadkan dalam kalangan pesakit kencing manis. Pengambilan lemak akan menyebabkan berlakunya kerintangan insulin dan badan tidak boleh membekalkan tenaga daripada glukosa. Contoh makanan yang tinggi lemak ialah ayam goreng, ayam gunting, nasi lemak, nasi minyak, masakan yang berasaskan santan, masakan yang berminyak, roti canai, dan roti telur. Saranan penggambilan 1-2 kali seminggu sahaja.

5. Melakukan aktiviti fizikal

Sekurang-kurangnya perlu melakukan senaman 150 minit seminggu iaitu 3-5 hari seminggu. Senaman ini mampu memyebabkan insulin lebih efektif dalam membekalkan tenaga kepada tubuh badan dalam melakukan kerja harian. Contoh senaman ialah berjalan laju, berjogging, zumba, berbasikal, dan berenang mengikut kesesuaian. Namun, sekiranya mempunyai masalah jantung dan masalah lain perlu mendapatkan rawatan susulan dari doktor sebelum memulakan aktiviti fizikal.

Kesimpulan

Hanya 5 perkara perlu dijaga untuk diet kencing manis. Menjaga waktu makan yang tetap, mengawal jumlah karbohidrat, mengambil sayur separuh pinggan, mengurangkan makanan berlemak dan melakukan aktiviti fizikal. Diet kencing manis tidak susah namun perlu tahu dengan caranya. Trick diet ini diberi panduan secara umum, dan kurang sesuai sekiranya mempunyai penyakit kronik lain yang memerlukan diet secara individual oleh pegawai dietetik.

Rujukan



  1. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2013). Medical Nutrition Therapy Guidelines (Revised ed.). Malaysian Dietitian Association.
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2010). Malaysian Dietary Guidelines (1st ed.).
  3. Mahan, K., & Raymond, J. (2017). Karause’s Food and Nutrition Care Process (14th ed., Vol. 9). Elsevier
  4. Gray,A., &  Threlkeld RJ. (2019). Nutritional Recommendations for Individuals with Diabetes. Doi: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279012/
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =