Skip to content

Cara Mencegah Kehamilan dan Kelebihan Perancangan Keluarga

Apakah cara berkesan untuk mencegah kehamilan? Perancangan keluarga bermaksud pasangan menentukan berapakah bilangan anak yang di ingini beserta masa dan jarak kehamilan. Artikel ini membincangkan cara – cara bagi mencegah kehamilan berserta jenis-jenis pil perancang

Berikut merupakan kebaikan perancangan keluarga kepada umum, ibu dan anak :

1. Kebaikan secara umum

  • Mengurangkan risiko penyakit yang semasa mengandung
  • Mengurangkan kematian bayi
  • Mencegah penyakit HIV/AIDS
  • Mengurangkan kehamilan yang tidak di ingini  
  • Memperlahan pertumbuhan populasi


2. Kebaikan kepada Ibu

  • Mengembalikan kesihatan ibu selepas melahirkan
  • Ibu mempunyai masa untuk memberi kasih sayang dan perhatian secukupnya buat anak dan suami
  • Umur ibu yang berlebihan menambah risiko kelahiran bayi pramatang atau kekurangan berat

3. Kebaikan kepada Anak

  • Ibu yang sihat melahirkan anak yang sihat
  • Mengurangkan kematian bayi serta kelahiran bayi pramatang dan kecil dari umur
  • Mendapat perhatian, jagaan dan kasih sayang yang optimum untuk pertumbuhan anak-anak

Kaedah dan Cara Mencegah Kehamilan

Kaedah pencegahan kehamilan terbahagi kepada :

  1. Kaedah semulajadi (natural method)
  2. Kaedah halangan (barrier method)
  3. Kaedah hormon (hormonal method)
  4. Kaedah kekal (long term method)

1. Kaedah semulajadi (natural method)

Kaedah semulajadi termasuk kaedah masa subur dimana wanita mengetahui masa subur dirinya mengikut kalendar kitaran haid dan juga berdasarkan simptom – simptom yang hadir pada waktu subur. Mengikut kalendar kitaran haid, wanita harus merekod bilangan hari datang bulan sekurang – kurangnya selama 6 bulan.

Hari pertama haid dikira sebagai hari pertama (Day 1). Seterusnya, wanita harus menolak 18 hari daripada kitaran terpendek yang telah direkod dan menolak 11 hari daripada kitaran terpanjang yang telah direkod.



Sebagai contoh :

  • Kitaran terpendek bagi puan A adalah 27hari ( 27 – 18 = hari 9)
  • Kitaran terpanjang bagi puan A adalah 31hari (31 – 11 = hari 20)
  • Maka, puan A perlu mengelak daripada seks tanpa perlindungan pada hari ke 9 hingga hari ke 20 mengikut kitaran haidnya.

Kaedah berdasarkan simptom subur adalah dengan menahan diri daripada persetubuhan semasa waktu subur. Antara simptom subur yang boleh dikenalpasti adalah pertambahan suhu badan antara 0.2’C hingga 0.5’C serta perubahan pada lendir serviks. Kaedah semulajadi yang lain termasuk kaedah coitus interruptus serta kaedah tanpa haid tempoh penyusuan.

Wanita yang mengamalkan penyusuan susu ibu boleh bergantung pada kaedah ini sekiranya darah haid bulanan belum kembali, penyusuan bayi secara penuh atau penyusuan yang kerap dan bayi berumur kurang 6 bulan. Walaupun kaedah penyusuan mempunyai had masa, namun ianya sangat berkesan apabila wanita menepati 3 kriteria bagi kaedah tanpa haid tempoh penyusuan.

2. Kaedah halangan (barrier method)

Kaedah halangan adalah dengan penggunaan halangan seperti kondom, diafram, dan topi serviks. Kaedah ini berfungsi sebagai penghalang bagi sperma dari memasuki trek reproduktif wanita. Penggunaan kondom adalah efektif bagi menghalang kehamilan, HIV serta jangkitan penyakit seksual. Antara punca kegagalan fungsi kondom adalah kondom yang telah rosak, dan telah luput. Kelemahan pemakaian kondom adalah lateks kondom boleh menyebabkan reaksi allergi kepada pengguna serta mengurangkan sensitiviti kelenjar zakar.

Penggunaan diafram dan topi serviks adalah menghalang sperma dari memasuki serviks. Antara kelemahannya adalah kurang perlindungan bagi jangkitan penyakit seksual dan risiko jangkitan saluran kencing bagi wanita.

3. Kaedah hormon (hormonal contraception)

Kaedah hormon termasuk melalui pil, implan dan juga suntikan.

i) Combined Oral Contraceptive Pill (COCP)

COCP merupakan pil perancang yang mengandungi dos rendah dua hormon iaitu hormon progestin dan estrogen. Ianya bertindak menghalang proses ovulasi. Pil perancang ini sangat berkesan sekiranya diambil dengan betul dengan kadar kegagalan sebanyak 7%. Pil perancang COCP perlu diambil satu pil setiap hari pada waktu yang sama sehingga peknya habis. Wanita perlu mengambilnya pada hari pertama kitaran haid, sekiranya lebih daripada lima hari, kaedah halangan perlu dilakukan bersama 7 hari pertama pengambilan pil. Antara kesan sampingan COCP adalah haid tidak teratur, pertambahan berat badan, rasa loya dan lain lain.



ii) Progestron Only Pillls (POP)

POP merupakan pil perancang yang mengandungi dos rendah hormon progestin. Ianya bertindak dengan menambah ketebalan lendiran serviks dan mengurangkan ovulasi. Ianya juga diambil satu pil setiap hari, pada masa yang sama dan dimulakan pada hari pertama kitaran haid. Sekiranya lebih 5 hari, kaedah lain perlu dilakukan bersama pada 2 hari pertama pengambilan pil. Antara kesan sampingan POP adalah haid tidak teratur, rasa loya, perubahan emosi dan lain-lain. POP adalah lebih berkesan bagi wanita yang memberi penyusuan.

iii) Implan

Implan merupakan kaedah memasukkan kapsul berisi hormon pada lapisan kulit dibawah lengan. Terdapat dua jenis implan iaitu Norplant yang berkesan selama 5 tahun dan Implanon yang bertahan selama 3 tahun. Kaedah ini merupakan kaedah pencegah kehamilan yang lebih lama serta wanita dapat kembali subur setelah implan tersebut dibuang. Antara kesan sampingan kaedah implan adalah haid tidak teratur yang berpanjangan.

iv) Suntikan

Terdapat dua jenis suntikan bagi kaedah hormon iaitu Depot-Provera dan Noristerat. Ianya disuntik pada lapisan otot pada 5 hari pertama haid. Dos yang sama akan diberi pada setiap 3 bulan 2 minggu bagi mengekalkan pencegahan kehamilan. Antara kesan sampingan jenis suntikan adalah perubahan kitaran haid, pertambahan berat badan, perubahan emosi, mengambil masa untuk kembali subur setelah menghentikan suntikan serta risiko kekurangan densiti mineral tulang dengan penggunaan jangka masa panjang.

4. Kaedah kekal (long term method)

Kaedah kekal yang sering digunakan adalah Intrauterine Device (IUD). Ianya bertindak dengan menghalang kemasukan sperma, menghalang pergerakan ovum serta menghalang penempelan telur yang telah disenyawa pada dinding rahim. Terdapat dua jenis IUD iaitu progestrogen levonogestrel (LNG) dan copper IUD (Cu-IUD). Ia boleh digunakan selama 5 tahun bagi jenis LNG dan sehingga 10 tahun bagi jenis copper IUD. Wanita yang ingin menggunakan IUD perlu diingatkan tentang risiko kandungan luar rahim yang lebih tinggi berbanding wanita tanpa IUD.

Seterusnya adalah kaedah secara pembedahan iaitu vasektomi bagi lelaki dan bilateral tubal ligation bagi wanita. Vasektomi adalah prosedur dimana salur vas deferens dipotong bagi menghalang pengaliran sperma dan bilateral tubal ligation adalah tiub fallopio dipotong dan diikat bagi menghalang persenyawaan sperma dan ovum. Kedua – dua kaedah ini adalah kekal.



Kesimpulan

Terdapat pelbagai kaedah pencegahan kehamilan yang boleh digunakan oleh pasangan, oleh yang demikian setiap pasangan perlulah berbincang bagi memastikan perancangan keluarga berkesan dan rujuklah bantuan daripada doktor perubatan anda. Hal ini kerana, kaedah perancang keluarga perlu mengambil kira beberapa faktor seperti umur wanita, taraf kesihatan, dan juga sejarah obstetrik & ginekologi yang lepas.

Rujukan :

  1. Uptodate
  2. Perancangan Keluarga – Portal Myhealth
  3. Contraception Methods – WHO.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 4 =