Fungsi apendiks? Kajian terdahulu mengatakan bahawa apendiks tidak mempunyai apa-apa fungsi. Ia merupakan salah satu bahagian daripada usus ketika bayi sedang terbentuk di dalam kandungan. Tetapi apabila usus sudah sempurna, ia meninggalkan satu struktur yang kita panggil sebagai appendiks.
Walaubagaimanapun, dapatan dan kajian baru menunjukkan apendiks mempunyai fungsi dan kewujudannya memainkan peranan yang penting dalam melawan jangkitan kuman, mewujudkan persekitaran usus yang sihat dan menyediakan perumah kepada bakteria yang baik di dalam usus
Anatomi apendiks
Appendiks merupakan satu struktur yang terletak pada bahagian permulaan usus besar. Ia berukuran 8-10cm dan berbentuk seperti ulat ataupun istilah sainsnya berbentuk ‘Vermiform’.
Jika dilihat pada permukaan hadapan abdomen manusia, ia terletak pada bahagian hujung bawah sebelah kanan abdomen. Jika seseorang menghadapi keradangan appendiks ataupun istilah yang lebih tepat appendicitis, pesakit akan mengadu sakit dibahagian tersebut.
Apakah Fungsi Apendiks?
1) Perumah kepada bakteria baik
Kajian terbaru mendapati bahawa fungsi apendiks adalah untuk menjadi perumah kepada bakteria baik di dalam usus. Ia akan melepaskan bakteria baik ke dalam usus besar dan melindungi usus besar daripada jangkitan kuman bakteria yang jahat. Ini akan mengelakkan penyakit seperti cirit-birit berlaku kepada seseorang.
Ketika mana jangkitan kuman berlaku di dalam usus, bakteria baik ini akan duduk di dalam apendiks sehinggalah semua bakteria jahat dalam usus itu dihapuskan oleh badan. Setelah jangkitan kuman hilang, bakteria baik ini akan dilepaskan semula untuk melindungi usus besar.
Ada juga kajian mendapati bahawa, mereka yang telah menjalani pembedahan appendiks mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami keradangan usus besar disebabkan jangkitan kuman Clostridium difficile.
2) Sistem Imun
Appendiks juga mempunyai sistem limfa yang kompleks pada struktur tersebut. Bahkan ia dikelilingi dengan sel pertahanan badan yang sangat padat. Maka, apabila sesuatu bakteria yang jahat masuk ke dalam usus besar, struktur pertama sekali yang akan dilalui adalah struktur appendiks.
Disini, bakteria tersebut akan dikenalpasti oleh sistem imun yang berada di bahagian appendiks dan mereka akan mengarahkan sel darah putih yang lain untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan kuman yang ada.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kena buang apendiks tak kalau kena penyakit appendicitis(keradangan apendiks)?
Walaupun kewujudan apendiks adalah penting untuk beberapa perkara, tetapi pembedahan untuk membuang apendiks adalah perlu dilakukan jika seseorang itu mengalami keradangan appendiks.
Ini kerana komplikasi yang bakal pesakit hadapi seperti appendiks pecah adalah lebih bahaya dan boleh mengundang maut.
Buat masa sekarang, rawatan pembedahan adalah yang paling berkesan untuk merawat pesakit yang mempunyai radangan appendiks.
Mungkin pada masa hadapan, saintis dan juga para doktor dapat menemukan cara rawatan yang tidak memerlukan pembedahan appendiks ketika mengalami penyakit yang dikatakan.
Rujukan:
- Sonnenburg J.L.; Angenent L.T.; Gordon J.I. (June 2004). “Getting a grip on things: how do communities of bacterial symbionts become established in our intestine?”. Nat. Immunol. 5 (6): 569–73
- Zahid A. The vermiform appendix: not a useless organ. J Coll Physicians Surg Pak. 2004 Apr;14(4):256-8. DOI: 04.2004/JCPSP.256258
- Sumber featured image wikipedia