Gigi palsu adalah salah satu pilihan untuk menggantikan gigi sebenar. Dalam erti kata lain, gigi palsu adalah sejenis prostesis yang boleh ditanggalkan dan menggantikan sebahagian atau keseluruhan gigi serta struktur tisu di dalam mulut. Gigi palsu sering digunakan oleh warga tua namun begitu terdapat juga penggunaannya di kalangan golongan muda.
Kegunaan gigi palsu
Terdapat banyak kegunaan gigi palsu, antaranya termasuklah:
- Mengunyah makanan dengan lebih baik
- Memperbaiki pertuturan
- Memelihara kesihatan oral dengan mencegah pergerakan gigi yang tidak diingini
- Pemeliharaan ruang gigi
- Memulihkan estetik atau penampilan pesakit
Jenis gigi palsu
Gigi palsu boleh dikategorikan sebagai konvensional atau segera. Gigi palsu konvensional dibuat dan diletakkan di dalam mulut selepas kesemua gigi yang telah dicabut dan tisu telah sembuh sepenuhnya, mungkin mengambil masa beberapa bulan. Gigi palsu segera pula dimasukkan pada hari yang sama gigi dicabut. Doktor gigi akan mengambil ukuran dan model rahang semasa lawatan awal. Pesakit mungkin memerlukan gigi palsu mereka dibetulkan atau dibuat semula selepas rahang sembuh.
Gigi palsu juga terbahagi kepada beberapa jenis, bergantung kepada keperluan, keadaan dan bilangan gigi pesakit.
1. Gigi palsu penuh
Gigi palsu penuh adalah sejenis prostesis yang menggantikan keseluruhan gigi asal serta struktur tisu rahang atas dan bawah yang berkenaan. Gigi palsu ini boleh ditanggalkan dan dipakai semula.
2. Gigi palsu separa
Gigi palsu separa adalah sejenis prostesis yang menggantikan sebahagian gigi asal dan tisu di dalam rahang. Gigi palsu ini boleh ditanggalkan dan dipakai semula.
3. Overdentur
Overdentur adalah gigi palsu penuh atau separa yang mempunyai satu atau lebih akar gigi untuk memberikan sokongan. Gigi yang tidak berfungsi tidak dicabut, tetapi bahagian korona gigi dikontur serta dibuat rawatan akar. Akar yang tinggal dibaik pulih dan dijadikan gigi sokongan overdentur.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Jenis Bahan untuk Gigi Palsu
Terdapat juga beberapa jenis bahan untuk gigi palsu, antaranya ialah:
1. Gigi palsu akrilik
Gigi palsu akrilik adalah gigi palsu yang diletakkan dalam acuan resin akrilik berwarna merah jambu atau warna gusi. Untuk gigi palsu separa, cangkuk gigi akan diletakkan di sekeliling gigi asal untuk membantu pengekalan gigi palsu. Gigi palsu akrilik lebih meliputi tisu dan lebih tebal berbanding gigi palsu kobalt kromium serta lebih senang untuk terpatah.
2. Gigi palsu kobalt kromium
Rangka kerja di dalam gigi palsu jenis ini diperbuat dari aloi kobalt dan kromium. Gigi palsu akan diletakkan ke rangka kerja bersama akrilik. Ianya lebih nipis dan kuat berbanding gigi palsu akrilik serta ringan untuk dipakai, namun kosnya lebih mahal.
Prosedur penghasilan atau pemasangan gigi palsu
Proses pembuatan gigi palsu boleh mengambil masa dalam beberapa minggu dan janji temu. Antara langkah dalam prosedur ini adalah:
- Dalam janji temu pertama, doktor gigi akan membuat pemeriksaan dan diagnosis untuk pesakit. Sejarah kesihatan dan pergigian pesakit akan diambil rekod. Acuan pertama juga diambil untuk membuat model gigi bertujuan untuk merancang dan mereka bentuk gigi palsu.
- Doktor gigi akan melakukan persediaan pada gigi yang mengikut reka bentuk gigi palsu yang dirancang menggunakan model gigi. Acuan kali kedua juga akan diambil dengan bahan lain seperti zinc oxide eugenol untuk dijadikan model gigi yang lebih tepat.
- Hubungan rahang akan direkod. Ini untuk merekod gigitan antara rahang atas dan bawah serta mengukur ruang yang wujud di antara rahang.
- Doktor gigi akan memberi pesakit untuk mencuba set gigi palsu percubaan yang dibuat daripada wax/ lilin. Ini untuk memberi peluang kepada pesakit mencuba dan memberitahu kepada doktor gigi jika ada perubahan dari segi susunan gigi dan keselesaan.
- Pada peringkat ini, pesakit akan mendapat gigi palsu yang telah siap sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Pelarasan akan dibuat mengikut keselesaan pesakit dan arahan pemakaian serta penjagaan gigi palsu akan diberikan kepada pesakit.
- Rawatan susulan akan dibuat untuk mengambil maklum balas pesakit dan pemeriksaan gigi palsu serta keadaan mulut pesakit. Ini untuk memastikan pesakit berpuas hati dan gigi palsu berfungsi dengan baik.
Komplikasi penggunaan gigi palsu
Penggunaan gigi palsu memberi banyak kelebihan kepada pesakit namun begitu terdapat juga komplikasi yang mungkin terjadi, jika gigi palsu tidak muat sepenuhnya atau kebersihan mulut dan gigi palsu tidak dijaga, antaranya:
- Iritasi gusi dan mulut
- Masalah dari segi makan dan bercakap
- Kehilangan dan perubahan sensasi rasa
- Gigi palsu bergerak di dalam mulut
- Jangkitan mulut
- Ulser
- Gusi bernanah, bengkak atau berdarah
- Mulut atau gigi palsu berbau
- Denture stomatitis
Penutup
Pesakit perlu menjaga kebersihan gigi palsu seperti memberus atau merendam dengan pembersih gigi palsu. Pesakit juga perlu membuka gigi palsu ketika waktu malam dan tidak memakainya ketika waktu tidur. Gigi palsu boleh disimpan dalam bekas khas. Pengunaan gigi palsu memberi pengalaman yang lebih baik kepada pesakit dan memastikan kehidupan pesakit lebih berkualiti.
Rujukan:
- Dentures. Mouth Healthy by American Dental Association.
- Denture. Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Dental Health and Dentures. WebMD.
- Laura Mitchell. Oxford Handbook Of Clinical Dentistry Sixth Edition.